Ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pastinya mengimpikan kehidupan bersama hingga ke hujung nyawa. Tapi kita sebagai manusia hanya mampu merancang, selebihnya Tuhan yang menentukan.
Perkenalan Darmawatie Alwi Hendrick, 37 dengan bekas suami 10 tahun yang lalu menerusi salah seorang saudara telah membibitkan rasa cinta antara dia dan pasangan. Lalu keputusan diambil untuk menghalalkan hubungan yang ada dengan sebuah ikatan perkahwinan yang suci.
Disangka langit selalunya cerah, tapi ternyata hujan di tengah hari. Perkahwinan yang terbina hanya mampu bertahan selama lapan tahun sahaja. Meski pahit untuk ditelan, sementelah pula wanita yang lebih mesra dengan panggilan Watie ini tidak bekerja ketika berpisah, namun kehidupan perlu diteruskan. Dua orang puteranya hasil perkongsian hidup bersama bekas suami perlu dijaga dan diberi kasih sayang demi kelangsungan hidup pada masa hadapan.
“Saya berkenalan dengan bekas suami melalui anak saudara saya. Setelah berkawan dan ada keserasian kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Tapi jodoh kami tak panjang, tiada lagi persefahaman antara kami berdua, mahligai yang dibina hanya bertahan selama lapan tahun sahaja,” ujarnya memulakan cerita.
Anak-anak Terkesan
Mempunyai dua orang anak lelaki yang masih kecil dan rapat dengan bekas suaminya dahulu, ketika mula-mula berpisah keadaan cukup meruntun hati Watie setiap kali anak-anaknya bertanyakan tentang ayah mereka.
Ads
“Pada permulaan, anak-anak memang selalu bertanya mana daddy mereka sebab tak balik-balik ke rumah. Saya hanya mampu beritahu mereka bahawa daddy bekerja jauh sahaja pada masa itu. Memang kesian melihat anak-anak sebab tak pernah berpisah dengan daddy mereka. Anak-anak saya memang rapat dengan ayahnya. Ketika itu memang saya sedih sangat tengok keadaan anak yang masih kecil dan tidak memahami. Akibat perpisahan kami, anak-anak jadi mangsa keadaan,” ujarnya sayu.
Anak-anak pembakar semangat Watie
Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ketika dirinya ditinggalkan Watie hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa. Terasa dunianya gelap seketika, tiada lagi tempat untuk bergantung harap. Hanya ibu dan anak-anak penguat semangat untuk teruskan kehidupan yang belum tahu penghujungnya kelak.
“Setelah berpisah dengan bekas suami memang saya berasa down sangat. Umpama dunia saya gelap seluruhnya, saya hilang tempat bergantung. Saya tidak bekerja sebelum ni dan hanya suri rumah. Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Dengan anak-anak dan mak saya lagi. Saya sudah tiada ayah dan merupakan anak tunggal. Segalanya bergantung pada saya seorang sahaja. Apa yang mampu saya lakukan adalah berdoa kepada Allah S.W.T semoga terus tabah dan kuat dengan ujian yang diberikan.
Berniaga Lunchbox
Ads
Perpisahan yang berlaku menjadi titik tolak kepada Watie untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan makanan. Syukur pada Yang Esa, segalanya dipermudahkan. Perniagaan makanan yang diusahakan semakin hari semakin maju, malah dia juga sering mendapat tempahan daripada pelanggan lama dan baru menerusi laman instagram dan facebook miliknya.
“Dalam keadaan bersedih dengan nasib yang menimpa, saya sedar saya perlu bangkit untuk teruskan kehidupan. Saya ada anak-anak untuk dibesarkan, ada ibu untuk dijaga. Jadi saya perlu kuat dan tabah. Alhamdullilah, akhirnya saya didorong olehNYA untuk berniaga makanan memandangkan saya seorang yang suka memasak. Saya terus gagahkan diri mencari rezeki untuk kami anak beranak. Walaupun hati masih terluka, saya perlu kuatkan semangat untuk teruskan kehidupan. Berbulan juga saya ambil masa untuk pulihkan hati ketika itu.
“Sebagai tunggak utama dalam keluarga segalanya di atas bahu saya seorang. Jadi saya harus kuat tidak boleh mengalah. Selain itu saya sering berdoa semoga segala urusan saya dipermudahkan. Segala perbelanjaan rumah, kereta, rumah dan semuanya saya perlu cari sendiri. Saya bermula dari bawah dan sedikit demi sedikit atas sokongan saudara terdekat, rakan-rakan baik dan rakan-rakan di media sosial yang banyak membantu mempromosikan perniagaan saya. Alhamdulillah rezeki anak-anak dan mak sentiasa ada. Tempahan yang saya dapat tak putus-putus, syukur sangat. Dari tempahan lima bungkus untuk lunchbox sampai sekarang saya dah dapat tempahan untuk katering pelbagai majlis,” ujarnya penuh kesyukuran.
Ibu Penyokong Kuat
Ads
Dalam kebangkitan Watie meneruskan kehidupan sendirian, ibu adalah sosok utama yang memberikan sokongan dan dorongan kepadanya untuk lebih bersemangat. Selain itu saudara mara dan rakan-rakan juga turut menyumbang kepada kebangkitan ibu muda ini.
“Ibu sayalah yang paling banyak membantu saya. Dalam perrniagaan ibu sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk saya lebih kuat, pemberi semangat untuk saya terus berusaha mencari rezeki. Selain itu saudara mara yang terdekat banyak memberi semangat serta rakan-rakan baik dan paling membantu adalah rakan-rakan media sosial. Sejujurnya media sosial adalah satu medium yang banyak membantu saya dalam perniagaan yang saya jalankan,” katanya lagi.
Ibu sumber kekuatan Watie selain anak-anak
Apa yang berlaku kepada Watie bagaikan sekelip mata, terlalu cepat untuk dihadam. Namun alah bisa tegal biasa, dengan berbekalkan sedikit simpanan yang ada dan sentiasa berusaha untuk memajukan diri selain berdoa pada Yang Maha Mendengar, wanita ini bangkit semula.
“Nasib baik saya ada sedikit simpanan untuk menjadi modal perniagaan saya. Segalanya saya perlu buat sendiri, anak-anak pengguat semangat saya untuk teruskan kehidupan. Perpisahan yang berlaku cepat sangat dan tidak dijangka. Saya cuba sentiasa positifkan, saya percaya semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.
“Apa yang boleh saya katakan kepada ibu tunggal di luar sana teruskan kehidupan anda walaupun tiada insan yang bergelar suami di sisi. Tiada pasangan hidup bukan bermaksud kelam seluruh kehidupan kita. Lalui kehidupan dengan tenang dan tabah walaupun ia sangat perit untuk dilalui. Insya Allah kesedihan itu akan ganti dengan kegembiraan yang tidak dijangka. Sentiasa berfikiran positif untuk menjadikan jiwa kita lebih tenang. Sentiasa perbaiki kelemahan diri, kita hanya manusia biasa, sentiasa mencari keredhaan Sang Pencipta, Insya Allah pasti ada sinar untuk kita. Saya doakan wanita-wanita yang senasib dengan saya akan lebih tabah dan gembira kelak. Yang penting jangan pernah putus asa dengan kehidupan. Terima Qada dan Qadar, itulah perjalanan manusia selagi masih berpijak di bumi Allah. Reda dengan ketentuan Allah pasti hidup lebih tenang dan gembira,” akhirinya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri luah rasa penat, stres, suami tolonglah ringankan beban isteri. Realitinya ramai isteri hari ini terpaksa menjadi ‘superwoman’ yang melakukan segalanya urusan rimah tangga.
Isteri Luah Rasa Penat, Stres, Suami Tolonglah Ringankan Beban Isteri
Mengurus rumah, menjaga anak, bekerja mencari rezeki, dan dalam masa yang sama tetap cuba menjadi isteri yang baik. Tidak hairanlah ramai wanita akhirnya rasa tertekan, penat, dan kehabisan tenaga.
Buat para suami, jika isteri sudah mula meluahkan rasa penat dan stres, ini bukan perkara yang boleh diambil ringan. Ia bukan sekadar keletihan fizikal, tetapi juga keletihan mental dan emosi yang jika dibiarkan, boleh merosakkan hubungan suami isteri.
