masakan-anak

Damai je hati anak mahupun menantu, bila mana mak ayah puji masakan anak dan menantu yang dihidang depan mata. Lagi-lagi pujian yang disertakan dengan kata-kata yang baik.

Biarpun masakan anak dan menantu itu biasa-biasa saja, tetaplah dihargai penat lelahnya menyediakan juadah untuk keluarga.

Begitulah indahnya pelajaran kehidupan yang kedua ibu bapa ‘Azizah Mohamed ini tunjukkan. Tidak sesekali memperkecilkan usaha masakan anak mahupun menantu.

Ada pengajaran yang boleh mak ayah ambil tahu. Semoga Ramadan ini, jika lebih menjaga kata-kata.

Hilang Sakit Pinggang, Bila Ayah Puji Masakan Anak

Beberapa hari lepas. Saya hidang mee goreng untuk mak ayah.
Mak rasa sesuap.
Sedap, Zah. Secukup rasa.”
Giliran ayah pula makan. Habis sepinggan ayah bersuara,
Sedap betul mee Zah. Boleh buka warung depan rumah ni. Hantar Asma’ pergi sekolah, lepas tu start masak. Fuh!”
Ada sekali tu saya hidang ayam masak merah. Mak kata sedap.

Nak tahu ayah komen apa?
Sedapnya. Macam ni gaya boleh jual dah. Cukup rasa. Eh serius ni. Jual lah. Ayah boleh jadi runner. Oven kat dapur muat berapa ekor ayam? Kalau jadi bisnes kita tukar oven besar.”

Pecah ketawa tukang masak dengar. Padahal ayam masak merah tak guna oven pun

IKLAN

Terhibur sungguh.

Hilang sakit pinggang berdiri lama di dapur. Walhal saya tahu masakan saya sangat sederhana. Namun terasa dihargai sebaiknya.

Alhamdulillah.

Ayah Puji Apa Jua Air Tangan Mak

Hakikatnya, itulah pemandangan di meja makan sejak kecil. Ayah akan puji apa jua air tangan mak. Di hadapan kami.
Alhamdulillah. This is the best dinner for today!”
Ayat legend ayah. Riuh kami gelak ketawa di meja. Sebab dinner memang sekali sehari kan.

Bila kami dah besar ayah puji masakan anak dan menantu. Jarang ayah komen sepatah. Mesti ada extra feedback yang selalu buat kami ketawa terhibur.

Dan mak pula akan berterima kasih untuk setiap masakan yang terhidang. Sedangkan apalah sangat nak dibandingkan dengan air tangan mak sepanjang membesarkan kami.

Baca sini : Nak hidup tenang, jaga sungguh hati mak ayah, mereka kunci keberkatan

IKLAN

Melalui Mak Ayah, Ini Yang Anak Belajar

Ini bukan post bercerita kesedapan masakan sendiri. Tidak sama sekali.

Namun melalui mak ayah,
Kami belajar betapa mudahnya menggembirakan orang dengan kata-kata yang baik.
Perkataan yang baik akan pergi jauh. Meresap masuk ke dalam hati pendengar. Lantas memberatkan neraca amal soleh kita.

Insya-Allah.
Perkataan yang buruk juga akan pergi jauh.
Menyakitkan hati pendengar. Lalu menjadi pemberat dosa. Melambatkan urusan kita memasuki syurga.

Nauzubillah.
Maka, selagi bernyawa, hati-hati memilih perkataan kita. Moga setiap patah kata menjadi penyelamat di akhirat sana. Di saat mulut ini tidak lagi boleh bersuara mempertahankan kita.

IKLAN

Terima kasih ayah.
Terima kasih mak.
Terima kasih ibu ayah semua.

Syurgalah buat kalian yang mendidik anak-anak dengan akhlak yang baik. Moga Allah izinkan kita semua berkumpul di sebaik-baik tempat di Syurga.

Yang padanya ‘mereka tak akan mendengar percakapan yang sia-sia dan yang menimbulkan dosa’. (Al-Waqiah:25)

Aamiin ya Mujib.

Mingguan Wanita : Menggembirakan hati orang lain dengan kata-kata yang baik juga memberi kebahagiaan kepada orang di sekeliling. Jagalah tutur kata, jika tiada perkataan baik mahu disebut, maka lebihlah baik berdiam diri.

Sumber/Foto : Anak yang menyerap pelbagai kisah, ‘Azizah Mohamed.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI