
Gadis ditikam 16 kali maafkan perlakuan kekasih, sudah tarik laporan polis & rancang nikah.Tiada dendam dan tiada sekelumit rasa marah walau nyawa sendiri hampir tergadai. Malah merancang untuk berkahwin dengan kekasih hati hingga kesnya menjadi tumpuan masyarakat.
Inilah diakui oleh Eka Wahyu Lestari, 23 yang mengakui memilih berdamai dengan kekasihnya, Fika Andrean Banjarnahor, 21 yang telah menikamnya sebanyak 16 kali dan keduanya sepakat mahu bernikah dalam masa terdekat.
Gadis Ditikam 16 Kali Maafkan Perlakuan Kekasih
Mengimbau kejadian malang hingga nyawanya jadi taruhan, Eka menjelaskan ketika kejadian mereka berdua berselisih faham dan tanpa sedar, Andrean menikamnya sebanyak 16 kali.
“Sebenarnya dia tiada niat membunuh saya. Ia hanya pertengkaran biasa. Biasalah orang berpacaran mesti ada selisih faham. Kami kemudian bergaduh dalam kereta hingga jadinya ditikam bertubi-tubi.
“Saya juga tidak mengandung atau mahu gugurkan kandungan,’ katanya menepis pertanyaan ini.
Eka turut memaklumkan, selepas dirinya dikejarkan ke hospital menerima rawatan, hal antara mereka dibincangkan antara kedua belah keluarga.
Sudah Tarik Laporan Polis & Rancang Nikah
“Keluarga Andrean dan saya sudah berdamai, mereka minta laporan ditarik dan saya sedang uruskan termasuk juga persetujuan pernikahan dalam masa terdekat.
“Hubungan saya dengan Andrean sudah ke tahap serius. Jadi tunggu perdamaian untuk membebaskan dirinya saja sekarang,” katanya mengakui ditikam di bahagian perut sebanyak 16 kali.
Berasal dari daerah Asahan, Eka berkata, mereka di dalam kereta ketika kejadian.
“Andrean menikam saya bertubi-tubi sebelum menyedari saya semakin tidak bermaya.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Tak Puas Hati Pertunangan Diputuskan, Wanita Maut Ditikam Bekas Tunang!
Akibat Selalu Dibandingkan Dengan Bekas Isteri, Wanita Tikam Suami & Bakar Kereta!
Kakak Tak Sengaja Tikam Adik Dibebaskan Dengan Jaminan, Tertuduh Masih Kanak-Kanak
Dalam pada itu, siasatan polis dapati suspek meminta kekasihnya ini berbohong ketika dihantar ke tempat kerja dalam keadaan berlumuran darah.
“Namun lukanya agak parah dan kerana itulah dihantar ke rumah sakit,” kata polis dalam satu kenyataan.
Ternyata benarlah cinta itu buta pada orang yang buta menilainya. Sumber:- Detik.com
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
i-Sinar KWSP Kini Diperluaskan Kepada Semua Ahli Yang Hadapi Masalah Kewangan

Berita baik buat semua ahli KWSP yang terjejas. Program i-Sinar kini KWSP diperluaskan kepada semua ahli yang hadapi masalah kewangan.
Jadi mak,ayah yang sedang menanti pengumuman daripada KWSP bolehlah menarik nafas lega.
Program i-Sinar KWSP Diperluaskan
Kuala Lumpur: Kerajaan mengumumkan Program i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperluaskan kepada semua ahli yang menghadapi masalah kewangan.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, seramai lapan juta pencarum KWSP layak untuk mengeluarkan wang mereka sehingga RM10,000.
Baca Juga Di sini:
Maksimum Sehingga RM60,000, Golongan Terkesan Boleh Mohon Keluar Akaun 1 KWSP Mulai Disember!
Bincang DAHULU Dengan Pasangan, Sekurangnya Bila EMERGENCY Duit KWSP ADA
COVID-19: Permohonan Pengeluaran Akaun 2 HANYA Menerusi i-Lestari KWSP
Untuk info lebih menarik, klik saja di sini.
Kepada Semua Ahli Yang Hadap Masalah Kewangan
“Saya dengar kesusahan rakyat di media sosial termasuk tuntutan semua Yang Berhormat, sukacita dimaklumkan Program i-Sinar diperluaskan kepada ahli terjejas pendapatan tidak kira hilang pekerjaan atau terkurang pendapatan.
“Mereka layak memohon pengeluaran tanpa mengira sektor,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.
MW: Semoga golongan terjejas dapat menerima manfaat daripada pengeluaran i-Sinar ini. Sekurang-kurangnya bebanan kewangan yang dihadapi dapat dikurangkan.
Sumber: myMetro
Andartu Tertekan Jodoh Culas Sebab Gemuk

Ada perkara yang di luar kawalan kita sebagai manusia. Segalanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Misalnya soal jodoh.
Setiap manusia pasti ingin hidup berpasangan. Namun bukan semua ditakdirkan memiliki pasangan hidup. Bagi wanita terutamanya, masih bergelar dara pada usia yang sudah mencecah angka 40-an pasti merungsingkan fikiran. Ikuti luahan rasa seorang wanita bujang kepada kolumnis ruangan Ya Tuhan, Puan Maimunah Mohamad, seorang Kaunselor dan penulis bebas.
Usia Cecah 40 Tahun
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Saya seorang wanita yang masih belum lagi berumah tangga walau pun usia saya sudah menginjak ke angka 40 tahun pada bulan Mac nanti. Saya anak sulung daripada tiga beradik perempuan.
Dua orang adik sudah pun mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak-anak. Dengan anak-anak saudara itulah saya tumpang bermanja dan memanggil saya dengan gelaran ‘ibu’. Saya tinggal berdua bersama emak, sejak kematian ayah 15 tahun lepas. Nasib baik juga adik-adik ipar saya baik dan sentiasa mengambil berat tentang saya dan mak. Setiap kali cuti sekolah, anak-anak yang sudah boleh berdikari (lingkungan 8 – 16 tahun) akan dibenarkan balik kampung. Itu semua atas permintaan mak yang seronok bila tiba cuti sekolah, rumahnya meriah dengan cucu-cucu.
Saya seorang guru sekolah rendah dan dengan pendapatan saya, cukup untuk menanggung diri dan mak. Tambahan pula, mak ada pencen askar arwah ayah. Lebih daripada mencukupi untuk menampung kehidupan kami tanpa perlu susahkan adik-adik. Syukur, sudah beberapa kali saya membawa mak menunaikan umrah, dengan menumpang mahram adik dan suaminya.
Kesunyian
Walau pun daripada luaran, saya nampak gembira, tapi jauh di sudut hati, saya rasa ada ruang ‘kosong’ dalam diri yang belum terisi. Terus terang, saya masih menyimpan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kelak.
Kadangkala saya tertanya-tanya, apakah kerana fizikal saya yang gemuk membuatkan tidak ada lelaki yang sukakan saya? Pernah beberapa kali saya cuba bercinta tapi semuanya kandas di tengah jalan. Ada yang sekadar nak pergunakan saya kerana saya berduit dan ada juga yang terpaksa putuskan hubungan dengan alasan keluarga tak restu. Puan, saya rasa sedih dengan keadaan ini. Apakah orang sekarang hanya melihat paras rupa semata-mata?
Keluarga Faham
Saya bersyukur kerana mak dan adik-adik faham perasaan saya. Tidak pernah merungut jika saya tidak mahu ikut serta pergi ke kenduri kahwin jiran atau saudara mara. Saya sudah malas ditanya soal perkahwinan. Hanya orang tak siuman saja yang tak ingin kahwin!
Akhirnya saya makin jarang menghadiri majlis kahwin kecuali rakan rapat atau keluarga terdekat saja. Biasanya saya akan hantar dan jemput mak, kemudian sanggup duduk menunggu di dalam kereta. Sampai ke tahap itu perasaan yang saya alami.
Cuba Diatur Jodoh
Pernah juga makcik-makcik saya cuba aturkan jodoh saya. Tapi kalau yang dipilih itu duda yang sudah berumur atau lelaki yang tak tetap kerjanya, takkan saya nak terima. Walau pun andartu, tapi saya bukan terdesak untuk kahwin hingga tak tengok dulu latar belakang lelaki itu. Saya ingat pesan mak. Jangan kahwin semata-mata nak tutup mulut orang. Biarkan apa orang nak cakap. Kalau tak bahagia, kita yang kena tanggung. Bukan bermaksud saya terlalu memilih dan pandang rendah pada orang bekerja sendiri, tapi saya rasa saya berhak untuk memilih yang terbaik untuk diri saya.
Terus terang, soal jodoh saya sudah serah bulat-bulat kepada Yang Esa. Hanya mampu berdoa saja. Cuma saya tak nafikan, ada masanya perasaan sedih itu datang bila lihat kebahagiaan pasangan lain. Puan, bagaimana saya nak pujuk diri agar lebih tenang dan reda menghadapi dugaan jodoh yang tak kunjung tiba…
Gadis Senja, Perak.
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Allah mencipta manusia dalam pelbagai bentuk dan rupa. Pelbagai warna kulit, bangsa dan bahasa. Bagi kita yang dilahirkan sebagai Islam, adalah satu rahmat dan nikmat yang yang tidak terhingga nilainya. Setiap daripada kita sebagai seorang Islam ada kelebihannya. Yang cantik dan yang hodoh, yang kurus dan yang gemuk, masing-masing ada kelebihan. Malah yang sempurna anggotanya mahupun yang cacat anggota pasti ada perbezaan dan kelebihan masing-masing.
Amat bersyukur lagi kita sebagai hamba-Nya kita sempurna kejadiannya, tanpa ada kecacatan anggota. Ada insan yang lahir tetapi tidak pernah dapat melihat keindahan alam ini. Ada insan yang berhadapan dengan kemiskinan tegar untuk mendapat rezeki perlu bertarung nyawa untuk menghilangkan rasa lapar.
Justeru,…”nikmat mana lagi yang kamu dustakan”.?…..ayat yang Allah ulang-ulang pertanyaan kepada hamba-Nya dalam surah Ar Rahman tentang apa lagi yang tidak cukup yang dikurniakan kepada kita ?
Malah kepada manusia yang diuji dengan pelbagai ujian oleh Allah sebenarnya orang itu disayangi Allah. Tanpa manusia itu menyedari bahawa sayangnya Allah terhadapnya melebihi berkali ganda sayang seorang ibu kepada anak kecilnya. Lihat sahaja nabi diuji dengan pelbagai ujian hanya kerana untuk meningkatkan tahap keimanan terhadap Allah, yang menunjukkan nabi amat disayangi Allah. Begitu juga kita hamba-Nya, diuji dengan ujian yang terlalu sedikit.
Ada Keistimewaan
Tahukah saudari orang gemuk ada keistimewaannya yang tersendiri? Kebanyakan orang gemuk disukai oleh orang-orang sekelilingnya. Apabila orang menyukai, bermakna mereka menghargai kita. Penghargaan itu adalah antara istimewanya saudari di mata manusia lain. Anda sendiri mengaku bahawa anda punya keluarga yang harmoni. Itulah antara kebahagiaan yang saudari kecapi kini yang merupakan satu rahmat dan nikmat.
Berbalik kepada soal jodoh, aya kurang pasti adakah kerana gemuk maka jodoh lambat saudari temui. Jika anda merasakan bahawa kegemukan adalah antara halangan dan sebab tidak mendapat pasangan, maka usaha ke arah “menguruskan” badan tidak mustahil boleh dilaksanakan. Ramai orang gemuk yang berjaya mengurangkan berat badan dalam tempoh tidak sampai setahun. Mereka sanggup tidak makan nasi sebulan sekali dan hanya makan sayur-sayuran dan ikan. Jika anda punya Kegigihan, dan komitmen serta disiplin diri yang tinggi dan keazaman yang kuat untuk mengurangkan berat badan, insya Allah saudari akan berjaya satu hari nanti.
Memilih
Hakikat pada hari ini perlu kita akui bahawa wanita semakin ramai dan lelaki semakin berkurang. Peluang untuk memiliki lelaki yang menepati kriteria pemilihan yang saudari tentukan mungkin paling sukar ditemui. Walaupun hanya kriteria bekerja tetap, namun masih sukar ditemui. Malah mungkin juga tiada pilihan langsung. Apatah lagi jika usia telah melewati 40 tahun. Semakin sikit peluang tersebut. Dan apabila saudari menyebut “Bukan bermaksud saya terlalu memilih dan pandang rendah pada orang bekerja sendiri, tapi saya rasa saya berhak untuk memilih yang terbaik untuk diri saya…..Maka ini akan bertambah sukar untuk mendapat calon mengikut cita rasa saudari kerana hakikat yang saya sebutkan di atas tadi bahawa wanita ramai dari lelaki , maka pilihan amatlah terhad. Realiti dan hakikatnya bahawa perlu diakui. Justeru, jika mahu meneruskan hajat, maka kriteria bukan bekerja sendiri tu perlu dilihat kembali.
Bukan hanya perkahwinan sebagai faktor penentu yang boleh membawa kebahagiaan kepada puan. Hidup ini banyak pilihan dan banyak peluang serta cara lain untuk bahagia. Berlapang dada, terima hakikat dan beri peluang pada diri. Jika saudari bertemu jodoh, kahwinilah lelaki yang baik, beriman dan punya tanggungjawab. Namun jika itu tidak ditemui, berbahagialah dengan apa yang puan miliki kini berbanding dengan insan-insan malang seperti yang saya gambarkan di awal penulisan ini. Sekiranya ditakdirkan saudari masih belum bertemu jodoh, banyak cara dan peluang untuk menambah pahala menuju ke syurga.
Sebelum saya akhiri, izinkan saya menyebut sesuatu yang pernah kita dengar….. “Kita sering dapat apa yang kita perlukan…. kita hanya tidak dapat apa yang kita inginkan”. Percayalah puan, Allah tidak pernah menghampakan kita…Dia akan berikan apa yang kita perlukan. Tetapi mungkin Dia tidak berikan apa yang kita inginkan kerana belum tentu apa yang kita inginkan itu terbaik untuk kita. Malah jika kita perolehnya berkemungkinan besar ia akan memberi kemudharatan pada kita. Wallahualam.
Pagi Hantar Bernyawa Balik Tinggal Jasad Jer, Bukan Mudah Baizura & Nain Nak Terima Kehilangan Anak

Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.
Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.