Sebelum ini, Ustaz Khairul Anuar Basri berkongsi tatacara solat terawih paling ringkas di rumah masing-masing. Bagi melengkapkan solat sunat terawih ini, lakukanlah solat witir berjemaah paling basic ini.
“Alhamdulillah, nampaknya ramai yang dah mula ambil manfaat dan kongsikan tatacara tersebut dengan orang-orang yang mereka sayang.
“Maksudnya dah ramai yang tahu sebenarnya nak jadi imam solat terawih ni bukanlah susah mana pun kan?”
“Bila sebut tentang solat terawih, tak lengkap rasanya kalau tak cerita pasal solat witir. Semalam pun ada orang komen tanya kaifiat solat witir.
So, hari ni saya nak tambah sikit lagi penulisan tentang requirement paling basic dan juga tips untuk solat witir berjemaah di rumah bagi imam yang amatur.
Macam biasa, just buat apa yang saya tulis tu je ye.
Persediaannya Macam Ini..
√ Solat witir ni lepas selesai solat terawih 8 rakaat. Lepas dah baca doa bagai.
√ Kita ambil cara yang paling biasa dan mudah iaitu 3 rakaat dengan 2 salam. Maknanya mula-mula 2 rakaat. Lepas salam, bangkit dan tambah lagi 1 rakaat.
√ Sebelum mula solat witir, imam pusing belakang mengadap makmum. Cakap biar jelas; “Kita nak solat solat witir ni. 3 rakaat dengan 2 salam. Get ready semua ye!”.
TATACARA SOLAT WITIR PALING SEMPOI BAGI IMAM AMATUR
– Lafaz niat solat witir yang mula-mula tu ialah; “Sahaja aku solat witir 2 rakaat menjadi imam kerana Allah Ta’ala”. Allāhu akbar!
Ads
– Solat la 2 rakaat macam biasa sampai selesai bagi salam.
– Lepas dah selesai 2 rakaat, sekali lagi imam bangkit dan pusing belakang mengadap makmum. Cakap sekali lagi; “Kita nak solat witir 1 rakaat ni. Get ready semua”.
– Lafaz niat solat witir yang ni pula ialah; “Sahaja aku solat witir 1 rakaat menjadi imam kerana Allah Ta’ala”
– Solat la 1 rakaat sahaja. Jangan pandai-pandai buat lebih pulak.
Ini la tatacaranya solat witir yang paling basic. Buat je macam yang saya tulis ni, insyaAllah selesai dan sah la solat witir secara berjemaah. Senang kan?
Surah-surah Dibaca Dalam Solat Witir
Ok.. sekarang saya nak guide sikit surah apa yang nak dibaca dalam setiap rakaat solat witir tu.
Sebab solat terawih ni 3 rakaat, suka saya nak cadangkan surah-surah berikut untuk dibaca selepas Surah Al-Fātihah pada setiap rakaat.
Ads
Ini akan memudahkan para imam sekelian.
Jadual yang sama ni, boleh recycle pada setiap malam.
Rakaat,
Pertama – Surah Al-Ikhlās (قل هو الله أحد)
Kedua – Surah Al-Falaq (قل أعوذ برب الفلق)
Ketiga – Surah An-Nās (قل أعوذ برب الناس)
Kalau nak baca surah-surah lain boleh tak?
Boleh je. Bacalah mana-mana surah yang mudah bagi imam tu.
Nak baca surah yang sama setiap rakaat pun boleh.
Kalau tak hafaz surah-surah ni boleh tak tengok Quran?
Macam pelik la pulak tak hafaz kan? 3 surah ni level budak tadika KEMAS je ni.
Ads
Boleh tak kalau buat sendiri-sendiri je solat witir ni? Tak payah la buat secara berjemaah.
Boleh je kalau nak buat sendiri-sendiri. Tapi berjemaah itu lebih aula sebab dapat pahala jemaah.
Kalau nak buat sendiri, tak semestinya selepas solat terawih. Bila-bila masa selagi sebelum azan Subuh pun boleh.
Cumanya takut kalau tak buat terus secara berjemaah lepas solat terawih, nanti tak solat witir la pulak. Itu je yang kita bimbang.
Lepas solat witir boleh tak kita bangun solat tahajjud?
Boleh je. Dan tak payah dah nak buat solat witir lagi sekali sebab witir hanya sekali untuk 1 malam.
Terpulang. Nak baca boleh, taknak baca pun tak apa.
Biasanya bermula malam ke 16, imam akan baca doa qunut kan? Kena baca jugak ke?
Ye biasanya begitulah. Imam akan baca doa qunut pada rakaat ketiga selepas bangun dari rukuk. Macam solat Subuh tu.
Kalau boleh baca, bacalah.
Kalau tak mampu baca, tak baca pun takpe.
Begitulah tatacara yang paling basic kot untuk jadi imam solat witir.. Kalau ada apa-apa soalan, boleh tanya kat ruangan komen.
So, macam semalam jugak. Ibu-ibu dan bapak-bapak mohon share tatacara ni kat semua orang ye. Nanti senang nanti kalau nak kena jadi imam solat witir berjemaah.
MW :Semoga mak ayah dapat menghidupkan solat sunat terawih dilengkapi dengan solat witir di rumah sendiri.
Mungkin setelah beberapa tahun berkahwin, anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena. ‘Cinta buta’ di awal perkahwinan itu tidak kunjung celiknya. Perasaan sayang kepada suami kian pudar dan timbul pula benci!
Ya, entah kenapa pandai pula anda mengadu perasaan itu kepada rakan baik di pejabat.
“Iyalah, Senah… aku tau aku kena sayang suami aku tapi kasih sayang itu tidak boleh dipaksa.”
“Eiii..kau tak boleh buat macam tu Kiah. Berdosa tau!”
Senah pun memberi ceramah percuma tentang tanggungjawab seorang isteri sayang dan taat kepada suami. Semua yang Senah ceramahkan itu sudah anda tahu. Yang Senah tidak beritahu ialah jawapan kenapa anda merasa begitu!
Untuk faham kenapa anda boleh secara tidak sedar mula membenci suami kita kena tahu bahawa minda manusia ada dua komponen. Minda sedar dan minda bawah sedar.
Minda sedar ini mudah mengawalnya tetapi minda bawah sedar ini memproses maklumat dan membuat keputusan sendiri tanpa disedari. Seperti anda berhujah ‘Cinta Itu Buta’ maka begitu juga perasaan benci yang datang tanpa diundang ini.
Ianya adalah keputusan minda bawah sedar yang memproses maklumat yang tidak kita sedari. Satu-satunya cara untuk mengelak keadaan ini ialah dengan menyedari apakah maklumat masuk yang tidak anda sedari itu?
Anda sudah sedia? Mari kita mulakan. Pertama, isteri perlukan perhatian. Anda menjadi buta kerana cintanya dahulu kerana dia begitu ‘caring’ dan ‘loving’. Namun sejak anak berderet ini semua itu sudah masuk longkang.
Anda pergi salon, menitik peluh berzumba, diet sampai nak pengsan tapi dia tidak perasan pun. Tidak ada lagi dating di panggung wayang sebab bila lapang sahaja dia sibuk keluar memancing dengan kawan. Bila dia begitu, anda senyum kelat dalam hati yang tidak reda.
Dulu anda pilih dia pada waktu dia tidak ada satu benda dan bukan siapa-siapa pun. Namun selepas berkahwin dia buat anda macam tidak tahu apa-apa. Semua yang anda buat, tidak kena di matanya. Apabila dengar dia selalu merungut begitu, secara tidak tidak sedar anda mula terfikir tidak adakah perkara betul yang anda lakukan?
Dari perspektif lain, anda akui suami lelaki kacak. Sejak dulu memang ramai perempuan mengejarnya. Ketika itu dia memang sedikit nakal dan selalu memuji perempuan lain di depan anda.
Namun sekarang dia masih begitu dan telinga anda seperti disiram timah cair apabila dia memuji perempuan lain di depan muka anda. Bukan sekali. Bukan dua kali. Entah kenapa semakin dia buat begitu, hati anda semakin meluat terhadapnya.
Senarai ini boleh menjadi sangat panjang. Sekarang bagaimana untuk mengelak perkara ini menjadi lebih kronik? Anda isteri yang baik dan tidak mahu terus dimainkan syaitan membenci suami sendiri.
Apa yang baik pada dirinya? Adakah dia sayang kepada anak-anak? Adakah dia kaki surau? Mungkin dia pandai masak atau apa sahaja yang baik pada dirinya. Cari dan lihatlah kebaikannya itu.
Kadangkala suami tidak tahu perangainya itu menyakiti hati isteri. Dia sangkakan anda boleh menerima sikapnya begitu. Belajarlah teknik bercakap-cakap dan kongsilah rasa gelisah anda itu dengan dia. Niat yang baik dan dilaksanakan dengan cara yang betul pasti membawa hasil yang dimahukan.
Perkahwinan adalah perjalanan hidup yang panjang. Ada berjuta lelaki yang disangka baik rupanya tidak begitu dan begtu juga yang sebaliknya. Sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pula hati manusia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Wanita dan emosi seolah tak dapat dipisahkan. Sebagai seorang wanita, pernahkah anda merasa geram dengan karenah rakan setugas yang juga wanita kerana dia begitu emosional? Atau anda sendiri pernah ditegur kerana anda susah dibawa berbincang kerana cepat emosi?
Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training & Consultation, juga kolumnis NOTA UNTUK ISTERI di dalam Majalah MINGGUAN WANITA. FB: http://Promind Training And Consultation
Jika anda sudah berkeluarga, pernahkah suami berkata ‘susah nak bincang dengan awak sebab suka ikut kata hati’ pada anda? Anak-anak mungkin cukup bersopan tetapi bayangkan derita mereka mempunyai ibu yang mudah sangat hilang daya fikir kerana mengikut perasaan?
Saya tidak kata yang lelaki tidak ada yang bersikap begini. Sudah tentu ada dan jumlahnya ramai. Tetapi oleh kerana saya menulis untuk ruangan Nota Untuk Isteri, maka saya akan berkongsi sebab kenapa ramai wanita menjadi begitu.
Terlalu banyak sebab kenapa seseorang itu mudah beremosi. Kebanyakan sebab itu pula berlaku di luar kawalan kita. Antara yang paling biasa ialah sebab kitaran hormon.
Hormon estrogen ini membuatkan emosi wanita turun naik sepanjang tempoh ‘cuti’ sembahyang itu. Saya tahu kesan ini tetapi tidak pernah merasainya. Maka saya tidak boleh cerita banyak. Maaf!
Kebanyakan wanita mempunyai sifat mahukan kesempurnaan dan menjadi yang terbaik. Mereka sudah belajar menjadi isteri pada ketika suami mereka dahulu mungkin masih bermain guli. Mereka belajar bersolek ketika rakan-rakan lelaki yang lain boleh keluar ke bandar dengan baju tidak bergosok.
Pengalaman atau kejadian yang pernah dilalui memang memberi kesan kepada emosi kita semua. Sesetengah wanita mudah beremosi apabila tersentuh perkara-perkara yang menjadi titik hitam dalam hidup mereka.
Sebagai contoh perceraian, penderaan, kecurangan, anak cacat dan sebagainya. Kadangkala emosi ini sangat keterlaluan sehingga mempengaruhi cara berfikir sentiasa bersangka buruk kepada orang lain.
Ada beberapa pekerjaan yang memang memerlukan sentuhan perasaan. Jururawat, kaunselor, guru dan sebagainya dikatakan bagus untuk wanita. Ya, memang bagus pada perspektif orang yang menerima khidmat. Bagaimana kepada jururawat, kaunselor atau guru itu sendiri?
Emosi kaunselor profesional contohnya perlu cukup untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam simpati yang tidak tamat. Seorang guru yang terlalu bersimpati dengan cabaran hidup muridnya mungkin terbawa-bawa rasa sedih sehingga ke rumah dan bilik tidur.
Kata orang, wanita mempunyai deria keenam terutama kepada ahli keluarga masing-masing. Memang betul seorang ibu atau isteri mempunyai deria itu. Namun pernahkah anda membuat komen tanpa fakta tetapi sebenarnya bergantung kepada deria itu? Sebagai contoh, satu kejadian buruk berlaku dan anda pun berkata, “Kan ibu sudah cakap dulu, tak percaya!!” dan leteran anda pun bermula.
Anda pernah lihat wajah anak anda apabila anda berkata begitu? Boleh anda lihat yang wajah mereka memberi isyarat ‘Mulalah tu…cakap ikut sedap hati sahaja!’ .
Lelaki juga beremosi bahkan lebih lagi sebenarnya berbanding wanita, tetapi persekitaran memberikan takrifan yang berbeza. Memang tidak adil tetapi begitulah layanan dunia ini.
Apabila perempuan maka dikatakan cerewet tetapi jika lelaki itu tandanya teliti. Bila lelaki dikatakan tegas, bila perempuan dikatakan tidak boleh dibawa berunding. Bila wanita dikatakan mudah menangis tetapi bila lelaki dikatakan prihatin.
Persekitaran dan masyarakat melabelkan wanita lebih beremosi namun kajian dalam Sains neuro sebenarnya menunjukkan keadaan sebaliknya. Lelaki lebih beremosi tetapi mereka lebih bijak menyembunyikan emosi mereka daripada memancut keluar.
Saya tahu nota kali ini membuatkan ramai pembaca khususnya wanita terasa hati. Mohon ampun dan maaf tetapi tolong jangan kecam saya. Saya berkongsi daripada perspektif neutral seorang lelaki. Oleh itu saya mohon jangan beremosi pada saya ya! Terima kasih.
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.