Perceraian bukan pengakhiran. Ramai isteri takut untuk berpisah dengan pasangannya kerana bimbang tidak tahu ke mana harus dituju. Anak-anak akan kehilangan kasih sayang seorang ayah dan pelbagai lagi yang bermain di fikiran.

Ketakutan dan kerisauan inilah membuatkan isteri sanggup bertahan, biarlah diri menderita asalkan anak-anak terbela, ada ayah dan bertanggungjawab. Tapi, sampai bila?

Janganlah anggap perpisahan itu sebagai satu noktah. Perceraian bukan pengakhiran, mungkin dengan cara ini akan membuatkan hidup isteri itu lebih tenang, rezeki bertambah dan sebagainya.

Usah biarkan diri didera oleh seorang yang bergelar suami. Sayangi dan hargai diri sendiri. Inilah antara nasihat dan langkah yang perlu diambil oleh wanita yang didera suami seperti yang dikongsikan oleh Dzuriasikim Dzulkefli ini.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Penceraian Bukan Berpunca Dari Isteri, Dia Boleh Tuntut Mutaah, BUKAN DENDAM Tapi Itu Haknya

Sedih Tapi Realiti, Semakin Banyak Kes Perceraian Suami Isteri Golongan Berusia Angkara Orang Ketiga!

Perceraian Bukan Pengakhiran, Hargai Diri Sendiri

Sy bekerja dan sy bayar gaji utk pembantu merangkap pengasuh anak sy yg kecil. Sy nak tanya, gaji pembantu ni mmg tanggungjawab kita sebagai ibu yg bekerja ka kak?

Saya salu dengar org kata sayang diri sendiri dulu. Sy pelan2 cuba hadam apa yg dimaksudkan dgn sayang diri sendiri dulu. Saya jujurnya dh xmampu nk hidup bersama suami. Banyak yg di buat, dia sakiti saya. Physical mentally.

Dan sy merancang untuk failkan penceraian tp dia cuba nak yakinkan saya yg perkahwinan kami bukan beyond repair. Adakah klu sy teruskan dengan niat saya failkan penceraian. Sy ialah isteri yg xbau syurga tu.

Saya ada tgk satu perkongsian dr mufti menk yang kata divorce is not the end of the world.

Saya nk sihat. Saya nk hidup bahagia. Walau ditakdirkan sy dah xbersuami, sy harap saya boleh raih redha Allah dgn cara lain utk masuk syurga. Perlu ka sy bertahan dlm rumahtangga yg sy xmampu nk rasa bahagia di dalamnya ni?

Family kata kat sy, jangan minta cerai, tgu diceraikan. Masalahnya dia dah kata dia xmau lepaskan sy.

IKLAN

(Pertanyaan ini saya salin tanpa membuat sebarang pembetulan pada ejaan).
.
JAWAPAN

Biarpun saya sudah menulis tentang kes penderaan oleh pasangan sebelum ini, namun saya akan cuba menulis semula dengan bahasa yang lebih mudah difahami – semoga perkongsian ini dapat membantu sahabat wanita yang memerlukan.

1. Belajar menyayangi diri bermaksud memberi ruang kepada diri sendiri juga dan menghargai diri sepertimana kita sering menghargai dan menyayangi orang lain. Wanita sangat lemah tentang ini. Banyak wanita merasakan bahawa definisi sayang adalah berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan orang yang disayangi. Biarpun diri sendiri tidak bahagia. Lebih banyak berkorban, seolah bukti lebih dalam rasa cinta.

2. Wanita perlu ada sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan asas tentang hak diri sebagai wanita dan isteri dari segi perundangan Islam dan sivil. Anda faham beza dua perkara ini bukan?

3. Harus tahu bahawa walaupun anda bekerja, tetapi suami bertanggjawab untuk memberi nafkah bagi isteri dan anak-anak. Sekurang-kurangnya menyediakan tempat tinggal, makan dan minum serta pakaian (walaupun sekadar ada). Melainkan jika suami sakit atau gaji isteri lebih besar dan dengan syarat isteri sudi dan redha untuk bertolak ansur dalam menyara keperluan keluarga bersama.

4. Ini adalah nasihat saya, selagi berstatus isteri (belum jatuh talak – walaupun sudah tidak tinggal bersama dan dalam proses cerai), jangan jadi isteri derhaka. Dalam erti kata lain, jangan tinggikan suara dengan suami, menceritakan keburukan suami dengan berlebih-lebih kepada banyak orang yang tidak sepatutnya, menghina suami, berbalas kata dengan suami, bahkan melakukan apa sahaja yang boleh membuatkan anda jadi isteri derhaka dan berdosa. Jangan juga bina hubungan cinta dengan orang lain semasa anda dalam proses cerai. Anda masih isteri orang.

5. Jika sering didera dengan bahasa yang tidak baik, panggilan hina, dituduh yang bukan-bukan, dijerit, ditengking atau sebarang bentuk penderaan mental, cubalah untuk tidak melawan. Bersabar, ingatkan diri bahawa anda bukanlah seperti apa yang dikatakan. (Kata-kata pasangan bukanlah penentu diri mu). Bertahan ya.

6. Jika dipukul sehingga diri dan anak-anak berasa tidak selamat, perkara pertama yang harus anda lalukan adalah membuat laporan polis. Buat laporan polis dengan seberapa segera selepas dipukul. Pihak polis akan membantu untuk mengambil butiran bagi kes anda dengan sejelas yang mungkin. Jika ada luka atau bengkak, gambar anda akan dirakamkan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
.
7. Kebiasaannya polis akan meminta mangsa untuk ke hospital segera bagi pemeriksaan lanjut. Laporan dari pegawai perubatan di hospital adalah sangat penting sebagai rekod dan bukti untuk sebarang tindakan lanjut (tuntutan cerai contohnya).

8. Wanita yang didera oleh pasangan, barangkali ketika anda sedang melakukan ini (membuat aduan polis atau kemudian ke hospital) – anda masih berasa sayang, was-was atas tindakan sendiri (half-hearted), tak bermaya, rasa seperti bermimpi kerana anda seolah sedang menamatkan banyak perkara dalam hidup, rasa bersalah, rasa kasihan (kerana barangkali masih ada perasaan sayang terhadap pasangan meskipun dikasari hampir setiap hari), berfikir anak-anak bakal tiada ayah. Anda mungkin berfikir tentang pandangan orang terhadap anda nanti yang bakal menjadi janda. Anda juga akan berfikir tentang pasangan yang mungkin berdepan dengan hukuman termasuk dipenjarakan dan pelbagai persaan lain lagi yang bercampur baur….

IKLAN

Tetapi teruskanlah langkah anda demi untuk diri dan anak-anak.

9. Buat laporan dengan seberapa segera, ketika anda masih sakit. Ketika sedang sangat tidak tahan dengan hidup. Ketika anda sedang berasa perlu meletakkan noktah dari terus didera. Jika anda bertangguh beberapa hari, perasaan itu semua akan hilang. Luka semakin sembuh. Anda akan mula percaya semula kepada janji dari pasangan untuk berubah. Sehingga penderaan berulang semula.

10. Bagi orang yang tidak pernah melalui, mereka mungkin berasa wanita tidak patut terus berada dalam kehidupan begini. Bodoh kerana tidak segera menyelamatkan diri. Tidak bijak kerana terus menyayangi pasangan (yang berterusan mendera mental dan fizikal setiap hari).

11. Bagi wanita yang sering didera, mereka didera hingga merasakan bahawa – adalah perkara biasa dalam rumahtangga untuk isteri dimarahi dah dikasari. Menganggap dikasari sebagai salah satu tanda “kasih sayang”.
Apabila suami cemburu berlebihan hingga naik tangan, ia adalah seolah suatu bentuk cinta yang sukar diluahkan. Begitu minda wanita yang terperangkap dalam hubungan begini “telah diprogramkan”. Ianya amat menyedihkan.

12. Untuk mendapat kekuatan jiwa dan hati, cukupkan lah solat mu. Paksa diri untuk ini. Please…. Sayangi diri adalah termasuk menjaga solat 5 waktu untuk diri.

13. Untuk lebih kuat, bangun dan buat solat Tahajjud sekerap yang mungkin. Trust this.

14. Ingat, hati kita milik Allah, jadi mohon kekuatan dari Allah.

IKLAN

15. Usah mudah terpedaya dengan pujuk rayu pasangan. Ingatkan diri bahawa perbuatan dan tindak tanduk adalah lebih bermakna dari kata-kata yang diucapkan berkali-kali.

16. Wanita yang dizalimi oleh seorang suami harus tahu bahawa adalah tidak berdosa untuk anda meminta pertolongan bagi melindungi diri dan anak-anak. Seorang isteri juga berhak untuk menuntut cerai apabila berada dalam keadaan ini.

17. Mendengar nasihat dari keluarga adalah baik. Tetapi anda yang melalui hidup ini. Anda yang sakit. Anda yang menderita. Orang lain tidak rasa.

18. Sepanjang proses menuntut cerai anda tidak perlu berteriak kepada pasangan, tidak perlu berbalah, tidak perlu menagih simpati. Aturkan langkah mengikut undang-undang. Tidak perlu membenci pasangan. Maafkan segala hal yang lepas kerana tidak ada satupun yang boleh diubah. Bertenang…

Wanita, saya mohon untuk anda berikan ruang kepada diri sendiri. Jangan berasa bersalah kerana bimbang jika anak-anak perlu berpisah dengan ayah mereka.

Memberi kehidupan yang baik kepada anak-anak adalah termasuk membesarkan mereka dalam suasana yang lebih damai dan sihat. Kasihanilah anak-anak kerana perlu melihat ibu mereka dipukul setiap hari.

Mingguan Wanita : Carilah bahagia untuk diri sendiri. Jangan seksa diri.

Sumber: Dzuriasikim Dzulkefli

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI