Wanita dan anak, ibarat isi dan kuku. Anak adalah sebahagian daripada diri wanita setelah dirinya bergelar seorang ibu. Kadang kala kemahuan dan keinginannya diketepikan demi anak yang tersayang. Bukan sahaja kemahuan sendiri, kadang-kadang kemahuan suami pun agak terabai kerana menguruskan anak-anak.
Sikap ini lama-kelamaan tanpa isteri sedar membuatkan sang suami mula berjauh hati dan seterusnya rasa terpinggir. Tetapi tolong fahami lah keadaan isteri wahai suami, anak-anak perlukan isteri anda melebihi kalian. Ikuti pandangan Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat tentang isu ini.
“Saya melihat dari sudut fitrah, sememangnya naluri seorang ibu akan lebih dekat dan cenderung menghabiskan waktu untuk anak-anak. Ini terutamanya selepas melahirkan anak pertama, ibu pastinya sangat teruja dan kadangkala boleh menyebabkan terabai peranan seorang isteri terhadap suami, tanpa sedar.
“Ia bukanlah suatu kesalahan tetapi perlulah diurus dengan ilmu dan kemahiran yang sebaiknya,” ujarnya memulakan perbualan.
Malahan, situasi begini perlu difahami secara bersama. Secara umumnya, seorang suami perlulah faham perubahan yang berlaku, kerana sebelum ini masa digunakan untuk mereka berdua, tetapi ia berbeza apabila jumlah masa yang sama perlu dibahagikan untuk tiga orang.
Ads
Selain itu, isteri yang bijak juga perlu menumpukan perhatian kepada anak-anak tanpa menyebabkan suami terasa terpinggir. Keterujaan bersama anak-anak perlu dikawal agar tidak keterlaluan, kadangkala tanpa sedar kita melayan suami dengan cara melayan anak-anak menyebabkan suami rasa tidak dihormati dan kadangkala kita tidak mendisiplinkan masa yang sesuai untuk melayan anak dan untuk suami.
Perkara ini berlaku kadang kala dengan pelbagai alasan seperti anak perlukan kita tanpa mengira waktu, anak-anak masih kecil perlu diberi layanan yang lebih atau alasan suami sudah pandai menjaga diri dan dewasa untuk berfikir menguruskan diri sendiri.
Ini adalah antara alasan yang akhirnya menjadikan kita berterusan tanpa ada motivasi untuk berubah dan akhirnya menjejaskan hubungan serta pastinya mengganggu keharmonian keluarga yang dibina. Seharusnya rumah tangga yang dibina menjadi indah dengan lahirnya anak-anak.
Ads
Hadkan waktu untuk anak & Suami
Di samping, jelas Dr Mohd Noor, tidak salah dan sewajarnya ibu memberikan perhatian kepada anak-anak. Apatah lagi sewaktu anak-anak masih kecil dan bergantung sepenuhnya kepada ibu. Namun kita perlu bijak untuk menghadkan waktu-waktu tertentu melayan suami:
Bermainlah dengan anak bersama-sama suami agar masa tersebut dapat dirasai oleh kedua-dua anak dan suami.
Kadang-kadang kita rasakan tidak adil jika suami marahkan kita bercakap tentang anak-anak, sedangkan anak adalah milik bersama yang perlu diberi perhatian. Namun, rancang supaya ada waktu kita bercakap tentang anak, ada waktu bercakap tentang hubungan kita dengan suami juga, ada waktu untuk membelai anak-anak dan ada waktu untuk bermanja dengan suami. Layanlah juga suami bercakap tentang hobinya, malah berilah sokongan tentang kerjayanya.
Menjadi ibu yang selekeh dengan baju lusuh mungkin tidak salah, malah memudahkan kita menyusukan anak-anak tetapi suami kita adalah lelaki yang fitrahnya sukakan wanita yang cantik, bergaya pakaian dan menarik.
Elakkan daripada ketiadaan masa untuk bersama suami, apatah lagi suami telah pun begitu lama bersabar sepanjang waktu pantang kita. Memang diyakini suami akan memahami dan boleh bertoleransi, tetapi jangan sampai dia terasa kehilangan langsung.
Ada benarnya juga sesetengah suami yang mengadu, seolah-olah kehidupan isteri seharian hanya untuk anak semata-mata. Untuk tidak terasa kekosongan sebegitu, bahagikan masa kita bersama anak, wujudkan juga masa suami bersama anak dan masa kita bersama suami. Jangan sesekali kita gunakan alasan anak untuk tidak bersama suami.
Jangan biarkan sesuatu permintaan suami diulang lebih dua kali. Ini kerana permintaan yang diulang bermaksud serius dan penting untuk diberi perhatian, sekiranya diulang lebih tiga kali atau suami mulai berdiam selepas mengulang beberapa kali, mungkin bermakna dia berjauh hati atau terasa tidak diendahkan.
