Suami isteri pegawai Imigresen guna duit rasuah RM600k buka kedai emas. Sepasang suami isteri yang juga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menyalurkan wang hasil rasuah untuk membuka sebuah kedai emas dengan modal kira-kira RM600,000.
Suami Isteri Pegawai Imigresen Guna Duit Rasuah RM600k Buka Kedai Emas
Kegiatan mereka didakwa berjalan selama empat tahun apabila pasangan itu mengatur kemasukan warga asing tanpa dokumen lengkap ke negara ini.
Menurut perkongsian di laman TikTok rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pasangan terbabit menggunakan nama anak serta adik kepada wanita berkenaan sebagai proksi bagi mendaftarkan perniagaan emas tersebut.
Hasil operasi khas Op Dygo, pasangan berusia dalam lingkungan 40-an itu telah direman selama lima hari sehingga 14 September di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kedua-dua suspek terbabit dalam urusan program pemutihan pekerja asing yang sepatutnya memberi peluang kepada majikan mendapatkan permit sah untuk pekerja tanpa dokumen.
Ads
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya. Kredit foto: Sinar Harian
Katanya, majikan perlu menyerahkan fail pekerja asing kepada bahagian penguat kuasa untuk semakan awal sebelum ia dibawa kepada suspek bagi memastikan dokumen lengkap sebelum Akaun Penerimaan (AP) dikeluarkan.
“Setelah melepasi peringkat pertama tapisan, majikan perlu membawa fail kepada suspek untuk menentukan kelengkapan dokumen sebelum memperoleh Akaun Penerimaan (AP).
“Bagaimanapun, bagi mempercepatkan proses daripada tujuh hari kepada tiga hari sahaja, majikan dipercayai perlu membayar RM700 bagi setiap seorang warga asing,” katanya.
Ads
Beliau menambah, wang rasuah itu diagihkan dalam kalangan pegawai yang menguruskan fail, manakala kedua-dua suspek menerima RM150 bagi setiap pekerja asing.
Sejak tahun 2020, pasangan tersebut dipercayai berjaya mengumpul sekitar RM900,000 yang sebahagian daripadanya digunakan untuk membuka kedai emas dan membeli kereta mewah.
Dalam serbuan SPRM di sebuah premis emas di Pahang, pihak berkuasa turut menemui simpanan emas dianggarkan tiga kilogram dengan nilai semasa kira-kira RM1.4 juta.
Ads
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Penyanyi manis bersuara lunak, Amira Othman mengejutkan ramai apabila mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan usahawan ternama, Fattah Amin.
Dalam temu ramah, pelantun lagu Dalam Sujudku itu berkongsi, persiapan majlis sedang giat berjalan dan dia memohon doa agar segala urusan dipermudahkan.
“Alhamdulillah, ketika ini saya masih melakukan persiapan. Mohon doa daripada kalian agar semuanya baik-baik. Saya percaya doa orang ramai juga menjadi asbab kami dipertemukan jodoh,” tutur Amira penuh syukur.
Menghitung hari menuju detik bergelar isteri, bekas peserta Akademi Fantasia Musim ke-10 itu menyerahkan sepenuh keyakinan kepada Allah. Amira mengakui dirinya sedar akan cabaran rumah tangga, namun tetap bertekad untuk menjadi versi terbaik dirinya dalam melayari bahtera perkahwinan.
“Tidak adil untuk trauma menjadi penghalang. Kita perlu percaya takdir kerana Allah adalah sebaik-baik perancang. Perkahwinan itu bermatlamatkan syurga, saya yakin pasti ada ujian, tetapi saya mahu melangkah dengan penuh tawakal,” kongsinya lagi.
Momen lamaran mereka juga penuh simbolik dan romantis. Ketika majlis pelancaran muzik Amira bersama Irfan Haris, Fattah tiba-tiba muncul dari belakang pentas. Irfan kemudian menyerahkan replika kunci kepada Fattah, yang akhirnya diserahkan kepada Amira, tanda janji dan komitmen untuk hidup bersama.
Dengan penuh emosi, Fattah meluahkan kata-kata yang menyentuh hati:
“Daripada rakan sekerja, ke rakan serumah.”
Acara penuh emosi itu turut disaksikan ibu bapa Amira, Othman Abdul Kadir, 62, dan Nora Haji Arshad, 58, yang duduk di barisan penonton sambil menerima sorakan gemuruh hadirin.
Pasangan ini memilih 14 September 2025, tarikh istimewa bersempena ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35, untuk mengikat janji suci di sebuah hotel di Johor Bahru.
Adik bongsu Amira, Irfan Haris, turut berkongsi rasa terharu di Insta Story, “Congratulation Kak Yaa, Ales happy for Kak Yaa. Alhamdulillah.”
Sebuah pertemuan, sebuah doa, dan sebuah janji. Kini Amira dan Fattah bersedia melangkah ke fasa baru dengan harapan cinta mereka menjadi jalan menuju syurga.
Melecur terkena air panas, anak kedua Linda Hashim masuk hospital – “Doakan kesembuhan untuk Anggun Cassandra.” Anak kepada pasangan pelakon popular, Linda Hashim dan Beego, iaitu Anggun Cassandra, terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan melecur akibat terkena air panas.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh kedua-dua selebriti berkenaan menerusi perkongsian di laman Instagram masing-masing. Dalam hantaran tersebut, mereka memohon doa orang ramai agar anak kedua mereka segera pulih daripada insiden yang tidak diduga itu.
“Mohon segala doa kesembuhan untuk anak saya Anggun Cassandra yang melecur terkena air panas,” tulis Linda dan Beego di media sosial.
Dalam pada itu, Linda turut berkongsi momen dirinya berada di dalam ambulans bersama anaknya. Katanya, meskipun hatinya hancur melihat keadaan Anggun menahan kesakitan, dia tetap berusaha kelihatan tabah agar anak kecil itu merasa sedikit tenang.
“Kali ini mommy tak kuat tapi acah-acah kuat depan Anggun,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warga maya menitipkan doa dan kata-kata semangat buat Anggun Cassandra. Ramai yang berharap agar anak perempuan pasangan selebriti ini kembali sihat seperti sediakala dalam masa terdekat.
Kes Zara Qairina: Jenazah Alami Pereputan Tidak Seperti Diviralkan, Ini Pandangan Sudut Syarak. Kes Zara Qairina mendapat perhatian bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan tetapi juga di luar negara. Ketika penggalian semula kubur arwah, ramai yang memperkatakan tentang pelbagai keajaiban antaranya jenazah tidak reput dan berbau harum.
Memetik laporan Harian Metro, jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengalami tahap pereputan sederhana hingga lanjut selepas dikeluarkan semula dari kuburnya untuk proses bedah siasat pada 9 Ogos lalu.
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Jessie Hiu berkata, tahap pereputan tubuh adalah konsisten dengan tempoh pengebumian dalam tanah. Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik.
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya ketika membacakan keterangan bertulis di Mahkamah Koroner.
Dr Jessie berkata, penggalian semula jenazah arwah dijalankan pada 9 Ogos lalu di Tanah Perkuburan Tanjung Ubi Mesapol, Sipitang. Beliau berkata, pengecaman jenazah disahkan oleh ibunya, Noraidah Lamat selepas proses penggalian semula dan sebelum pemeriksaan bedah siasat di HQE.
1. Saya tidak berbicara isu ini ketika ia viral awal dahulu. Sewaktu itu orang masih bersemangat dan mungkin tidak dapat menilai dengan pemikiran yang waras. Isu apakah itu?
Isu berikut:
I: Berkaitan bau harum di perkuburan Zara.
II: Jasad Zara elok seperti baru dikebumikan.
2. Saya mula rasa “sesuatu” dengan dua dakwaan ini. Ini kerana Peguam yang bersama keluarga Zara bermula sejak penggalian semula kubur, post mortem hingga dikebumikan semula tidak keluarkan maklumat terperinci seperti yang viral tersebut.
Sebelum ini viral berkaitan orang yang dikaitkan terlibat menggali semula kubur Zara, mengatakan terdapat bau haruman ketika proses itu dan perkara ini sendiri disebutkan oleh Timbalan Mufti Sabah. Itu dakwaan mereka. Mereka menjual nama Timbalan Mufti.
Baru-baru ini, Jabatan Mufti Sabah pula telah menafikan dan menyangkal dakwaan itu. Mufti dan Timbalan Mufti tidak hadir pada majlis tersebut. Jadi bagaimana mereka boleh menjual nama Timbalan Mufti mengatakan ada bau harum pada mayat Zara?
Kebiasaannya jika orang biasa yang claim perkara sebegini, ia sukar dipercayai. Namun apabila ditempelkan nama Timbalan Mufti, ia akan menambah keyakinan masyarakat. Tuan-tuan, dalam bersolidariti jangan mengaitkan unsur menipu dan “nasi tambah”.
Cukuplah dengan memberikan fakta dan maklumat yang dapat membantu pendakwaan.
Nabi sallallah alaih wasallam bersabda: وإياكم والكذب، فإن الكذب يهدي إلى الفجور، وإن الفجور يهدي إلى النار وما يزال العبد يكذب ويتحرى الكذب حتى يكتب عند الله كذابا
“Jauhilah penipuan, sesungguhnya penipuan membawa kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan membawa ke neraka. Seseorang yang menipu dan sentiasa menipu sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang penipu”. [HR al-Bukhari]
3. Kita dituntut menutup aib jenazah, tapi kita juga berdosa jika menipu dalam menyebutkan tentang sesuatu perkara berkaitan jenazah yang tidak benar walaupun tujuan dan niat yang baik.
Peguam Zara yang terlibat dalam urusan ini sejak kubur dibongkar semula hingga masuk bersama-sama dalam bilik post mortem, tidak melaporkan bau harum dan lain-lain. Jika beliau sebut ‘ada sedikit kesan reputan sederhana’, ini akan mendatangkan tohmahan.
Kerana ada sesetengah masyarakat kita memandang nilai iman kedudukan seseorang di sisi Allah berdasarkan keadaan fizikal jenazah.
4. Sejak insiden yang menimpa pelajar UPSI iaitu kemalangan bas sebelum ini, trend mengaitkan kubur atau jenazah harum ini semakin menjadi-jadi dalam negara kita.
Apabila diteliti dalam teks ulamak terdahulu, memang ada jasad atau kubur yang wangi ini. Itu tidak kita nafikan. Adapun pada zaman sekarang, kelihatan seolah-olah berlumba-lumba hendak menyampaikan maklumat pada masyarakat walaupun diragui kebenarannya.
5. Trend menilai zahir jasad jenazah, lalu dikaitkan dengan baik atau buruk kedudukan jenazah itu telah ada dilakukan pada zaman terdahulu. Antaranya ia dilakukan oleh golongan munafik.
Lihat pada kisah ketika kewafatan Saad bin Muaz. Beliau merupakan salah seorang sahabat baginda yang mempunyai banyak kelebihan pada dirinya. Orang munafik membenci Saad.
Lalu orang-orang munafik mengambil kesempatan menyindir jenazahnya yang ringan, disebabkan dendam kesumat mereka terhadap diri Saad.
لما حملت جنازة سعد بن معاذ، قال المنافقون: ما أخف جنازته، وذلك لحكمه في بني قريظة
Tatkala dipikul jenazah Saad bin Muaz, orang munafik berkata: “Alangkah ringannya jenazah Saad ini. Itu merupakan balasan terhadap apa yang diputuskan oleh Saad terhadap bani Quraizah”.
Perkataan orang munafik ini sampai kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda:
إن الملائكة كانت تحمله “Sesungguhnya malaikat yang memikul jenazah Saad”. [HR al-Tirmizi, hasan sahih gharib]
Ya, orang munafik telah lama ambil kesempatan menilai zahir jasad jenazah sama ada baik atau sebaliknya. Kalau dalam konteks sesetengah masyarakat kita, jenazah berat atau kubur berair dan lain-lain itu tanda ada sesuatu yang buruk pada jenazah. Seeloknya tinggalkan sangkaan buruk sebegitu.
6. Keadaan jasad yang nampak seolah-olah terseksa atau buruk di mata kita ketika kematian, tidak semestinya ia tanda seseorang itu hina di sisi Allah. Tidak sama sekali. Jaafar bin Abi Talib adalah sahabat baginda. Kedua-dua tangannya kudung kerana dicantas oleh musuh dalam peperangan Mu’tah. Bayangkan beliau meninggal dunia dalam keadaan kudung.
Tangan ditebas musuh. Namun terdapat riwayat dengan Sanad yang Hasan menunjukkan beliau terbang bersama malaikat, ada juga menunjukkan beliau mempunyai sayap. Ini semua di alam sana setelah kematiannya.
Setelah kewafatan Jaafar, Ibn Umar ketika bertemu dengan keluarga Jaafar beliau akan tegur anak Jaafar.
كان إذا سلم على ابن جعفر، قال: السلام عليك يا ابن ذي الجناحين
Ibn Umar apabila memberi salam keatas anak Jaafar beliau akan berkata ‘Assalam Alaik wahai anak pemilik dua sayap’. [HR al-Bukhari]
7. Dalam hadis memang ada disebutkan ciri-ciri kematian baik yang dapat dinilai dari zahirnya, tapi bukan sepertimana yang difahami oleh masyarakat kita. Antara syarahan ulamak terhadap hadis tanda kematian seorang itu mukmin adalah dengan berpeluh dahinya:
هو عبارة عن شدة الموت، وقيل هو علامة الخير عند الموت
“Ia menunjukkan terhadap dasyatnya (kesakitan) ketika menghadapi kematian. Dikatakan juga itu tanda kebaikan saat kematiannya”.
Dahi berpeluh merupakan tanda dasyatnya kematian seseorang. Bukan semestinya ia tanda seseorang itu diazab. Bukan tanda kurangnya nilai kedudukan seseorang di sisi Allah.
8. Selain itu, terdapat juga teks dari para ulamak yang menyebutkan kisah jenazah golongan terkorban dalam peperangan masih utuh dan sebagainya. Bahkan memang terdapat riwayat pada zaman Rasulullah berkaitan sahabat yang terkorban ketika perang
UHUD, jasadnya masih utuh dan elok lagi setelah digali semula. Jabir berkata:
فكان أول قتيل ودفن معه آخر في قبر ثم لم تطب نفسي أن أتركه مع الآخر فاستخرجته بعد ستة أشهر، فإذا هو كيوم وضعته هنية غير أذنه
“Ayah aku merupakan orang pertama yang terkorban dalam peperangan dan dia dikebumikan bersama-sama jenazah yang lain dalam satu kubur. Kemudian aku rasa tak sedap hati meninggalkan jasad bapa aku bersama jenazah lain. Lalu aku mengeluarkannya (korek kubur) setelah enam bulan (dari dikebumikan). Keadaan ayah aku elok seperti hari aku meletakkannya (ke dalam kubur) kecuali pada telinganya”. [Sahih al-Bukhari]
Namun pada hari ini, bukan tugas kita untuk menyebutkan secara pasti seseorang itu syahid atau tidak tanpa nas spesifik. Kita tidak ada kelayakan dan hak.
9. Saya masih ingat perbahasan dalam parlimen berkaitan isu Memali. Ada suara dalam parlimen ketika itu mengusulkan dibongkar kembali kubur tersebut (Ibrahim Libya) untuk melihat semula jasad mereka setelah hampir 20 tahun dikebumikan.
Cadangan datang dari pihak MP Kerajaan memerintah sewaktu itu. Jika jasadnya utuh itu tanda mereka di pihak benar. Sekiranya sebaliknya, itu tanda mereka bukan syahid. Hingga begitu sekali cadangan yang diutarakan oleh ahli parlimen pada saat itu. Bagaimana pun keadaan jasad itu elok atau tidak, bukan tugas kita menilai kedudukannya di sisi Allah.
10. Untuk isu Zara, doktor yang bertugas berkata badan Zara ada kesan reputan sederhana, beliau berkata:
“Walaupun badan telah mereput, tisu-tisu kecuali otak masih agak utuh, membolehkan pemeriksaan luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan”. Itu kenyataan doktor yang bertanggungjawab dalam hal ini. Selain itu, akhbar Metro juga berkata:
“Bagaimanapun, katanya keadaan jenazah arwah, kecuali otak masih dalam keadaan baik dan membolehkan bedah siasat dijalankan dengan baik”. Akhbar Bernama melaporkan bahawa jasad Zara mula mengalami pereputan iaitu pereputan sederhana.
Tuan-tuan, jasad Zara yang ada kesan mereput itu bukan semestinya tanda yang buruk. Itu memang keadaan yang berlaku bagi orang meninggal dunia. Sebab itu saya kurang gemar mengaitkan semata-mata keadaan jasad jenazah semata-mata untuk mengukur iman dan kedudukan seseorang di syurga atau sebaliknya.
Perkara utama yang penting sekarang ini ialah kita hendak pembuli dihadapkan ke pengadilan dan mendapat hukuman yang selayaknya jika benar ada unsur buli. Kita tidak perlu nasi tambah yang menambah cerita misalnya keadaan jasad seperti baru dikebumikan semalam dan lain-lain ketika bersolidariti.
Lagipun doktor juga telah menyatakan ada kesan pereputan sederhana. Perkara utama yang kita harapkan agar keadilan dapat ditegakkan. Emosi penting, tapi jangan emosi digunakan dengan cara yang salah.