
Bella Astillah setia di garisan penamat menanti suami tersayang, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya menamatkan cabaran IRONMAN Malaysia 2026 dengan catatan masa 12 jam 48 minit 38 saat walau gagal mencapai sasaran bawah 12 jam yang ditetapkan.
Disambut Ibu & Bella Astillah Digarisan Penamat

Catatan itu menyaksikan beliau terlepas peluang mendapatkan sumbangan RM200,000 untuk penduduk Muar yang dijanjikan sebuah syarikat sekiranya berjaya menamatkan perlumbaan dalam tempoh ditetapkan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mengakui berdepan cabaran fizikal yang amat getir, terutama akibat cuaca panas dan angin kencang sepanjang pertandingan.
Malah, beliau mendedahkan hampir berputus asa apabila suhu yang direkodkan pada jam tangannya mencecah 36 darjah Celsius.
Syed Saddiq Tetap Berjuang Walau Muntah Dan Kejang Otot

Lebih mencabar, dalam baki 20 kilometer terakhir, Syed Saddiq mengalami muntah dan kekejangan otot berulang kali ketika berusaha menuju ke garisan penamat.
Beliau bagaimanapun tetap meneruskan cabaran sehingga berjaya menamatkan ketiga-tiga disiplin perlumbaan.
“Saya ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada warga Muar kerana tidak berjaya tiba di garisan penamat dalam tempoh 12 jam.
“Saya sudah melakukan yang terbaik. Saya akui hari ini adalah hari yang buruk dan hampir menyerah kerana cuaca terlalu panas,” katanya selepas perlumbaan.

Syed Saddiq turut mengakui perasaannya bercampur baur kerana berpuas hati berjaya menamatkan cabaran, tetapi terkilan tidak dapat memenuhi sasaran demi manfaat penduduk Muar.
Sebagai perbandingan, pada edisi tahun lalu, beliau mencatat masa 12 jam 22 minit 18 saat, sekali gus mencapai sasaran bawah 13 jam.
Pencapaian itu membolehkannya memperoleh sumbangan RM1 juta daripada syarikat fesyen Prima Valet (PV) untuk disalurkan bagi manfaat penduduk Muar.
Di sebalik kegagalan mencapai sasaran kali ini, detik paling bermakna buat Syed Saddiq ialah kehadiran isterinya, Bella Astillah yang menyambut ketibaannya di garisan penamat dan mengalungkan pingat kepadanya.
Anda mungkin berminat dengan
Beliau menyifatkan sambutan itu cukup istimewa berbanding tahun lalu apabila hanya berpeluang melambai isterinya dari kejauhan.
Syed Saddiq berharap penyertaannya dalam acara sukan lasak itu dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk mengamalkan gaya hidup sihat serta menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Untuk rekod, IRONMAN Malaysia menguji ketahanan peserta menerusi tiga disiplin utama iaitu renang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer dan larian sejauh 42.2 kilometer.

download sekarang!
