Bersabar memang mudah diungkap, tetapi memang payah bagi yang melaluinya. Apatah lagi melibatkan isu atau masalah dalam rumah tangga. Kadang-kadang mak-mak jadikan ahli keluarga atau kawan terdekat untuk meluah rasa, tetapi belum habis cerita disuruh pula bersabar.
Sebaiknya, fahamilah dahulu isu sebenar dan apa yang cuba disampaikan. Dalam erti kata lain, cubalah beri cadangan yang masuk dek akal daripada menyuruh bersabar tak tentu hala.
Cuba fahami sedalam-dalamnya apa yang Kamalia Kamalkongsikan melalui postingnya:
Selalu kalau kita ada salah faham dengan pasangan, orang akan nasihatkan untuk sabar.
Sabar dan sabar dan sabar.
Kadang Kak Kay pun pening juga dengan nasihat begini. Biasanya pergaduhan bermula sebab salah faham kecil saja. Tapi macam mana nak sabar kalau tak faham? Jika dah faham, baru boleh sabar, betul tak?
Contohnya bila suami balik kerja, isteri berleter dari suami masuk pintu sampailah duduk di atas katil, masih tak berhenti berleternya.
Lalu si suami ceritakan pada kawannya, terus kawannya kata,
Ads
“Sabar je lah mat, isteri aku pun sama je macam tu. Membebel tu kan memang fitrah perempuan”
Tak puas hati, si suami tadi pergi juga ceritakan ke pakcik sebelah rumah. Sama juga jawapannya,
“Sabar jelah, makcik kau pun memang suka berleter”
Lakukan 2 Langkah Ini:
Jujurnya, Kak Kay pun akan kecewa dengan jawapan begini.
Ads
Pada suami atau isteri, bila berlaku keadaan tegang begini, eloklah buat dua langkah ini :
1. Fahami apa sebenar isu besar yang ingin pasangan kalian selesaikan. Mana mungkin isteri membebel tanpa sebab, pasti ada sesuatu yang meresahkan fikirannya.
Entah letih basuh baju mesin rosak, nak masak gasnya habis, dapur asyik basah melecak, anak selalu buat sepah, silalah ambil tahu.
2. Mohon cadangan. Tanya semula pasangan cadangan untuk menyelesaikan masaalah ini. Bukan bersabar tak tentu pasal.
Ads
Masalah akan jadi besar bila kita hanya ‘ignore’ buat tak nampak dan acah bersabar dengan apa yang berlaku. Ini salah!
Duduk dan berdiskusilah berdua, capai sepakat hatta pekara sekecil-kecil alam sekalipun.
Anak buat mainan bersepah, buat ruang khas untuk anak bermain
Mesin baju asyik rosak, tukar baru atau buat jadual ke dobi layan dia 2 kali seminggu
Penat kena masak , fikir menu mudah 1 nasi 1 lauk
Kawan-kawan, Kita hidup berdua saling melengkapi, memayungi dan mengasihi. Memang kena sabar, tapi perlu faham dulu baru boleh sabar, Kalau tak faham macam mana nak selesai, Kalau tak selesai, macam mana nak sabar.
Jemput share biar ramai orang mula memahami kemudian menyabari.
Kamalia kamal,
Penyabar orangnya cewah!
Sumber: Kamalia Kamal
MW: Sebagai pendengar, sekiranya anda terpilih untuk mendengar curahan hati orang lain jangan sesekali meminta dia bersabar sebelum memahami apa isu atau masalah yang sedang dialaminya. Sekiranya anda pasangan pula, fahamilah kehendak dan kemahuan pasangan, barulah anda dan dia mampu bersabar antara satu sama lain.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pastinya mengimpikan kehidupan bersama hingga ke hujung nyawa. Tapi kita sebagai manusia hanya mampu merancang, selebihnya Tuhan yang menentukan.
Perkenalan Darmawatie Alwi Hendrick, 37 dengan bekas suami 10 tahun yang lalu menerusi salah seorang saudara telah membibitkan rasa cinta antara dia dan pasangan. Lalu keputusan diambil untuk menghalalkan hubungan yang ada dengan sebuah ikatan perkahwinan yang suci.
Disangka langit selalunya cerah, tapi ternyata hujan di tengah hari. Perkahwinan yang terbina hanya mampu bertahan selama lapan tahun sahaja. Meski pahit untuk ditelan, sementelah pula wanita yang lebih mesra dengan panggilan Watie ini tidak bekerja ketika berpisah, namun kehidupan perlu diteruskan. Dua orang puteranya hasil perkongsian hidup bersama bekas suami perlu dijaga dan diberi kasih sayang demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.
“Saya berkenalan dengan bekas suami melalui anak saudara saya. Setelah berkawan dan ada keserasian kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Tapi jodoh kami tak panjang, tiada lagi persefahaman antara kami berdua, mahligai yang dibina hanya bertahan selama lapan tahun sahaja,” ujarnya memulakan cerita.
Anak-anak Terkesan
Mempunyai dua orang anak lelaki yang masih kecil dan rapat dengan bekas suaminya dahulu, ketika mula-mula berpisah keadaan cukup meruntun hati Watie setiap kali anak-anaknya bertanyakan tentang ayah mereka.
“Pada permulaan, anak-anak memang selalu bertanya mana daddy mereka sebab tak balik-balik ke rumah. Saya hanya mampu beritahu mereka bahawa daddy bekerja jauh sahaja pada masa itu. Memang kesian melihat anak-anak sebab tak pernah berpisah dengan daddy mereka. Anak-anak saya memang rapat dengan ayahnya. Ketika itu memang saya sedih sangat tengok keadaan anak yang masih kecil dan tidak memahami. Akibat perpisahan kami, anak-anak jadi mangsa keadaan,” ujarnya sayu.
Anak-anak pembakar semangat Watie
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ketika dirinya ditinggalkan Watie hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa. Terasa dunianya gelap seketika, tiada lagi tempat untuk bergantung harap. Hanya ibu dan anak-anak penguat semangat untuk teruskan kehidupan yang belum tahu penghujungnya kelak.
“Setelah berpisah dengan bekas suami memang saya berasa down sangat. Umpama dunia saya gelap seluruhnya, saya hilang tempat bergantung. Saya tidak bekerja sebelum ni dan hanya suri rumah. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Dengan anak-anak dan mak saya lagi. Saya sudah tiada ayah dan merupakan anak tunggal. Segalanya bergantung pada saya seorang sahaja. Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa kepada Allah S.W.T semoga terus tabah dan kuat dengan ujian yang diberikan.
Berniaga Lunchbox
Perpisahan yang berlaku menjadi titik tolak kepada Watie untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan makanan. Syukur pada Yang Esa, segalanya dipermudahkan. Perniagaan makanan yang diusahakan semakin hari semakin maju, malah dia juga sering mendapat tempahan daripada pelanggan lama dan baru menerusi laman instagram dan facebook miliknya.
“Dalam keadaan bersedih dengan nasib yang menimpa, saya sedar saya perlu bangkit untuk teruskan kehidupan. Saya ada anak-anak untuk dibesarkan, ada ibu untuk dijaga. Jadi saya perlu kuat dan tabah. Alhamdullilah, akhirnya saya didorong olehNYA untuk berniaga makanan memandangkan saya seorang yang suka memasak. Saya terus gagahkan diri mencari rezeki untuk kami anak beranak. Walaupun hati masih terluka, saya perlu kuatkan semangat untuk teruskan kehidupan. Berbulan juga saya ambil masa untuk pulihkan hati ketika itu.
“Sebagai tunggak utama dalam keluarga segalanya di atas bahu saya seorang. Jadi saya harus kuat tidak boleh mengalah. Selain itu saya sering berdoa semoga segala urusan saya dipermudahkan. Segala perbelanjaan rumah, kereta, rumah dan semuanya saya perlu cari sendiri. Saya bermula dari bawah dan sedikit demi sedikit atas sokongan saudara terdekat, rakan-rakan baik dan rakan-rakan di media sosial yang banyak membantu mempromosikan perniagaan saya. Alhamdulillah rezeki anak-anak dan mak sentiasa ada. Tempahan yang saya dapat tak putus-putus, syukur sangat. Dari tempahan lima bungkus untuk lunchbox sampai sekarang saya dah dapat tempahan untuk katering pelbagai majlis,” ujarnya penuh kesyukuran.
