Dalam hidup, kemenangan bukan hanya diukur melalui kata-kata mahkamah. Kadangkala, ia dizahirkan melalui simbol yang penuh makna, seperti sehelai tudung mewah yang digayakan dengan penuh tenang oleh pengasas Bawal Exclusive, Puan Haliza Maysuri, selepas memenangi kes saman fitnah bernilai RM70,000 baru-baru ini.
Lebih daripada sekadar fesyen, tudung yang digayakan ini mewakili kisah hati seorang wanita yang diuji, namun tetap berdiri dengan elegan dan penuh bermaruah.
Simbolik Ketenangan Dalam Rekaan Dasar Laut
Tudung eksklusif ini direka oleh Megan Carter, pereka antarabangsa berpangkalan di Austria ini diilhamkan dari keindahan laut tenang di permukaan, namun menyimpan rahsia kekuatan yang luar biasa di dasarnya.
Rekaannya menampilkan motif abstrak mewah yang menyerupai alunan ombak yang lembut tetapi konsisten. Terumbu karang dan flora laut pula menggambarkan keunikan dan ketabahan. Sentuhan seni abstrak yang menjadikan tudung ini seolah-olah satu karya galeri.
“Setiap elemen adalah lambang perjalanan saya. Tidak mudah, tidak sempurna, tapi indah bila dilihat dari sudut yang tepat,” ujar Puan Haliza.
Ads
2,000 Kristal Swarovski, Setiap Satunya Diletakkan Dengan Tangan
Tudung ini bukan sahaja memukau dengan coraknya, tetapi turut dihiasi dengan lebih 2,000 kristal Swarovski original, termasuk Swarovski Xirius Rose, mewakili potongan paling berkilau. Selain itu, penggunaan Swarovski Flat Back digunakan untuk detailing halus di hujung tudung. Manakala Swarovski Fancy Stones berbentuk navette dan pear, memberi kesan 3D dan ilusi mewah.
Tambah Haliza lagi, proses meletakkan kristal dilakukan secara manual, dengan teknik bertingkat untuk memastikan kilauan eksklusif dan tidak mudah ditiru.
Di sebalik proses pembuatan yang teliti, terdapat maksud simbolik memilih rona biru lembut sebagai warna asas tudung ini.
Ads
“Rona biru tersebut bukan sekadar warna, tetapi ia melambangkan ketenangan selepas badai, kedamaian seorang wanita yang tahu dirinya berada di tempat yang benar. Saya meletakkan ia sebagai simbolik kemenangan yang tidak perlu diraikan dengan sorakan, cukup dengan senyuman,” ujarnya penuh makna.
“Biru ini bukan sekadar warna. Ia lambang tenangnya hati orang yang sudah menang,” katanya penuh makna.
Helaian tudung dari koleksi Black Label merupakan koleksi paling eksklusif di bawah jenama Bawal Exclusive. Setiap warna hanya mempunyai sehelai sahaja dan tidak akan diulang penghasilannya. Namun, pelanggan yang benar-benar berminat boleh membuat tempahan khas dengan warna berbeza, mengikut jadual dan kelulusan pasukan kreatif Bawal Exclusive.
“Kami mahu setiap wanita rasa unik. Setiap helaian dijahit tangan, dan dijamin tiada dua yang sama,” ujar Puan Haliza.
Tudung ini bukan sekadar aksesori. Ia adalah cerita tentang perjuangan, tentang ketabahan, dan tentang seorang wanita yang tidak membalas dengan kemarahan, tetapi memilih keanggunan sebagai jawapan. Untuk wanita yang tahu nilainya bukan pada harga, tetapi pada makna, mungkin inilah tudung, lambang kemenangan sebenar!
Dalam usaha membina generasi berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi, Sekolah Antarabangsa IDRISSI meraikan ulang tahun ke-10nya dengan penuh kesyukuran.
Sedekad perjalanan ini membuktikan dedikasi IDRISSI dalam mendidik anak-anak melalui gabungan unik kurikulum antarabangsa, pendidikan alam sekitar, dan nilai-nilai Islam.
Bermula Hanya 50 Pelajar
“IDRISSI bermula dengan hanya 50 pelajar pada tahun 2015. Alhamdulillah, kini kami telah berkembang dengan dua sekolah di Setia Alam dan Johor Bahru, serta komuniti yang semakin kukuh dengan hampir 700 pelajar dan sokongan padu daripada ibu bapa serta para pendidik yang berkongsi visi yang sama,” ujar Puan Julie Wong, Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, syarikat induk Sekolah Antarabangsa IDRISSI.
Ketua Pegawai Eksekutif GAINS Education Group, Puan Julie Wong
Sebagai ibu yang prihatin terhadap pendidikan anak-anak, pasti teruja mendengar perkembangan IDRISSI yang bakal membuka sekolah ketiga di Bukit Jelutong, Shah Alam pada tahun ini. Dengan kapasiti 1,000 pelajar, ia memberikan lebih banyak peluang kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi juga berlandaskan nilai Islam yang kukuh. Malah, IDRISSI merancang untuk memperkenalkan Sekolah Antarabangsa Tahfiz IDRISSI, yang menggabungkan pendidikan akademik antarabangsa dan pengajian Islam, lengkap dengan kemudahan asrama khas.
Kelestarian Bumi Jadi Pilihan
Ulang tahun ke-10 ini diraikan dengan pameran tahunan pelajar bertemakan Secrets of the Universe: Through Nature’s Lens. Melalui 14 pameran interaktif yang merungkai keindahan ciptaan Allah seperti ekosistem laut, landskap gunung berapi dan fenomena langit, anak-anak bukan sahaja dididik tentang ilmu sains dan alam sekitar, tetapi juga peranan mereka sebagai khalifah yang bertanggungjawab memelihara bumi.
“Kami menekankan kemahiran abad ke-21 seperti kreativiti, pemikiran kritis, kerjasama dan komunikasi. Dalam menjayakan pameran ini, anak-anak perlu menjalankan penyelidikan, mengajukan soalan, menganalisis maklumat dan bekerja dalam satu pasukan. Proses ini bukan sahaja membantu mereka menjadi lebih matang, malah membentuk peribadi yang berdaya saing dan berwawasan,” kata Puan Nur Raimi Rasdi, Pengetua Sekolah Antarabangsa IDRISSI Setia Alam.
Di samping itu, IDRISSI terus mengukir kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara pencapaian yang membanggakan ialah anugerah 5 bintang dalam Standard Kualiti Institusi Pendidikan Swasta (SKIPS) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta pengiktirafan sebagai Pemenang Elite bagi Sekolah Antarabangsa Terbaik Tahunan oleh Persatuan Pengusaha Pendidikan Swasta Malaysia (PEEAM).
Lebih membanggakan, pelajar IDRISSI telah meraih Pingat Emas dalam Ekspo Teknologi Malaysia 2024 (MTE) melalui Projek Biogas Power Generator.
Semua kejayaan ini pastinya tidak akan tercapai tanpa sokongan ibu bapa, para pendidik, serta seluruh komuniti IDRISSI yang berperanan besar dalam membentuk anak-anak menjadi insan berilmu dan berakhlak mulia.
Melangkah ke hadapan, IDRISSI tetap komited dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berakhlak tinggi, berilmu, dan berjiwa besar. Semoga setiap langkah yang diambil menjadi asbab keberkatan dalam kehidupan dan membantu membina generasi yang lebih baik untuk masa hadapan.
“Anak saya bukan jatuh. Anak saya bukan bunuh diri. Dia dibuli. Dan saya akan cari keadilan untuk dia, walau kuburnya perlu digali semula.” — Noraidah Lamat, ibu Allahyarham Zara Qairina
Di sebalik wajah polos seorang pelajar Tingkatan 1, tersembunyi derita yang tidak terluah, dan kini keluarga kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, tampil menuntut keadilan yang selama ini seakan disorok di sebalik senyap dan sunyi siasatan.
Keluarga ini memohon agar satu inkues rasmi diadakan bagi menentukan punca sebenar kematian anak gadis ini, yang dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
Menerusi laporan polis tambahan yang difailkan oleh ibunya, Noraidah, terdapat rakaman perbualan telefon antara beliau dan arwah yang mendedahkan gangguan berterusan daripada pelajar senior.
Antaranya, seorang pelajar dikenali sebagai ‘Kak M’ yang pernah mengugut Zara:
“Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”
Bedah Siasat Tiada, Wajah Tiada Luka Jatuh — Persoalan Bertambah
Apa yang lebih memilukan, keluarga turut mempersoalkan kecederaan fizikal yang tidak sepadan dengan dakwaan jatuh dari tempat tinggi.
“Wajah anak saya tiada lebam, tiada luka parah. Seolah-olah bukan jatuh dari tingkat tiga,” kata ibu yang kini gigih mencari keadilan dari sisi undang-undang.
Lebih mengelirukan, pihak sekolah dikatakan meminta agar laporan polis tidak dibuat, satu tindakan yang menambahkan syak wasangka terhadap apa yang sebenarnya berlaku.
Permohonan Inkues
Menerusi kenyataan dua peguam yang mewakili keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, satu permohonan rasmi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara Sabah pada 31 Julai 2025, memohon agar inkues diadakan di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Peguam turut menafikan dakwaan liar yang menyalahkan ibu Zara dalam kematian anaknya, menyifatkan ia sebagai fitnah jahat dan tidak berasas.
“Tidak ada ‘plot twist’. Tidak ada unsur si ibu bersalah. Yang ada hanya suara seorang ibu yang menuntut kebenaran untuk anak tunggalnya.”
Lebih memburukkan keadaan, dari 17 hingga 27 Julai, keluarga langsung tidak menerima perkembangan siasatan daripada pihak polis. Hanya selepas gesaan dan tekanan awam, kenyataan ringkas dikeluarkan bahawa siasatan masih berjalan dan 60 orang telah dipanggil memberi keterangan.
Namun bagi seorang ibu, kesenyapan adalah bentuk penderaan kedua—bila kebenaran digantung di awangan dan duka tidak diberi penghujung.
Di akhir kenyataan, pihak peguam menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi atau menyebar fitnah, sebaliknya menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
Nota editor: Sekiranya anda pernah menjadi mangsa buli atau mengenali sesiapa yang terkesan, jangan diam. Bersuara. Kerana setiap nyawa muda adalah harapan masa depan yang tidak sepatutnya padam sebelum waktunya.
Putera Mateen bergelar suami dengan sekali lafaz. Sah bergelar suami isteri! Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah dan Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz pada Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei hari ini.
Majlis akad nikah yang diadakan di masjid berkubah emas di ibu negara Brunei itu turut disaksikan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang turut berkenan menyaksikan majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat diraja.
Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei (RTB), dengan Putera Mateen, mengenakan busana serba putih.
Bergelar suami dengan sekali lafaz
Pada majlis akad nikah, kelihatan bapa pengantin diraja perempuan, Awang Adam Abdullah meminta Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Datuk Seri Paduka Setia Awang Salim menikahkan Dayang Anisha bersama pasangannya dengan mahar sebanyak $1,000 dolar Brunei (RM3,498).
Istiadat bersejarah itu dimulakan dengan awang-awang menyalakan Dian Empat sebagai lambang keunikan adat Istiadat Diraja Brunei.
Sebaik sahaja lafaz kabul disahkan, tembakan meriam sebanyak 17 das dilepaskan sebagai menandakan Istiadat Akad Nikah Diraja telah sempurna dan diakhiri dengan bacaan doa selamat.
17 das tembakan meriam dilepaskan tanda diraikan!
Media melaporkan istiadat perkahwinan pasangan diraja itu akan berlangsung selama 10 hari, di mana ia telah dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari lalu.
Acara kemuncak iaitu Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja akan berlangsung di Istana Nurul Iman pada 14 Januari. Pasangan pengantin diraja kemudian akan menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan, manakala Majlis Persantapan Diraja dijadualkan pada 15 Januari ini.