Zakat merupakan kewajipan Rukun Islam ketiga. Zakat secara ringkasnya adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu.
Tujuan disyariatkan berzakat adalah mengagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada. Secara tidak langsung dapat membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”(Surah At-Taubah: 103)
Jenis-Jenis Harta Perlu Dibayar Zakat
Umumnya ramai mengetahui bahawa zakat fitrah dan zakat pendapatan merupakan kewajipan zakat yang perlu ditunaikan. Namun hakikatnya ramai yang terlepas pandang pada pemilikan jenis-jenis harta lain yang turut menjadi kewajipan untuk dibayar zakat. Antaranya seperti Zakat Wang Simpanan, Zakat KWSP, Zakat Perniagaan, Zakat Pelaburan, Zakat Emas & Perak.
Namun demikian, sebelum membuat taksiran perlu penuhi syarat-syarat wajib berzakat ini terlebih dahulu.
Ads
1. Islam
Zakat difardhukan ke atas pemilik harta yang beragama Islam sahaja. Orang kafir tidak difardhukan menunai zakat, bahkan zakat mereka tidak sah jika ditunaikan kerana zakat mempunyai ciri-ciri ibadat.
2.Pemilikan Sempurna
Milik sempurna bermaksud “Pemilikan seseorang terhadap harta secara sah sepanjang haul dan mempunyai kuasa secara bebas ( إخْتِيَارُ ) untuk mengurus ( حَقُّ التَصَرُّفِ ) dan memperolehi manfaat dari harta tersebut tanpa sekatan / kawalan undang-undang dan peraturan.”
3.Cukup Nisab
Nisab ialah kadar minimum pemilikan sesuatu harta yang mewajibkan zakat ke atas harta itu. Segala jenis harta yang mempunyai ‘illah yang sama dengan emas akan dicampurkan kesemuanya bagi tujuan kiraan zakat, seperti jumlah simpanan Tabung Haji, wang simpanan di bank-bank, jongkong/dinar emas dan lain-lain lagi digabungkan untuk mencukupkan nisab 20 mithqal.
4. Cukup Haul
Haul ialah tempoh setahun (12 bulan) qomariah pemilikan kekal harta zakat oleh seseorang.
Ads
Rebut Keberkatan Ramadan Tunaikan Zakat
Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, janganlah berlengah dalam kewajipan menunaikan zakat pada setiap harta yang kita miliki. Perlu ingat setiap harta yang kita kumpul, adanya bahagian orang lain malah akan dipertanggungjawabkan kelak. Jadi berhati-hatilah, jangan disebabkan harta yang dimiliki menjadi punca kesusahan kita di akhirat pula nanti.
Bukan itu sahaja, perlu perbetulkan fahaman dengan menganggap perlu kaya, baru boleh bayar zakat. Hakikatnya, cukup syarat dah wajib tunai zakat. Malah tak perlu bertangguh tunaikan zakat kerana orang yang suka menangguh daripada membayar zakat juga boleh disifatkan sebagai kedekut dan bakhil.
Firman Allah SWT: “Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang dikurniakan Allah kepada mereka daripada kemurahan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu kerjakan.”(Ali Imran: 180)
Ads
Bayar Zakat Secara Online
Dalam keadaan sekarang, musim pandemik COVID-19 mungkin ramai yang risau untuk pergi ke tempat umum mahupun membuat pembayaran secara tunai. Namun jangan bimbang kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS), telah memperkenalkan kaedah mudah bayar zakat tanpa tunai iaitu melalui platform bayaran (online) secara dalam talian dan e-wallet. Kini semuanya dihujung jari, lebih selamat mudah dan pantas!
Boleh taksir zakat sama ada di 23 cawangan LZS atau hendak taksir sendiri pun boleh di: www.zakatselangor.com.my
Menariknya nak semak dan cetak pembayaran zakat yang telah dibuat pun mudah melalui platform LZS di EZAKATONLINE ezo.zakatselangor.com.my
Jadi jangan lupa tunaikan tanggungjawab pada setiap jenis-jenis harta yang dimiliki dengan membayar kewajipan zakat. Ini kerana zakat dapat membersihkan dosa dan setiap harta yang dimiliki ada bahagian orang lain. Bahkan jangan sebab harta menjadi punca kesusahan kita di akhirat kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Ramadan Kareem. Alhamdulillah, sepenuh kesyukuran dipanjatkan kepada Yang Maha Esa kerana akhirnya kita ditemukan semula dengan bulan Ramadan, bulan penuh keberkatan dan lubuk pahala. Sayang kalau tak rebut peluang ini. Kalau pahala yang dikutip mampu dilihat dengan mata kasar, pasti kita semua berlumba-lumba untuk merebutnya.
Ikuti perkongsian daripada Ustaz Zainul Luqman bin Zainul Ikhwan, Pengasas ZL Training & Consultancy yang juga Imam 2, Masjid Universiti Putra Malaysia. FB: https://www.facebook.com/zainulluqman
Rebut Pahala Sepanjang Ramadan
Di sebalik kegembiraan menyambut kedatangan Ramadan yang mulia ini, terselit rasa duka. Ramai antara kita yang kini sedang merancang bagaimana untuk meraih pahala percuma dalam bulan yang penuh barakah ini tetapi runsing kerana Solat Sunat Tarawih dan tadarus Al-Quran tidak boleh dilaksanakan di masjid mahupun di surau kerana kita sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat virus Covid-19 yang melanda kini.
Walau bagaimana pun, jangan jadikan Perintah Kawalan Pergerakan ini sebagai alasan untuk kita tidak menjadi Pemburu Sang Al-Qadr yang hanya akan muncul pada Ramadan ini.
Jadi saya ingin kongsikan kepada anda semua beberapa tip agar kita menjadi Jutawan Pahala sepanjang Ramadan ini. Tidak boleh ke masjid dan surau, kita tetap boleh laksanakan di rumah masing-masing. Tak ada alasan ye!
Tip Bangun Malam (Qiamullail) Sepanjang Ramadan
Ramai yang selalu menyatakan hasrat untuk mendirikan Qiamullail (Bangun Malam) untuk melakukan ibadah sunat seperti solat sunat Tahajjud, solat Taubat dan lain-lain tapi sering gagal kerana ‘tak terjaga’. Mungkin anda boleh cuba lakukan 3 tip mudah ini.
1- Makan Dengan Kadar Yang Memadai
Pemakanan merupakan faktor utama yang membuatkan kita menjadi ‘liat’ untuk bangun tidur untuk melaksanakan Qiamullail. Jadi, setelah selesai sepanjang hari berpuasa, jangan pula kita berbuka dengan kadar yang terlalu banyak untuk cover makanan tengah hari dan minum petang kita.
2- Tidur Awal Pada Waktu Malam
Pastikan anda tidur awal selepas menyelesaikan solat fardu Isyak dan solat sunat tarawih. Tidak menjadi masalah sekiranya anda ingin tidur selepas solat Isyak dan melaksanakan solat sunat Tarawih pada 1/3 akhir malam. Ini kerana, waktu solat tarawih bermula daripada selepas solat Isyak sehingga terbit fajar.
3- Berwuduk Sebelum Tidur
Amalkan berwuduk sebelum tidur kerana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan al-Bara’ bin ‘Azib R.Anhuma, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kamu wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” – (Riwayat al-Bukhari – 247 dan Muslim – 2710)
Solat Sunat Tarawih Di Rumah? Tak Ada Masalah!
Anda tidak perlu runsing dengan bacaan dalam solat sunat tarawih kerana ianya sama seperti solat yang lain.
1- Baca surah lazim yang mudah diingati pada rakaat 1, 3, 5 & 7.
2- Baca surah al-ikhlas pada rakaat 2, 4, 6 & 8.
3- Selitkan tazkirah ringkas setelah selesai rakaat 4.
Tip Khatam Al-Quran
Secara umumnya, Ramadan mempunyai 30 hari dan terdapat 30 Juzuk di dalam al-Quran. Ini bermakna anda perlu membaca 1 Juzuk setiap hari tanpa gagal. Bagaimana pula untuk menyelesaikan 1 Juzuk secara berperingkat dalam sehari? Mudah saja. 1 Juzuk secara umumnya terdapat 20 muka surat. Jadi, anda perlu membaca empat muka surat sahaja setiap kali anda selesai melaksanakan solat fardu. Insya-Allah, anda akan khatam al-Quran di penghujung Ramadan nanti.
Ada kalanya kita tidak perasan yang kita mengeluh bila sedang diuji, mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan mengeluh hingga kita tidak pasti adakah baru sahaja mengeluh.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
Mengeluh Dan Keluhan
Saya suka membezakan antara mengeluh dan keluhan. Pada saya, mengeluh adalah kata kerja dan keluhan adalah kata nama. Biar pun datang dari akar yang sama namun perbezaan yang nampak kecil ini memberi impak yang berlainan dalam hidup.
Keluhan melambangkan ketidakpuasan hati dan perlu diluahkan agar orang lain mengerti apa yang kita rasakan. Meskipun begitu, ia perlu diluahkan dalam emosi yang stabil dan bukan dengan cara yang boleh membawa kerosakan silaturahim.
Manakala mengeluh pada saya adalah satu perasaan yang bercampur baur antara tidak puas hati, kecewa, letih, bosan, marah dan sebagainya yang dizahirkan bukan melalui kata-kata tetapi hanyalah dengan satu hembusan nafas.
Kecewa Punca Utama
Biar pun banyak perasaan yang ada ketika seseorang itu mengeluh, namun yang menjadi pendorong utamanya adalah perasaan kecewaMengeluh terdiri daripada dua bahagian.
Bahagian pertama adalah menarik nafas yang panjang dan bahagian kedua adalah melepaskan nafas yang panjang. Bahkan ada juga yang menghembuskan nafas berserta dengan bunyi kecewa.
Jika dipendekkan cerita, pada saya mengeluh hanyalah permainan nafas yang dapat melegakan seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai perasaan negatif. Namun kelegaan itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja.
Berdoa Pada Waktu Mustajab
Pada saya mengeluh itu lebih besar impaknya daripada keluhan dari sudut perjalanan hidup. Orang yang meluahkan keluhan akan mencari jalan agar dapat keluar daripada permasalahan yang sedang membelenggunya. Tetapi mengeluh pada saya adalah satu bentuk doa. Ia bukan doa biasa-biasa tetapi doa yang tajam.
Lebih tajam lagi jika mengeluh itu dilakukan pada waktu-waktu makbul doa. Lihat sahajalah waktu petang, berapa ramai yang mengeluh kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi akhirnya tetap sahaja terperangkap.
Doa Yang Sempurna
Cuba kita renung berapa banyak perasaan yang ada ketika kita mengeluh menjadi satu kenyataan. Ini jelas menunjukkan yang mengeluh itu adalah satu bentuk doa.
Ianya lebih tajam dan mustajab kerana sewaktu kita mengeluh, kita akan satukan perasaan, gambaran dan suara-suara dalaman menjadi satu. Setelah itu semuanya disebatikan dan dialirkan dengan satu nafas. Ini akan mencipta satu bentuk doa yang sempurna.
Mengeluh adalah proses pemusatan segalanya pada satu nafas. Justeru, nafas yang kita keluarkan ketika mengeluh itu akan memberi tenaga kepada setiap perasaan negatif yang berserta dengannya untuk terus kuat dan kukuh dalam minda kita hingga ianya dapat menjadi satu kenyataan.
Ganti Keluhan Dengan Elemen Positif
Bagi mereka yang mengerti atau mendalami tenaga dalam yang betul, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluh. Mereka menggantikan elemen-elemen negatif dengan yang positif baru dipusatkan seluruhnya kepada satu nafas. Mengeluh hanya membawa kerugian besar dalam perjalanan hidup seharian.
Persoalannya bagaimana caranya untuk berhenti mengeluh. Langkah awal bukanlah berhenti mengeluh tetapi mengurangkannya dengan latihan-latihan pernafasan. Jika dahulu harganya amat mahal tetapi hari ini semuanya ada di YouTube. Pelajarilah hal itu dahulu baru melangkah kepada yang lain.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan mudah untuk menyebarkan dakwah dan ajaran Islam. Jika mampu mengislamkan walaupun seorang pun dah besar ‘ganjarannya’ di sisi Allah, apatah lagi jika berjaya mengislamkan satu kampung! Alhamdulillah atas usaha Ustaz Ebit Lew, Pendakwah dermawan yang cukup dikenali atas kerja-kerja sukarelawan ini berjaya mengislamkan seramai 157 penduduk kampung.
Berikut seperti yang dikongsikan oleh Pendakwah hebat Ustaz Ebit Lew ini;
Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini. Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam. Dari suku Bajau Laut atau gipsi laut. Pulau Tatagan Semporna. Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut.
Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat. Bajau laut kumpulan manusia tanpa negara. Tengok anak kecil terus menangis. Berebut-rebut datang dekat saya. Mereka beri nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun.
Tiba-tiba ramai tanya saya siapa tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama. Mereka jawab tiada. Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi.
Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah.
Saya akan terus bantu makanan untuk seluruh kampung atas laut ini. Saya tengah urus untuk bina sekolah. Tengah cari guru ustaz untuk mengajar mereka.Ya Allah bantulah mudahkanlah diriku untuk pastikan anak-anak ini menjadi manusia berguna.
MW: Alhamdulillah, tahniah ustaz atas usaha murni ini berjaya mengislamkan seluruh penduduk kampung dan menyebarkan lagi ajaran Islam. Semoga segalanya dipermudahkan dan lebih ramai lagi yang memeluk Islam atas usaha ustaz.
Imej berhijab Ummi Nazeera hati-hati pegang watak penyondol. Berimej berhijab dan sentiasa berhati-hati dalam membawakan watak yang mencabar untuk menjaga batas professional itulah pegangan...