Sayangilah anak, tetapi hormatilah suamI. Uruskan anak, tetapi jangan lupa jaga penampilan cantik untuk suami. Elakkan tidur bersama anak, kerana suami juga memerlukan kita sebagai temannya. Hormati fitrah suami, mudah-mudahan suami juga mudah bertoleransi untuk kebahagiaan kita.
Kesan Buruk
Kesimpulannya, menurut Dr Mohd Noor, situasi sebegini akan menimbulkan beberapa implikasi seperti kes suami mulai curang selepas isteri melahirkan anak. Malah ada satu kajian yang dibuat di Amerika Syarikat mendedahkan antara punca perceraian yang berlaku adalah disebabkan isteri yang terlalu keibuan dan suami yang terlalu kebapaan.
“Suami memerlukan kita sebagai isteri, dengan sifat ke”isteri’an, bukannya keibuan. Akibat terlalu mengutamakan anak, isteri yang menumpukan perhatian terlalu banyak kepada anak-anak menjadikan tanpa sedar, lebih terbawa-bawa bersifat keibuan, walaupun ketika bersama suami. Begitu juga sebaliknya, isteri juga mengharapkan suami yang bersifat ke’suami’an, bukannya kebapaan.
Ads
“Malah mudah sebenarnya untuk difahami, fitrah suami sebagai lelaki sentiasa memerlukan seorang isteri yang menghormati dan mentaatinya. Disebabkan persoalan kali ini menjurus kepada peranan isteri, untuk kita sebagai isteri, saya yakin kita telahpun menjalankan tugas yang betul apabila menumpukan keperluan anak-anak dalam keluarga,”katanya lagi.
Namun, dengan kaedah dan pendekatan yang bijak, insyaallah tidak menyebabkan suami rasa terpinggir. Contohnya, kita elakkan kesan negatif yang mungkin berlaku kepada suami seperti rasa tidak dihormati, rasa sunyi lantaran tiada teman untuk bermanja dan dibelai, malah mungkin terasa kehilangan isteri yang cantik, seksi dan menggoda disebabkan karakter kita sebagai ibu biasanya tidak menampilkan sifat-sifat sebegitu.
Akhirnya, kita bimbang lama-kelamaan tanpa kita mengendahkannya, kehilangan yang dirasai oleh suami tadi diisi oleh orang lain. Bukan sahaja hubungan kita yang terganggu, malah hubungan suami dengan anak kita juga mungkin tidak menjadi baik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kalau suami nak rezeki datang kena dahulukan isteri dan anak-naka. Tapi, bagaimana pula isteri boleh lakukan supaya dia pun dapat rezeki yang mencurah-curah.
Inilah amalan yang boleh isteri lakukan supata rezeki datang tanpa henti. Sekurangnya dengan cara ini dapat juga membantu suami dan keluarga.
Antara perkongsian oleh Nor Zaleha tentang amalan sederhana untuk isteri lakukan agar rezeki datang terlebih-lebih. Mudah-mudahan termakbul.
Khas untuk Isteri yang nak rasa rezeki terlebih-lebih (Dengan Izin Allah Taala)
1) Jangan berkira-kira dengan suami.
2) Jangan berkira dengan Mak Ayah atau Mak Ayah Mertua.
3) Jangan berkira dengan anak-anak.
4) Jangan berkira dengan adik beradik pun.
5) Jangan berkira dengan saudara mara dekat mahupun jauh.
6) Beri semasa sedikit, bertambah beri semasa banyak.
7) Jika tiada mahar, hanya tadah tangan di malam hari doakan untuk mereka semua, ampunkan dosa dosa mereka dari akil baligh sehinggalah ke hari kalian doakan mereka.
Percayalah — Allah Taala akan cukupkan semuanya andai kalian benar benar memberi (tanpa ingat kembali).
ISTERI nak rezeki datang tanpa henti?
1. Elak asyik membawang dalam kehidupan seharian. Tak seronok mana pun.
2. Nampak suami, senyum. Ingat suami, senyum. Husnuzon selalu dengan suami. Tawakal apa jua suami buat di luar. 3. Rajin belanja suami & anak. Biar suami jarang belanja isteri. Tidak perlu tunggu balasan. Allah Taala akan beri lebih dari suami.
4. Kurangkan merungut, ramai lagi yang lebih susah dari kita. Cuba hulur dari hanya melihat.
5. Ramai mengeluh dengan apa yang Allah Taala beri. Tapi ramai alpa, dalam Allah Taala beri itulah ujian Dunia untuk dapat tempat yang terbaik di Akhirat.
6. Mereka yang ada ibu. Jagalah hati dan perasaan mereka. Abaikan hati kita sebagai anak sebab mereka lebih layak untuk layanan terbaik. Mereka jauh lebih susah masa lahirkan kita.
(Tiada Ibu lagi? Buat dekat Ibu Saudara / Ibu Mertua)
7. Kerap ucap Basmalah setiap kali mula sesuatu pekerjaan. Nak cium anak pun, ucaplah. Nak pegang suami pun, ucaplah. Dalam kita gembira, tetap kita ingat Allah.
8. Mana-mana pun ini memang pasti. Lagi banyak kita memberi, lagi bertimbun yang akan kita dapat.
9. Akhir sekali, bersabarlah. Hasilnya akan datang pada masa dan keadaan yang tepat.
Yakin.
Mingguan Wanita : Jangan harap suami asyik belanja isteri. Sekali sekala apa salahnya isteri belanja. Kita tak tahu, rezeki akan datang makin bertambah kan!
Sebagai seorang ibu, sudah terbukti anda merupakan ibu yang terbaik. Bukan sahaja anak-anak yang merasa sifat ke’ibu’an anda itu tetapi juga rakan-rakan anda di media sosial. Gambar profil dan segala foto aktiviti harian yang dikongsi di laman sosial semuanya tentang anak-anak. Suami anda barangkali begitu pemalu kerana tidak ada satu pun gambar dia yang anda kongsikan.
Ya, siapa yang boleh persoalkan? Itu laman sosial anda dan tentu anda boleh tulis dan letak apa sahaja yang anda suka. Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation.
Anak Atau Suami Lebih Penting?
Saya ingin berkongsi satu cerita benar. Seperti biasa semasa perjalanan pulang ke rumah dari pejabat saya mendengar saluran radio yang bercorak santai. Juruhebah memilih satu isu sempena gebang petang itu tentang isu yang mana lebih penting antara anak dan suami? Isu ini seperti magnet yang sangat kuat menarik panggilan telefon daripada pendengar.
Saya terdiam apabila satu panggilan daripada seorang isteri yang secara terbuka menyatakan yang dia meletak anak-anak lebih tinggi berbanding suami. Mungkin ada isu lain antara dia dan suaminya tetapi dia mengaku yang dia tidak peduli sangat tentang makan pakai suami asalkan anak-anak terjaga. Juruhebah lelaki yang membawa peranan provokatif bertanya dalam ketawa sinis,
“Adakah awak tidak kisah jika suami bosan dengan perangai awak itu dan beralih perhatian kepada perempuan lain”
“Eh..mestilah kisah. Itu buat hal namanya!” begitulah lebihkurang jawapan daripada pemanggil itu. Barangkali isu itu terlalu berat dan sensitif yang suasana petang maka juruhebah wanita yang turut mengendalikan ruangan itu masuk campur dan beberapa saat kemudian panggilan itu tamat dan lagu popular dimainkan.
Sifat Keibuan Menebal
Nota kali ini bukan mahu mengupas isu pemanggil itu tetapi sebenarnya untuk menarik perhatian pembaca tentang kekeliruan antara isu layanan isteri kepada anak-anak dan layanan kepada suami sebagai isteri. Mungkin kerana sifat keibuan yang sangat kuat sehingga keliru dan melayan suami seperti budak-budak.
Tanpa sedar dan tanpa niat berbuat begitu, anda secara tidak sengaja membuat suami terasa seperti diperbudak-budakkan. Bagaimanakah sikap dan perbuatan itu? Itulah yang saya mahu kongsikan dalam nota minggu ini.
Berdikari Sebab Tak Nak Susahkan Suami
Anda berpendidikan tinggi dan juga wanita berdikari. Semua perkara anda boleh buat sendiri. Sifat ini bagus tetapi jika tidak berhati-hati boleh menyinggung hati suami. Adakah anda berniat tidak mahu menyusahkan suami tetapi agak keterlaluan sehingga dia merasa yang anda tidak percaya tentang kemampuannya sebagai kapten dalam rumahtangga?
Sebagai contoh dapur adalah gelanggang anda dan suami tidak boleh masuk campur. Apa yang anda masak itulah yang dia kena makan sebab dia ada masalah obesiti sama seperti dua orang anak anda. Semua keputusan penting yang perlu dibuat, anda yang boleh beri kata putus. Anda buat begitu sebab dulu dia pernah buat silap dalam perniagaan sehingga rugi besar. Begitu juga anak-anak. Apa yang mahu dibuat mesti tanya mama dulu. Kalau mama kata ‘OK’ baru buat. Niat anda memang betul tetapi tidak ada suami yang suka diperlakukan begitu.
Dinamik hubungan antara suami dan isteri memerlukan anda berdua duduk bersama untuk berbincang kenapa situasi ini berlaku. Adakan ini berlaku kerana anda ‘cemas’ kerana tidak percaya pada dia atau kerana tidak faham sifat dan perangainya pada lapisan kedua, ketiga, keempat atau yang lebih dalam? Pernah anda fikirkan itu?
Pasangan itu milik Allah, dia manusia biasa yang hatinya boleh berubah. Kadang-kadang sang isteri sudah melakukan yang terbaik dalam menjaga hati suami, tetapi suami tetap berubah hati.
Isteri sanggup lakukan itu dan ini demi menjaga hati suami, namun masih ramai saja suami yang curang di belakang isteri. Ternyata hati suami ini berbolak-balik, tidak kiralah sama ada isterinya cukup sempurna atau tidak. Segala yang berlaku atas kehendaknya.
Ada orang kata, isteri kena pandai layan suami, baru suami tak cari lain.
Malah ada orang kata, isteri kena kongkong suami, barulah suami tiada peluang cari yang lain dekat luar.
Ada juga orang kata, isteri jangan kongkong suami sangat. Nanti suami rimas dan cari yang lain.
Dan ada orang kata, isteri kena jadi terbaik, barulah suami tak cari lain.
Pasangan Itu Milik Allah, Hatinya Boleh Berubah
Saya pernah berdepan dengan satu kes dulu. Isteri menuntut cerai walaupun mereka ini dilihat sebagai pasangan romantis, sangat sepadan dan tidak ada potensi langsung untuk mereka mengkhianati sesama sendiri.
Dia dan suami mengusahakan sebuah syarikat jual kereta. Mereka agak kaya. Ada seorang anak perempuan yang masih kecil masa itu, baru berusia empat tahun, comel.
Suami isteri ini bekerja bersama. Selalu bersama. Semua hal kewangan daripada syarikat sampailah ke keluarga, dijaga oleh isteri. Mereka tak pernah terpisah, di rumah dan di tempat kerja sentiasa bersama.
Suami Manusia Biasa & Hatinya Boleh Berubah
Mustahil suami boleh cari lain kan?
Tapi mana tahu, satu hari kami tersilap hantar surat ke alamat suami. Sebab suami beli rumah. Dia memang ada pesan, semua surat jangan pos. Dia akan datang ambil. Tapi entah macam mana boleh terlupa, kami terpos sekeping surat.
Bukan surat penting pun, cuma cc copy je (salinan surat), walhal selama hari ni cc surat kami cuma email saja.
Datanglah si isteri ke pejabat kami, bertanyakan tentang surat tu. Katanya bila masa pula suaminya beli rumah? Maka, pecahlah rahsia.
Rupanya si suami belikan rumah itu untuk perempuan simpanannya. Bahkan, mereka sudah ada seorang anak lelaki berusia dua tahun. Isteri mana yang tak kecewa kan?
Namun dia pelik juga. Segala kewangan, dia pegang. Setiap masa suami bersamanya. Bila masa pula dia jumpa perempuan lain, siap ada anak bersama.
Dipendekkan cerita, rupanya setiap bulan mereka akan ambil duit gaji masing-masing. Walaupun itu syarikat mereka, mereka masih disiplin mengambil duit gaji sama seperti pekerja lain.
Sebab tak nak campur adukkan duit syarikat dengan duit perbelanjaan sendiri.
Dan mereka akan terpisah selama dua jam setiap hari, iaitu masa makan tengahari. Sebab salah seorang perlu berada di pejabat, tak boleh dua-dua keluar sekali.
Maka, dari situlah si suami memiliki perempuan simpanan. Walau hanya terpisah 2 jam sahaja sehari.
Segalanya Tentang Hati, Suami Manusia Biasa
Kepada pada isteri di luar sana, walau apapun yang kita sudah buat untuk suami kita, cara keras, cara lembut….
Segalanya tentang hati…
Walau bagaimana kongkong suami, kalau dia nak buat hal, dia buat juga.
Walau bagaimana kita berlembut dan biarkan dia, pun dia boleh buat hal juga.
Begitu juga dengan isteri. Walau dapat suami sebaik mana sekalipun, masih ada isteri yang berpaling tadah.
Pasangan kita itu milik Allah. Dia manusia biasa. Hatinya boleh berbolak-balik. Nasihat orang kita dengar dan fikir kebaikannya, bukan ikut melulu. Selebihnya, berdoalah kepada Allah, hanya Dia yang terbaik, kerana Dia yang memegang hati setiap hamba-Nya.
Farizal Radzali
MW: Paling penting sebagai isteri dan juga pasangan, serahkan dan berdoalah kepada Allah untuk memegang hati suami hanya untuk kita. Namun jika pasangan tetap curang, percayalah ianya adalah kehendak Allah dan pasti ada hikmah setiap satunya walaupun perit.
“Acara Queens Night bersifat tidak bermoral dan berunsur lucah” itulah antara kenyataan yang diberikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan seperti mana...