Ajal dan maut di tangan Tuhan, jika telah tiba masanya tidak akan terlewat walaupun sesaat. Namun seorang gadis ini seakan tahu ajalnya telah tiba apabila suarakan sesuatu di media sosialnya.
Gadis ini telah muat naik status dipinang dengan kain putih, seakan dia tahu ajalnya semakin hampir. Seorang gadis telah dilaporkan mati dibunuh dalam satu kejadian baru-baru ini.
Seakan Tahu Ajal Semakin Hampir
Seakan-akan tahu ajalnya semakin menghampiri, seorang gadis dari Asahan, Sumatera Utara telah memuat naik status tentang kematian di laman sosial sebelum dilaporkan mati dibunuh dalam satu kejadian rogol pada 23 Disember di Klang, Selangor Malaysia.
Lapor Tribunnews, mangsa Lisa Sirait, 14, memuat naik status bertulis, “Aku akan dipinang malaikat maut, aku akan dibawa oleh malaikat maut, aku dipinang dengan kain putih”.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu mangsa, Sri Dewi, 41, yang masih terkejut pemergian anak kelima itu.
Gadis Muat Naik Status Dipinang Dengan Kain Putih
“Saya baru tahu dan terkejut Lisa ada memuat naik status dalam media sosial menyatakan dirinya akan ‘dipinang malaikat maut’.
Ads
“Memang sedih, kebiasaannya dia setiap hari akan hubungi saya. Tetapi waktu kejadian, saya tidak menerima panggilan dan berasa tidak sedap hati,” katanya.
Sri beritahu Lisa pergi ke Malaysia untuk mengikut kakaknya, Dinda Sirait yang bekerja di sana.
Si ibu juga memberitahu, sebelum berangkat ke Malaysia, Lisa ada membuat video di aplikasi TikTok yang dianggap sebagai video perpisahan.
“Saya ada tonton video itu, Lisa sempat mengatakan, syukur memiliki seorang ibu seperti saya. Ibarat video itu seperti perpisahan kepada kami,” ujarnya lagi.
Terdahulu, seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dipercayai dibunuh di sebuah rumah kedai di Taman Seri Andalas, di sini pada Rabu.
Ads
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 2.05 petang.
Mayat ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik di tingkat satu rumah kedai.
MW: Semoga keluarga mangsa tabah menerima ujian berat ini. Sudahlah tragedi menyayat hati ini berlaku ketika sang anak jauh di mata, tentu sahaja hati ibu tidak keruan. MW merakamkan takziah buat keluarga mangsa.
Lupa segala janji yang pernah dilontarkan saat bergelar suami isteri untuk setia hingga ke hujung nyawa. Lupa janji untuk susah senang bersama dalam membesarkan anak-anak. Segalanya dia lupa setelah mabuk dengan cinta baru. Lupa dosa!
Ikuti luahan rasa seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Sal saja. Dia memegang status janda setelah tidak tahan lagi sengan sikap suami yang lupa tanggungjawabnya pada keluarga dan asyik dengan cinta baru.
Pada mulanya hidup kami bahagia dalam perkahwinan yang menjangkau usia 19 tahun waktu itu. Walau pun pelbagai onak dan duri dilalui, kami dapat mengharungi bersama. Rumah tangga kami makin ceria dengan kehadiran tiga cahaya mata yang berusia 18, 17 dan 15 tahun. Hanya anak kedua lelaki.
Waktu itu kurasakan hidupku lengkap, ada suami yang penyayang (Y) dan anak-anak yang taat. Tak pernah terlintas di fikiran, rumah tangga yang kubina atas dasar cinta itu musnah akibat orang ketiga.
Y seorang yang aktif di sekolah bahkan dia sering dilantik sebagai ketua. Dia juga terkenal dengan kelunakan suaranya saat mengalunkan ayat suci al-Quran dan sering menjadi imam di kalangan teman-teman.
Sebenarnya sikap aktifnya itu sejak zaman sama-sama di maktab dulu. Antara tarikan yang dia miliki yang membuat aku terpikat kepadanya adalah karismanya sebagai seorang pemimpin. Dia pengerusi pelajar di maktab dulu.
Sebagai ayah, dia sangat penyayang dan ambil berat tentang anak-anak. Tegasnya bertempat dan aku lebih garang berbanding dirinya.
Kalau ditanya, sejak bila dia mula berubah? Entahlah. Cuma aku mula perasan bila dia makin kerap di sekolah walau pun hari cuti. Alasannya macam-macam aktiviti yang perlu diuruskan.
Bila balik rumah, dia jarang nak duduk berbual dengan anak-anak di ruang tamu sedangkan kebiasaannya kami akan bersama-sama duduk sambil memantau anak-anak membuat kerja sekolah.
Dia lebih suka duduk di dalam bilik menghadap laptop. Aku tak syak apa-apa.
Makin lama ku lihat sikap Y makin berubah. Bila berada di rumah kami jarang berbual macam dulu. Bila anak-anak tanya tentang kerja sekolah, dia cepat melenting dan suruh aku yang ajar.
Dengan aku juga begitu. Pantang ada yang tak kena di matanya, dia akan membebel dan marah-marah sedangkan selama ini dia sangat lemah lembut.
Satu hari, ketika sedang asyik menghadap laptop, tiba-tiba ada rakannya datang. Selepas membancuh air, aku masuk bilik untuk mandi. Tergerak hati untuk melihat laptop yang tak ditutup. Niatku hendak tolong off laptop itu.
Tak sangka, aku mendapat jawapan di atas segala perubahannya selama ini. Mungkin nak cepat, dia lupa nak off laptop dan ku lihat dia membuka facebook dan aku ternampak sedang berbalas mesej dengan seseorang.
Alangkah terkejutnya aku bila mendapati mesej itu bersama seorang wanita. Hatiku hancur bila membaca mesej antara mereka. Penuh kata-kata rindu dan cinta. Yang aku lebih terperanjat, wanita itu sanggup mengirimkan fotonya tanpa bertudung kepada suami! Sedangkan wanita itu bertudung litup!
Menggeletar jarinya saat melihatkan profile wanita itu dan rupanya wanita itu juga seorang ustazah dan janda anak dua. Usianya pertengahan 30-an. Ternyata sudah hampir enam bulan mereka berskandal.
Aku tunggu Y masuk bilik dan dia terperanjat besar bila lihat aku sedang berada di depan laptop. Aku terus bangun dan tanpa sepatah kata aku beredar ke bilik anak bongsuku. Malam itu aku tidur di situ. Aku tak mampu untuk berdepan dengan suami.
Keesokan pagi, aku bangun lebih awal daripada biasa dan siapkan sarapan dan terus ke sekolah. Sempat aku berpesan pada anak-anak supaya ke perpustakaan dulu hingga aku jemput mereka balik petang nanti. Nasib baik mereka sudah besar dan pandai jaga diri. Ke sekolah mereka akan menaiki van sekolah. Hanya yang sulung duduk di kolej.
Aku tak nak bersemuka dengan suami. Memang selama ini kami pergi mengajar berasingan kerana mengajar di sekolah berbeza.
Sampai di sekolah, aku ada terima mesej daripadanya yang ingin jumpa aku tapi aku tidak balas.
Jiwaku sangat celaru dan aku menangis di sekolah di depan kawan baikku M. Aku tak kuat untuk terima itu semua dan akhirnya berterus terang dengannya. Aku juga minta tolongnya untuk menemani aku bersemuka dengan suamiku.
Balik sekolah, ku lihat Y sudah ada di rumah dan wajahnya serba salah. Tak lama kemudian M sampai bersama suaminya Z. Mereka dikira kawan baik aku dan suami.
Di depan M dan Z sebagai saksi, aku minta Y berterus terang. Benar sekali, dia mengaku sudah menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Dia juga mengaku, dia akan mengahwini wanita itu kerana wanita itu sudah pun bercerai dengan suaminya selepas mereka bercinta.
Aku tak sangka, tergamak mereka tergamak berskandal di saat wanita itu masih isteri orang sedangkan keduanya ada ilmu agama. Rasa dikhianati membuatkan aku tekad minta dilepaskan. Aku tak sanggup hidup dengan lelaki yang curang padaku bahkan terang-terang mengaku akan memadukan aku dengan wanita lain.
Walau pun puas dipujuk, aku tekad. Syukur, aku bahagia dengan jalan hidup yang ku pilih dan kini lebih dua tahun aku bergelar ibu tunggal. Aku happy dengan anak-anak dan belum terfikir untuk mencari pengganti.
Bekas suamiku sudah pun berkahwin dengan kekasih gelapnya itu. Aku tak pernah lagi bersemuka dengan bekas suami. Kalau dia datang jumpa anak-anak, aku takkan keluar jumpa dia. Aku tak pernah halang dia jumpa anak. Rasa marah dan sedihku belum terubat. Aku memaafkan namun tidak mampu melupakan.
Bila jenazah tiba, kepala arwah rapi berjahit.. remuk hati ustaz uruskan jenazah mangsa campak datuk tiri yang meninggal pada hari Ahad lepas. Menurut ustaz ini, dia terbayangkan anak seusia mangsa yang belum mengerti apa-apa , namun menjadi mangsa keadaan.
Pada hari Ahad yang lalu kita dikejutkan dengan berita kekejaman yang dilakukan oleh seorang lelaki warga Nigeria yang berjaya ditahan selepas disyaki mencampak cucu tirinya yang berusia empat tahun sehingga meninggal dunia dari tingkat empat apartment Danau Villa, Setapak, Kuala Lumpur.
Si pelaku dikatakan berbuat demikian adalah kerana berang cubaan untuk merogol anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu gagal apabila dia dihalang isteri serta anak-anak yang lain.
Akibat pergelutan tersebut, anak kecil yang tidak berdosa dan tidak mengetahui apa-apa akhirnya menjadi mangsa.
Kanak-kanak malang yang dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi kini telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di Kuala Lumpur selepas urusan kafan selesai di Kontena Wakaf Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) isnin lalu.
Pengerusi SPJM, Muhammad Rafiuedin Zainal Rasid turut berkongsi pengalaman menguruskan jenazah kanak-kanak malang itu seperti apa yang dikongsikan di Facebook miliknya semalam.
“Allahuakbar… Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata saat melihat jasad anak kecil berusia 4 tahun yang mati gara-gara perbuatan tidak berperikemanusiaan datuk tirinya yang juga merupakan warga Nigeria.
Ketika menerima jasad itu yang tiba dari hospital, perasaan saya saat itu sangat remuk. Membayangkan anak saya yang seusia dengannya cukup pedih hati ini untuk melihat keadaan jasad anak syurga ini.
Apalah dosanya sehingga sanggup manusia dewasa yang berakal seperti datuk tirinya itu sanggup mencampakkan anak kecil yang sedang tidur dibuai mimpi saat itu dari tingkat 4 ke bawah dengan kejam?
Saya gagahkan diri untuk memandikan jasad kecil itu dengan berhati-hati. Perasaan bercampur baur saat merasai kepala arwah yang telah dijahit rapi yang sebelumnya retak kesan hentakan yang kuat ke bawah. Marah. Geram. Sedih. Allahuakbar!!!
Andai ada manusia berhati syaitan itu di hadapan saya ketika itu, akan saya pijak mukanya berkali-kali! Nafsunya mengalahkan binatang!
Hanya kerana terlepas peluang untuk memperkosa ibu anak kecil ini, anak yang tidak bersalah ini pula menjadi mangsanya!
Sudahlah anak ini kematian ayahandanya sejak 2 tahun lepas. Kini si ibu terpaksa pula menerima hakikat yang dia baru sahaja kehilangan satu-satunya anak hasil perkahwinannya bersama arwah suaminya dahulu.
Sungguh hebat ujian yang Allah berikan kepadanya. Semoga si ibu yang masih menerima rawatan di hospital kesan pukulan ayah tirinya warga Nigeria itu diberikan kesembuhan dan kembali sihat walafiat.
Insya’Allah, sihat tubuh badan mungkin tiada masalah. Namun untuk menghadapi kesan trauma sepanjang hayatnya itulah hakikat yang cukup sukar untuk dihadapi.
Selayaknya penjenayah itu dihukum sebat dan gantung sampai mati atas segala perbuatan hinanya itu!
Semoga keluarga arwah Adik Muhammad Adam Sufi bin Norkhusairi diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Allah lebih menyayangi dirinya.
Jenazah arwah Adik Adam selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, KL selepas urusan mandi kafan selesai di Kontena Wakaf SPJM malam tadi.
MW: Perkara yang berlaku ini adalah di luar kewarasan manusia, kerana nafsu manusia sanggup melakukan apa saja. Bayangkan kanak-kanak yang manja dan lincah bermain dalam usia emoat tahun diperlakukan sedemikian rupa. Berat mata memandang, lagi berat bahu sang ibu yang melahirkan dan membesarkan anak ini. Semoga keluarganya terus tabah.
Tidak dapat bayangkan bagaimana seorang anak yang masih kecil melihat ibunya menghabiskan nafas terakhir di depan matanya sendiri.
Dalam kejadian petang semalam, sebuah kereta telah dilanggar sebuah treler yang hilang kawalan. Si anak pilu lihat ibu meninggal dunia di depan mata.
Pilunya hati seorang kanak-kanak apabila melihat ibunya tersepit di dalam kereta sebelum meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 3, Jalan Bentong-Raub, Bentong, Pahang.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa S Puganeswari, 42, meninggal dunia serta-merta di dalam kereta Perodua Myvi dipandunya manakala anaknya yang berusia 11 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dari arah bandar Raub menuju ke arah Bentong dipercayai hilang kawalan.
“Keadaan itu menyebabkan dia terlanggar belakang sebuah kereta Proton Wira dan treler itu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi.
“Pada masa sama, kereta Proton Wira itu melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Wish yang berada di hadapannya,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta Perodua Myvi itu berasal dari Bentong dan mayatnya yang tersepit di dalam kereta dikeluarkan anggota bomba.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
MW: Semoga kematian mangsa S Puganeswari mendapat pembelaan sewajarnya dan anaknya dapat menerima kenyataan bahawa ibunya telah tiada.