
3000 ibu bapa & anak berselawat bersama, didik generasi cintai Rasulullah.
Hampir dua dekad membina generasi melalui pendidikan, Islam memberi satu pelajaran penting iaitu ilmu yang diterima anak-anak perlu berjalan seiring dengan pembentukan adab, akhlak dan pegangan yang menjadi bekal mereka apabila dewasa kelak.
Mesej itu antara yang diketengahkan menerusi Hatimurni Berselawat & Hari Apresiasi Pelajar 2026 yang menghimpunkan seramai 3,000 peserta terdiri daripada warga Hatimurni, ibu bapa, anak-anak serta masyarakat di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati baru-baru ini.
Berlangsung dengan pengisian selawat, qasidah, maulid dan tausiyah, program tersebut membawa keluarga berkumpul dalam suasana penuh ilmu dan kerohanian selain menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Bagi Pengasas Hatimurni Islamic Private Education Centre, Ustazah Siti Khadijah Mohni, melihat ribuan peserta hadir bersama keluarga dan anak-anak memberi makna tersendiri terhadap penganjuran kali ini.
“Alhamdulillah, melihat 3,000 orang berkumpul bersama keluarga dan anak-anak untuk berselawat kepada Rasulullah SAW adalah sesuatu yang sangat menyentuh hati kami.

“Dari awal lagi, hasrat Hatimurni bukan sekadar mahu menganjurkan sebuah program yang besar. Kami mahu keluarga yang hadir membawa pulang pengalaman ini dan mudah-mudahan selawat terus hidup di rumah masing-masing.
“Program mungkin berakhir hari ini tetapi kami berharap selawat dan kecintaan kepada Rasulullah SAW tidak berhenti di sini,” katanya.
Hatimurni Berselawat Semarak Cinta Rasulullah SAW
Dalam soal pendidikan, Hatimurni turut memberi perhatian kepada pembentukan jiwa, adab dan akhlak selain pencapaian akademik. Bagi Ustazah Siti Khadijah, anak-anak bukan sahaja perlu mempelajari agama tetapi memahami dan mengamalkannya dalam kehidupan.
“Kami tak nak anak-anak sekadar belajar agama. Kami nak mereka faham agama, cintakan Al-Quran, ada adab dan mampu praktikkan ilmu dalam kehidupan,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya sekolah dan ibu bapa bergerak bersama dalam mendidik anak-anak, terutama dalam menyuburkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

“Kalau selepas pulang daripada Hatimurni Berselawat, ada keluarga yang mula mengambil sedikit masa untuk duduk bersama anak-anak, berselawat dan menghidupkan suasana agama di rumah, bagi kami itulah antara kejayaan paling besar program ini.
“Kami mahu anak-anak bukan sahaja kenal Rasulullah SAW melalui buku atau pembelajaran di sekolah, tetapi membesar dengan rasa cinta kepada Baginda. Dan untuk membina generasi seperti ini, sekolah sahaja tidak cukup. Sekolah dan ibu ayah perlu bergerak bersama-sama,” katanya.
Selawat, Qasidah Dan Tausiyah
Program sebelah pagi dikendalikan oleh Daie Fuad dengan pembukaan oleh Pengarah Hatimurni, Ustaz Engku Ahmad Fadzil Engku Ali.
Majlis dirasmikan oleh Ustaz Mohd Abdul Salam Mat Kasim, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Turut bersama dalam program berkenaan ialah Prof. Dato’ Dr. Ustaz Mohd Izhar Ariff serta Kumpulan Qasidah Al Busyro yang memeriahkan pengisian pada hari tersebut.

Acara kemudian diteruskan pada sebelah petang dengan Hari Apresiasi Pelajar Hatimurni 2026 yang memberi ruang kepada pelajar mengambil bahagian dalam pertandingan Nasyid, Azan, Kalam Jamaie dan Hafazan. Kumpulan nasyid Faheem turut membuat penampilan pada acara berkenaan.
Bina Keberanian Dan Keyakinan Anak
Hari Apresiasi Pelajar bukan hanya bertujuan meraikan pencapaian akademik malah menjadi ruang membina keberanian, keyakinan diri, semangat berpasukan serta kebolehan pelajar berkomunikasi di hadapan khalayak.
Anda mungkin berminat dengan
Ia selari dengan pendekatan pendidikan yang diketengahkan dalam program tersebut iaitu perkembangan anak-anak turut merangkumi pembentukan sahsiah dan karakter selain pencapaian dalam pelajaran.
Majlis penutup disempurnakan oleh Ts. Haji Hasrolnizam Shaari, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Penganjuran tahun ini turut menjadi antara langkah menuju ulang tahun ke-20 Hatimurni. Bermula pada tahun 2007 dengan kelas Al-Quran, Jawi dan Bahasa Arab yang dijalankan dari rumah, pusat pendidikan Islam Hatimurni kini telah 19 tahun beroperasi dalam bidang pendidikan agama.
Di sebalik jumlah besar peserta yang hadir, Ustazah Siti Khadijah menyifatkan angka tersebut membawa pengertian yang lebih dekat dengan tujuan penganjuran program.
“3,000 yang hadir hari ini bukan sekadar angka. Bagi kami, ia adalah 3,000 hati yang hadir dengan satu tujuan iaitu untuk bersama-sama menghidupkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

“Terima kasih kepada semua yang memilih untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Semoga pertemuan ini menjadi asbab kebaikan dan keberkatan buat kita semua,” katanya mengakhiri majlis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

