
Kementerian Komunikasi tampil menjelaskan isu kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, termasuk persoalan mengenai jemputan rasmi kepada bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, terdapat tatacara tertentu dalam pengurusan jemputan rasmi bagi Sambutan Hari Kebangsaan.
Menurutnya, berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri, jemputan ke sambutan berkenaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.
Baca artikel: Semangat Merdeka Ke-69 Turut Dirai Komuniti Orang Asli, Merdeka Bukan Sekadar Kebebasan Tapi Taraf Hidup Juga Berubah
Tiada Jemputan Automatik Untuk Bekas Perdana Menteri

Abdul Halim berkata, amalan tersebut telah dilaksanakan sejak 2018.
“Berdasarkan amalan sejak tahun 2018, jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan tidak dipanjangkan secara automatik kepada mantan Perdana Menteri.
“Walau bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan persoalan yang timbul mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Abdul Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berkata, perkara berkenaan perlu dilihat berdasarkan prosedur pengurusan jemputan rasmi yang telah ditetapkan.
Tun M Sebelum Ini Dimaklumkan Akan Ke Luar Negara

Dalam pada itu, pihak urus setia sebelum ini turut menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Tun Dr Mahathir dijangka berada di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos 2026.
Menurut Abdul Halim, makluman tersebut adalah berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang diterima dan diluluskan Perdana Menteri.
Kemudahan berkenaan adalah selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237].
Anda mungkin berminat dengan
Isu kehadiran Tun Dr Mahathir pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 sekali lagi menarik perhatian ramai, khususnya berkaitan tatacara jemputan kepada pemimpin terdahulu.
Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa kehadiran bekas pemimpin tidak dihalang, namun urusan jemputan adalah tertakluk kepada prosedur dan tatacara rasmi yang ditetapkan.
Baca artikel: Kempen Legasi #Malaysia100 Dilancarkan Sempena Hari Kebangsaan 2026, Datuk Hussamuddin Buka Ruang Dialog Untuk Rakyat
Sumber: Astro Awani

download sekarang!