Semoga perkongsian Puan Intan Dzulkefli dapat dijadikan panduan dalam rumah tangga dan ditujukan khas buat lelaki yang bergelar suami.
Istilah Suami Yang Baik
Suami yang baik sentiasa cuba jaga sebaiknya kebajikan emosi dan rohani isteri si jantung hati rumahtangga. Sebab itu ada pepatah orang puteh; bila wife happy, seluruh rumahtangga happy. Anak-anak pun happy. InsyaAllah.
Suami yang baik, buat semua tu bukan sebab takut isteri, bukan bajet poyo melainkan dia tahu setiap perbuatannya mempengaruhi seisi rumah.
Banyak ibu yang marah-marah anak, asyik mengeluh, muka tak boleh nak senyum langsung.. bila ditanya punca sebab suami tak mahu share tugas rumahtangga dan menguruskan anak-anak. Biarkan isteri tanggung semua tanggungjawab seorang diri.
Bila wife stres, kesannya pada anak-anak. Sebaliknya kalau wife happy, dia deliver pada anak-anak.
So, suami.. Bantulah isteri memberi cinta dan kasih sayang kepada anak-anak, ya.
Suami Yang Baik Dia Pendengar Yang Baik
Bila isteri meluahkan… suami yang baik tak terus hukum si isteri ni isteri derhaka, jahat, tak bersyukur.. tapi dia faham, ini memang fitrah seorang wanita. Bila isteri penat, stress, dia tak happy.. bila dia tak happy dia sebarkan aura tak best dalam rumah tangga.
Jadi, bila isteri meluahkan penat, kepala suami yang baik akan ligat fikir apa yang boleh dibuat untuk ringankan sedikit kepenatan isterinya. Takkan sesekali dia balas dengan perlian, “awak fikir penat awak je… habis tu, saya ni tak penat?”
Isteri Memang Sensitif
Kualiti kesabaran dalam menghadapi taufan emosi seorang wanita ni, perlu disemai oleh semua lelaki sebelum dia ambil keputusan untuk bergelar suami.
Wanita memang kelemahannya mudah sangat hilang kewarasan. Suami buat silap tak wish anniversary terus dia lupa jasa suami masak dan suapkan anak makan, basuh baju dan lipat baju, basuh pinggan mangkuk dan buang sampah sebelum tidur.
Memang fitrah wanita begitu.. dalam perkahwinan, dia memang mudah lupa daratan jika terlalu ikutkan emosi. Dia hanya akan ingat pengorbanan dia sahaja.
Sebab itu Allah yang Maha Bijaksana meletakkan wanita dibawah pengawasan seorang lelaki yang ‘qowam’ dan lebih stabil mengurus emosi.
Bila wanita belum kahwin, ayahnya yang menyayanginya. Bila dia sudah berkahwin, suaminya yang melindunginya. Bila dia sudah tua dan menjanda, dia dijaga oleh anak lelakinya. Subhanallah.
Jadilah Suami Terbaik
“Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik kepada isteri dan ahli keluarganya. Dan Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik terhadap isteri dan keluarganya.”
Semoga Allah sentiasa merahmati suami yang baik dan soleh.
Berhutang nafkah batin dengan isteri, suami selalu anggap remeh. Dalam sesebuah perkahwinan, nafkah zahir sering menjadi perhatian utama, namun nafkah batin juga merupakan elemen penting yang tidak boleh diabaikan.
Berhutang Nafkah Batin Dengan Isteri, Suami Selalu Anggap Remeh
Nafkah batin bukan sahaja merangkumi hubungan intim, tetapi juga keperluan emosi, mental, dan fizikal pasangan. Malangnya, ramai suami terlepas pandang aspek ini, sehingga menjejaskan keharmonian rumah tangga.
Kepentingan Nafkah Batin Dalam Perkahwinan
Islam menekankan kepentingan suami memenuhi keperluan batin isteri dengan baik.
Keperluan ini merangkumi:
Keperluan Emosi – Suami perlu memberi perhatian kepada emosi isteri, mendengar masalahnya, dan memberikan sokongan moral dalam setiap keadaan. Sikap tidak peduli atau membiarkan isteri menangani masalah sendirian boleh menyebabkan tekanan perasaan dan merenggangkan hubungan suami isteri.
Keperluan Mental – Suami berperanan membimbing isteri dengan ilmu pengetahuan dan nilai-nilai agama. Bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga dalam memahami cara mengurus emosi dan tekanan hidup dengan bijak.
Keperluan Fizikal – Sentuhan kasih sayang seperti memegang tangan, memeluk, atau sekadar duduk bersama tanpa gangguan adalah antara keperluan fizikal yang membantu mengeratkan hubungan. Islam sendiri melarang suami mengasingkan tempat tidur daripada isteri tanpa sebab yang munasabah, kerana ia boleh membawa kepada perasaan dingin dan menjauhkan pasangan secara emosional.
Ini perkongsian daripada Peguam Syarie (Kelantan), Tuan Azri menerusi akaun TikToknya azrieyyyy
Keperluan Nafkah Batin yang ramai suami terlepas pandang. Semarah mana pun, cuba untuk tidak asingkan tempat tidur dengan pasangan.
Keperluan emosi, mental dan fizikal yang baik merupakan salah satu nafkah batin yang wajib suami tunaikan terhadap isteri. Islam melarang seorang suami melayan isteri dengan cara yang tidak baik.
Antaranya mengeluarkan kata-kata kesat dan mempamerkan sikap kasar terhadap isteri di hadapan anak-anak. Dalam hal ini juga, suami bertanggungjawab membimbing isteri dan tunjuk ajar serta nasihat dari sudut pendidikan agama dan kefahaman berkenaan pengurusan emosi. Manakala, fasakh merupakan hak bagi isteri menuntut penceraian yang diberi ruang oleh Islam dengan syarat-syarat tertentu dalam menyelesaikan konflik rumah tangga.
@azrieyyyyy Part 72: Keperluan Nafkah Batin yang ramai suami terlepas pandang. Semarah mana pun, cuba untuk tidak asingkan tempat tidur dengan pasangan. Keperluan emosi, mental dan fizikal yang baik merupakan salah satu nafkah batin yang wajib suami tunaikan terhadap isteri. Islam melarang seorang suami melayan isteri dengan cara yang tidak baik. Antaranya mengeluarkan kata-kata kesat dan mempamerkan sikap kasar terhadap isteri di hadapan anak-anak. Dalam hal ini juga, suami bertanggungjawab membimbing isteri dan tunjuk ajar serta nasihat dari sudut pendidikan agama dan kefahaman berkenaan pengurusan emosi. Manakala, fasakh merupakan hak bagi isteri menuntut penceraian yang diberi ruang oleh Islam dengan syarat-syarat tertentu dalam menyelesaikan konflik rumahtangga. #lawyersyariekelantan#lawyersyarieazri#nafkah#nafkahbatin♬ Seribu Kemanisan – BudakUncle
Larangan Melayan Isteri Dengan Buruk
Islam melarang suami daripada melayan isteri dengan cara yang kasar atau menyakitkan hati.
Antara perkara yang perlu dielakkan oleh suami ialah:
*Mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh melukai hati isteri.
*Memalukan isteri di hadapan anak-anak atau orang lain.
*Mengabaikan perasaan dan keperluan isteri tanpa sebab yang kukuh.
Seorang suami yang baik adalah suami yang bijak dalam mengawal emosi dan sentiasa menjaga maruah serta kebajikan isteri. Dalam kehidupan berumah tangga, pasti akan ada ujian dan cabaran, tetapi ia harus dihadapi dengan penuh kesabaran dan hikmah.
Fasakh: Hak Isteri Dalam Islam
Jika seorang suami gagal memenuhi tanggungjawabnya terhadap isteri, Islam memberikan ruang kepada isteri untuk menuntut fasakh, iaitu pembubaran perkahwinan melalui mahkamah syariah.
Fasakh boleh dipohon atas sebab-sebab tertentu seperti:
*Suami mengabaikan nafkah zahir dan batin
*Suami melakukan kekerasan atau penderaan terhadap isteri.
*Suami menghilangkan diri tanpa berita dalam tempoh tertentu.
Fasakh bukan bertujuan untuk meruntuhkan institusi perkahwinan, tetapi sebagai jalan penyelesaian bagi isteri yang mengalami penderitaan dalam rumah tangga.
Suami harus memahami bahawa nafkah batin bukan sekadar hubungan intim, tetapi melibatkan aspek emosi, mental, dan fizikal yang membentuk kesejahteraan rumah tangga.
Perkahwinan yang bahagia bukan sahaja bergantung kepada kemewahan harta, tetapi juga kasih sayang, penghormatan, dan keprihatinan antara suami isteri. Oleh itu, setiap suami bertanggungjawab untuk menunaikan hak isteri dengan penuh kesedaran agar rumah tangga sentiasa dalam keberkatan dan keharmonian.
Alangkah indahnya kehidupan seorang isteri apabila mendapat redha suami dalam setiap apa yang dilakukan. Begitulah isteri ini, sehingga ke penghujung hayat, masih mendapat sentuhan kasih suami malah meninggal di atas riba suaminya.
Kisah yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee ini begitu menyentuh hati untuk dibaca. Ini cerita salah seorang pekerja dewan makan di tempatnya bekerja. Sungguh baik isteri ini, sehinggakan pemergiannya itu menjadi sebut-sebutan di kalangan rakan-rakan mereka.
Kehilangan Pekerja Dewan Makan Yang Baik
Dua hari lepas (ketika catatan ini dikongsikan awal Mei lalu), sekolah kami kehilangan pekerja dewan makan yang baik.
Saya tidak mengenali beliau dengan rapat. Tapi, sebaik sahaja berita pemergian beliau tular di semua grup termasuk grup COD, ramai yang memuji kebaikannya.
Semalam, rakan warden bercerita kepada kami.
Kisah sebelum pemergian wanita hebat ini.
Awal-awal pagi, badan beliau menggigil kesejukan. Kemudian, berpeluh pula. Sampai basah habis semuanya.
Suami beliau, mahu bawa ke hospital, tapi beliau enggan. Kerana nampak kondisinya semakin memburuk, si suami tetap menghubungi ambulan.
Baring Di Atas Riba Suami
Sementara menunggu ambulan sampai, wanita hebat ini sempat lagi berbual dengan suaminya.
“Bang. Boleh saya baring di riba abang?”
Sebaik sahaja dengar ayat itu daripada rakan yang bercerita, saya sudah mula sebak. Air mata sudah mula bergenang. Bergetar, menunggu masa untuk tumpah sahaja. Allahu akbar.
Kemudian, dengan suara sayu, suaminya mengangguk.
Sewaktu di ribaan suami, si isteri bertanya lagi. “Abang sayang saya?”
“Sayang.” Si suami menjawab.
Tatapan Terakhir Seorang Isteri
Kemudian si isteri menggenggam erat tangan si suami dengan penuh kasih sayang. Matanya memandang tepat ke wajah lelaki yang amat dicintai. Nampak bahagia.
Siapa sangka, rupa-rupanya itulah tatapan terakhir daripada si isteri, kerana tak lama selepas itu, beliau pergi buat selama-lamanya selepas menarik nafas terakhir yang dalam.
Allahu akbar. Kami yang mendengar cerita itu turut sama menangis.
Kisah cinta dan kasih sayang yang dibawa hingga ke mati.
Mudah sungguh beliau pergi.
Tanpa sakit, tanpa tanda, beliau pergi pada 10 Ramadan terakhir.
Pergi pula di pangkuan suami. Sudah pasti diiringi reda dan kasih sayang pemegang kunci syurga buat isteri.
Saat saya bercerita ini pun, dada masih terasa berat.
Entah apalah amalan beliau sehingga Allah mudahkan perjalanan akhirnya.
Semoga kita semua dikurniakan Husnul Khatimah seperti mana doa yang kita titip usai menunaikan solat fardu. Amin.
MW : Indahnya pengakhiran isteri ini. Al-Fatihah untuk Allahyarham, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
“Masa Afwa Pun Datuk K Dah Berpeluh-Peluh Dekat Sebelah” itulah antara kata-kata yang diungkapkan Datuk Seri Siti Nurhaliza sewaktu berkongsi kisahnya sewaktu melahirkan dua...