Ibu Penyokong Kuat
Dalam kebangkitan Watie meneruskan kehidupan sendirian, ibu adalah sosok utama yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya untuk lebih bersemangat. Selain itu saudara mara dan rakan-rakan juga turut menyumbang kepada kebangkitan ibu muda ini.
“Ibu sayalah yang paling banyak membantu saya. Dalam perrniagaan ibu sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya lebih kuat, pemberi semangat untuk saya terus berusaha mencari rezeki. Selain itu saudara mara yang terdekat banyak memberi semangat serta rakan-rakan baik dan paling membantu adalah rakan-rakan media sosial. Sejujurnya media sosial adalah satu medium yang banyak membantu saya dalam perniagaan yang saya jalankan,” katanya lagi.
Ibu sumber kekuatan Watie selain anak-anak
Apa yang berlaku kepada Watie bagaikan sekelip mata, terlalu cepat untuk dihadam. Namun alah bisa tegal biasa, dengan berbekalkan sedikit simpanan yang ada dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri selain berdoa pada Yang Maha Mendengar, wanita ini bangkit semula.
“Nasib baik saya ada sedikit simpanan untuk menjadi modal perniagaan saya. Segalanya saya perlu buat sendiri, anak-anak pengguat semangat saya untuk teruskan kehidupan. Perpisahan yang berlaku cepat sangat dan tidak dijangka. Saya cuba sentiasa positifkan, saya percaya semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Apa yang boleh saya katakan kepada ibu tunggal di luar sana teruskan kehidupan anda walaupun tiada insan yang bergelar suami di sisi. Tiada pasangan hidup bukan bermaksud kelam seluruh kehidupan kita. Lalui kehidupan dengan tenang dan tabah walaupun ia sangat perit untuk dilalui. Insya Allah kesedihan itu akan ganti dengan kegembiraan yang tidak dijangka. Sentiasa berfikiran positif untuk menjadikan jiwa kita lebih tenang. Sentiasa perbaiki kelemahan diri, kita hanya manusia biasa, sentiasa mencari keredhaan Sang Pencipta, Insya Allah pasti ada sinar untuk kita. Saya doakan wanita-wanita yang senasib dengan saya akan lebih tabah dan gembira kelak. Yang penting jangan pernah putus asa dengan kehidupan. Terima Qada dan Qadar, itulah perjalanan manusia selagi masih berpijak di bumi Allah. Reda dengan ketentuan Allah pasti hidup lebih tenang dan gembira,” akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami bila ada rezeki lebih, jangan kedekut tunaikan kehendak isteri. Dalam rumah tangga, tanggungjawab suami bukan sekadar menyediakan keperluan asas seperti tempat tinggal, makanan, dan pakaian.
Suami Bila Ada Rezeki Lebih, Jangan Kedekut Tunaikan Kehendak Isteri
Ada satu perkara yang sering terlepas pandang iaitu keinginan isteri. Bukan keperluan, tetapi keinginan kecil yang mampu membahagiakan hati seorang isteri.
Bila ada rezeki lebih, jangan terlalu berkira untuk menggembirakan isteri. Bukan bermaksud perlu berbelanja besar atau boros, tetapi cukup dengan memenuhi kehendak kecilnya yang mungkin selama ini dia pendam kerana tidak mahu menyusahkan suami.
Sikap suami yang peka terhadap keinginan isteri tanpa perlu diminta adalah sesuatu yang sangat bernilai. Bukan sahaja menunjukkan kasih sayang, tetapi juga mencipta kebahagiaan dalam rumah tangga.
Perkongsian Akhtar Syamir ini membawa satu perspektif yang mungkin nampak kecil, tetapi impaknya cukup besar, memberikan kebebasan kepada isteri untuk mendapatkan sesuatu yang diingininya tanpa perlu berasa segan atau berkira-kira.
Beri Ruang Untuk Isteri Pilih Apa Yang Dia Mahu
Bagi isteri yang bergelar suri rumah sepenuh masa dan tidak mempunyai pendapatan sendiri, perkara ini lebih bermakna. Ada perbezaan besar antara dua situasi di pasaraya:
✅ “Apa yang tak cukup lagi, ambillah.”
✅ “You nak ambil apa untuk you, ambillah.”
Ayat pertama lebih kepada memenuhi keperluan keluarga, yang sememangnya tanggungjawab suami. Manakala ayat kedua memberi kebebasan kepada isteri untuk memilih sesuatu untuk dirinya sendiri, satu bentuk nafkah yang lebih bersifat peribadi dan penuh makna.
Perkara ini nampak remeh, tapi cuba fikir—berapa ramai isteri yang tidak pernah meminta kerana tidak mahu membebankan suami?
Isteri Lebih Cenderung Menyimpan
Realitinya, ramai isteri lebih cenderung untuk berjimat. Jika diberi wang sekalipun, mereka akan lebih memikirkan kegunaan lain daripada membeli sesuatu untuk diri sendiri. Namun, apabila suami yang secara langsung menawarkan, keadaannya berbeza.
Bayangkan isteri sudah lama teringin makan aiskrim, tetapi kerana rasa segan atau takut membazir, dia hanya mampu menelan air liur setiap kali lalu di depan peti sejuk aiskrim di pasaraya. Jika suami tidak bertanya atau menawarkan, sampai bila pun keinginan kecil itu tidak akan dipenuhi.
Sama juga jika dia mahu beli coklat, keju, atau kudapan ringan lain, keinginan kecil ini mungkin tidak akan disebut, melainkan suami sendiri yang membuka ruang.
Bertanya Itu Tanda Prihatin
Jangan hanya tumpukan perhatian kepada barang dapur atau keperluan anak-anak sahaja. Sesekali, tanyalah isteri apa yang dia inginkan untuk dirinya sendiri. Jika ada rezeki lebih, penuhi keinginannya. Jika belum mampu, sekurang-kurangnya suami tahu dan boleh usahakan nanti.
Kenapa ini penting? Sebab kebahagiaan isteri adalah kunci kepada keharmonian rumah tangga. Perkara kecil seperti ini mungkin nampak remeh bagi suami, tetapi buat isteri, ia membawa makna yang besar.
Ibu tunggal ini merupakan seorang wanita yang berjiwa kental. Zainab Desa selepas berpisah dengan suami tidak mengambil masa yang lama untuk meratapi kisah sedih yang melanda diri. Dek kerana tanggungjawab yang berat perlu dipikul iaitu menjaga seorang anak yang ketika itu berusia enam tahun dan ibu yang uzur, wanita yang dilahirkan di Kedah Darul Aman ini akui tidak sempat bersedih lama kerana banyak perkara lain yang perlu diberikan fokus.
Zainab Ibu Tunggal Yang Sentiasa Kuat
Sepertimana yang dikongsikan kisahnya menerusi majalah Mingguan Wanita sebelum ini, Zainab Desa akui dirinya perlu sentiasa kuat.
“Saya perlu bangkit dan sentiasa kuat menjaga ibu dan anak. Selepas diceraikan saya langsung tak mempunyai wang simpanan, rumah atau kereta. Ketika itu saya fikir kesedihan yang berlarutan tak mampu memberi apa-apa faedah.
“Saya cuba berdikari dan mujurlah ketika itu saya sudah memulakan perniagaan Online lukisan secara kecil-kecilan. Dari situ perlahan-lahan saya menabung dengan membeli kereta dan membayar sewa rumah. Segalanya berlaku dengan pantas, alhamdulillah tanpa sedar tahun pertama saya sudah mampu menanggung kos kehidupan sendirian. Allah permudahkan segala urusan dan saya juga selalu minta ibu doakan yang terbaik untuk saya setiap hari,” ungkap Zainab yang tidak pernah melarang anak tunggal lelakinya bertemu dengan bekas suami.
Harap Pertolongan Dari Allah SWT
Sebagai ibu tunggal ini juga bersyukur kerana pengalaman pahit inilah yang membuatkan dirinya menjadi seorang yang kuat.
“Saya pernah berada dalam situasi yang sangat getir dan hanya mampu mengharapkan pertolongan dari Allah sahaja. Namun itu semua mematangkan diri dan membuatkan saya belajar untuk menghargai diri sendiri. Kini saya banyak masa terluang untuk ibu dan anak. Paling saya bersyukur apabila hasil karya seni saya diterima ramai,” sambung Zainab yang kini lebih banyak masa melakukan aktiviti kegemarannya seperti melancong, mendaki dan sertai larian.
Minat Melukis Sejak Kecil
Graduan Universiti Teknologi MARA jurusan Sains Komputer ini juga pernah bekerja sebagai seorang Programmer di salah sebuah syarikat IT di Malaysia. Minat yang mendalam dalam seni lukisan membuatkan anak bongsu dari tiga beradik ini tekad meninggalkan kerjaya IT.
“Saya memang meminati seni lukisan sejak dari kecil namun tidak pernah diberi peluang oleh ibu bapa. Saya terpaksa curi-curi melukis tanpa pengetahuan mereka dan pernah mengikuti pertandingan melukis peringkat daerah mewakili sekolah. Selepas SPM saya sambung pelajaran dalam bidang Sains Komputer kerana ibu bapa saya tak menggalakkan untuk ambil apa saja jurusan dalam seni. Selepas tamat belajar, saya bekerja dalam bidang IT. Saya agak tertekan apabila bekerja dalam bidang yang saya kurang minati. Jadi saya cuba melukis untuk kurangkan tekanan setiap hari.
“Selain melukis saya juga menjaga ibu yang berusia 70 tahun juga ibu tunggal yang agak uzur dengan penyakit radang paru-paru,” kata Zainab yang kini sudah 10 tahun menjaga ibunya yang sakit.
Tunggak utama dan merupakan sumber kewangan menyara keluarga, Zainab begitu bersemangat dalam mencari rezeki.
“Saya adalah tunggak utama dalam keluarga.Perniagaan lukisan Online saya sangat membantu dan menjadi sumber utama kewangan saya. Dalam masa yang sama saya juga menjual produk-produk lukisan yang saya repack untuk individu di luar yang ingin cuba melukis.
“Saya sangat suka semua jenis seni. Ketika di awal perceraian, saya juga menjual barang kecantikan dan menjadi jurumekap untuk majlis ringkas, bertunang, makan malam untuk kawan-kawan baik. Saya juga suka ambil tempahan hias dulang hantaran, pasang pelamin, mengambil tempahan melukis inai pengantin dan macam-macam lagi yang melibatkan seni dan paling penting rezeki yang saya dapat sumber halal. Pada waktu siang saya akan uruskan ibu kemudian persekolahan anak, urusan penghantaran lukisan dan lain-lain. Pada waktu malam hingga pagi saya akan habiskan masa dengan melukis. Hingga kini saya sudah menjalankan perniagaan lukisan kaligrafi secara Online hampir 10 tahun,” kata Zainab.
Terpaksa Menjadi Kuat Di Hadapan Ibu & Anak
Ditanya tentang cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang bergelar ibu tunggal, Zainab akui dia perlu kuat.
“Cabaran terbesar bila saya terpaksa menjadi kuat bila di hadapan ibu dan anak. Saya sentiasa memastikan keperluan mereka cukup sama seperti org lain. Walaupun diri sendiri terabai. Saya tak pernah menunjukkan kesedihan atau lemah dihadapan mereka walaupun hakikat sebenar hanya Allah tempat saya mengadu. Saya slalu mengingatkan mereka bahawa hidup kita baik-baik saja dalam masa yang sama saya juga perlu sentiasa positif. Jika ada sesuatu yang mnggangu hati dan perasaan saya, saya hanya fikir atau bersedih tak lebih dari dua minit sahaja dan selepas itu saya fokus perkara yang lebih penting. Rakan-rakan sekeliling sangat menbantu dan mmberi semangat dalam hidup.
“Sebagai seorang ibu tunggal saya ingin menasihati mereka yang senasib dengan saya agar baik sangka dengan Allah. Sentiasa positif keluarlah dari kepompong kehidupan lama, berada dalam kelompok orang yang positif. Jangan benarkan orang menindas kita. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Kita adalah insan terpilih untuk diuji kerana Allah ingin mengangkat darjat kita lebih tinggi dari insan lain. Maka kita perlu kuat dan redha dengan ujian Allah dan buktikan pada smua yang kita juga mampu berjaya. Rajin-rajinlah membaca buku-buku motivasi, mengikuti kelas keagamaan dan buat hobi baru,” ungkap Zainab.
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...