Agak merisaukan bagi wanita hamil, apabila bayi dalam kandungan juga berisiko untuk dijangkiti virus COVID-19. Terbaru Doktor di Perancis mengesahkan kes pertama jangkitan membabitkan bayi yang positif COVID-19 ketika berada dalam kandungan ibu.
Alami Gejala Pada Sistem Saraf
Bayi lelaki yang dilahirkan pada Mac lalu itu didapati mengalami bengkak pada otak dan mempunyai gejala pada sistem saraf, seperti dikaitkan dalam kalangan dewasa yang dijangkiti COVID-19.
Jurnal ‘Nature Communications’ bagaimanapun melaporkan bahawa bayi berkenaan berjaya sembuh daripada jangkitan terbabit, semalam.
Risiko Penularan Jangkitan
Doktor dari Hospital Antoine Beclere, Daniele De Luca, berkata siri penyelidikan yang dijalankan sebelum ini mendapati ada kemungkinan risiko penularan jangkitan dari ibu ke janin.
“Kita sudah buktikan bahawa jangkitan boleh berlaku dari ibu ke janin menerusi plasenta ketika minggu terakhir kandungan.
“Bagi mengetahui keadaan sebenar, kita perlu mengambil darah ibu, cecair amniotik, darah bayi yang baharu dilahirkan, plasenta dan lain-lain.
Ads
“Tetapi, untuk dapatkan semua sampel ini ketika pandemik dengan keadaan darurat adalah bukan tugas mudah.
“Oleh kerana itu, kita hanya mengutarakan pandangan bahawa corak penularan jangkitan seperti ini sekadar ‘disyaki’ tetapi tidak pernah dibuktikan,” katanya.
Memperincikan kes terbabit, De Luca berkata kumpulan pakarnya mengumpulkan data mengenai ibu mengandung berkenaan yang berusia dalam lingkungan 20-an ketika dimasukkan ke hospital, pada awal Mac lalu.
Ads
Katanya, sumber dan sampel virus itu tidak terjejas bagi tujuan penyelidikan lanjut kerana bayi berkenaan dilahirkan menerusi kaedah ‘caesarean’.
Virus Dipindahkan Menerusi Tali Pusat
Sehubungan itu, beliau menjelaskan pasukan penyelidik mendapati kandungan virus yang diberi nama sebagai SARS-CoV-2 paling tinggi pada plasenta ibu terbabit.
“Virus itu kemudian dipindahkan ke bayi menerusi tali pusat dan terus berkembang, sekali gus menyaksikan gejala teruk direkodkan dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran.
Ads
“Ia termasuk tubuh badan bayi menjadi seakan kaku, kerosakan pada sebahagian otak dan kerengsaan yang teruk.
“Bagaimanapun, belum sempat doktor menjalankan rawatan, gejala itu mulai surut dan dalam tempoh tiga minggu, bayi terbabit sembuh sepenuhnya dengan sendiri.
“Tiga bulan kemudian, ibu bayi berkenaan pula disahkan bebas daripada sebarang gejala. Ini sebenarnya berita buruk kerana keadaan sedemikian boleh berlaku. Cuma kes seperti ini sangat jarang,” katanya. – AFP
MW: Aduh risaunya. Semoga pandemik virus covid-19 ini segera berakhir.
Buat golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas malah
ibu mengandung semoga lebih berhati-hati.AFP
Usia perkahwinan bertahun-tahun, belum tentu menjamin kebahagiaan dalam perhubungan. Apabila diri tak mampu lagi untuk bertahan, keputusan nekad harus diambil untuk memutuskan ikatan perkahwinan.
Tidak setuju dengan keputusan untuk bercerai, seorang lelaki menetak isterinya menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan di bahagian leher dan tangan dalam kejadian di sebuah rumah di Ladang St Helier, Bahau, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 7.40 pagi daripada seorang pembantu perubatan dari Klinik Ladang St Helier memberitahu bahawa seorang wanita yang berlumuran darah berada di dalam longkang di belakang rumahnya.
Beliau berkata, Selasa lepas, pasangan itu telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara Bahau untuk mendaftarkan perceraian mereka, dan apabila pulang ke rumah, mereka bertengkar, namun pertengkaran berakhir apabila wanita itu balik ke rumah ibunya di Taman Megah Mahsan, sebelum kembali semula ke rumah selepas anak-anak pulang dari sekolah.
Menurutnya semalam, semasa berada di belakang rumah, pasangan itu sekali lagi bertengkar dengan si suami yang berumur 39 tahun, yang menuduh isterinya berumur 36 tahun itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
“Lelaki itu kemudiannya mengambil sebilah parang pendek berhulu hitam yang ada di belakang rumah dan menetak isterinya di bahagian kiri leher,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Khairiel berkata, kejadian disaksikan oleh anak ketiga wanita itu yang berumur 11 tahun, yang kemudiannya meminta bantuan jiran di hadapan rumah dan menurutnya pasangan itu telah berkahwin selama 18 tahun dan mempunyai enam anak perempuan.
Beliau berkata, penoreh getah itu mengalami kecederaan luka akibat tetakan di bahagian leher, tangan kanan dan tangan kiri, di samping patah bahagian lengan kanan dan retak pada tangan kiri, kini sedang dirawat di zon merah wad kecemasan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, dan berada dalam keadaan stabil.
Menurutnya polis telah menahan suami wanita itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -Bernama
MW: Usia perkahwinan bertahun-tahun belum tentu menjamin kebahagiaan dalam perhubungan. Apabila tak mampu lagi bertahan, mungkin perceraian adalah keputusan yang terbaik.
Sumber: Sinar Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Rupanya pelakon drama Dunia Baru, Anita Baharom ini disahkan sakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus sejak tahun 2017 lagi. Berjuang melawan penyakit kronik ini bukan mudah bagi ibu anak tiga ini.
Pernah satu ketika, dia berdepan serangan sakit sendi yang membuatkan jarinya bengkok, malah dia sendiri tak mampu berjalan. Keadaan itu dialami sebaik selesai menjalani pengambaran filem Keluarga Iskandar The Movie di Johor Bahru, sekitar Mac lalu.
Penyakit itu juga membuatkan dia tak boleh bekerja dalam keadaan tertekan dan penat. Jika penar, sendinya akan mulai sakit-sakit.
Jadi untuk tak menyusahkan orang lain, Anita jalani pemeriksaan di hospital. Dan hari ini, SLE yang dialami semakin bertambah baik.
Sebolehnya, Anita tak mahu pun nak perbesar-besarkan penyakit yang dialami itu. Bimbang orang cakap dia mengada-ngada. Sebab itulah bila doktor sahkan penyakitnya itu, dia mula atur jadual kerja sebaiknya. Tak mahu nanti disebabkan dia, orang lain jadi susah sama.
Penyakitnya sekarang semakin stabil.
Anak-anak pun dah bersekolah, jadi banyaklah masa senggang untuknya kembali aktif berlakon. Sebab tak ada pun dalam kamus hidupnya yang dia berhenti berlakon.
“Ada saja berlakon, cuma orang tak nampak dekat kaca TV.” Tahun lalu, dalam diserang sakit itulah dia menjayakan filem Keluarga Iskandar The Movie. Dan ada juga dia buat sitkom untuk Awesome TV.
Malah, sekarang ini pun Anita aktif berniaga acar limau. Itu perniagaan yang dia usahakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.
MW : Mendoakan semoga Anita segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Kadang tu, mak-mak rasa rugi beli gelang emas pandora sebab rasa fungsinya macam untuk hiasan semata. Lagi satu rasa leceh, sebab nak kena beli satu-satu dan bagi penuh ‘buah’ gelang baru nampak cantiknya.
Hakikatnya, gelang emas pandora ini praktikal untuk dijadikan emas pakai dan juga berguna untuk simpanan. BroOhsem, Akhtar Syamir jelaskan sebabnya. Mak-mak yang baru nak beli gelang emas pandora tu, elok sangat baca tip ni sampai habis.
Tak lah cuma sekadar membeli je nanti.
Pandora ini bersifat fleksible atau modular iaitu boleh ditukar-tukar atau ditambah serta dikurangkan. Berbeza dengan jika kita beli gelang biasa, ia kekal begitu sampai bila-bila.
Pandora terbahagi kepada beberapa komponen iaitu gelang / bangle, aksesorinya iaitu charms atau beads dan cangkuknya atau pengunci gelang itu.
Gelang Pandora bersifat lembut manakala bangle lebih bersifat keras dan bentuknya kekal.
Cangkuk (hook) atau pengunci gelang Pandora datang dengan pelbagai jenis iaitu lobster hook, s hook, silinder, love dan lain-lain. Semuanya berfungsi untuk mencantumkan satu hujung gelang dengan hujung yang lagi satu serta berfungsi sebagai penahan kepada charms dan beads supaya tidak terkeluar dari gelang Pandora.
Charms datang dengan dua bahagian dengan 1 bahagian ialah rekaan emas itu dan bahagian keduanya adalah pemegang serta lubang untuk diselitkan gelang Pandora.
Beads pula hanya datang dengan 1 bahagian yang berlubang di tengah-tengah untuk diselitkan gelang Pandora.
Dari segi rekaan, charms lebih unik dan pelbagai dari bentuk beg, kasut, kereta, rumah sehinggalah bentuk buah durian yang saya jumpa baru-baru ini.
Rekaan beads pula lebih konvensional dan klasik tetapi tetap menarik dan lebih selamat serta kemas kerana hanya mempunyai 1 bahagian dan tidak terjuntai seperti charms.
Berbalik kepada kelebihan Pandora ini, kita boleh tambah charms atau beads apabila kita ada rezeki dan kita juga boleh lepaskan charms atau beads di saat memerlukan.
Katakanlah suatu hari nanti kita sangat perlukan duit, tak perlu gadai 1 gelang terus. Hanya lepaskan beads atau charms sahaja mengikut keperluan.
Ia juga boleh dijadikan motivasi untuk menambah lagi pelaburan emas dan koleksi emas dengan mengumpul charms dan beads. Mula dengan 1, lepas tu boleh tambah 1 lagi dan lagi dan lagi mengikut kemampuan.
Ada pelbagai cara untuk mencantikkan set Pandora anda. Sama ada nak mengikut tema seperti TEMA LV katakanlah, atau tema LOVE, atau TEMA BUAH atau TEMA Hello KItty dan sebagainya.
Atau boleh kumpul beads sahaja dan akan membuatkan gelang Pandora anda nampak seperti gelang biasa atau boleh berselang-selang dengan charms sebagai penyeri.
Semuanya bergantung kepada kreativiti dan kemampuan masing-masing. Yang nyatanya, ia boleh menjadi penyuntik semangat untuk terus mengumpul emas kerana harga emas hampir pasti tidak akan turun dan charms serta beads itu pun boleh dijual dan beli bentuk-bentuk yang lain. Contohnya sudah bosan dengan tema klasik tahun lepas, nak tukar kepada tema gila-gila macam bentuk kereta dan rumah pula tahun ni.
Satu lagi kelebihan untuk Pandora ialah beads boleh datang dengan berat yang ringan. Bayangkan saya pernah nampak beads dengan berat hanya 0.30 gram sahaja. Itu hanya RM76.20 jika mengikut harga emas RM254 untuk 1 gram.
Nak budget dia mudah je. Charms dan beads ni beratnya ada bawah 1g sampailah 4 atau 5 gram. Tengok budget kita, kalau ada RM1,000 tu boleh pilih nak beli 4 charms / beads 1 gram atau 2 yang 2 gram atau seketul yang 4 gram.
1 g = RM254 2 g = RM508 3 g = RM762 4 g = RM1016
√ Ada sedikit tips untuk peminat atau yang baru mula berjinak-jinak dengan Pandora. Pastikan anda beli gelang yang beratnya 7 gram ke atas dan jangan beli yang terlalu ketat. Jika ukur lilit pergelangan tangan anda 17 cm, tambah 2-3 cm supaya dapat memberi ruang kepada penambahan charms dan beads nanti.
√ Tidak semua kedai ada menjual gelang atau bangle Pandora, namun anda masih lagi boleh mengaplikasikan konsep Pandora dengan menggunakan gelang belut atau rantai tangan belut. Bentuknya sama sahaja, yang membezakannya hanyalah hook / kunci di hujung.
√ Kemudian, mengenai charms dan beads pula. Ada yang berwarna dan mempunyai batu. Warna dan batu-batu itu akan dibuang dahulu sebelum timbangan untuk jualan dibuat. Jadi, beratnya yang sebenar hanya boleh diketahui apabila hiasan itu dibuang. Agak sukar sedikit untuk bertukar-tukar charms dengan kawan jika tidak tahu beratnya tanpa merosakkan perhiasan charms tersebut.
√ Akhir sekali, Pandora ni akan ada stopper untuk mengelakkan charms atau beads tu berlari-lari dalam rantai atau bangle. Dia boleh datang dalam bentuk getah atau masa beli gelang tu sendiri dah ada stopper terus. Selalunya kalau beli charms pasti akan dapat stopper getah tu. Ada juga kedai yang jual stopper tu 50 sen.
Begitulah serba sedikit mengenai Pandora. Semoga penulisan ini mendatangkan minat untuk anda mula mengumpul emas dengan gaya rekaan atau tema tersendiri. Apa yang penting, emas tetap emas, tidak kira ia datang dalam apa juga bentuk dan berat.
Bagaimana, dah berminat dengan pandora? Atau memang anda Pandora lovers? Jom kongsikan pendapat anda mengenai Pandora di komen.
Saya juga ada buat #CabaranRM3 iaitu satu cabaran untuk mengumpul sendiri RM3 sehari selama 180 hari yang bertujuan untuk membeli emas paling kurang pun 2 gram.
Setakat ini, kita sudah sampai hari yang ke 29 dari 180 hari dan jumlah minima yang anda patut ada ialah RM87. Jom bersama-sama kita menabung untuk membeli emas. Saya akan ingatkan setiap hari di posting.
Sumber/Foto : Akhtar Syamir, selalu menulis mengenai hubungan suami isteri, kekeluargaan dan isu semasa. Sertai Supergroup Telegram BroOhsem Fans untuk membolehkan anda berinteraksi dengan penulis : http://t.me/broohsemfans
*Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!