Hati Takkan Ikhlas Melayan Suami Bila Emosi Tak Stabil, Jika Niat Untuk Pahala Sabar Itulah Ganjaran Isteri Dapat

Pernahkah suami menyatakan betapa dia amat mencintai anda? Apakah suami malu mengakui kegilaannya kepada anda di hadapan kawan-kawannya? Sesungguhnya agama kita menyuruh untuk membesarkan dan mengagungkan cinta kepada isteri.

Sehinggakan Rasulullah s.a.w tidak malu menyatakan betapa baginda mencintai Aisyah RA dengan pengakuan yang membanggakan. Rasulullah s.a.w ditanya oleh seorang sahabat: “Siapakah orang yang paling engkau cintai? Baginda bersabda: Aisyah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Cinta terunggul akan wujud apabila bersatu rasa kagum, hormat, setia, tergila-gila, taat, ikhlas yang diadun dalam rasa kasihan belas dan cinta berahi yang gelora. Sebagai isteri jangan hanya menunggu untuk dicintai tanpa berusaha menambat hati suami. Bagaimana cara agar anda dan pasangan saling mengilai satu sama lain?

1. Suburkan Cinta Dengan Ibadah

Mencintai pasangan adalah ibadah yang paling panjang, tiada ibadah lain selama dan sepanjang sebuah perkahwinan. Semua perbuatan kita dikira sebagai pahala dari yang amat ringan semanis senyuman hingga yang amat berat saat menjaga hati pasangan.

Segala ibadah itu berkumpul daripada sekecil-kecil perkataan yang baik, memuji dan memuliakan pasangan, menasihati dengan kasih sayang, sehinggalah sebesar-besar perjuangan memberi makan dan pakaian, mengurus rumah tangga, mendidik akhlak dan menanam roh agama.

Segalanya dikira ibadah walau mengelap debu-debu dalam rumah sehinggalah menahan sabar ketika dilayan dengan kebencian. Semua itu jika dilakukan secara ikhlas akan melahirkan rasa belas kasihan yang berpanjangan, jauh lebih bermakna dari berahinya cinta semusim.

Ikhtiar untuk mengekalkan cinta kepada suami merupakan ibadah, mengkaji dan menuntut ilmu tentangnya juga ibadah. Cinta yang tumbuh dalam rumah kita bergantung dengan seberapa besar cinta kita kepada Allah dan benci yang merebak dalam rumah tangga juga berkait rapat dengan dosa dan maksiat yang dilakukan.

IKLAN

Oleh itu perjuangan mencintai suami anggaplah jihad yang paling berat timbangan pahalanya di akhirat, supaya jika isteri letih dengan kerja seharian masih sudi bangun bila suami bangunkan untuk meminta khidmatnya.

Betapa berat melayan suami dalam keadaan emosi yang tidak stabil, jika isteri niatkannya untuk mendapat pahala sabar maka Allah limpahkan kepadanya pahala itu.

Suami pula terpaksa akur dengan kerenah isteri demi menjaga komunikasi sentiasa harmoni, begitu mudah pahala didapati dengan hanya diam bila isteri cuba buat provokasi. Hubungan sebegini terus dijalinkan bertahun lamanya demi mendapat pahala ibadah berumah tangga.

Sehinggalah mereka terbiasa dengan ujian cinta dan meyakini bahawa pasangan mereka itu adalah ladang pahala, ia akan kemarau jika rasa cinta keduanya kekeringan.

IKLAN

2. Semai Rasa Kagum, Hormat Dan Bertuah

Dengarkanlah suara-suara mereka yang mengagumi suami anda, menghormatinya di tempat kerja dan memujinya sebagai insan mulia dengan sederet jasa-jasa dalam keluarga dan masyarakat.

Jangan tumpukan perhatian anda pada aibnya, kelemahannya dan dosa-dosa yang anda lihat di dalam rumah. Tiada siapa yang sempurna, dia bukan malaikat dan apalah bezanya dengan diri anda yang juga kekurangan? Raikanlah rasa bertuah mendapat pasangan yang Allah pilihkan.

Bukankah suami adalah ‘tanda kebesaran Allah’ kepada diri anda yang lemah? Sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Rum ayat 31: “Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Jika timbul rasa marah cuba sejukkan dengan melihat wajah suami yang merupakan tanda kebesaran Allah yang mesti anda syukuri. Suami pula jangan kasari isteri jika dia tidak taat tapi hadirkan rasa bertuah kerana wajah isteri itu merupakan tanda kebesaran Allah agar suami mendapat pahala sabar dalam pergaulan rumah tangga.

IKLAN

3. Berkorban Demi Cinta

Mengapa Rasulullah s.a.w masih mengingati ummul mukminin Khadijah sebagai cinta pertamanya ketika berada dalam bilik Aisyah RA? Rasulullah s.a.w bersabda: “Dialah wanita yang pertama beriman kepadaku pada saat orang-orang di sekelilingku kafir. Dialah wanita pertama yang membenarkanku pada saat manusia ramai mendustaiku. Dialah satu-satunya wanita yang mengorbankan harta bendanya untukku pada saat manusia enggan menolongku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Cinta pertama yang tak mungkin dilupakan, membekas hingga ke lubuk hati yang paling dalam. Mungkinkah anda mampu menambat hati suami sebagaimana Ummul mukminin Khadijah merantai hati

Rasulullah s.a.w? Pengorbanan apa yang sudah kita lakukan untuk pasangan padahal mulut kita asyik mengaibkannya dan mengeluhkan kekurangannya?

Cinta hendaklah dikawal dengan keikhlasan, jika isteri mencinta suaminya kerana Allah dan membenci kerana Allah maka inilah segila-gila cinta yang diredai-Nya. Bermohonlah agar anda dan suami sentiasa dihidupkan dengan mata air cinta yang diceduk daripada kisah para hamba pencinta Allah SWT.

Penulis : Dato’ Dr Haji Juanda Jaya & Datin Shanti Achmad Ramly, Perunding Undang-undang Keluarga Islam

Kredit foto : Budiey.com

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI