
Kisah Raffia Arshad menjadi perhatian dunia apabila beliau dilantik sebagai antara hakim wanita pertama berhijab di United Kingdom pada 2020, selepas pernah dinasihatkan supaya tidak memakai hijab ketika menghadiri temu duga biasiswa.
Pernah Dinasihati Tanggalkan Hijab

Ketika itu, dia sedang berjuang untuk mendapatkan biasiswa ke sekolah undang-undang terkemuka di London. Beberapa ahli keluarga dengan niat baik menasihatkan supaya dia membuka tudung kerana bimbang peluangnya akan tertutup rapat.
Semasa membuat keputusan, Raffia berpegang teguh pada prinsip hidupnya tanpa ragu. Dia berkata pada diri sendiri, kalau dia perlu jadi orang lain demi mengejar kerjaya, itu bukanlah impian yang dia inginkan.
Dia melangkah masuk ke bilik temuduga dengan penuh keyakinan dan tetap berhijab. Hasilnya, dia bukan sahaja lulus, malah berjaya meraih biasiswa besar yang menjadi titik perubahan paling utama dalam hidupnya.
Raffia Arshad Buktikan Mampu Bergelar Hakim Di UK

Perjuangan Raffia terus konsisten selama 17 tahun sebagai peguam undang-undang keluarga. Beliau banyak mengendalikan kes berprofil tinggi seperti isu kanak-kanak, perkahwinan paksa, dan hukum Islam.
Sepanjang perjalanan itu, pandangan serong dan stereotaip memang tidak dapat dipisahkan. Ada ketika pegawai mahkamah sendiri menyangka beliau adalah penterjemah atau anak guam, bukannya seorang peguam.
Namun semua tanggapan remeh itu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus melangkah. Pada Mei 2020, sejarah besar tercipta apabila dia dilantik sebagai Hakim Daerah Timbalan di Midlands Circuit, England.

Pelantikan ini secara rasmi menjadikan Raffia Arshad sebagai hakim berhijab pertama di United Kingdom. Kejayaan ini membuktikan kepada dunia bahawa identiti agama bukanlah penghalang untuk mencapai kedudukan tertinggi.
Anda mungkin berminat dengan
Bagi Raffia, pencapaian ini bukan sekadar kejayaan peribadi untuk membanggakan diri sendiri. Dia menegaskan bahawa impak kemenangan ini jauh lebih besar buat semua wanita, terutamanya wanita Muslim di seluruh dunia.
Apa yang paling menarik dalam kisah wanita ini ialah keberanian seorang wanita mempertahankan identiti dan prinsip agama tanpa mengorbankan cita-cita profesionalnya.
Kisah Raffia menjadi bukti hidup bahawa kita tidak perlu mengorbankan jati diri demi mengejar impian. Teruskan melangkah dengan prinsip yang betul, kerana kejayaan sebenar akan hadir bersama ketetapan hati.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

