
Setelah mengharungi lapan minggu pertandingan, Kumpulan Al-Maqari telah diumumkan sebagai juara program Pentas Marhaban sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 pada pentas akhir yang berlangsung semalam.
Untuk rekod, perkataan Marhaban berasal daripada perkataan Arab ‘ahlan wa sahlan’ yang membawa maksud ucapan ‘selamat datang’ mengalu-alukan kedatangan tetamu. Pentas Marhaban yang pertama kali dianjurkan ini turut menyaksikan lingkungan umur peserta adalah daripada semuda usia 9 tahun hingga 80 tahun.
Persembahan Mantap
Keputusan itu sekali gus mengetepikan kedudukan pesaing terdekatnya Al-Muhtadin, Qalbun Hadi dan Raudhatul Ashwaq untuk bergelar juara sulung program yang bersiaran secara langsung dari Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah.
Kumpulan Qalbun Hadi pula dinobatkan sebagai naib juara dan membawa pulang RM25,000 berserta trofi sumbangan TV AlHijrah.
Ketika ditanya mengenai kelebihan Al-Maqari pada persembahan akhir semalam, Juri Jemputan Ustaz Hasim Harun berkata persembahan mantap, irama unik, dinamik dari sudut kreativiti terutamanya dari segi marhaban turut menjadi elemen penting dalam proses penjurian pada prgram tersebut.
Sementara itu, kumpulan Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq sekadar meraih hadiah saguhati dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 bagi setiap kumpulan.
Tugasan akhir Pentas Marhaban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu marhaban dan rawi, penceritaan serta qasidah.
Program realiti yang disiarkan selama lapan minggu itu diadili sepenuhnya oleh juri tetap Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus serta Ustaz Hasim Harun selaku juri jemputan.
Pemarkahan diberikan berdasarkan gaya persembahan, pakaian, lagu, solo dan harmoni.
Pentas Marhaban akhir turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Rabbani dan Daqmie.
Program itu dihoskan oleh gandingan pengacara, Tilmiz Fahmi dan Syamsul Ghau Ghau.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Persoalan Buat Baik Tapi Tak Pakai Tudung, Ini Jawapan Padu Dr MAZA !

Isi Kandungan
ToggleBaru-baru ini nama Dr Amalina Bakri, 31 meniti dibibir ramai rakyat Malaysia. Ia susulan budi baik dan inisiatif beliau membolehkan adik Ainul Mardhiah, 9bulan yang menghidap Germ Cell Tumour dibawa ke London bersama kedua-dua ibu bapanya dan berjaya menjalani pembedahan.
Namun demikian, terdapat juga komen-komen negatif dan kata-kata nista mempertikaikan personaliti luaran Pelatih Pakar Bedah ini, antaranya tidak bertudung dan berpakaian seksi. Sekaligus begitu mudah menjatuhkan hukum buat beliau.
Perkara ini mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai DR MAZA yang terkenal dalam menyuarakan pandangan lantang berkaitan sesuatu isu.
Mohon fahamkan dan hadam jawapan serta penjelasan yang dikongsikan oleh Mufti Perlis ini yang boleh dijadikan panduan;
BUAT BAIK TAPI TAK PAKAI TUDUNG..?
Sejumlah orang menghantar soalan kepada saya tentang kebaikan seorang doktor perubatan yang membantu menyelamatkan seorang kanak-kanak yang menghidap Germ Cell Tumour. Kisah itu viral dan menjadi trending sehari dua ini.
Persoalan mereka “Patutkah kita memuji-muji doktor tersebut sedangkan beliau tidak bertudung kepala dan agak seksi?”.
Walaupun kita rasa persoalan seperti itu tidak wajar, namun itulah persoalan yang bermain dalam fikiran sebahagian mereka yang terkena versi kefahaman Islam yang bersifat punitif. Kadang-kala bukanlah salah mereka, sebab mereka telah dididik dalam versi kefahaman agama seperti itu. Kefahaman agama mereka bersifat begitu menghukum sesuatu kekurangan yang mereka lihat pada seseorang dan gagal melihat kebaikan-kebaikan lain yang ada pada individu yang sama.
Versi kefahaman atau cara fikir seperti itu menjadikan mereka memilih satu amalan yang menjadi satu ukuran utama mereka seperti bertudung, atau menyokong perjuangan mereka atau seumpamanya. Itu dijadikan penentu tunggal bagi kebaikan dan keburukan seseorang. Segala amalan baik akan dinafikan jika tidak mempunyai ciri yang mereka pilih itu.
Pahala Mengatasi Dosa
Mereka itu lupa bahawa di akhirat kelak, ALLAH menimbang dengan adil setiap kebaikan dan kejahatan seperti yang ALLAH nyatakan dalam Surah al-Zalzalah. Mereka juga lupa al-Quran dalam Surah al-Qari’ah menyatakan bahawa sesiapa yang pahalanya mengatasi dosanya maka dia akan ke syurga. Sesiapa yang sebaliknya, maka dia ke neraka. Ertinya, penilaian ke syurga bukan dibuat atas siapa yang tidak mempunyai dosa, tetapi siapa yang pahalanya mengatasi dosanya.
Mereka lupa dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan selainnya Nabi s. a. w. memberitahu bagaimana diampun dosa pelacur kerana memberi minum kepada anjing yang kehausan hampir mati. Tentulah betapa lebih layak untuk mendapat keampunan seseorang yang memberi minum atau menyelamatkan nyawa manusia yang terancam jika dilakukan dengan jiwa yang kudus.
Jangan Nafikan Kebaikan Seseorang
Ya, dosa tetap dosa. Kita tidak menghalalkan dosa disebabkan sesuatu kebaikan yang lain. Namun, kita tidak boleh menafikan kebaikan seseorang disebabkan satu dosa yang lain. Boleh jadi orang yang kita lihat melakukan sesuatu dosa itu, dia lebih baik di sisi ALLAH disebabkan pahalanya yang lain atau kemurnian niatnya yang kita mungkin tidak tahu. Boleh jadi kita yang tidak melakukan dosa tertentu ini, lebih buruk di sisi ALLAH disebabkan dosa yang lain.
Justeru, janganlah kita cuba menentu syurga dan neraka sesiapapun. Tugasan kita hanya memberitahu bahawa itu dosa, ini pahala. Pahala boleh membawa ke syurga, sementara dosa boleh membawa ke neraka. Beritahu apa yang ALLAH suruh dan apa DIA larang.
Adapun kedudukan pelaku dosa dan pahala di sisi ALLAH, hanya DIA yang maha tahu. Dia Yang Maha Mengetahui hakikat keseluruhan hidup seseorang zahir dan batin. DIA yang mengetahui timbangan antara dosa dan pahala seseorang.
Dosa Peribadi
Kemudian kita hendaklah kita tahu di sana ada dosa peribadi hanya antara hamba dengan TuhanNYA tanpa membabitkan hamba-hamba ALLAH yang lain. Dosa jenis ini mudah diampunkan oleh ALLAH. Di sana pula ada dosa yang membabitkan kezaliman antara kita dengan hamba-hamba ALLAH yang lain. Dosa ini tidak diampuni sehingga kita memohon kemaafan atau membayar pahala kita di akhirat kelak. Jika tidak, kita mesti menanggung dosa orang yang kita zalimi. Inilah yang Nabi s. a.w tegaskan dalam hadis riwayat Muslim.
Maka, boleh jadi ada orang yang di mata kita lekeh disebabkan dosa peribadi seperti tidak menutup aurat, namun dia kurang melakukan dosa dengan hamba-hamba ALLAH yang lain. Boleh jadi orang yang kita pandang tinggi dengan penampilannya, tapi betapa banyak dosanya dengan hamba-hamba ALLAH yang lain.
Adil Dalam Menilai Orang Lain
Justeru, janganlah kita menafikan kebaikan orang lain disebabkan sesuatu kekurangan yang kita lihat. Ini tidaklah bererti menjustifikasi dosa yang dia lakukan, tapi kita dituntut untuk adil dalam menilai orang lain. Dosa dinilai dosa, baik dinilai baik. Ada dosa tidak semestinya tiada kebaikan. Ada pahala tidak semestinya tiada dosa.
Akhirnya, hendaklah kita sedar, kita semua sebenarnya pendosa. Cumanya, antara yang diketahui orang dan tidak ketahui oleh orang lain. Seperti mana kita mahu orang adil kepada kita, maka adillah kita terhadap setiap orang. Apa yang salah ia tetap salah tetapi tidak bererti menafikan kebaikan yang lain jika ada. Apa yang baik tetap baik, tetapi tidaklah menjustifikasi dosa yang lain.
MW: Semoga perkongsian ilmu ini bermanfaat. Siapalah kita untuk menentukan dosa dan pahala serta jaminan syurga dan neraka seseorang. Jangan nafikan kebaikan yang telah dilakukan pada masa yang sama berlaku adil lah dalam menilai orang lain.
Sumber: DrMAZA.com
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Suami Isteri Kena Jadikan Teladan Cara Rasulullah Ketika Bergaduh Dengan Isteri

Isi Kandungan
ToggleBila menyentuh perkahwinan Rasulullah s.a.w, ramai suami yang teringatkan soal poligami semata-mata. Realitinya, masih banyak kisah dalam rumah tangga Rasulullah s.a.w yang boleh dijadikan teladan.
Ikuti perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali https://www.facebook.com/suzana.ghazali.94, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie, juga penulis ruangan RESIPI HIDUP di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Diceritakan daripada hadis Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya yang bermaksud: “Aku tahu masa anda redha dan marah kepadaku.” “Bagaimana anda mengetahuinya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika anda senang denganku, anda akan berkata; tidak demi Rabb Muhammad. Sementara jika anda marah terhadapku, anda akan mengatakan; tidak demi Rabb Ibrahim. Aisyah R.Anha berkata; “Tepat wahai Rasulullah. Demi Allah, namun aku tidak mendiamkanku (ketika aku marah) kecuali tidak menyebut namamu.” – hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Isteri Tak Puas Hati Pada Suami
Hadis ini membuktikan, tidak ada salah dan dosa jika isteri marah terhadap suaminya disebabkan faktor perselisihan yang biasa terjadi dalam kehidupan seharian dan kehidupan rumah tangga.
Sudah namanya manusia, pasti terdapat kekurangan di mana-mana termasuk rasa tidak puas hati atau berkecil hati dengan tindakan suami hatta Rasulullah s.a.w sendiri.
Perlu Ada Batasan
Biar pun begitu, teladanilah kesopanan Aisyah R.Anha dan kecerdikan Rasulullah s.a.w. Hadis ini menunjukkan perselisihan dalam rumah tangga adalah perkara biasa tetapi memerlukan batasan. Aisyah masih kekal bersopan terhadap suaminya walau dalam keadaan marah dan Rasulullah s.a.w menundukkan perasan marah tersebut dengan kelembutan dan kasih sayang.
Aisyah masih kekal melayan suaminya dengan baik, malah bercakap dengan suaminya hanya tidak menyebut nama suami sebagai tanda protes dan tanda emosinya terganggu. Tika ini, Rasulullah s.a.w pula sebagai suami berusaha untuk memahami dan dalam masa yang sama, berusaha memujuk. Sesuai dengan fitrah kejadian wanita bak tulang yang bengkok, dibiarkan akan kekal bengkok, dipaksa lurus akan segera patah. Jalan terbaik, memujuk dengan sabar dan berhikmah.
Suami Isteri Jangan Sampai Tak Bercakap Ye!
Lantas, mengambil teladan kisah rumah tangga Rasulullah s.a.w ini, sewajarnya pasangan suami isteri mengelakkan diri daripada tidak bercakap apatah lagi menyisihkan diri. Tindakan tidak bercakap terutama tindakan menyisihkan diri daripada pasangan menjadi penyumbang kepada bertambahnya kekalutan dalam rumah tangga.
Seperti kata orang lama kita, kalau disimbah minyak ke api, pastinya api tambah marak. Jalan terbaik untuk memadam api ialah dengan menyiram air. Samalah juga dengan pergaduhan, jika masing-masing berkeras hati, enggan mengakui kesilapan diri dan berterusan tidak bercakap sesama sendiri, masalah tidak akan selesai dan memungkinkan wujudnya masalah baru pula.
Diam Bila Perlu
Jangan mendiamkan diri! Betul! Ada masanya diam itu perlu ketika anda pasti pasangan anda tidak dapat mendiamkan dirinya sendiri dan terus berhujah hingga gagal mengawal diri. Tika ini, memang wajar anda berdiam seketika. Tunggu hingga keadaan menjadi sejuk, carilah ruang dan peluang untuk meluah isi hati anda pula.
Jika yakin meluah rasa dengan lisan menambah buruk keadaan, sebagai contoh anda sukar meluah dengan terkawal kerana pasti disusuli kata-kata yang keras atau tangisan yang tidak digemari pasangan maka luahkanlah segalanya di lembaran kertas. Hingga detik kedamaian dikecap semula, usahakan untuk menepis ego dengan teruskan bercakap seperti biasa. Walau hati rasa sakit tapi yakinlah, jika anda kekal berbuat baik, kesudahannya pasti akan baik juga…
Ujian Hadir untuk Mendidik
Dalam mengharungi hari-hari mendatang dalam perkahwinan, jangan harapkan detik manis dan kebahagiaan semata. Hakikatnya, ujian dan cabaran yang hadir bukan untuk memusnahkan bahagia sebaliknya untuk mendidik diri agar menjadi manusia yang lebih matang dan bijak menangani permasalahan.
Kajian membuktikan, kesilapan paling utama yang wujud dalam rumah tangga ialah kegagalan pasangan suami isteri untuk bergaduh secara selamat.
Kalau Suami Isteri Masih Saling Sayang
Pergaduhan yang selamat akan wujud jika anda sedar dengan siapa anda sedang bergaduh, pastinya teman hidup anda; sama ada suami atau isteri yang anda sayangi. Jika anda sayangkan si dia yang sedang bergaduh dengan anda, pastinya anda akan dapat mengawal emosi marah anda agar tidak keterlaluan hingga membawa kemudaratan kepadanya.
Tika bergaduh, tanamkan dalam diri, anda sedang bertengkar kerana satu sebab yang berlaku, mungkin salah pasangan, mungkin juga salah anda sendiri. Pokoknya, bukan mencari salah siapa tetapi pastikan masing-masing berusaha untuk menangani permasalahan yang berlaku.
Memahami Dan Difahami
Masalah hanya selesai jika masing-masing mengawal diri, berterus terang dan berbincang. Namun, masalah yang timbul dalam usaha menyelesaikan masalah yang telah ada ialah masalah komunikasi sesama setiap insan iaitu masalah untuk memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami.
Jalan terbaik ialah dengan memberikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah.
https://www.mingguanwanita.my/marah-sekali-pun-suami-isteri-30-an-jangan-sampai-tak-nampak-baik-pasangan-1/
https://www.mingguanwanita.my/dah-lama-berkongsi-hidup-tetiba-suami-kata-tawar-hati/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
PKP Cuti Kurniaan Allah SWT, Renung Diri Dan Tetap Bersyukur

Isi Kandungan
ToggleNegara kita bukanlah satu-satunya negara yang dilanda wabak Covid-19. Wabak ini adalah isu yang dihadapi oleh dunia hingga ramai yang terpaksa ‘cuti’ daripada melakukan aktiviti rutin harian selama ini.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA berkenaan isu ini.
Macam-Macam Reaksi
Wabak Covid-19 ini tidak mengenal darjat, warganegara atau umur. Justeru, bermula dari 18 Mac 2020 bermulalah Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita. Pada awalnya ia hanya ditetapkan sehingga 31 Mac 2020. Namun kemudian dilanjutkan lagi sehingga 14 April 2020.
Pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh rakyat negara kita. Ada yang berasa lega kerana ia dapat memutuskan rantaian wabak dengan pantas. Tak kurang juga yang merungut kerana ia memberi kepayahan kepada perniagaan.
Akibat Rasa Tertekan
Apabila saya diminta memberi pandangan terhadap reaksi-reaksi ini, pada saya mudah, setiap dari kita sudah mula rasa tertekan dan hasil pada tekanan itulah reaksi-reaksi ini timbul. Justeru, biarlah mereka melepaskan apa yang terbuku di dada dan pelan-pelan ia akan dihilangkan dengan kewajaran.
Saya menerima pelbagai emosi dalam pesanan-pesanan elektronik yang dihantar kepada saya. Ada juga yang bertanyakan pendapat tentang PKP yang diadakan. Keadaan yang menimpa dunia ini adalah satu hakikat yang perlu kita terima.
Manusia Punca Dunia Rosak
Berlakunya kerosakan di dunia ini adalah hasil dari tangan-tangan manusia itu sendiri. Justeru, hari ini, satu dunia merasai buah dari perbuatan tangan-tangan yang sering melakukan kerosakan. PKP mungkin perkara baru pada kita. Tetapi ia bukan perkara baru bagi mereka yang pernah hidup di zaman darurat atau di zaman komunis.
Hari ini kita masih dapat keluar membeli barangan keperluan pada bila-bila waktu. Ini kerana kita hanya berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan dan bukannya darurat. Seandainya kita berada dalam darurat, ia lebih memeritkan.
Banyak Kerja Tertangguh…
Pada saya secara peribadi, saya merasakan apa yang dirasakan oleh kebanyakan orang. Banyak pekerjaan tertangguh. Begitu juga dengan urusan yang lainnya. Mungkin hari pertama dan kedua, kita merasa ok duduk di rumah namun masuk sahaja hari ketiga, kita sudah mula mempunyai fikiran yang macam-macam. Ini semua berlaku kerana pintu kebosanan sudah mula terbuka.
Selepas seminggu ada yang sukar untuk tidur malam. Sukar tidur malam itu adalah tanda-tanda awal yang pintu tekanan perasaan atau stres mula terbuka. Inilah adalah sesuatu yang mungkin dihadapi oleh ramai orang terutamanya yang bekerja sendiri. Pelbagai perkara yang bermain di fikiran.
Mahu Tak Mahu Kena Terima!
PKP pada saya adalah satu cuti yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Mahu tidak mahu kita perlu menerima cuti ini biar apa pun alasan yang kita berikan. PKP ini adalah cuti kurniaan Allah SWT kepada kita. Kita diminta bercuti dari aktiviti kebiasaan kita. Kita diminta berhenti seketika daripada rutin harian kita, daripada kerjaya kita.
Ini bukan bermakna kita tidak langsung melakukan kerja. Kita boleh melakukan kerja dari rumah tetapi ianya terhad tidak seperti biasa. PKP ini adalah cuti umum untuk seluruh dunia. Kita sudah biasa dengan cuti. Namun cuti kali ini, kita perlu duduk diam di rumah tanpa dibenarkan keluar bercuti atau makan angin seperti biasa.
Waktu untuk Renung Diri
Cuti PKP ini adalah cuti untuk kita membuat ‘balancing’. Ia memberi kita ruang yang sangat besar untuk kita duduk merenungi kedudukan kita dengan Allah SWT. Kita diberi ruang untuk membetul imbangan kehidupan dunia dan akhirat.
Selalunya kita sibuk untuk menguasai dunia. Kita sibuk memperlihatkan kejayaan dunia yang kita capai. Kita sibuk memberitahu dunia betapa berjayanya kita dengan usaha kita selama ini. Tetapi wabak ini didatangkan Allah SWT untuk kita memikirkan dan membetulkan kesilapan kita.
Berjaya Dengan Izin Allah
Kita sebenarnya tidak perlu memperlihatkan kepada dunia yang kita ini sangat berjaya. Biar dunia tahu dengan sendirinya. Hakikatnya, setiap kejayaan yang kita miliki itu bukan seratus peratus hasil usaha kita. Usaha kita hanyalah menjadi sebab. Boleh jadi ada orang yang lebih berilmu dari kita dan usahanya jauh lebih kuat.
Namun kejayaannya mungkin tidak sehebat kita.Kita berjaya, kita mendapat untung, kita menguasai dunia, semuanya adalah izin mutlak dari Allah SWT Izin Allah dan disertai oleh asbab yang betul menjadikan kita berjaya.
Nilaikan Kesilapan
PKP adalah waktu untuk kita merenungi kesilapan kita. Inilah waktunya untuk kita menilai satu persatu kata-kata kita, perbuatan kita serta niat kita. Kita dicutikan dari rutin dunia kerana Allah swt sayang kepada kita. Lalu dibukakan kepada kita rutin akhirat.
Mungkin kita mengeluh kerana tidak dapat makan makanan yang enak. Tetapi kita perlu sedar diri kerana kita masih boleh menikmati makanan kerana dalam PKP ini adalah yang sedang mengorek tabungan hanya untuk sesuap nasi. Justeru, ayuh marilah kita menjadi PKP satu rutin kehidupan baru untuk kita. Hidup yang lebih tenang bersama Allah SWT. Hidup yang jauh dari kesombongan. Hidup yang sentiasa memikirkan mati.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI