Perkahwinan adalah satu komitmen untuk melengkapkan kehidupan sebagai manusia. Tidak ada keraguan bahawa hidup lelaki mahukan perempuan dan hidup perempuan perlukan lelaki. Namun begitu dalam kepelikan dunia akhir zaman ini semakin ramai isteri yang terkejut apabila suaminya seorang yang luar biasa fitrah seksualnya.

Maksud luar fitrah ini ada dua. Pertama lelaki yang langsung tidak menyukai perempuan. Kedua, lelaki yang menyukai perempuan tetapi jika ada peluang juga menyukai lelaki.

Tak Minat
Nota ini tidak bersifat menghukum sesiapa tetapi lelaki yang langsung tidak menyukai perempuan biasanya tidak akan menyusahkan mana-mana wanita. Mereka ini biasanya sudah menerima takdir untuk tidak berkahwin. Punca kenapa mereka tidak menyukai perempuan ini ada pelbagai tetapi tidak dapat dibincangkan dalam ruang yang terhad ini.

Masalah yang pasti meributkan hati isteri ialah apabila mendapat tahu yang suami mereka ialah seorang yang mempunyai kecenderungan biseksual. Apa itu biseksual? Izinkan saya sebut di sini dalam bahasa mudahnya biseksual ialah seorang lelaki yang ada kecenderungan seksual kepada lelaki dan kepada perempuan. Lelaki biseksual tidak ada masalah melakukan menjalani kehidupan normal dengan isteri.

Hati-Hati, Jangan Rasa Selamat Kalau Suami TAK PANDANG Perempuan Lain…
Boleh Dapat Zuriat
Mereka boleh memiliki anak kandung sendiri dan melakukan kerja-kerja seperti lelaki lain. Walaupun kelihatan normal tetapi ada beberapa peratus kecenderungan seksual mereka juga tertarik kepada lelaki. Sekiranya iman nipis dan terdedah kepada kesempatan mereka boleh menunjukkan spektrum seorang lelaki gay.

Soalannya, bagaimana ciri-ciri yang ada pada seorang suami biseksual? Inilah yang saya mahu kongsikan dalam kolumn Nota Untuk Isteri kali ini.

Di Kamar Tidur
Mari kita mulakan dengan ciri yang pertama. Anda isteri dan dia suami. Di dalam kamar tidur anda tahu apa yang sepatutnya berlaku antara suami dan isteri seperti yang dibenarkan dalam Islam.

Namun jika pernah berlaku sesuatu yang pelik, luar tabii dan tidak sepatutnya berlaku (walaupun sekali) maka bersedialah. Senarai semak anda telah ada tanda pertama.

Anda baru mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang anda cintai. Kepada pasangan yang baru berkahwin, menikmati syurga dunia yang selama ini diharamkan adalah peluang tidak akan disia-siakan. Sebab itulah orang kata selepas berkahwin, ada tempoh berbulan madu.

Namun apakah maknanya jika perkara itu tidak berlaku seperti yang sepatutnya. Pengalaman rakan-rakan baik anda menyatakan hubungan itu berlaku empat hingga lima kali sehari. Pengalaman anda dalam tempoh berbulan madu ini tidak pula begitu. Puas anda pujuk, puas anda menggoda tetapi ianya hanya berlaku dua atau tiga hari sekali. Mungkin betul dia ada masalah kesihatan dan itu termasuklah kesihatan emosi seksual.

Tak Tengok Wanita Lain
Tanda seterusnya agak lucu seperti topik yang pernah disembangkan di sebuah stesen radio. Adakah isteri suka suami memandang wanita lain? Daripada 10 isteri yang berkongsi pendapat, 9 menyatakan TIDAK SUKA suaminya begitu. Bagaimana jika suami tidak pernah memuji kecantikan wanita selain anda tetapi pernah beberapa kali terlepas cakap memuji rupa paras kacak lelaki yang lain?

Tak Peduli Langsung
Semua orang tahu hukum lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya. Dalam masyarakat kita tidak ada ruang sedikit pun untuk kita menyerap hak golongan yang bernafsu songsang. Kepada lelaki normal, mereka tidak peduli pun tentang idea untuk memberi hak kepada golongan ini. Namun tindak balas suami anda berbeza apabila anda bercakap tentang hal golongan sebegini. Sekiranya dia begitu keras dan bertindak seperti peguam bela kepada golongan ini di depan anda maka sampai masa anda perlu duduk berbincang secara serius dengan dia.

Foto Lelaki Lain
Ramai isteri teringin memeriksa telefon bimbit suami. Takut sangat jika terjumpa gambar perempuan lain dalam telefon itu. Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga. Jika takut terjumpa gambar perempuan lain kenapa sibuk-sibuk mahu periksa? Bagaimana jika bukan gambar wanita yang ditemui tetapi gambar lelaki berbadan tegap, berpeluh dan tidak berbaju yang banyak di dalam telefon itu? Mana lebih azab? Jumpa gambar perempuan atau jumpa gambar lelaki dalam telefon dia?

** Artikel ini telah ditulis oleh Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind training And Consultation, juga penulis tetap ruangan Nota Untuk Isteri di dalam majalah Mingguan Wanita.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI