
Tiada siapa menyangka… setelah lebih lima dekad membawa haluan masing-masing, cinta yang pernah berputik di bangku sekolah kini kembali mekar, membawa bahagia di usia senja.
Pasangan warga emas, Prof Datuk Dr Md Sham Kassim, 81, dan Azizah Alias, 77, akhirnya disatukan dalam sebuah majlis akad nikah yang sederhana namun penuh bermakna di Kampung Lada Tanah Datar, baru-baru ini.
Enam Bulan Selepas Kematian Isteri
Dr Md Sham, bekas pakar perubatan kanak-kanak dan pensyarah yang disegani, membuka lembaran baharu dalam hidup selepas enam bulan pemergian isteri tercinta. Takdir mempertemukannya semula dengan Azizah, wanita yang pernah mencuri hatinya semasa di zaman persekolahan.
“Selepas isteri saya meninggal dunia, saya mula teringat kepada Azizah. Dengan bantuan pelajar saya yang juga anak saudara beliau, saya mula menghubunginya kembali. Dari situ, hubungan yang lama terputus kembali bertaut,” ujar Dr Md Sham yang merupakan bapa kepada empat anak dan datuk kepada enam cucu.
Akui beliau, pada mulanya anak-anak agak berat menerima keputusannya. Namun dengan tenang, beliau menjelaskan bahawa usia yang makin lanjut menuntutnya untuk terus melangkah ke hadapan dengan teman jiwa di sisi.
“Hubungan yang lama terputus kembali berpaut, pada awalnya anak-anak kurang senang kerana baru kematian isteri.
Usia 77, Azizah Bergelar Isteri
Sementara itu, Azizah yang pertama kali bergelar isteri pada usia 77 tahun, melahirkan rasa syukur yang tidak terhingga. Sebagai pesara kerajaan, hidupnya sebelum ini tenang dan bersederhana, namun hatinya terbuka menerima cinta daripada seorang lelaki yang dikenali sejak remaja.
“Saya percaya jodoh saya akan sampai suatu hari nanti. Cuma saya tak tahu bila. Setiap orang ada jodohnya lambat atau cepat, ia tetap akan datang pada masa yang tepat,” ujar wanita berjiwa lembut ini.

Duda empat anak itu sah menjadi suami dengan mas kahwin sebanyak RM300 berserta senaskah al-Quran. Majlis pernikahan Datuk Dr. Md. Sham Kassim dan pasangan, Azizah Alias dengan busana putih berlangsung penuh meriah dengan kehadiran sanak saudara serta kenalan di rumah pengantin perempuan.
Semoga perkahwinan yang dibina selepas 50 tahun ini berkekalan sehingga ke akhir hayat,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Busana Pengantin Raikan Keanggunan Wanita. Dinda.Look Bridal Series 2025 Beri Sentuhan Klasik

Isi Kandungan
ToggleDi bawah sinaran mentari pagi di pentas peragaan, langkah-langkah para peragawati bagai menterjemahkan sebuah puisi secara visual. Dinda.Look Bridal Series 2025 bukan sekadar pertunjukan busana pengantin, ia adalah sebuah persembahan puitis yang menyulam warisan dan impian menjadi satu naskhah indah tentang kewanitaan.
Daripada renda-renda halus yang menjalin lembut hingga potongan yang melambai penuh keanggunan, setiap rekaan membawa naratif tersendiri. Setiap helaian bagaikan berbisik tentang impian pengantin, tentang cinta yang suci dan tentang kekuatan jiwa seorang wanita yang bakal melangkah ke alam baru dengan sepenuh hati.
Gaya Tradisi Jadi Pilihan
Dinda.Look berjaya merangkumkan keindahan tradisi dan kesegaran moden dalam setiap persalinan. Siluet yang memeluk tubuh dengan sopan, fabrik pilihan yang nyaman dan eksklusif, serta perincian yang dibuat dengan teliti menjadikan koleksi ini bukan sekadar baju, tetapi kenangan yang bakal abadi dalam album kehidupan seorang wanita.
Dinda.Look Bridal Series 2025 membawa nafas segar dalam dunia fesyen pengantin tanah air, dengan sentuhan eksklusif yang menyulam keanggunan klasik dan siluet moden dalam satu persembahan penuh kehalusan. Tidak keterlaluan fesyen yang ditampilkan, sesuai dengan tagline Dinda.Look iaitu Your Best Minimal Classic Attire.
Citra Wanita Moden
Menurut pereka fesyen merangkap empunya jenama Dinda.Look, Amer Salleh, Bridal Series 2025 ini bukan hanya menyasarkan golongan muda yang bakal bergelar ratu sehari, tetapi juga mengangkat citra wanita Melayu moden yang menghargai budaya dan kehalusan seni berpakaian.
Dinda.Look Bridal Series 2025 mempersembahkan koleksi busana pengantin yang memadukan keanggunan tradisional dengan sentuhan moden, sesuai untuk wanita yang menghargai keindahan dan kelembutan dalam setiap helaian.
Dinda.Look Bridal 2025 menampilkan enam koleksi iaitu Sakura, Harum Sundal Malam, Dedaun, Melati, Salju dan Kartini. setiap helaian menampilkan konsep minimal, klasik dan elemen romantis.
Selain itu, Dinda.Look membawakan nafas baru dalam dunia busana pengantin klasik. Jenama ini menggabungkan nilai tradisi dengan rasa moden yang lembut dan hadir dari jiwa.
Ketika ditanya mengenal penglibatan awal jenama ini, Amer Salleh berkata segalanya bermula dari minat yang mendalam terhadap fesyen membuatkan dia dan isterinya, Shaa Shamsudin menceburkan diri dalam dunia fesyen. Namun, mereka berpegang pada paksi meraikan keanggunan dalam cara tersendiri iaitu elegan tanpa keterlaluan serta moden tanpa meninggalkan tradisi.

“Dalam dunia penuh warna ini, setiap wanita layak untuk merasa cantik dalam busana yang seindah jiwanya. Setelah lima tahun melalui pelbagai cabaran dan jatuh bangun, hari ini menjadi saksi segala usaha saya dan isteri tidak sia-sia.
“Alhamdulillah kami merealisasikan impian ini dan mencipta busana yang indah dan bermakna. Busana pengantin Dinda.Look bukan sekadar pakaian, ia adalah simbol harapan, ketekunan dan cinta terhadap dunia yang kami cipta bersama,”ujar Amer yang gemar mereka busana untuk isteri tersayang agar si isteri tampil cantik sekaligus membina keyakinan diri.
Setiap rekaan dalam koleksi ini mencerminkan dedikasi Dinda.Look dalam menghasilkan busana yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga selesa dipakai. Dengan gabungan elemen tradisional dan moden, koleksi ini pasti memenuhi citarasa wanita yang menginginkan penampilan anggun dan mempesona di hari bahagia mereka.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Adela Nak Jadi Ustazah…” – Pemergian Penuntut UPSI Sufea Adela Tinggalkan Luka Dalam, Namun Semangatnya Diteruskan

Pemergian Sufea Adela Maslihaizan, 21, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kemalangan tragik di Gerik, Perak, telah meruntun hati ramai.
Namun dalam duka yang mendalam, keluarga Allahyarhamah tabah menerima ujian ini dengan redha dan penuh kasih sayang, sambil berkongsi kisah cita-cita murni seorang anak yang mahu menjadi ustazah sejak kecil.
Menurut ibunya, Zabidah Ibrahim, 49, arwah merupakan anak ketiga daripada empat beradik, dan sejak kecil sangat meminati subjek Pendidikan Islam serta Bahasa Arab. Malah, Sufea memilih untuk melanjutkan pelajaran di sekolah agama sejak Tingkatan 1 lagi.
“Dia belajar di Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jertih dan kemudian sambung Tingkatan 6 di SMKA Nurul Ittifaq. Dari kecil dia memang berangan nak jadi ustazah,” ujar Zabidah dengan nada sebak.
Arwah juga sering mendapat keputusan cemerlang dalam subjek-subjek agama dan dikenali sebagai anak yang lembut tutur kata, rajin dan sangat menjaga adab terhadap ibu bapa serta ahli keluarga.
Allahyarhamah Sufea merupakan anak ketiga pasangan Maslihaizan Yahya dan Zabidah Ibrahim mempunyai tiga bersaudara yang turut mempunyai cita-cita bergelar pendidik. Kakak sulungnya kini merupakan seorang guru Bahasa Inggeris. Kakak keduanya pula sedang menunggu penempatan sebagai guru Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Allahyarhamah Sufea bercita-cita menjadi ustazah manakala adik bongsunya pula baru tamat SPM dan berhasrat menyambung cita-cita arwah kakaknya.
Nenek arwah sempat memberi pesanan yang menyentuh hati kepada ahli keluarga:
“Baca al-Quran selalu, sebab hanya itu yang boleh tolong kita nanti. Kalau pagi sibuk, baca surah Al-Ikhlas tiga kali pun cukup.”
Adik bongsu arwah, Alia Hanani, 18, turut berjanji akan menyambung cita-cita kakaknya menjadi guru agama. Kini dia sedang menunggu tawaran sambung belajar setelah menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah.

Rapat Dengan Sahabat, Rancang Persiapan Kahwin Kakak
Arwah sangat rapat dengan dua sahabatnya, Nik Amni Nadiah dan Nor Erika Elysha, yang juga menjadi mangsa dalam kemalangan itu. Mereka bertiga bukan sahaja rakan sekampus, malah rakan sebilik dan sahabat setia sejak sekolah menengah.
“Adela sempat beli tiga bungkus roti untuk dikongsi dengan kawan-kawannya sebelum kelas esoknya. Itulah dia, selalu fikir orang lain dulu,” kata ibunya.
Arwah juga sangat teruja membantu kakaknya Nur Izzati, 26, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada September ini.
“Dia janji nak buat bunga telur sendiri masa cuti semester nanti. Sayangnya, semua tinggal kenangan,” kata Izzati penuh sayu mengakhiri perbualan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
IKBN KEMASIK Diiktiraf Sekolah Masakan Terbaik, Sering Juarai Peringkat Kebangsaan & Antarabangsa

Isi Kandungan
ToggleInstitut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik diiktiraf sekolah masakan terbaik, sering juarai peringkat kebangsaan & antarabangsa. Kejayaan tidak datang begitu saja tanpa usaha keras. Atas semangat jitu mahu memastikan pelajar keluar dengan kejayaan, usaha dibuat oleh tenaga pengajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, Terengganu sewajarnya diberi pujian.
Menawarkan bidang Perhotelan, Hospitaliti, Kosmetologi dan Multimedia, IKBN Kemasik memacu kejayaan baik di peringkat kebanggaan mahu pun antarabangsa apabila muncul sebagai juara dalam pelbagai pertandingan.
IKBN KEMASIK Diiktiraf Sekolah Masakan Terbaik

Menurut Pengarah IKBN Kemasik, Puan Norlia Abdullah, di bawah Jabatan Hospitaliti menerusi Sekolah Masakan, mereka telah memenangi pelbagai pertandingan besar termasuk di luar negara.
“Kami menyertai pelbagai pertandingan, antaranya Pertandingan Biskut Raya Gergasi anjuran NU Ideaktiv Mingguan Wanita yang mana pengajar dan pelajar Penyediaan Pastri membawakan produk Biskut Golden Conflakes Berjaya dinobatkan sebagai Johan dengan membawa hadiah utama.
“IKBN Kemasik turut mendapat pingat Emas Cake Display di Pertandingan Kulinari MAHA 2022. Bukan itu saja, produk inovasi iaitu Macaron Biji Getah telah berjaya memenangi Pingat Emas dalam Pertandingan Inovasi Pensyarah TVET 2023 (PERISA’23).
“Sekolah masakan kami turut memenangi Pingat Perak dalam Pertandingan Antarabangsa iaitu Regional Association Vocational & Technical Education in Asia (RAVTE) selain meraih Juara Kategori Teknologi Hospitaliti dalam Anugerah Pengurusan Latihan Terbaik ILKBS bagi tahun 2023 anjuran Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini.
Sering Juarai Peringkat Kebangsaan & Antarabangsa
Merupakan pusat pengajian berteraskan kemahiran yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, IKBN membuka peluang kemahiran kepada para belia untuk memajukan diri dalam bidang kemahiran yang menjanjikan pekerjaan selepas tamat pengajian.
“Di bawah Jabatan Hospitaliti, kursus yang ditawarkan adalah Sijil Lanjutan Teknologi Hospitaliti (Penyediaan Makanan), Sijil Lanjutan Teknologi Hospitaliti (Pembuatan Pastri) dan Sijil Lanjutan Teknologi Hospitaliti (Pembuatan Roti).
“Kursus-kursus di Jabatan Hospitaliti adalah yang popular dan sering menjadi pilihan pelajar di IKBN Kemasik didorong dengan minat pelajar itu sendiri tambahan keperluan pasaran yang mampu pelajar memperoleh pekerjaan sama ada sebagai usahawan atau bekerja di industri.


“Selain kursus sepenuh masa dijalankan, Jabatan Hospitaliti turut menganjurkan kursus – kursus jangka pendek khusus kepada komuniti luar dan setempat bagi memenuhi aktiviti kemasyarakatan dan pendedahan kepada pelajar mengelolakan aktiviti tersebut dalam membantu meningkatkan ilmu kemahiran dan keyakinan mereka apabila mereka bekerja kelak,”katanya menjelaskan di Jabatan Hospitaliti, ia diisokong oleh Pn.Ratha a/p Vitiveloo selaku Ketua Jabatan Hospitaliti sementara di bahagian dalam menyelia dan menyelaras program pembelajaran pelajar terdiri dari Mohamad Dzulhafiz bin Mad Norizan (penyediaan makanan), Noor Akmar binti Mohd Sharif (penyediaan pastry) selain Nur Munirah binti Awang (penyediaan roti).
Kelebihan belajar di IKBN Kemasik khususnya bidang hospitaliti
IKBN Kemasik mempunyai fasiliti dan kemudahan latihan kemahiran yang berkualiti merangkumi bengkel, mesin, peralatan lengkap memenuhi keperluan industri serta bahan latihan mencukupi dalam pelaksanaan pengajaran dan struktur pembelajaran menarik dengan suasana persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Sistem pembelajaran di sini menerapkan 80 peratus teknikal dan 20 peratus bina insan bermaksud 80 peratus adalah pengisian pembelajaran bidang kemahiran manakala 20 peratus ilmu kemahiran insaniah. Penekanan kemahiran insaniah atau pembinaan insan seperti keusahawanan, kepemimpinan, komunikasi dan agama agar dapat membina jati diri serta disiplin merupakan elemen tambahan kepada pelajar di IKBN Kemasik.
Apabila pelajar tamat pengajian dan keluar ke dunia pekerjaan sebenar mereka bukan saja mahir dalam kemahiran tapi mempunyai sikap baik seperti boleh berkomunikasi dan menepati masa.
Tambahan pula dengan kesediaan pengajar yang mempunyai kecekapan dan tahap kemahiran yang kompeten yang mampu melatih pelajar mendapatkan kemahiran tinggi dan berdaya saing di alam pekerjaan.
Pelajar IKBN akan sentiasa didedahkan dengan aktiviti dan program yang menonjolkan potensi dan bakat pelajar sebagai kesediaan di dunia sebenar setelah tamat belajar nanti. Antara program yang terlibat adalah pertandingan kemahiran dan inovasi, Program Kepimpinan, Program Sukan, Program Latihan Kemahiran Jangka Pendek dan sebagainya.

Sistem pembelajaran turut diserapkan di kalangan pelajar yang mana turut melatih ilmu keusahawanan dalam merangsang kebolehan pelajar untuk mudah mendapat kerja sebaik tamat pengajian. Di antaranya program inkubator, jualan job order, weekend attachment dan bootcamp dengan kerjasama hotel industri.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI