
Takut jadi beban anak-anak, ada ibu bapa pilih pendam sakit sendirian.
Apabila anak-anak sudah mempunyai keluarga dan kehidupan sendiri, ramai ibu bapa yang semakin berusia lebih selesa terus tinggal di rumah yang sudah didiami sejak bertahun-tahun.
Di situ mereka kenal jiran tetangga, tahu selok-belok kawasan dan masih boleh menjalani rutin harian seperti biasa.
Walaupun pasangan sudah meninggal dunia, ada yang tetap memilih untuk tinggal di rumah sendiri. Bukan tidak mahu tinggal bersama anak tetapi berpindah selepas berpuluh tahun menetap di satu tempat bukan perkara mudah. Tambahan pula, rumah diduduki menyimpan banyak kenangan bersama pasangan dan anak-anak yang pernah membesar di situ.
Selagi tubuh masih kuat, mereka mahu menguruskan kehidupan sendiri. Memasak, membeli barang dapur, ke klinik dan semuanya dilakukan tanpa perlu meminta bantuan anak.
Namun usia semakin bertambah. Kesihatan yang dahulunya baik boleh berubah dan perkara mudah juga mungkin mula terasa berat. Anehnya, pada waktu beginilah ada ibu bapa yang semakin susah mahu meminta pertolongan.
“Mak okey. Tak payah risau.”
Kalau sakit, katanya sakit biasa. Kalau anak mahu menghantar ke klinik, katanya boleh pergi sendiri. Kalau anak bercadang mahu pulang menjenguk, keluar pula ayat, “Tak payahlah balik, nanti habis cuti. Kamu kerja.”
Kita mungkin menganggap mereka memang baik-baik sahaja. Sedangkan di sebalik keinginan untuk terus berdikari, ada satu kebimbangan yang jarang disebut terang-terangan takut menyusahkan dan akhirnya menjadi beban kepada anak sendiri.
Takut Jadi Beban Keluarga
Rupa-rupanya perasaan ini bukan sesuatu yang asing.
Satu kajian melibatkan 518 responden berusia 40 tahun ke atas di Malaysia mendapati apabila ditanya perkara yang paling ditakuti sekiranya menghidap penyakit jangka panjang, 65.6 peratus memilih menjadi beban kepada keluarga.
Angka itu jauh lebih tinggi berbanding mereka yang paling bimbang simpanan akan habis (13.7 peratus) atau takut meninggal dunia (9.5 peratus).
Dalam kalangan responden berusia 60 tahun ke atas pula, 62.5 peratus memilih menjadi beban kepada keluarga sebagai kebimbangan utama.
Angka ini memberi gambaran tentang satu perkara yang mungkin jarang dibualkan antara ibu bapa dengan anak-anak. Apabila usia semakin meningkat, bukan sakit sahaja yang difikirkan. Bayangan terpaksa bergantung kepada orang lain juga boleh menjadi satu kebimbangan.

“Anak-Anak Pun Ada Tanggungan”
Mereka tahu anak bekerja, ada keluarga dan komitmen sendiri.
Sebab itu selagi boleh memandu ke klinik sendiri, mereka pergi. Selagi duit belanja masih cukup, mereka diam. Kalau sakit masih boleh ditahan, jawapannya tetap sama, “Tak apa, mak okey.”
Kajian lain yang menemu bual individu berusia lebih 65 tahun bersama pasangan atau anak dewasa mereka turut mendapati ada warga emas yang keberatan melibatkan anak dalam urusan kesihatan kerana tidak mahu mengganggu kehidupan mereka. Ada juga yang berasa bersalah apabila memerlukan bantuan atau tidak mahu membuat anak terlalu risau.
Niatnya mungkin baik. Mereka mahu anak meneruskan kehidupan tanpa perlu terlalu memikirkan keadaan mak atau ayah di rumah.
Tetapi apabila berkaitan kesihatan, terlalu lama berdiam diri bukan pilihan yang baik. Sakit yang dianggap kecil mungkin memerlukan pemeriksaan. Ubat yang tidak diambil dengan betul juga mungkin tidak diketahui anak jika tidak pernah ditanya.
Jangan Tunggu Mak Ayah Minta Tolong
Apabila mak ayah semakin berusia, jangan hanya bergantung kepada jawapan “okey”.
Perhatikan juga perubahan mereka. Ayah yang dahulu rajin keluar tiba-tiba lebih banyak duduk di rumah. Mak mula kerap menangguhkan temu janji di klinik. Ubat masih banyak walaupun sepatutnya sudah habis. Barang keperluan tertentu pula tidak dibeli kerana katanya mahu berjimat.
Bukan semua perubahan bermaksud ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi tidak salah untuk anak mengambil tahu.
Kadang-kadang soalan “Mak perlukan apa-apa?” terlalu mudah untuk dijawab dengan “tak perlu”.
Anda mungkin berminat dengan
Jadi cuba lebih spesifik.
“Esok saya bawa mak pergi klinik.”
“Ubat mak cukup lagi?”
“Barang dapur minggu ini biar saya belikan.”
Dalam masa yang sama, jangan kerana terlalu risau kita terus mengambil alih segala-galanya. Selagi mereka masih mampu, biarkan mak ayah membuat keputusan dan menguruskan perkara yang masih boleh dilakukan sendiri. Bantuan sepatutnya memudahkan kehidupan mereka, bukan membuatkan mereka terasa sudah tidak berdaya.

Dulu, merekalah orang pertama yang bertanya apabila kita sakit, tidak cukup duit atau menghadapi masalah. Apabila usia mereka semakin lanjut, mungkin giliran kita pula belajar melihat perkara yang tidak diceritakan.
Jadi lain kali apabila mak atau ayah berkata, “Tak apa, jangan susahkan diri. Mak okey,” jangan terlalu cepat percaya semuanya benar-benar okey.
Tanya sekali lagi.
Mungkin mereka memang tidak perlukan apa-apa. Tetapi mungkin juga ada sesuatu yang mereka perlukan, cuma tidak sampai hati untuk meminta.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

