Bila harta kita agungnya hingga abaikan akhirat, sedarlah sebelum terlambat.

Setiap orang memiliki impian dan cita-cita sama ada untuk berjaya dalam karier, mengumpul harta atau menjelajah dunia. Sebaiknya setiap daripada kita harus bijak menyeimbangkan antara keutamaan duniawi dan juga akhirat agar hidup kita diredhai Allah selalu.

Kisah kali ini berkisar tentang seorang bapa yang angkuh dengan kemewahan yang diperolehinya selama hidupnya. Menurut anaknya, Zaim, ayahnya merupakan kontraktor berjaya di utara tanah air. Tidak dinafikan sejak kecil Zaim sendiri dilambakkan dengan kesenangan, setiap permintaan anak-anak pasti ditunaikan.

Ayahnya sangat disenangi anak-anak kerana jarang memarahi anak-anak dan pemurah dalam membeli jiwa anak-anak. Keempat-empat anaknya juga berjaya dalam bidang akademik dan kesemuanya lulusan universiti. Satu kekurangan bapa Zaim ialah dirinya tidak mahu menunaikan perintah agama.

Bukan hanya tidak mahu mendirikan solat yang merupakan tiang agama, malahan dia tidak menunaikan kewajipannya untuk berpuasa, apatah lagi membayar zakat. Ketika masih mentah, Zaim tidak nampak kekurangan ayahnya daripada mata kasar.

Setelah makin meningkat usia, Zaim mula belajar agama di sekolah dan ustaz-ustaz, membuatkan dia sedar bahawa betapa jauh bapanya dari agama Islam. Zaim cuba menasihati bapanya secara halus dengan langkah mengajak ayahnya menunaikan umrah.

Tetapi hampa, bapanya sekeras-kerasnya menolak permintaan Zaim dan membuat keputusan untuk membawa keluarganya bercuti ke luar negara sahaja. Ayahnya makin menjadi-jadi apabila kematian ibu. Ayahnya seolah-olah hilang malu apabila bercinta dengan wanita yang terlalu muda.

Dunia Hanya Sementara, Buat Kebaikan Selagi Boleh Kerana Akhirnya Kita Merana

Hilang Punca

Akibat terlalu cintakan wanita yang hanya mahukan wang dan harta ayah, mereka berdua ditangkap khalwat di sebuah hotel mewah. Sebagai anak, Zaim merasa malu dan mula mencari alternatif lain untuk mengubah bapanya.

Akhirnya Zaim berjumpa imam masjid di kawasan perumahannya dan meminta dia bersemuka dengan ayah. Tetapi malangnya imam itu diherdik dan dihalau bapa Zaim kerana mencampuri urusannya.

Paling menggusarkan hati Zaim apabila ayahnya mempersendakan kehidupan imam yang hidup sederhana biar pun menjaga solat lima waktu serta taat dengan setiap perintah agama. Bagi ayah Zaim, sepatutnya orang yang alim hidupnya senang bukannya susah.

Walhal, dirinya dengan bongkak mengakui bahawa tidak pernah solat sepanjang hidup, apatah lagi menunaikan zakat dan bersedekah, tetapi Allah tetap kurniakan kemewahan dan kesenangan yang tidak berbelah bahagi di dunia.

Balasan Sekelip Mata

Siapa sangka tidak lama selepas bapa Zaim memaki imam, dirinya tiba-tiba diserang strok. Sepanjang dia sakit, dia langsung tidak mahu bertemu anak-anak. Dia lebih rela tinggal bersama isteri mudanya daripada dijaga anak-anak.

Selaku anak sulung, hati Zaim dilanda resah apabila tidak mengetahui tentang perkembangan kesihatan ayahnya. Setelah berbincang bersama adik-adiknya mereka ingin ke rumah isteri muda ayahnya dan akan membawa balik bapa mereka.

Setibanya mereka di sana, amat mengejutkan apabila mereka mencium bau yang amat busuk. Setelah berkali-kali memberi salam tidak menjawab, mereka cuba memecah pintu dan bau yang busuk itu datang daripada dalam rumah.

Lebih menyedihkan apabila mereka melihat jenazah ayah mereka yang mulai membusuk dan berulat berada di dalam bilik tidur utama. Rupa-rupanya ibu muda meninggalkan bapa sendirian dan tidak sedar bahawa suaminya telah meninggal dunia.

Ternyata kekhilafan bapa Zaim membuatkan pengakhiran hidupnya amat menyedihkan. Bayangkan tidak ramai jemaah yang ingin turut serta ketika solat sunat jenazah ditunaikan akibat tak tertahan bau busuk. Zaim sendiri hampir termuntah, namun ditahan kerana inilah penghormatan terakhir buat ayahnya.

Oleh itu sebagai hamba-Nya, kita harus ingat kekayaan dan kemewahan tidak menjanjikan apa-apa di mata Allah. Sebaliknya amal soleh yang menjadi bekalan kita di akhirat kelak.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI