Seronoknya bila anak dapat teruskan pembelajaran di sekolah berasrama. Tapi bila tiba masanya, berat hati mak ayah nak lepaskan anak ke asrama. Kadang-kadang terfikir bolehkah anak buat sendiri bila tinggal di asrama.

Setiap mak ayah pastikan lalui ‘perpisahan sementara’ bila anak ditawarkan belajar di sekolah berasrama. Nak tak nak kena lepaskan untuk mereka mendapat ilmu pelajaran sebaiknya.

Namun, apa yang menyedihkan di awal-awal anak ke asrama tentu macam-macam emosi terutamanya bila anak itu adalah anak pertama yang tak pernah berpisah dan tak kurang juga anak yang banyak membantu mak ayah di rumah.

Semua ini berbalik kepada tentang rindu dan homesick untuk anak-anak. Bila keadaan macam ini, mak-mak tak sampai hati. Tapi kena kental demi anak untuk mengejar ilmu.

Bagi anak yang homesick, apa yang patut mak ayah lakukan. Inilah yaang boleh dijadikan panduan hasil perkongsian daripada Bonda Nor.

Baca Artikel Menarik Di Sini: Mak Ayah Jangan Kecewa, Bila Anak Tiada Rezeki Jadi ‘Orang Asrama’

Rumah Sebaik-Baik Sekolah, Anak Bawah 12 Tahun Tak Sesuai Tinggal Asrama!

Info Lebih Menarik DI SINI

Anak ke Asrama, Biarlah Berdikari

Mak ayah yang hantar anak-anak ke asrama, terutama yang pertama kali berpisah, kena alert dengan situasi dan emosinya. Okey atau tidak. Stabil atau tidak.

Semalam, saya dan suami berkejar ke asrama anak keempat kami. Berdebar sepanjang perjalanan. Terngiang-ngiang suaranya di telefon yang abahnya buat loud speaker.

“Abah, datang sini sekejap. Ada masalah.”

Allah. Masalah apa? Bergaduh ke? Kena buli ke? Duit hilang ke?

Dengar suaranya yang sebak itu, serasa mahu terbang segera mendapatkannya. Memeluknya. Menenangkannya.

Dia anak yang bijak. Yang naik ke pentas terima hadiah kecemerlangan. Dia anak yang kuat semangat. Yang masih boleh selamba ketawa walaupun kena ‘bahan’ kawkaw dengan abang kakaknya.

Tapi saya tahu, adakala dia juga gagal kawal emosinya. Mengamuk juga!

Jadi kali ini, apa? Dia mengamuk ke? Bergaduh dengan kawan ke?
Allah. Hati berdegup kencang!

Peraturan asrama, tidak boleh lawat anak-anak hingga cuti raya. Tapi ini kes special. Kami sudah pun minta izin ustaznya untuk bertemu dia. Terpaksa!

Sampai saja ke asrama, dia sudah menunggu. Dalam hujan itu, dia masuk ke dalam kereta. Mendung ketara pada wajahnya. Jelas tampak ada beban rasa yang sedang ditanggung.

IKLAN

“Baim okey ke?” Sepatah soalan saya tak berjawab. Dia diam, tunduk memendam. Saya ambil songkoknya dan letak atas dashboard. Saya usap rambutnya. Kemudian, saya rangkul tubuhnya, cuba menyalurkan sokongan dan kasih seorang ibu. Hujan lebat di luar menambah lagi suasana syahdu. Aduhai.

“Baim tak boleh sekolah kat sini. Baim tak suka asrama. Baim nak tukar sekolah!”

Akhirnya terluah juga apa yang dia pendam. Tegas dan nekad benar bunyinya. Tukar sekolah? Allah. Baru 5 hari!

“Kenapa nak pindah? Ada orang buli?” soal abahnya.
Dia geleng.

“Tengok muka mama. Cakap yang betul, jangan tipu-tipu. Baim ada masalah apa? Mama nak tolong Baim… ,” pujuk saya.

Dia mula angkat muka, melihat saya. Air mata mula bergenang.

“Baim rindu mama. Baim nak duduk kat rumah,” luahnya. Mula teresak.
Saya peluknya lebih erat. Sekali lagi rambutnya saya usap perlahan. Kemudian tangan kanan saya berhenti seketika di ubun-ubun kepalanya, menghadiahkan Al-Fatihah buatnya sambil berdoa di dalam hati agar Allah tenangkan hati anak ini.

Saya dan suami mula perlahan-lahan mengorek cerita sebenar, mengapa dia tidak betah berada di asrama itu.

Tentang guru? Bukan.
Tentang kawan? Bukan.
Tentang buli? Bukan.

Rupa-rupanya tentang rindu. Homesick!

Subhanallah. Padahal dia bukan anak yang manja, yang selalu nak berkepit saja dengan saya. Bukan juga anak yang selalu perlu saya uruskan keperluannya.

IKLAN

Seawal darjah satu, sudah mula basuh dan gosok baju sendiri. Dia suka memasak. Saya ralit menulis dalam bilik, dia datang hantarkan nasi goreng. Tekun dia berada di dapur menunggu satu persatu arahan saya untuk belajar masak spageti.

Ya, saya boleh kata, dia seorang anak yang berdikari!

“Baim nak sekolah biasa je. Yang boleh balik hari-hari!” luah dia lagi.
Nah, itu masalahnya, homesick! Rindu suasana di rumah. Tak ‘boleh masuk’ dengan rutin dan suasana tempat baharu.

Perbetulkan Fahaman Anak Tentang ‘Perpisahan Sementara’

Sebagai ibu bapa, apa perlu kita buat apabila berdepan dengan situasi seperti ini?

1. Biarkan dulu anak luah apa yang dia rasa sepuasnya. Benarkan saja segala apa yang dia kata. Dia rindu, dia benci, dia tak suka, whatever luahan hatinya, kita setuju saja. Dah memang itu yang dia rasa, tak perlulah kita nafikan apa-apa, jangan sampai dia rasa kita tak faham dia.

“Betullah, sama! Mama pun dulu masa mula-mula duduk asrama pun rasa macam tu. Ya Allah, tak sukanya. Dahlah kena bangun awal pagi. Nak solat pun kena pergi surau.”

2. Tunjukkan yang kita berada di pihaknya. Kalau dia kata dia rindu kita, bagitau dia yang kita juga rindu pada dia.

“Mama asyik tanya abah, Baim ada call tak? Teringat sangat kat Baim. Nak telefon tak boleh, nak melawat tak boleh. Allah… rindunya kat anak mama.”

Tunjukkan yang kita berada di pihaknya. Kalau dia kata, ada budak yang dia tak suka, kita beritahu dia yang kita akan bela dia jika berlaku apa-apa. Buat dia rasa selamat.

3. Kemudian, pelan-pelan, mula betulkan pemahaman dia.
Beritahu dia tentang sebab dan akibat. Tentang rasional sesuatu peraturan. Kenapa perlu bangun awal pagi. Kenapa perlu solat di surau. Kenapa begitu. Kenapa begini.

4. Beritahu dia tentang PROSES. Ya, hidup ini is all about proses. Mula-mula baby, lepas tu kena pergi tadika, sekolah rendah.

IKLAN

“Sekarang Baim dah makin besar. Dah nak jadi orang dewasa macam abah. Lepas sekolah menengah ni, nanti masuk universiti, kerja, kahwin, ada anak. Semua orang lalui benda yang sama.”

5. Beritahu dia tentang hakikat UJIAN. Hidup ni memang Allah akan uji kita. Bukan semua perkara kita suka, tapi kita tetap kena buat juga. Memang kadang kita akan marah, kita sedih, kita menangis.

“Apa Baim rasa ni normal. Mama pun pernah rasa. Abah pun pernah rasa. Jadi, betul dah apa Baim rasa ni. Kena sabar sikit ya. Insya-Allah lepas ni akan okey. Lepas tu, mungkin akan ada masalah lagi, lepas tu akan okey balik. Selang seli suka dengan duka. Kita takkan bahagia sentiasa sebab yang bahagia sentiasa tu ada kat syurga je.”

5. Tegas berhikmah. Kita tak akan ikut keinginan dia untuk tukar sekolah sebab kita tahu apa yang dia fikir itu tidak sepatutnya. Namun tawarkan diri untuk bantu ringankan beban perasaan dia.

“Baru 5 hari Baim kat sini. Mama abah baru habis duit beribu bayar yuran, beli baju, beli buku. Kalau Baim nak tukar sekolah sekarang memang tak boleh. Tapi cuba Baim cadangkan… apa mama boleh tolong Baim supaya Baim tak stres macam ni? Mama hantar makanan selalu, nak tak? Nanti Baim ambil kat pondok guard. Atau mama bagi duit syiling banyak sikit supaya Baim boleh selalu call rumah ya?”

Ya, whatever! Tunjukkan empati kita untuk ringankan beban emosi dia. Itu yang dia perlu sebenarnya. Perhatian kita, empati kita, pengertian kita.

Jangan Lupa Tanya Khabar

Alhamdulillah, pertemuan semalam yang bermula dengan tangisan, akhirnya berakhir dengan senyuman dan senda gurau yang membahagiakan. Leganya saya dan suami melihat anak yang murung itu lebih ceria sewaktu kami tinggalkan.

Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah berkenaan bahana perpisahan.

Satu hal yang pasti tentang perpisahan ialah KITA TIDAK MAHU DILUPAKAN. Jadi, bagi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke asrama, pastikan kita tidak lupa bertanya khabarnya, bagitau dia yang kita rindu dia, rumah jadi sunyi dia tak ada.

Ya, setidak-tidaknya dia patut lega kerana asrama buatnya bebas daripada jeritan mama yang selalu ingatkan dia suruh solat, kemas rumah, dan buang sampah!

Mingguan Wanita : Emosi mak-mak pun tak ada kurangnya. Mulalah terasa sunyi kat rumah, walaupun ada lagi anak-anak lain peneman. Mula fikir anak buat apa, makan apa kat asrama. Begitulah mak-mak.

Mak-mak bekalkan INI bila anak masuk asrama 

Sumber: Bonda Nor

Mingguan Wanita boleh diikuti juga di telegram :
https://t.me/bangkitwanitaMW

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

#bangkitwanita
#langkahyakinlakarkejayaan
#bisnesdarirumah
#mingguanwanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI