
Bila isteri meluah, cukuplah suami jadi pendengar yang baik. Itu pun satu terapi buatnya.
Pernah tak rasa, kita baru nak meluah kepada suami, tapi belum habis bercerita, dia dah menyanggah atau buat tak endah? Sedangkan kita bukan minta penyelesaian pun, cuma nak dia dengar apa yang terbuku di hati.
Ada masanya, isteri meluah bukan kerana mahukan penyelesaian tetapi sekadar ingin berkongsi rasa penat, sedih mahupun kecewa dengan suami.
Bukan mengharapkan suami menyelesaikan segala masalah, sebaliknya cukup sekadar mendengar dan memahami. Kerana bagi isteri, dapat berkongsi perasaan dengan orang yang disayangi pun sudah mampu membuatkan hati terasa lebih tenang.

Namun, bila luahan sering tidak diendahkan, lama-kelamaan isteri jadi tawar hati. Ada yang akhirnya lebih selesa bercerita dengan kawan baik, ada juga memilih diam dan merawat sendiri luka di hati kerana kecewa dengan sikap suami.
Isteri Meluah Bukan Minta Solusi, Cuma Mahu Didengari
Ada kalanya, isteri sendiri sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Tetapi apabila bercerita kepada suami, dia bukan sedang meminta jawapan. Dia cuma mahu berkongsi apa yang dirasainya dengan orang yang paling rapat dalam hidupnya.
Apabila isteri meluah, suami tak perlu tergesa-gesa memberikan nasihat. Biarkan dia menghabiskan cerita kerana kadangkala didengari dengan penuh perhatian pun sudah cukup melegakan perasaannya.
Kadangkala, ayat semudah “Yalah, mesti penat awak hari ni” atau “Tak apa, ceritalah. Abang dengar” sudah cukup membuatkan isteri rasa dihargai.
Mendengar Juga Satu Bentuk Kasih Sayang
Dalam rumah tangga, kasih sayang bukan hanya ditunjukkan melalui pemberian hadiah atau memenuhi keperluan keluarga. Kesediaan mendengar cerita isteri, walaupun perkara kecil, juga boleh membuatkan dia rasa disayangi.
Suami mungkin tidak mampu menghilangkan semua masalah yang dihadapi isteri. Namun, apabila dia memberikan perhatian, tidak memotong percakapan dan cuba memahami perasaan isteri, itu sudah menjadi satu bentuk sokongan emosi yang bermakna.
Anda mungkin berminat dengan

Malah, ada kalanya selepas puas bercerita, isteri sendiri berasa lebih tenang dan mampu melihat masalah dengan lebih jelas.
Jadi, apabila isteri meluah, dengarlah dahulu dengan sepenuh hati. Tak semua cerita memerlukan jawapan, ada kalanya cukup sekadar memahami apa yang sedang dirasainya.
Kadangkala, isteri bukan mahu suami menyelesaikan seluruh masalahnya. Dia cuma mahu seseorang yang sudi mendengar, memahami dan membuatkan hatinya terasa lega. Bagi isteri, itulah antara terapi paling sederhana tetapi cukup bermakna dalam sebuah perkahwinan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

