
Dua pelajar MRSM Alor Gajah hilang, Dr Asyraf Wajdi mohon doa orang ramai. Dua pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara yang dilaporkan hilang sejak 11 Ogos lalu, Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad, masing-masing berusia 16 tahun sehingga kini masih belum ditemukan.
Berdasarkan maklumat terkini dikongsikan di media sosial, kedua-dua pelajar itu dipercayai bergerak dari Melaka menuju ke Kuala Lumpur dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menjadi lokasi terakhir yang diketahui.
Dua pelajar MRSM Alor Gajah hilang sejak 11 Ogos lalu

Kehilangan mereka turut mendapat perhatian Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mengajak orang ramai mendoakan agar kedua-duanya segera ditemui dan kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.
“Di pagi Jumaat barakah ini tolong doakan agar dua pelajar MRSM Alor Gajah Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad yang hilang kembali semula ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya menerusi perkongsian di media sosialnya.
Bermula Selepas Salah Seorang Dihantar Ke Klinik
Berdasarkan kronologi awal yang diterima, kejadian dipercayai bermula apabila salah seorang pelajar mengalami sakit kaki sebelum dihantar menggunakan kenderaan maktab ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, apabila pemandu maktab kembali untuk mengambil pelajar berkenaan selepas rawatan selesai, remaja itu didapati sudah tiada di klinik tersebut.

Maklumat awal mendapati kedua-dua pelajar berkenaan dipercayai menaiki perkhidmatan e-hailing dari klinik menuju ke Melaka Sentral.
Mereka kemudian dipercayai menaiki bas Delima Express dari Melaka Sentral ke TBS, Kuala Lumpur.
TBS setakat ini dipercayai menjadi lokasi terakhir yang diketahui sebelum keberadaan kedua-duanya tidak lagi dapat dikenal pasti.
“Anak Sahabat Saya Hilang”
Dalam pada itu, seorang sahabat kepada keluarga salah seorang pelajar turut merayu bantuan orang ramai untuk menyebarkan maklumat kehilangan kedua-dua remaja berkenaan.
“Anak sahabat saya hilang. Mohon bantuan semua viralkan kot ada yang terjumpa. Doakan moga anak-anak ini ditemui segera dan moga urusan sahabat saya dipermudahkan,” tulisnya.
Individu berkenaan turut meluahkan kebimbangan terhadap keadaan keluarga yang masih menantikan kepulangan anak mereka.
“Dah la sahabat saya ni anak dara dia sorang ni je. Moga takde apa la.”
Menurut perkongsian tersebut, laporan polis berhubung kehilangan kedua-dua pelajar berkenaan telah dibuat, namun mereka masih belum ditemui.
Anda mungkin berminat dengan
Orang Ramai Diminta Bantu Salurkan Maklumat
Orang ramai yang pernah melihat, terserempak atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Siti Nur Aaira dan Nur Aisy Humaira diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis atau menghubungi nombor yang tertera pada poster hebahan rasmi kehilangan mereka.
Masyarakat juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan mengenai punca kehilangan kedua-dua remaja berkenaan.

Memandangkan kedua-duanya masih berusia 16 tahun, keselamatan mereka menjadi keutamaan ketika ini, manakala sebarang maklumat yang diterima boleh membantu usaha mengesan mereka.
Semoga pada penghulu segala hari ini, doa keluarga dan seluruh masyarakat agar Siti Nur Aaira Aidi dan Nur Aisy Humaira Mohd Saad ditemui dalam keadaan selamat dipermudahkan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

