Melihat dari riak wajahnya sudah pasti anda tidak menyangka, remaja perempuan yang bernama Nur Liyana Fazlien Sha’are atau lebih senang dipanggil Lyn Sha’are, 17 merupakan seorang Pelumba Motocross Wanita Negara, Pelumba Berbasikal Lasak BMX dan Downhill Negeri. Bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, bakat sukan lasak ini mengalir dari ayahnya yang juga merupakan bekas pelumba Motocross Negara.
“Untuk pengetahuan, ayah saya adalah bekas pelumba Motocross Negara jadi sejak saya kecil saya telah mengikuti ayah ke litar perlumbaan dan bertemu ramai pelumba-pelumba dari pelbagai negara. Merekalah yang memberi dorongan kepada saya untuk menceburi bidang ini bagi mewarisi bakat yang ada pada ayah saya. Oleh kerana saya sorang pelumba, sebagai latihan saya perlu berkayuh setiap hari dan pada hujung minggu membuat latihan motocross. Saya minat sukan ini sejak kecil. Setiap hari saya berkayuh dan pada sebelah malam. Tiga kali seminggu saya akan melakukan aktiviti gym, selain daripada bagi memastikan tubuh saya sihat dan bersedia untuk perlumbaan, aktivti gym juga membantu saya mendapatkan tubuh yang diimpikan. Pada hujung minggu pula saya akan menunggang motosikal, sama ada berlatih di litar atau beriadah memasuki hutan menggunakan moto enduro untuk offroad ride dengan jarak jauh sambil menikmati hutan hujan Malaysia dan bertemu rakan-rakan baru yang mempunyai minat yang sama,” terang Lyn Sha’are yang menjadikan bidang ini sebagai sumber rezekinya.Bukan itu sahaja dek kerana bidang penuh mencabar dan dikuasai lelaki, remaja berani ini juga diberi peluang menjadi Distributor brand ROB1 Racing di Malaysia, dimana ia adalah product custom made daripada negara jiran.
Katanya lagi menerusi sukan sebegini wanita di luar sana boleh mendapatkan tubuh yang sihat.
“Wanita diluar sana boleh melakukan aktiviti berbasikal, kerana ianya adalah cara mudah untuk mendapat tubuh yang sihat, dapat menurunkan berat badan. Ramai antara kenalan saya hanya berkayuh untuk mendapatkan badan yang diimpikan dan bukannya untuk mengejar kemenangan semata-mata. Aktiviti berbasikal sesuai kepada semua golongan dan umur ini kerana aktiviti ini boleh dilakukan dimana sahaja. Berkayuh dengan santai juga dapat mengeluarkan peluh yang banyak.
“Amalan ini sangat berbaloi bagi saya kerana dari kecil saya memang minat melakukan aktiviti-aktivit ini. Sekiranya saya tidak ada perlumbaan saya tetap melakukan aktiviti kayuhan setiap hari dan menunggang motosikal endure memasuki offroad setiap hujung minggu bagi memastikan tubuh badan saya sihat. Dek kerana ini juga, sehingga sekarang saya belum pernah mendapat berat badan berlebihan apalagi obesiti sedangkan rakan-rakan sebaya saya ramai yang merungut mengalami masalah berat badan,” ulasnya.
Ads
Tentangan Daripada Ibu
Masih terlalu muda dan sukan ekstrem ini sememangnya mempunyai banyak risiko. Lynn ha’are menjelaskan dia mempunyai jadual yang padat, tapi pekara itu tidak mengganggu pelajarannya kerana dia merupakan seorang yang sangat berdisplin. Malah pada peringkat awal penglibatannya turut mendapat tentangan daripada ibu tercinta.
“Sejujurnya pada peringkat awal memang mendapat tentangan daripada ibu kerana katanya sukan ini tidak sesuai untuk seorang wanita. Tapi lama kelamaan ibu akur selepas melihat kesungguhan saya terhadap sukan ini dan melihat kejayaan-kejayaan yang saya kecapi. Pada ulangtahun ketiga (usia tiga tahun), ayah saya telah menghadiahkan sebuah motosikal pocket bike 50cc kepada saya, pertama kali saya menunggang motor itu saya terbabas ke dalam longkang. Tetapi kemalangan itu tidak mematahkan semangat saya, sejak dari itu minat saya terhadap sukan lasak semakin menggila.
Ads
“Setiap hari setiap masa saya menonton TV, saya hanya menonton rancangan motorsport atau sukan lasak tidak kira motosikal, kereta atau basikal. Saya mengisi masa lapang setiap hari dengan bermain basikal di tempat lapang tidak seperti kanak-kanak lain yang hanya berkayuh santai. Saya membina sendiri halangan-halangan di tempat-tempat lapang di kawasan rumah saya, hampir setiap minggu handle basikal saya patah akibat aksi-aksi ganas yang saya lakukan. Saya bersyukur ayah tidak pernah memarahi saya, dia yang membaiki basikal saya setiap kali ada masalah,” ungkap Lyn Sha’are.
Lyn Sha’are juga telah berjaya meraih banyak kejayaan dalam bidang ini, “Terlalu banyak kejayaan yang saya dapat sepanjang karier saya walupun baru beberapa tahun di dalam bidang ini. Saya sekarang berada pada ranking nombor satu dalam kategori ‘Women Motocross’ di Malaysia dan berbasikal pula ranking ketiga dalam kategori ‘Women Junior BMX Supercross Malaysia’.
“Pernah mewakili Malaysia ke perlumbaan motocross peringkat Asia, juga ke perlumbaan Indonesia, Filipina, Thailand juga ada kejayaan bagi saya. Saya juga pernah mewakili Malaysia ke perlumbaan berbasikal BMX SUPERCROSS ke Indonesia dan Thailand, walaupun tidak mapu memberikan tempat pertama kepada Malaysia ,saya masih mampu meraih pingat buat Malaysia.”
Ads
Bersaing Dengan Pelumba Lelaki
Ditanya tentang persaingan dengan pelumba lelaki, Lyn Sha’are tidak punya sebarang masalah.
“Bagi sukan berbasikal , tidak ada masalah kerana ada kategori untuk perempuan. Untuk motocross pula, bersaing dengan pelumba lelaki tidak menjadi masalah. Saya hanya perlu memastikan tahap kecergasan fizikal dan mental saya pada tahap terbaik. Untuk bersaing dengan tenaga lelaki, saya perlu menjalani lebih latihan berbanding mereka. Tetapi pada tahun ini, telah ada beberapa penganjur Motocross Malaysia yang menambah kategori perempuan, itu adalah satu perkembang positif untuk saya,” tambah Lyn Sha’are.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Nikmat solat sempurna itulah ketenangan hati. Dapat sujud dengan meletakkan dahi atas tikar sejadah tanpa sebarang halangan. Apabila sakit menyerang, nikmat sebegitu telah berkurangan. Rindunya makin terasa ‘mahu sujud dengan sempurna’.
Mahu menikmati pengabdian diri dengan sesempurna mungkin di hadapan Allah. Ujian setiap hambanya juga tak sama. Ada dalam bentuk kesenangan, kemiskinan malah kesakitan.
Apabila Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek yang menghidap kanser limfoma stage 4 itu berkongsi, pengacara Nur Heliza Helmi, 32 terasa sebaknya.
Ustaz Hanafiah yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hanafi ini berkongsi rasa hati. Tentang rindu yang mencengkam mahu menikmati rasa nak sujud dan solat sempurna.
Ustaz share yang lutut ustaz kena operate, menyebabkan ustaz bila nak solat ustaz kena solat duduk di kerusi. Ustaz share tadi dengan menangis.
Kata ustaz, “Ustaz rindu sangat sangat nak sujud.”
Nikmat sujud tu. ustaz kata, “Saya ambil meja, saya sujud dahi saya kat meja sebab saya terlalu rindu sangat nak sujud, nak solat sempurna “
Ya Allah, betul-betul menyentap hati ini.
Kita yang sihat sempurna, nak solat pun kadang liat. Pesan ustaz, “Sementara masih sihat, buatlah amal ibadah betul-betul. Nanti dah sakit, kita rindu nak buat ibadah sempurna tapi masa tu kudrat kita tak mampu.”
Untuk pengetahuan, Ustaz Hanafi merupakan pesakit kanser limfoma, banyak duit keluar untuk rawatan kanser ustaz.
Walau bagaimana pun ustaz ada impian, iaitu membina bangunan untuk Maahad Tahfiz. Namun ia sangkut kerana kekurangan dana.
Ustaz berharap sangat dapat hasilkan lebih ramai yang hafaz Al Quran walaupun dulu, mereka ada kisah hitam. Kini, ustaz dan tim melatih 3800 orang yang ada masalah sosial.
Dan Alhamdulillah 47 orang berjaya hafaz Quran. Hasrat ustaz nak lebih ramai lagi hafaz Quran.
Ustaz share lagi, sementara masih hidup:
1. Banyakkan sedekah.
2. Banyakkan menziarahi orang sakit , 70 000 malaikat akan mendoakan kita yang menziarahi orang sakit.
3. Qada solat.
4. Bersyukur banyak-banyak.
“Masa dapat tahu ustaz kena kanser, stage 4, kanser tu dah 10 tahun ada dalam badan ustaz, ustaz syukur sangat, ustaz sebut Alhamdulillah.
“Ustaz kata ini hadiah Allah bagi, jadi syukur. Sebab itu, ustaz sentiasa lafazkan Alhamdulillah, HasbunAllah Wa Ni’mal Wakeel (cukuplah Allah bagiku), antara zikir yang ustaz amalkan.”
Walaupun ustaz kena kanser, dengan rawatan kimoterapi lagi, ustaz terap berdakwah dan berceramah. Ustaz kata, dulu masa sihat, sebulan 4 hari je ada di rumah.
Jadi bila Allah bagi sakit, ustaz tetap berdakwah sebab ustaz nak meninggal di tempat tempat baik, macam majlis ilmu, rumah Allah.
“Kita selalu desain kehidupan kita, apa kita nak jadi 5 tahun akan datang, namun desain KEMATIAN?
“Ya Allah, moga Allah berikan kesembuhan buat ustaz dan semua yang sedang diuji dengan kesakitan. Aamiin.” Doa Heliza Helmi dihujung bicaranya.
Kisah duda ini cukup tragis. Dinodai rakan sejenis membawa kepada kisah rumah tangga yang berantakan. Kerana tidak mahu menanggung dosa, lelaki ini (yang MW rahsiakan namanya) melepaskan isteri yang begitu baik.
Demi menghormati permintaan ibu, aku akhirnya bersetuju mendirikan rumah tangga dengan Hayati. Gadis pilihan ibu ini memang sempurna, baik, berpendidikan tinggi dan cantik rupa parasnya.
Ramai yang mengatakan aku beruntung memiliki Hayati. Aku hanya mampu mengukir senyuman. Dalam hati tuhan sahaja yang tahu. Bukan aku tak bersyukur tapi sebenarnya aku bimbang tidak dapat menunaikan tanggung jawab sebagai suami dengan baik.
Secara zahirnya memang aku mampu tapi jauh si sebalik tubuh sasa ini tersimpan rahsia. Semasa melanjutkan pelajaran di UK dulu, aku pernah terjebak dengan ‘cinta songsang’.
Sungguh aku tak sangka hubungan kawan dengan James menjadi sebaliknya. Aku juga tidak terfikir akan menjadi kekasih kepada James.
Namun layanan James membuatkan aku tertewas. Mungkin kerana aku bersekolah di sekolah lelaki lantaran aku kekok berkawan dengan perempuan. James rupanya sudah lama memerhatikan aku.
Dalam diam dia memasang jerat, aku yang buta dengan niat jahatnya terpedaya. Mujur Allah memberi hidayah kepadaku.
Aku kembali ke jalan yang benar, walaupun aku mendapat tawaran bekerja di UK. Aku memilih untuk pulang ke tanah air, iman aku sangat rapuh aku bimbang terjebak dengan hubungan yang jijik.
Sejak kejadian di UK, aku menjadi pendiam. Aku malu dengan Allah. Walaupun aku susah insaf namun aku masih trauma dengan apa yang berlaku.
Aku berasa jijik dengan diriku. Berbalik kepada kisah rumah tanggaku dengan Hayati. Secara luaran kami kelihatan bahagia, aku memberikan segalanya buat Hayati.
Layananku kepadanya seperti permaisuri. Cuma satu sahaja yang aku tidak berikan…Layanan batin. Bukan sekali dua Hayati cuba menggoda tapi nafsuku mati.
Aku sering mengelak untuk bersama dengan Hayati. Aku sibukkan diri bekerja dan sering out station. Aku tahu Hayati sangat terseksa dengan sikapku.
Dia pasti mengharapkan layanan mesra seorang suami. Akhirnya selepas tiga bulan berkahwin, aku mengambil keputusan untuk berterus terang dengan Hayati.
Aku katakan aku mempunyai masalah batin sehingga tidak mampu memenuhi tanggung jawab kepadanya.
Aku katakan padanya, aku rela melepaskan dia. Aku mahu dia hidup bahagia bersama lelaki yang mampu memberi layanan kepadanya.
Hayati hanya menitiskan air mata. Dia mengatakan amat menyayangi aku dan sanggup menunggu sehingga aku mampu melayannya. Malah Hayati mencadangkan aku berubat cara tradisional untuk pulihkan masalah batinku.
Sungguh aku tersepit. Ingin sahaja aku bercerita tentang kisah silamku tapi aku teramat malu dan aku sangat takut jika Hayati membenci diriku.
Masa terus berlalu, hubungan kami semakin dingin. Aku menjauhkan diri daripada Hayati. Setahun hidup bersama akhirnya kesabaran Hayati sampai di penghujung.
Kami akhirnya berpisah dengan cara baik, aku lepaskan Hayati dengan talak satu. Aku amat menyayangi Hayati, dia isteri yang baik.
Aku doakan Hayati bertemu dengan lelaki yang dapat membahagiakan dia. Aku pula sehingga kini masih trauma.
Aku berdoa kepada Allah akan memberi kekuatan kepadaku untuk melupakan kisah silam dan dapat menjalani hidup seperti insan lain. Semoga ada bahagia buatku.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sekitar Februari 2015, ibu ini tak melalui proses berpantang dengan betul selepas melahirkan anaknya yang bernama Bilal Miqdad. Setahun kemudian, ibu ini alami keguguran. Sekali lagi, berpantang tak dilakukan dengan sempurna.
Selepas tempoh itulah, ibu ini Puan Mastura Rashidtak sedar yang dirinya sedang alami ‘meroyan’ akibat kepenatan, stress tapi dalam masa yang sama tak tahu hendak dikongsikan apa yang dilaluinya itu pada siapa.
Malah tidak tahu cara mana hendak bermula. Meroyan yang dialami bukan ketika di dalam pantang. Tetapi ketika anak-anak sedang membesar.
Kisah ibu meroyan ini bukan MAIN-MAIN. Pernah Puan Mastura hampir tak dapat kawal diri, capai pisau dan mahu tikam anak-anak. Allahu..
Sampailah suatu hari, rakannya mengesan akan MEROYAN yang dilaluinya. Dan dari titik itulah dia mula merawat diri. Lihat apa yang beliau lakukan untuk kembali pulih.
Itu kenyataan yang harus saya terima sampai bila-bila.
Memori menakutkan yang akan tetap diingat sampai mati.
Watak berubah sekelip mata. Ibarat drama yang ditonton di TV.
Waktu jiwa terlalu kacau, badan terlampau penat, sakit, saya hampir hilang kewarasan. Berhalusinasi sentiasa sambil badan menggigil menahan marah dan benci. Jeritan marah memecah rumah setiap hari juga menjadi biasa.
Sebenarnya susah nak buat pengakuan secara terbuka. Mungkin juga akan dianggap pernah gila.
Tapi disebabkan pujukan dan kata-kata semangat dari Ibu Rose untuk bersama-sama muncul di PM LIVE ASTRO RIA pada 13/7/2017, saya mula terbuka untuk berkongsi dan dah bersedia. Mungkin pengakuan ini dapat membantu anda di luar sana, supaya lebih bersedia dan tidak malu untuk mendapatkan rawatan.
Sebelum ini saya malu, sangat malu, sebab saya pasti orang lain tidak akan faham malah akan mula memandang serong. Apa taknya, meroyan ni dianggap hanya terjadi ketika di dalam pantang saja. Tapi rupanya, boleh terjadi selepas pantang dan waktu anak dah mula membesar.
Serius, saya tak ada ilmu waktu tu. Tak tahu apa perlu dibuat.
Sejak melahirkan Bilal Miqdad pada Februari 2015, badan saya tak pernah sihat akibat tak dapat berpantang dengan betul. Bilal prolonged jaundice. Ketika di hospital, luka c-sect pecah semula pada hari ke-7. Darah membuak-buak keluar hingga bertakung di wheelchair dan lantai hospital.
Dalam keadaan terpinga-pinga, saya hampir dimasukkan semula ke OT untuk buka dan jahit semula luka lama. Alhamdulillah doktor dan nurse di Hospital Ampang banyak membantu dan memberi semangat supaya luka boleh baik dengan sendiri.
Saya tidak digalakkan berurut selama setahun supaya tidak mengganggu proses pemulihan di kawasan perut.
Kemudian, saya ditegah oleh doktor dari memakan apa-apa saja jamu atau herba yang boleh memberi kesan pada kuning Bilal. Badan Melayu, kalau tak pantang, tak berjamu, tak berbengkung, mana nak sihat.
Kuning Bilal sembuh sepenuhnya bila dah nak habis pantang sedangkan baby orang lain, 1 minggu pun dah hilang kuning. Sangat penat dan stress bila tiap-tiap hari perlu ke hospital atau klinik untuk ambil darah Bilal.
Asal balik saja ke rumah, saya bentan. Darah menitik-nitik ke lantai, ari-ari sakit melampau dan demam urat menjadi perkara biasa.
Saya keguguran pula. Jadi bayangkan, badan yang lemah bertambah sakit. Kegembiraan menerima ahli keluarga baru setahun lalu semakin pudar.
Saya masih trauma memikirkan luka yang pernah pecah setahun lalu. Terbayang-bayang situasi di mana bila saya sarat mengandung nanti, parut c-sect pecah dan meletup macam belon.
Anak-anak yang lain pula masih kecil, perlukan perhatian, hyper dan aktif buatkan fikiran tambah berserabut. Mereka mula dirasakan sebagai beban.
Saya mula menjadi pemarah yang melampau. Setiap hari asyik menjerit-jerit. Rumah bersepah-sepah dan anak tidak terurus. Kadang-kadang saya tak tahu pun apa yang saya marahkan sangat. Menangis ketika mandi perkara biasa, sambil menggigil menahan marah dan benci yang datang secara tiba-tiba.
Orang luar nampak seperti tiada apa-apa. Sebab ketika berada di luar rumah, saya bersikap seperti biasa. Tapi bila balik ke rumah, saya mula jadi panas dan menggelegak.
Saya mulai membenci ahli keluarga sendiri. Lama-kelamaan saya benci dengan semua orang. Saya rasa tiada siapa pun yang memahami sedangkan mak paling banyak membantu dan berkompromi.
Dalam berlawan dengan emosi diri, Mastura banyak berkongs tentang meroyan dan tindakan orang meroyan di Facebook. Ketika itulah junior sekolahnya, Rida Baharudin dapat mengesan sesuatu tentang dirinya.
Rida dapat rasakan saya sebenarnya sedang bercakap tentang diri sendiri. Malu, tapi lega bila ada yang sedar dan cuba membantu.
Percaya tak, saya tak tahu pun apa yang sedang terjadi pada diri sendiri. Saya agak mungkin disebabkan terlampau tertekan, cerita-cerita di Facebook menjadi sangat emosional hingga disedari Rida.
Rida juga pernah mengalami meroyan yang teruk, jadi saya fikir, orang sebegini sangat memahami dan sensitif dengan perubahan sekeliling.
Rida juga menasihati saya untuk mendapatkan rawatan doktor. Tapi perkara paling saya takuti, saya akan dicop gila bila diketahui berjumpa dengan doktor pakar sakit jiwa.
Waktu ni, saya lebih suka mengurung diri di dalam bilik. Anak-anak berterabur. Mak yang bagi makan, masak dan uruskan kain baju saya dan anak-anak. Kakak nombor 2 juga selalu bantu dengan menjaga anak-anak.
Waktu ni juga, saya tidak boleh masuk ke dapur. Saya jadi serabut.
Pernah Capai Pisau Pemotong Daging, Meluru Dan Nak Tikam Anak-anak
Pernah waktu sedang memotong sayur, anak-anak bergaduh dan masuk ke dapur sambil menangis, tiba-tiba saya capai pisau pemotong daging, dan meluru sambil mengacah akan menikam mereka.
Anak yang ketakutan terus berlari keluar sambil menjerit dan menangis. Dah beberapa kali ini terjadi sampaikan saya tak boleh langsung pegang pisau di dapur.
“Bunuh Mas! Bunuh semua!”, terngiang-ngiang waktu tu.
Memasak jadi perkara paling dibenci. Sebab saya takut hilang kewarasan diri.
Sentiasa berhalusinasi bila berseorangan atau ketika mendengar bunyi bising suara anak-anak, buat saya semakin teruk. Nampak baldi, saya teringatkan muka bilal. Rasa nak rendam dia dalam air. Suara-suara jahat di belakang telinga sentiasa mengganggu.
Saya menangis. Rasakan diri ibu dan isteri yang paling tak berguna. Yang paling jahat di dunia. Suami balik ke rumah, lauk pun belum dimasak apa-apa. Kadangkala saya hanya goreng telur saja.
Tak tahu nak mengadu pada siapa.
Kemuncak hilang kewarasan diri adalah bila saya whatsapp kakak, saya katakan saya mahu membunuh diri. Baru lepas solat waktu tu, tapi jiwa saya kosong. Otak bercelaru.
Kakak punyalah risau, dia telefon saya berkali-kali, saya tak angkat. Waktu tu saya dah nekad. Tapi tiba-tiba terbayang gelak ketawa anak-anak.
Terbayang wajah suami yang penat bekerja dan menunggu masa nak balik ke rumah. Terbayang saat senang dan susah yang dilalui bersama. Terbayang wajah dia yang sangat sayangkan saya dan anak-anak. Terbayang rupa dia mencari dan memeluk Bilal selepas balik dari kerja.
Saya terus menangis tanpa henti. Menggigil-gigil bencikan diri.
Saya hanya nakkan MASA UNTUK DIRI SENDIRI SAJA. SAYA PENAT. BADAN YANG SAKIT BUATKAN PERGERAKAN TERBATAS.
Sambil menangis, saya paksa diri untuk tidur, dan bila bangun saja, saya rasa lega yang amat sangat.
Sepanjang tahun lepas, waktu kemurungan belum memuncak, saya mula buat bekal untuk di jual Shariff Miqdad di sekolah. Lepas tu berhenti walaupun ramai kawan-kawan dia minta saya jual semula burger RM1. Gembira sekejap, tapi murung semula lepas tu.
Waktu ni saya tak fikir langsung untuk mengambil untung. Hanya satu kebajikan untuk membuat budak-budak kecil gembira dan menyerap aura gembira mereka.
Kemudian, saya mula aktifkan diri menjual kimchi dan tteokbokki dengan kakak di Jamae Shop 자매 가게. Tapi disebabkan terlampau penat, dengan kakak pula selalu ikut suami outstation, saya tangguhkan jualan. Murung makin bertambah.
Kemudian, saya bantu pula adik ipar menjual bento untuk lunch.
Namun, semua pun masih tak dapat mengembalikan kegembiraan.
Jadi, saya mula menulis di Facebook. Bermacam-macam cerita saya kongsi terutama sekali tentang anak-anak dan keluarga. Saya juga banyakkan membaca untuk memberi ketenangan. Saya mula rasa lega, kerana menulis ibarat terapi.
Saya banyak berborak dengan Rida, dan keluar mengopi dengan kakak nombor 2. Walaupun sering ditegur suami akibat selalu keluar dan tinggalkan anak-anak di rumah dengan mak, tapi saya tetap buat apa yang saya rasa suka. Rasa lega kepala setiap kali balik dari mengopi.
Suami takkan pernah faham, sebab saya pun tak tahu nak mula cerita dari mana.
Waktu ni, mak dah mula paksa saya minum dan makan apa yang dia buat. Iaitu air ubat dari herba dan rempah yang dibuat sendiri, dan daun hutan yang dipanggil daun harimau beranak untuk mengubati orang meroyan dan sakit badan.
Mak pengamal herba dan natural remedy. Jarang sekali dari muda hingga tua makan ubat doktor.
Dalam temubual Mastura bersama Ibu Rose, beliau berkongsi yang ibunya membuatkan jamu dan minuman herba dari daun-daun hutan seperti Daun Harimau Beranak.
Ianya petua bidan lama yang masih diamalkan untuk mengecutkan rahim.
Perubahan yang pertama, adalah emosi.
Perubahan kedua, kesihatan diri.
Perubahan ketiga, saya mula menyayangi kembali anak-anak dan suami.
Saya juga dah tiada rasa bencikan diri sendiri.
Setakat artikel ini ditulis, saya dah sihat sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
Langsung tak ada rasa nak buat perkara bodoh seperti dulu.
Saya tahu, Allah sayangkan saya, dan masih memberi kegembiraan.
Bila baca buku “You Can Be The Happiest Woman In The World”, saya jadi sebak. Kenapa saya tak jumpa buku ni lebih awal waktu kemurungan tahun lepas. Setiap kali dah habiskan 1 topik, saya mendapat semangat baru, kerana tahu Allah sayangkan dan menunjukkan jalan keluar bagi saya.
Bukan saya tidak solat, bukan tidak mengaji, bukan tidak berzikir, tapi dalam keadaan otak bercelaru, jiwa kosong, badan sakit, kita memang tak punya apa-apa daya pun untuk menolak sebarang gangguan pada jiwa.
Berkongsilah cerita. Luahkan perasaan dengan orang yang paling kita percayai.
Dapatkan sokongan keluarga, dan jika perlu, berjumpa doktor dan dapatkan khidmat kaunseling.
Tak ramai tahu jika diri sendiri mengalami kemurungan. Perlu ada seseorang yang sedar dengan perubahan diri kita.
Apapun, sokongan keluarga sangat penting.
Jangan hiraukan jika ada yang mengata anda pemalas, tak jaga anak-anak. Sebab mereka bukan tahu apa kondisi kesihatan anda, malah sebenarnya mereka taknak ambil tahu pun sebab sikap pentingkan diri. Tau mengata dan membawa cerita saja. Tolong taknak.
Cari aktiviti yang boleh buat kita keluar dari kemurungan dan kesedihan.
Antara perkara paling saya gembira, adalah bila mula membuat perkongsian tentang herba dan rempah yang boleh digunakan sebagai natural remedy dengan anda semua. Petua yang dikumpul dari mak, tukang urut, orang tua, bidan lama dan pembacaan buatkan saya gembira.
Mak paling gembira dengan aktiviti saya sekarang dan feedback yang saya terima.
Bila nampak sokongan, dan ucapan terima kasih di atas petua mak dan cerita dikongsi, semangat makin berkobar-kobar. Walaupun kadangkala saya melalut dan bahasakan diri sebagai fiona, tapi tetap berasa gembira. Aura gembira melimpah ruah.
Sentiasa tersenyum bila “fiona” adalah usikan comel yang suami berikan kepada saya sejak Shrek ditayangkan berbelas tahun lepas.
Rasa gembira dan manis bila kita dapat sebarkan kebaikan.
Saya kongsikan juga doa hilangkan rasa sedih dan resah gelisah.
“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari (hal yang) menyedihkan dan menyusahkan, lemah dan malas, bakhil dan penakut, lilitan hutang dan penindasan orang.”
.
— HR. Al-Bukhari 7/158. Rasulullah sentiasa membaca doa ini, lihat kitab Fathul Baari 11/173.
Amalkan juga zikir ini di pagi hari.
.
Zikir Pagi No. 4
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebajikan dan keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah auratku (aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari rasa takut. Ya Allah, peliharalah aku dari muka, belakang, kanan, kiri dan atasku. Aku berlindung dengan kebesaran-Mu, agar aku tidak disambar dari bawahku (oleh ular atau tenggelam dalam bumi dan lain-lain yang membuat aku jatuh).” (Dibaca 1 x)
Ingat, jika mak-mak dah mula ada rasa marah dan benci tiba-tiba, rasa nak mencederakan anak, bertukar watak, tolonglah terus dapatkan rawatan. JANGAN BERTANGGUH, anda tak tahu nyawa siapa yang akan anda rentap.
Berita ibu meroyan bunuh anak bukan main-main. Bukan untuk dijadikan berita pandang sekali lalu saja. Ibu tak sedar pun siapa yang dia pegang, siapa yang dia tikam, siapa yang dia buang.
Untuk anda yang tiada kaitan, perilaku ibu meroyan, kemurungan ni, berubah-ubah. Sekejap baik, sekejap garang, sekejap sayang. Dari bidadari syurga bertukar ke rasaksa sekelip mata.
Jangan hairan jika anda jumpa mereka di luar, mereka boleh tersenyum-senyum, melayan anda dengan baik, tapi bila balik ke rumah, anak di rotan hingga patah kaki.
Sokongan suami dan keluarga sangat penting. Berikan rehat secukupnya buat ibu berpantang. Jangan biarkan emosi ibu berpantang naik dan turun. Pastikan kesihatan mereka di dalam keadaan terbaik supaya emosi sentiasa stabil. Menangis adalah permulaannya.
Ibu kemurungan memang cenderung membunuh diri dan mencederakan anak-anak. Cari punca mereka murung, dan bantulah mereka keluar dari perangkap itu.
Tak ada siapa pun nak bunuh diri dan mencederakan anak sendiri, kalau bukan disebabkan gangguan pada jiwa.
Bantulah isteri. Perhatikan perubahan isteri. Jika sebelum ni dia bidadari dari syurga, tapi tiba-tiba menjadi rasaksa, carilah masa berbual dengan dia.
Penat badan lelaki yang bekerja, tak sama dengan penat seorang isteri yang membawa anak dalam perut selama 9 bulan dan keluarkan pula dengan pelbagai masalah.
Bantulah isteri dalam membuat kerja rumah. Isteri bukan orang gaji, tetapi bidadari anda sendiri. Orang gaji pun dibayar mahal RM800 sebulan. Isteri pula diberi mas kahwin untuk seumur hidup. Tapi isteri diberi beban seperti bergaji RM20,000 sebulan.
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka.” SQ. An-Nisaa’: 34
Jangan hairan jika bidadari anda mula bersikap seperti rasaksa bila bersama-sama anak-anak. Masa anda pulang ke rumah, adalah masa untuk isteri berkongsi cerita, berborak gelak ketawa, anak-anak bergurau, dan bukan masa untuk anda menonton Maharaja Lawak atau konsert, main game di telefon atau keluar lepak dengan kawan-kawan. Isteri bukan tunggul, bukan mak guard.
Saya bersyukur suami mula memahami. Salah sendiri kerana tidak pernah cuba buat luahan hati. Kesibukan suami bekerja buatkan saya hilang mood.
Mak dan kakak nombor 2 paling banyak membantu. Saya akan ingat sampai mati jasa dan budi mereka. Kalau tidak, mungkin sekarang saya sedang menangis di tepi kubur, meratapi kematian anak-anak. Mungkin juga dah masuk hospital gila.
Rasa boleh membantu yang lain, kongsilah supaya semua pun dapat manfaat.
CREATE AWARENESS pada yang lain.
Tapi jika anda berkongsi hanya untuk mengecam perilaku saya waktu kemurungan, saya hanya mampu doakan yang terbaik saja untuk anda. Apa lagi yang boleh saya katakan jika orang taknak faham dan taknak belajar?
Semoga anda semua mendapat manfaat dari perkongsian hari ini.
Meroyan ini berpunca dari kurang rehat dan tak mendapat tidur yang berkualiti (deep sleep). Ibu Rose sendiri pernah alami meroyan dan inilah nasihatnya semasa sesi live online bersama Puan Mastura.