Sebaiknya fikirlah masa depan anak dan isteri, akibat terlalu jaga hati saudara atau kawan, akhirnya keluarga sendiri susah di penghujung hari.
Ketika itu mungkin sudah terlambat dan nasi sudah jadi bubur. Itulah sebabnya hadir seorang isteri yang cerewet dan banyak soal semata-mata melengkapi kehidupan seorang lelaki.
Bayangkan bekerja bertahun-tahun tapi tiada caruman tanpa sedar, sudahnya apabila datang ujian, isteri dan anak-anak yang terkena tempiasnya. Kasihan bukan.
Oleh itu jangan ambil ringan dan selalu ambil berat akan perkara ini. Ikuti perkongsian Puan Farizal Radzali ini dan hadam baik-baik iya:
Fikirlah Masa Depan Anak Isteri
Buat lelaki yang tak suka perkara remeh, malas hendak panjangkan cerita, konon malas hendak gaduh dan malas hendak fikir, itu malas, ini malas, semua malas. Mari sini hendak cerita sikit.
Ada dua kes. Ada banyak tetapi bagi dua sajalah. Moga boleh berfikir sebaiknya.
Bagi kes yang pertama, dia bekerja dengan saudara sejak bujang lagi. Kerja mekanik saja pun. Bengkel saudara. Gaji potong SOCSO dan KWSP. Bertahun juga. Sampailah sudah kahwin, sudah beranak dua.
Satu hari isteri tanya suaminya, berapa duit KWSP suaminya. Suaminya kata tak pernah check. Isteri desak suruh check. Lepas check rupanya tak pernah dicarumkan. KWSP dan Perkeso, dua-dua potong gaji tapi tak pernah dibayar ke KWSP dan SOCSO.
Isteri suruh tanya pada bos yakni sepupu suami. Suami kata malaslah hendak bergaduh. Takut nanti bermasam muka. Biarlah. Dan akhirnya satu hari si suami kemalangan di tempat kerja, meninggal dunia.
Hendak keluarkan KWSP tidak ada, kemudian hendak mohon Perkeso pun tiada. Anak tiga orang masih kecil, masih bersekolah. Isteri suri rumah. Lepas seminggu si sepupu suami sudah dapat pengganti baru sedang isteri masih menangis mengenang masa depan anak-anak.
Keluarga Susah Penghujung Hari
Kes kedua pula, pun begitulah sikap suami. Tapi isteri cerdik sikit. Dia sendiri check dalam diam. Bila diberitahu nama suami tiada rekod dalam KWSP mahu pun Perkeso, suami kata tak payah masuk campurlah.
Cukup duit makan minum, ada tempat tinggal cukuplah. Malas hendak bergaduh lagipun sudah lama dia kerja dengan kawannya itu. Sampai satu hari si suami jatuh sakit kronik. Dia terpaksa berhenti kerja. Hendak dialisis, perlukan kerusi roda, kemudian mohon dekat Perkeso tak boleh disebabkan dia tak pernah mencarum.
Ads
Anak-anak masih kecil. Tunggang terbaliklah si isteri turun naik pejabat Baitulmal dan pusat zakat minta bantuan. Mana hendak jaga suami lagi, mahu jaga anak-anak lagi, hendak bekerja lagi. Manakala kawannya sudah dapat staf baru.
Lelaki Malas Perkara Remeh
Memang sikap kebanyakan lelaki, malas dengan perkara remeh. Tak nak susah sikit. Anggap isteri terlalu cerewet, terlalu berkira. Tapi itulah tujuan hadirnya isteri, untuk saling melengkapi dan saling mengingati.
Fikirlah masa depan. Kalau tak fikir masa depan diri sendiri, fikirlah masa depan anak isteri. Jangan terlalu hendak jaga hati saudara, hati kawan, sampai anak isteri susah di penghujung hari.
Ada perkara kadang itu remeh dan susah, sebab nak kita berusaha untuk dapatkannya. Rezeki itu dari Allah, tapi kena usaha. Ia tak datang bergolek.
Farizal Radzali
Mingguan Wanita: Rezeki itu milik Allah, oleh itu berusahalah yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Jangan ambil mudah dalam apa perkara sekalipun kerana esok, lusa kita belum tahu nasib kita.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Selepas penganjuran Webinar Bangkit Wanita #bisnesdarirumah, Mingguan Wanita menerusi kempen Bangkit Wanita, membuka pendaftaran kepada kursus latihan praktikal jangka pendek.
Kursus-kursus akan bermula hujung Mei hingga Ogos ini dan kemuncak kepada kempen ini ialah penganjuran Konvensyen Inspirasi CEO Bisnes Viral. Kursus latihan yang ditawarkan akan berlangsung selama sehari setiap satu dan orang ramai khasnya wanita B40 dan M40 boleh memilih kursus yang diminati.
Apa yang menarik kursus ini memang direka khas untuk mereka yang mahu berniaga sebaik tamat latihan asas kemahiran ini. Sejumlah tujuh kursus asas latihan praktikal dan demo dibuka untuk penyertaan merangkumi sektor makanan, pengurusan, busines kedai online, jahitan dan perkhidmatan.
Nak Jadi Usahawan Viral, Ini Pilihan Antara Kursus Kemahiran Untuk Wanita B40 & M40
Buat Aneka Kuih Frozen. Confirm sedap, laku keras. Dibuka pada 24 Julai 2021. Peserta diberi tunjuk ajar menyediakan beberapa jenis makanan sejuk beku yang laris di pasraan seperti donut, samosa, pizza dan banyak lagi. Sila klik pautan ini untuk pendaftaran //toko.ideaktiv.com/product/buat-aneka-kuih-frozen-confirm-sedap-laku-keras/
Anak-anak anugerah terindah untuk setiap pasangan yang berkahwin. Cuma yang membezakan, ada yang memiliki anak ramai dan ada yang sekadar seorang. Apa pun setiap seorang daripada mereka adalah amanah daripada Allah SWT untuk dijaga dengan sebaik mungkin.
Ada pasangan yang sudah bertahun berkahwin namun belum dikurniakan zuriat. Hati meronta-ronta ingin bergelar mak ayah namun belum tiba rezeki. Apa pun terukan berdoa dan berusaha. Doa tanpa usaha juga tak boleh.
Anak-Anak Cepat Membesar
Masa yang bergerak kini dirasakan amat pantas berjalan. Hari demi hari berlalu, bulan ke bulan dan tahun berganti tahun. Si kecil yang dikandung kini semakin membesar. Perjalanan waktu yang pantas ini hakikatnya mempengaruhi rutin kehidupan kita sehari-harian.
Segalanya jika tidak dirancangkan dengan baik pasti berlalu begitu sahaja tanpa boleh diulang kembali.
Anak-Anak Dididik Ilmu Agama
Rakan penjaga yang saya hormati, mari sama-sama kita cermati, apakah yang telah kita lakukan untuk anak-anak kita bagi menjamin kelestarian kehidupannya sebagai hamba Allah dan khalifah-Nya? Adakah benar-benar kita telah menjalankan tanggung jawab kita yang hakiki dalam mendidiknya dengn baik sebagainya yang dituntut?
Atau pun kita hanya mengulangi rutin yang pernah kita lalui dahulu sewaktu kita seusia dengan dirinya? Allahu Rabbi, hakikatnya, perkara ini benar-benar harus kita tekuni dan renungi sejenak agar, tanggungjawab yang Allah pundakkan kepada kita benar-benar telah kita laksanakan dalam kesempatan waktu yang ada.
Rencamnya waktu dan dunia yang mereka diami kini amat memerlukan kefahaman dan sentuhan didikan yang lebih kukuh dalam institusi kekeluargaan. Di mana-mana sahaja kedengaran gejala-gejala yang membimbangkan dan merunsingkan berlaku dalam kalangan generasi muda kita dewasa ini.
Malah tidak kurang juga berlaku di peringkat yang lebih rendah iaitu dalam kalangan usia anak-anak yang masih terlalu muda. Mengapa hal ini terjadi perlu dibincangkan namun yang lebih penting untuk diutamakan adalah bagaimana cara penyelesaian dan penghindarannya harus dilakukan.
Beri Perhatian Pada Anak-Anak!
Di peringkat kita selaku ibu bapa, perhatian harus diberikan kepada anak-anak. Pada fasa pertama kehidupan mereka iaitu sewaktu mereka masih banyak masa berada di rumah, perhatian ini arus didapatkan sebesar-besar yang mungkin. Ini adalah untuk mengukuhkan kepercayaan anak terhadap kita kedua ibu bapanya.
Salah satu cara yang boleh diterapkan adalah dengan mendengar.Ya, anak-anak kita mahu didengari. Banyak perkara yang mengelirukan dan tidak kurang juga yang mengujakan sedang mereka hadapi sekarang. Justeru, mereka tidak boleh menghadapinya sendiri. Mereka amat memerlukan kita untuk mendengar dan memberikan pandangan.
Gemar Bercerita
Saya pasti, setiap daripada kita menghadapi situasi anak-anak yang gemar bercerita. Banyak sungguh plot-plot cerita yang ingin disampaikan. Tidak dinafikan ada masanya kita tidak mampu lagi untuk mendengarnya.
Walau bagaimana pun, kawal perasaan itu. Ini kerana salah satu keperluan emosi mereka adalah untuk didengari. Cuba berikan perhatian dan jika tidak mampu, ajaklah anak untuk berehat sebentar tetapi jangan terus berlalu dan menutup siri ceritanya dengan nada yang kasar.
Elakkan Tunjuk Ekspresi Negatif
Anak-anak kita yang masih kecil hanya memahami sesuatu perkara dengan mudah berdasarkan ekspresi kita. Iaitu samA ada suka atau tidak, samA ada marah atau sayang dan sebagainya. Jadi, jika kita memilih untuk menggunakan kekerasan atau nada yang tinggi untuk memotong ceritanya tadi, dia akan faham bahawa kita tak suka dan apa yang dilakukan salah.
Padahal, bercerita bukan sesuatu yang salah. Bercerita akan mengajarkan anak menyatakan atau mengekspresikan emosinya. Yang salahnya di sini adalah kita yang kurang sabar untuk menantikan penamatnya.
Mak Ayah Tempat Luahan Perasaan
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama cuba untuk menjadi pendengar yang setia untuk anak-anak. Apabila ruang itu sentiasa terbuka untuk dirinya, kelak sewaktu umurnya semakin meningkat dewasa, dia juga akan mencari kita sebagai tempat meluahkan kekeliruan dan kegembiraannya.
Ini kerana, kepercayaan sudah wujud dalam perhubungan kita. Bayangkan sahaja, apabila anak-anak kita meningkat dewasa sudah pasti lebih banyak konflik yang bakal ditempuhi, jika pada ketika itu tempat dia merujuk adalah kita ibu bapanya, insya-Allah kita akan cuba untuk memberikan panduan yang terbaik buat dirinya.
Gunakan Masa Yang Ada
Namun, jika pada ketika itu, dia tidak yakin boleh berkongsi apa yang sedang dihadapi dengan kedua ibu bapa dan mencari orang lain sebagai tempat meluahkan perasaan maka kita tidak dapat memantau keadaan anak-anak kita sendiri. Malah yang lebih mendebarkan, kita tidak tahu pandangan bagaimana yang menjadi rujukan anak-anak kita.
Justeru, gunakanlah masa yang kita ada sekarang untuk menjadi pendengar yang setia bagi anak-anak kita. Usah banyak bercakap sahaja, anak-anak kita juga perlu diberikan peluang untuk menyatakan perasaannya dan berkongsi pendapatnya. Insya-Allah perhubungan kekeluargaan kita akan menjadi lebih erat dengan izin-Nya. Allahuallam.
Sumber: Dr. Nurul Asiah Fasehah Binti Muhamad (USIM)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mentua, acapkali dikategorikan sebagai orang ketiga dalam perkahwinan. Sebenarnya, sebagai menantu, mempunyai seorang ibu mentua adalah satu kelebihan kerana anda mempunyai dua orang ibu. Persoalannya, bagaimana untuk menjadi sebagai seorang menantu yang disayangi dan ibu mentua yang dibanggakan?
Bagi menjadikan diri sebagai menantu kesayangan dan mentua yang dibanggakan; perlulah ada pengorbanan. Masing-masing perlu bersikap terbuka dan lebih rasional di dalam apa jua keadaan dan situasi.
Seorang menantu perlu lebih bijak memainkan peranan di dalam menambat hati mentua. Ibu mentua anda adalah seperti ibu anda sendiri yang perlu dihormati dan disanjungi.
WAHAI MENANTU…
Walaupun anda bukanlah menantu pilihan, anda perlu lebih mendedahkan diri kepadanya, pikat hatinya, pujuk kasihnya walau segala macam dugaan diterima. Memang mengambil masa dan perlu menjeruk rasa tetapi percayalah, insya-Allah… berkat segala kegigihan dan pengorbanan anda, mentua akan menerima anda dan tidak mustahil di suatu ketika nanti, anda adalah menantu kesayangannya.
WAHAI MENTUA…
Sebagai mentua pula, anda juga perlu lebih bersikap terbuka. Sebagai orang yang lebih tua, jangan terlalu mengikut rasa. Terimalah ketentuan Ilahi bahawa itulah menantu anda walau dia bukan pilihan hati anda. Anda perlu tahu dan ingat, isteri anak anda berperanan membahagiakan kehidupan anak anda. Apabila anda campurtangan dalam urusan yang tidak sepatutnya, tentulah porak peranda hidup anak anda itu. Namun begitu, bukan bererti anda hanya boleh sekadar memerhati. Sekiranya ada kelakuan dan sikap menantu yang tidak kena dengan tatasusila dan kehendak agama, dekati anak anda dan minta anak anda lebih tegas terhadap isterinya demi kerukunan rumah tangga mereka.
Prinsip
Hakikatnya, hubungan seorang menantu dan mentua sepatutnya menjadi seperti hubungan seorang anak dengan kedua ibu bapanya. Apabila seorang lelaki atau wanita menerima kehadiran seseorang sebagai pasangan hidupnya, seharusnya juga dia menerima ahli keluarga pasangannya itu terutamanya kedua ibu bapa pasangannya seperti ibu bapanya sendiri. Samalah juga dengan ibu bapa; mereka seharusnya menerima pasangan hidup anak mereka bagai anak sendiri. Apabila prinsip ini dipegang oleh menantu dan mentua, takkan timbul masalah di dalam hubungan antara menantu dan mentua, tak kiralah tinggal serumah dengan mentua ataupun tidak.
Isu persaingan antara menantu dan mentua tidak akan timbul sekiranya mentua memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai mentua dan ibu; dan menantu pula memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang menantu dan isteri. Sebagai seorang mentua dan seorang ibu, anda mempunyai peranan untuk memastikan menantu anda mampu membahagiakan hidup anak anda.
Anda perlu pastikan segala tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami dilakukan oleh menantu anda sebaiknya agar hak anak anda tidak terabai. Jika menantu anda adalah isteri, jadikanlah menantu anda sebagai isteri yang menyenangkan hati anak anda. Jika terdapat kekurangan pada diri menantu anda, JANGAN DIHINA sebaliknya ASUH DAN DIDIKLAH menantu anda menjadi seorang isteri yang baik dan mampu membahagiakan anak anda.
Soal kasih
Tidak perlu timbul juga soal kasih anak anda beralih arah kerana anak anda akan tetap menjadi anak anda walau apa pun keadaan dan statusnya. Perlu diingat, terdapat perbezaan kasih dan sayang antara seorang ibu dan ayah kepada seorang anak, begitu juga kasih dan sayang antara seorang suami dan isteri. Anak anda mengasihi menantu anda sebagai isterinya atau suaminya, kasih sayang anak anda kepada anda pula adalah kasih sayang seorang anak kepada ibu atau bapanya.
Walau sebaik mana pun anda memainkan peranan anda sebagai seorang ibu atau bapa, anda masih tidak mampu menjalankan peranan yang mampu dimainkan oleh menantu anda iaitu menunaikan kehendak batin anak anda. Lantaran itu, berlapang dada lah menerima kehadiran menantu anda ke dalam hidup anak anda.
Bagi seorang menantu pula, anggaplah segala tunjuk ajar daripada mentua anda sebagai satu pelajaran untuk anda lebih mengenali pasangan hidup anda. Ingatlah, ibu dan bapa pasangan andalah yang memelihara, menjaga dan membesarkan pasangan anda hingga mampu menjadi teman hidup anda. Tidak wajar kehadiran anda membuatkan hubungan yang sedia terjalin menjadi renggang dan tidak mesra.
Satu perkara yang perlu diingat, jika seorang anak mampu menjaga hati dan perasaan ibu dan bapanya dengan sebaik-baiknya maka lelaki atau wanita tersebut berpotensi menjadi pasangan hidup anda yang penyayang, pengasih dan ideal sepanjang hayat, insya-Allah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tukar jadi status laki bini, kebanyakan pasangan sering abaikan emosi dan perasaan isteri. Mungkin masing-masing penat mencari rezeki dan menguruskan hal anak-anak, tetapi dari sudut ambil hati anda tetap tidak boleh letak tepi. Namun masalah ini boleh dibaiki, cuba ambil tahu beberapa perkara mudah ini…
1. Waktu Bercita Pegang Tangan, Dah Kahwin Anak Bini Pun Kat Belakang
Sentuhan fizikal paling mudah bagi simbol cinta suami isteri adalah dengan pegang tangan tanpa diminta. Tetapi apa yang pelik kalau sudah halal, anak pula akan dijadikan satu alasan untuk pegang tangan pasangan. Perlu pasangan tahu, pegang tangan juga mampu kurangkan tekanan emosi isteri.
Cuba buat waktu isteri merajuk, lagi cepat aura positif itu muncul. Mahu lagi istimewa, sesekali paut jari jemari waktu sama-sama menonton televisyen. Atau lebih manis curi pegang tangan waktu keluar membeli belah, walau payah dengan dukung anak. Jangan pula satu pasangan di depan, satu di belakang.
2. Beli Hadiah
Isteri selalunya tidak meminta. Ada yang menghulur dia menerima. Kalau pun pasangan sama-sama mencari rezeki di luar, apa salahnya jika anda selalu ada hadiah kecil buat tambat hati. Tidak perlu yang mahal, mencukupi walau sekeping coklat. Lebih puas hati jika anda belikan makanan atau barang kesukaannya.
Waktu memberi mungkin boleh selit gurauan, semata untuk cungkil rasa cinta yang tersembunyi. Kadang penat kerja di rumah atau pejabat boleh hilang apabila mata melihat pemberian kecil dari orang tersayang. Tanda mengingati…
3. Buat Sesuatu Tanpa Disuruh
Ya, mungkin masing-masing penat tetapi jangan saling mengarah. Jika nampak sesuatu yang kurang enak depan mata, anda boleh memahami hati pasangan. Letak diri anda di tempat pasangan. Mungkin tidak sempat untuk kemas kerana anak-anak meragam. Jika mahu menjaga hati, anda sendiri boleh terus tolong pasangan.
Bertindak lebih baik daripada mengarah. Isteri, kalau nampak suami bertindak dia akan terus rasa bersalah. Jadi automatik, esok-esok hari kerja harian anda lebih dijaga kerana tidak mahu apa yang suami buat sendiri, terulang seperti hari sebelumnya.
4. Nak PUJI Pun Berkira
Wanita lebih bertindak dan rasa dihargai jika suami selalu memuji. Mungkin hidangan tidaklah begitu istimewa, tetapi jika anda pandai ambil hati, isteri pasti lebih rajin masuk dapur walau penat seharian bekerja. Andai tidak begitu memuaskan, anda boleh sampaikan dengan cara lebih positif. Awas, jangan kritik kalau bab makanan yang dimasak. Nak menegur bab masak, suami kena sama-sama masuk dapur.
Mahu lagi romantis, saling berebut saat menyuap depan anak-anak. Anak-anak tengok pun, pasti mereka dapat baca isi hati kedua ibu bapa yang sedang bahagia.
5. Masing-masing Dah Kurang Mendengar
Memang tidak pelik kalau isteri selalu bercerita hal remeh sampai bertukar jadi bebelan. Saat mereka bercerita bukan kerana suka-suka ya, itu kerana mereka rasa tertekan dengan keadaan yang dilalui. Walau anda rasa perkara yang dikongsi agak tidak penting, tetapi belajarlah menjadi pasangan yang memahami. Faham saat pasangan berduka kerana sikap wanita, hanya meluah mereka akan rasa lebih puas dan disayangi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebagai seorang wanita pada realitinya banyak pengorbanan yang perlu dilalui termasuklah dalam mengharungi dunia percintaan. Begitu juga dengan watak Radwa yang mengajar kita bahawa...