Kerap kali kita dengar, isteri terasa dan kecil hati sebab pasangan yang tidak pandai mengambil hati dan buat endah tak endah. Akhirnya isteri merajuk tanpa dipujuk. Namun, tahu tak para isteri, suami pun boleh tawar hati kalau kita tidak berhati-hati dalam berkata atau menegur pasangan.
Mungkin isteri anggap itu sekadar gurauan dan tidak memberi maksud apa-apa. Tapi, sebenarnya kita tidak sedar, kata-kata itulah yang membuatkan suami rasa terhina, walaupun kita rasa itu tidak memberi apa-apa maksud.
Jadi, buat isteri di luar sana, jangan fikir hanya suami yang perlu menjaga hati kita, sedangkan kita pun perlu juga. Bila suami tawar hati, mulalah rumah tangga boleh jadi dingin dan lama-kelamaan boleh membawa kepada kehancuran. Hati-hati.
Perkongsian daripada Iman Muda Hassan ini boleh dijadikan panduan dan rujukan buat isteri di luar sana tentang kata-kata yang boleh menyebabkan suami sakit hati. Kita tak tahu kan!
6 Kalimat Ini Sangat Hina Bagi Suami dan Menjadikan Suami Sakit Dan Tawar Hati
Bila bersatunya kehidupan antara suami isteri, yang nak dicapainya adalah Sakinah, Mawaddah dan Rahmah (SMR).
Ads
Antara perkara yang boleh membantu suami isteri mencapai SMR adalah dengan menjaga lisan dan tutur bicara. Orang tua-tua dulu kata, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.
Sungguh, cukup dengan satu perkataan sahaja boleh menyebabkan robohnya rumah tangga yang di dirikan puluhan tahun.
Begitulah tajamnya lidah manusia, lebih tajam dari pisau sembelih lembu!
Ads
Ada beberapa perkataan isteri yang sangat tajam yang boleh menawarkan hati suami:
1. “Apa yang mak saya cakap pasal abang tu memang betul” dan seumpama dengannya. Kata-kata ini difahami suami dengan maksud “mak (mentua) anggap aku suami yang tak berguna”. Isteri perlu tahu cara fikir orang lelaki dan wanita memang tak sama.
2. “Kenapa abang tak belikan sayang emas macam jiran kita tu?” atau seumpama dengannya. Kata-kata ini pantang bagi suami, seolah-oleh memperlekehkan dan merendahkan martabat suami.
3. “Kalau abang sayang saya, maka abang kena….”. Suami memahami kata-kata ini sebagai satu ugutan daripada isteri untuk mendapatkan sesuatu. Kalau selalu diulang-ulang kata-kata macam ini akan menjadikan suami tawar hati dengan isteri.
4. “Abang ni sama je macam mak & ayah abang, cerewet tak tentu pasal”. Kata-kata ni sangat tajam ye isteri sekalian, suami memang menyirap bila sebut apatah lagi menyamakan dengan mak ayah kandungnya.
5. “Abang ada perempuan lain ya?” Jangan ungkap kata-kata ni selagi tiada bukti yang kukuh. Ingat, bila dah tersebut perkataan ni sedangkan suami tidak seperti apa yang kita sangka, itu tanda “Pecah menanti sebab, retak menanti belah”. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
6. “Boyfriend I dulu lagi baik dari You!” Jangan sesekali meng’compare’kan suami kita dengan ex yang dulu-dulu. Pantang nenek moyang 7 keturunan orang laki dibanding-bandingkan dengan lelaki lain.
Jadi, para isteri hati-hatilah menggunakan lisan saat berbicara dengan suami. Memang kita maklum wanita diciptakan dengan kelebihan petah dan banyak bicaranya dari lelaki. Tapi jangan sampai bicara isteri merobohkan rumah tangga yang telah dibina saban tahun.
MW: Kadang-kadang isteri cakap sekadar gurauan dan nak bermanja tapi mungkin ada sesetengah suami boleh terasa dengan kata-kata ini. Hati-hati.
Nafkah pada isteri dan keluarga adalah satu kewajipan buat suami. Tak kiralah jika isteri mempunyai pendapatan dan ada duit sendiri, sedikit atau banyak tetap kena bagi mengikut kemampuan suami. Barulah rezeki yang diperolehi diberkati, bertambah melimpah ruah dan dilipatgandakan.
Bertuah bagi seorang wanita memilki suami yang faham akan tanggungjawab ini. Tetap beri nafkah pada isteri walaupun isteri bukan jenis yang suka meminta-minta.
Pelakon dan pengacara bersama Mingguan Wanita talkshow, Norman Hakim,43 ada kongsikan perkara berkaitan pemberian nafkah ini di Instagramnya.Selain mak, ayah dan isteri sendiri,suami kepada Memey Suhaiza,31 ini juga tidak lupa memberikan nafkah kepada bekas isterinya, Abby Abadi,41.
Menurut Norman, nilai nafkah tersebut tidak seberapa berbanding pengorbanan buat isteri dalam menguruskan rumahtangga dan anak-anak.Malah turut berharap agar dapat terus istiqomah dalam menunaikan kewajipan ini.
Keluarga besar Norman Hakim
Berikut perkongsian daripada Norman Hakim;
“Sekadar berkongsi tips, selain daripada ayah mak, nafkah untuk isteri (& mantan isteri) jangan dilupa walaupun isteri jenis tak meminta-minta atau ada bisnes, bekerja & ada pendapatan sendiri.Duit dia, duit dia..duit kita, duit dia jugak.
“Berapa amaun yang diberi takkan ternilai dengan pengorbanan isteri kita mengurus & menjaga terutama untuk anak-anak kita, betul tak? Yang penting doa tu..doa-doa yang ‘deep’ dari lubuk hati yang ikhlas yang sangat-sangat didambakan olehku untuk terus kuat berusaha mencari rezeki yang halal & barakah untuk keluarga.”
“Semoga diri ini terus istiqomah sehingga ke akhir hayat. Aamiin…Aamiin…Aamiin Ya Rabb Ya Allah.”
MW: Alhamdulillah. Sewajarnya boleh dijadikan contoh terbaik, buat para suami agar memberikan nafkah buat isteri walaupun isteri ada duit sendiri dan bukan jenis yang meminta-minta.Malah hubungan baik dengan bekas isteri juga wajar dipuji dan tidak abaikan nafkah buat anak-anak.
Budaya kehidupan luar biasa mewah sudah menjadi satu budaya baru dalam dunia keibubapaan dewasa ini. Di luar negara, budaya memakaikan pakaian berjenama mewah sudah menjadi kebiasaan sebaik bayi masih lagi dalam kandungan. Bukan saja kelompok selebriti mahupun VVIP yang diketahui sememangnya mewah, lazimnya majlis sambutan meraikan bakal ibu contohnya menjadi medium mempamerkan hadiah mewah buat bayi mahupun si ibu.
Terbiasa mewah dari kecil, menjadikan anak-anak ini sudah terbiasa dengan situasi wang sentiasa ada dan apa yang diingini pasti ada dalam sekelip mata. Budaya ini mula menular di Malaysia, dengan adanya pengaruh selebriti, popularity personality media social menjadikan ia satu scenario baru yang menimbulkan situasi “sindrom rich kids” sebagai satu gaya hidup baru.
Sejauh mana konsep hidup sebegini memberi kesan dan membentuk sahsiah anak-anak ini sebaik dewasa nanti. Adakah mereka mampu berdikari dan punya empati apabila berada di dalam kelompok masyarakat yang dating dari pelbagai latar belakang. Ikuti kupasan selanjutnya Dr Rosmawati Mohamad Rasit; Pengerusi Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhubung isu ini.
Kitaran kehidupan berulang
Isu mengenai anak-anak dan kemewahan ini sebenarnya antara isu yang sering dibincangkan khususnya dalam pendidikan anak-anak. Malah, kita didedahkan dengan kisah filem dan drama tentang anak-anak daripada golongan bangsawan yang menunjukkan perangai dan akhlak yang buruk. Filem-filem Melayu Klasik memperlihatkan watak antagonis adalah dari golongan anak bangsawan yang jahat dan berkuasa. Kisah-kisah drama Melayu juga masih klise mengenai perkara ini apabila anak-anak hartawan diberi watak sebagai playboy atau sebagai anak yang bermasalah.
Sindrom rich kids ini pada pendapat saya, sebagai kitaran kehidupan yang sering berulang-ulang. Cuma mungkin sekarang impak media sosial jauh lebih besar dan mudah tular dalam kalangan masyarakat untuk dibincangkan secara lebih terbuka. Kita kerap dipaparkan dengan cerita golongan anak hartawan yang gemar bergaya mewah, bercuti di kota-kota elit seperti kota London dan Dubai serta majlis sambutan hari jadi yang luar biasa mewah.
Anak-anak diberi kemewahan material yang berlebihan serta gaya hidup orang kaya yang mewah. Ibu bapa terlalu memanjakan anak dengan memberikan segala-galanya sehingga mereka tidak dapat membezakan di antara keperluan dan juga kehendak. Isunya juga menjadi budaya dan membentuk gaya hidup bermewah-mewahan apabila anak dihadiahkan hadiah yang mewah dan mahal seperti kereta Ferrari, beg tangan Dior dan sebagainya.
Kemewahan bukan asbab untuk meninggi diri
Ibu bapa yang berbelanja mewah untuk anak-anak sehingga mereka tidak pernah dididik dengan kehidupan yang susah, ini adalah salah bagi saya. Walaupun ibu bapa memang dari golongan yang mampu dan berharta sekali pun namun, itu tidak menjadi asbab untuk anak-anak tidak diajar tentang kepentingan duit dan saling menghormati orang lain.
Dikhuatiri jika budaya sebegini berterusan, kita mendidik anak-anak kita sebagai anak yang tidak tahu menghargai kehidupan orang lain yang lebih susah daripada mereka. Bukan salah mereka akhirnya tiada empati dalam diri kerana mungkin mereka tidak tahu bahawa ada sebenarnya golongan manusia yang susah dan memerlukan kerana mereka tidak diajar untuk memandang ke bawah.
Sisi buruk disebalik layanan ‘super’ mewah
Isu ini seharusnya diberi perhatian yang penting terutama peranan ibu bapa sebagai faktor utama kenapa anak-anak dididik dengan gaya hidup sebegini. Hakikat ini sememangnya amat pahit untuk ditelan dan kita bukan niat untuk menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mendidik anak-anak dengan kemewahan yang berlebihan ini memberi kesan yang besar kepada pembawaan karakter anak-anak apabila mereka meningkat dewasa kelak.
Bayangkan jika anak-anak dididik dengan terlebih manja dan demand untuk mendapat layanan yang super istimewa, apabila mereka berada dalam persekitaran sekolah, mereka tidak boleh susah dan menolak peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Sedangkan kita tahu dalam institusi pendidikan di negara kita tidak seharusnya wujud pilih kasih dan layanan double standard di antara pelajar yang berada dengan pelajar yang miskin. Begitu juga dalam kumpulan masyarakat, akan wujud jurang sosial di antara kelas tinggi dan kelas bawahan.
Generasi anak-anak ini seringkali beranggapan mereka seharusnya dapat apa yang mereka mahupun tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Malah sikap dan pandangan mereka juga bias dan wujud kurang hormat. Mereka terlebih manja dan terlalu bergantung kepada ibu bapa yang kaya serta mahu dilayan sebagai seorang raja.
Kita akan nampak kesan jangka panjang hasil didikan sebegini, generasi yang akan lahir adalah generasi yang tidak boleh membuat keputusan sendiri dan tidak akan wujud wibawa kepimpinan. Jika tidak ditangani dengan baik, mereka akan membesar menjadi generasi yang nakal dan kurang adab.
Anak-anak ini sangat rapuh jiwa dan tidak tahu membuat keputusan yang rasional dengan akal fikir, agama dan iman. Bayangkan jika mereka ada masalah, tindakan bagaimana yang mereka akan ambil. Kerana apa? Sebab dari kecil tidak dididik dan diajar dengan betul bagaimana untuk survive dalam dunia hari ini yang sangat mencabar.
Cabaran generasi milenia
Ya, ini cabaran kita dalam zaman teknologi perkembangan gajet dan media baharu. Masing-masing sudah biasa berkongsi hidup di media sosial apatah lagi perkongsian kebahagian dan kemewahan yang biasanya akan digemari oleh follower. Sekarang sangat popular dengan instafamous. Semua berusaha untuk menjadi popular dan mendapat followers yang ramai. Bahkan terdapat dalam kalangan anak-anak selebriti yang masih kecil namun mempunyai follower yang ramai di akaun Instagram.
Budaya ini semakin menular dalam insitusi kekeluargaan di Malaysia rentetan daripada pengaruh media sosial. Apa sahaja perlu dilaporkan. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberikan laporan yang terbaik kepada netizen. Bahkan sindrom rich kids ini juga memperlihatkan budaya tidak malu apabila soal-soal peribadi turut ditayangkan kepada khalayak netizen. Sudah tidak ada privasi lagi dalam hidup mereka.
Hal yang berkaitan dengan peribadi setiap detik dikongsi bersama. Kisah percutian, mereka makan apa, mereka beli apa bahkan perkara yang memalukan seperti gambar seluar dalam turut dikongsi bersama. Anehnya perkara sebegini mendapat sokongan dan like yang ramai daripada netizen seolah-olah ia suatu perkara yang biasa. Padahal perkara sebegitu sangat memalukan. Akibat daripada pengaruh media sosial yang digunakan tanpa had dan peraturan, masyarakat kita hari ini berada pada tahap yang sudah tenat.
Begitu juga kemewahan anak-anak elit ini yang dipertontonkan kepada semua. Hati-hati sebenarnya. Kadang-kadang memang ia mengundang bahaya tanpa kita duga dengan apa yang kita kongsikan. Kita bimbang akan munculnya penyakit ‘ain daripada apa yang kita kongsikan segalanya di media sosial secara berlebihan dan lebih bersifat peribadi sebagai contohnya memuji kelebihan anak sendiri.
Ibu bapa moden yang gemar berkongsi cerita peribadi di media sosial bahkan meletakkan gambar anak secara berlebihan dibimbangi akan terkena penyakit ‘ain yang menimbulkan pandangan hasad dan takjub orang lain. Panahan penyakit ‘ain ini menyebabkan mudarat dan penyakit terutama kepada anak-anak kecil yang baharu lahir kerana mereka masih lemah serta belum dapat melindungi diri sendiri daripada pengaruh jahat dalam persekitaran mereka.
Seimbang duniawi & ukhrawi
Tidak salah menggunakan media sosial sebenarnya. Berkongsilah mesej kebaikan dan usaha dakwah. Apa yang telah kita buat untuk agama dan masyarakat. Kurangkan perkongsian peribadi dan perkara yang tidak berfaedah.
Namun pada masa yang sama kita seharusnya juga mengimpikan anak-anak kita cemerlang adab dan akhlaknya. Anak-anak yang baik adalah yang boleh menjadi asbab untuk kita masuk ke syurga Allah kelak. Ibu bapa seharusnya memberi didikan yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi. Paling utama bagi ibu bapa Muslim ialah seharusnya sentiasa memerhatikan solat anak-anak. Didikan untuk memahami tarbiah solat sangat penting kepada anak-anak sejak kecil kerana solat yang difahami dengan baik akan menyempurnakan akhlak dan keperibadian muslim.
Oleh itu, Islam menekankan kesederhanaan dalam gaya hidup sebagai muslim. Budaya memberikan kemewahan yang berlebihan kepada anak tanpa kawalan akan merosakkan mereka. Walaupun Allah rezekikan harta kekayaan dan status pangkat elit di dunia namun, itu semua pinjaman sementara yang pada bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik.
Kesimpulannya kita semua perlu kembali kepada agama fitrah. Apa kita nak jawab pada Allah nanti tentang amanah anak yang dikurniakan kepada kita jika kita mengabaikan didikan agama anak-anak. InsyaAllah jika kita semua memahami untuk apa kita hidup dan semua orang akan mati, kita tidak akan mampu melakukan perkara-perkara yang menyebabkan Allah murka dan menghilangkan peluang kita untuk bertemu dengan Allah dan Rasulullah SAW di syurga kelak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Naluri seorang mak-mak memang sentiasa risau akan diri anak-anak mereka, tak kira berapa usia anak-anak. Malah perasaan ingin sentiasa melindungi anak-anak itu sentiasa ada di hati.
Sedar atau tidak, sikap yang ‘over protective’ ini boleh mengganggu perkembangan anak. Bahkan kadangkala sikap yang terlebih risau ini boleh buat anak-anak rimas.
Apabila semakin membesar, anak-anak perlu diajar untuk berdikari. Di rumah, mereka perlu ajar untuk melakukan kerja rumah. Pada usia lima atau enam tahun, sudah boleh ajar untuk kerja-kerja ringan seperti bantu buang sampah, sapu sampah, kemas tempat tidur dan sebagainya. Walau pun mungkin pekerjaan itu perlu anda lakukan sekali lagi kerana kurang sempurna, tapi tak mengapa. Itu proses untuk mereka belajar.
Belajar buat keputusan
Jika ke kedai makan, ajar dan galakkan mereka untuk berani memesan apa yang mereka hendak makan/minum. Kalau boleh, ketika membuat pesanan, biar mereka sendiri yang beritahu. Perkara kecil ini boleh jadi sesuatu yang besar buat diri mereka, agar lebih berani. Tahu apa yang mereka nak dan belajar membuat keputusan.
Ada mak-mak yang seolah-olah tidak percaya akan kebolehan anak-anak mereka. Di rumah tak dibenarkan bantu buat apa kerja sekali pun. Kalau nak minta bawa pinggan kotor ke singki takut pecah. Kalau minta buang sampah, kasihan sebab berat. Hai..ini yang payah. Kadangkala si anak tu mampu lakukannya. Tapi bila mak sendiri tak yakin dengan mereka, camno kan?
Begitu juga bab menguruskan hal persekolahan mereka. Masih ada mak yang masih tolong salin jadual sekolah anak walau pun anak dah masuk darjah lima! Salin jadual sekolah sendiri adalah satu bentuk disiplin, tanggungjawab dan berdikari. Anak perlu salin sendiri jadual sekolah setiap hari dan mesti pastikan tiada buku yang tertinggal. Kalau mak yang tolong, apa nak jadi dengan anak? Itu belum bab cuci kasut dan gosok baju sekolah. Ada yang hingga dah darjah enam tapi mak juga yang basuhkan kasut sekolah. Saya sejak anak usia lapan tahun saya dah suruh dia cuci sendiri kasut sekolah. Tak kira bersih atau tak, dia yang nak pakai. Saya nak ajar supaya dia tahu erti tanggungjawab dan berdikari.
‘Kurung’ Anak
Ada mak yang asyik ‘kurung’ anak di dalam rumah. Nak main depan rumah pun tak dibenarkan, takut kena culik katanta. Lantas diberikan saja gajet untuk anak lepaskan bosan. Agak-agak bagus ke untuk perkembangan anak-anak? Apa salahnya benarkan mereka keluar bermain pada waktu petang, biar badan dan minda mereka cergas. Biar mereka belajar berkawan. Tapi dalam masa yang sama pantau dan sentiasa pesan agar menjaga keselamatan diri.
Berikanlah sedikit kepercayaan untuk anak-anak agar mereka tidak terkongkong untuk melakukan apa yang mereka mampu. Tetapi, bila cakap soal kepercayaan ini, perlu berhati-hati. Semakin anak meningkat remaja, semakin ‘bersambung’ sel-sel otak mereka. Bukan apa, takut pula mereka melakukan sesuatu yang tak elok pula. Jadi, pantau perlu tapi kena betul caranya.
Tip Tambahan:
1. Ibu bapa kena didik anak-anak untuk melakukan sesuatu perkara berdasarkan usia dan keupayaan mereka.
2. Kena ‘lepaskan’ anak-anak untuk bergaul dengan rakan-rakan sebaya agar mereka dapat bersosial dan tidaklah nanti jadi umpama ‘katak di bawah tempurung’ saja.
3. Jelaskan pada anak-anak, bila sudah diberikan kepercayaan, jangan disia-siakan pula kepercayaan itu.
4. Jika ibu bapa tak percaya anak-anak boleh melakukan sesuatu perkara, bagaimana anak-anak nak yakinkan diri mereka sendiri bahawa mereka boleh buat?
5. Jangan sekat keinginan anak-anak untuk melakukan aktiviti yang mereka sukai seperti bersukan dan sebagainya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Peminjam meninggal dalam keadaan berhutang. Siapa perlu langsaikan, penjamin atau waris? Apabila seseorang meninggal dunia, sebelum arwah dibawa ke tanah perkuburan untuk pengkebumian, waris...