Tembikai susu

Tembikai susu atau honeydrew berasal dari Afrika Tengah. Buah ini tergolong dalam spesies Cucumis melo. Terdapat sekurang-kurangnya 2 jenis utama tembikai susu iaitu berwarna kuning pucat dan kuning.

Buah tembikai susu berat dan banyak kandungan air. Buahnya berongga dan mempunyai banyak biji di dalamnya. Isinya berbau harum dan amat manis apabila betul-betul masak.

Secawan atau 177 gram buah tembikai susu dikatakan mengandungi 64 kalori, dan 6 peratus nilai pengambilan serat yang dicadangkan untuk setiap hari. Buah tembikai susu tinggi kandungan potassium, vitamin C, vitamin A, vitamin B kompleks, besi, kalsium dan zink.

Mengurangkan Berat Badan

Rendah lemak dan hampir bebas kalori telah menjadikan tembikai susu sebagai antara makanan pilihan dalam program pengurusan pemakanan. Tembikai susu turut mengandungi sejumlah serat yang baik untuk sistem pencernaan.

Serat mampu membantu metabolism bekerja dengan lebih cepat dan cekap. Ia juga membantu anda rasa lebih kenyang, mampu menahan selera makan dan mampu menyumbang terhadap merendahkan keseluruhan kolesterol.

Mencegah Hipertensi

Buah tembikai susu tinggi potassium ini amat disyorkan buat mereka yang mengalami hipertensi. Potassium dikatakan mampu membantu membuang garam berlebihan daripada tubuh dan melegakan tekanan dalam dinding saluran darah.

Dengan menambah buah-buahan ini dalam pemakanan seharian, ia bukan sahaja memastikan anda mengelak karbohidrat berat dan gula diproses tetapi ia juga mampu membantu jantung anda sihat.

Menguatkan Tulang Dan Gigi

Kalsium amat penting untuk menguatkan tulang dan gigi. Tubuh sentiasa menggunakan kalsium yang tersimpan dalam tulang dan menggantikannya dengan kalsium baru.

Jika kurang kalsium yang disimpan dari kalsium yang digunakan sudah pasti tulang akan menjadi lemah dan membawa kepada risiko kerapuhan tulang atau osteoporosis. Anda boleh mendapatkan sumber kalsium daripada buah tembikai susu.

Menghidratkan

Hampir 90 peratus air terkandung dalam buah tembikai susu. Ini bermakna buah ini sesuai dimakan untuk menghilangkan rasa dahaga dan menambah air yang hilang daripada tubuh.

Menyihat Dan Mencantikkan Kulit

Dikatakan buah tembikai susu mengandungi sumber terbaik vitamin C. Satu hidangan buah tembikai susu menyediakan hampir separuh nilai pengambilan vitamin C untuk tubuh. Vitamin C terkenal dengan sifatnya untuk menyokong sistem kekebalan tubuh tetapi ia juga vitamin utama kecantikan dan kesihatan kulit.

Merangsang Kesihatan Mata

Lutein dan zeaxanthin adalah dua jenis zat fito yang perlu untuk mengekalkan kesihatan mata seiring dengan usia yang meningkat.  Pengambilan kedua bahan ini dikatakan mampu mengurangkan risiko katarak, kebutaan berkaitan usia, dan kemerosotan makular berkaitan usia.

Rendah Gula Diproses

Pertubuhan Diabetes Amerika diaktakan mengkelaskan buah tembikai susu memiliki jumlah indeks glisemik sederhana, menjadikan buah ini rendah dalam gula diproses jika dibandingkan dengan buah-buahan lain.