Perkataan poligami amat sensitif bagi kaum isteri. Rata-rata wanita alah dengan perkataan “madu” yang manis pada kaca mata lelaki tetapi pahit ditelan kenyataannya bagi rata-rata wanita. Namun jika takdir Allah mengatasinya, sebagai hamba kita seharusnya redha jika perlu berkongsi suami dengan wanita lain.

Sememangnya poligami memiliki kesan positif dan negatifnya, tetapi ianya berbalik kepada penerimaan setiap daripada kita. Sesungguhnya, dalam mengamalkan poligami, suami yang sepatutnya memainkan peranannya.

Sejujurnya menurut Zarina Zainuddin yang telah merasai pengalaman selama 25 tahun mengakui kehidupan bermadu adalah manis dan indah. Tidak dinafikan pada peringkat permulaan segalanya tampak sukar.

Malahan dalam tempoh perkenalan memang masing-masing susah nak terima rasa berkongsi dan dikongsi, masing-masing rasa nak memiliki, tetapi lama-lama jika kita redha, segalanya akan berjalan lancar.

“Saya tak nafikan menjadi isteri kedua sering dilabel sebagai perampas, saya dahulu pun benci wanita yang rampas suami orang. Oleh sebab itu masa mula-mula sebelum kahwin, saya pergi jumpa isteri pertama.

IKLAN

“Ketika itu saya masih muda, jadi saya risau orang ambil kesempatan. Jadi bila suami luahkan mahu memperisterikan saya, saya minta dia bawa jumpa isteri pertama. Saya rasa sedih dan kami sama-sama menangis pertama kali berjumpa.

“Terus-terang saya katakan saya tiada sesiapa untuk bergantung hidup, jika akak (isteri pertama) izinkan, barulah saya berkahwin dengan suami. Alhamdulillah akhirnya isteri pertama setuju dan barulah kami kahwin jauh di seberang.

IKLAN

Kahwin Senyap-senyap

Pernikahan Zarina dan suami, Datuk Seri Raihan Wan Jaafar, adalah secara senyap-senyap dan sememangnya tak beriya. Pada Zarina, dia tahu dalam masa dia mengejar bahagia ada hati yang terluka iaitu madunya. Jadi saya perlu menjaga hati semua orang demi keharmonian rumah tangga bersama.

“Momen paling sedih apabila selepas bernikah, suami saya terus-terang dia hanya kasihan pada saya, oleh sebab itu dia menjadikan saya isteri kedua. Jadi suami minta saya bersabar dan terus bersabar dengan alam perkahwinan.

“Walaupun sedih, saya berusaha untuk buat suami sayangkan saya. Salah satu caranya, saya tackle hati isteri pertama. Saya ambil hati kakak(isteri pertama) supaya suami juga sayangkan saya.

IKLAN

“Tidak dinafikan kebaikan madu saya terlalu banyak, malah kami pernah bekerja bersama. Dia banyak beri tunjuk ajar saya tentang bisnes dan mengajar saya disiplin dalam berniaga.

“Alhamdulillah setelah saya mengandung beberapa bulan, suami katakan yang dia sayangkan saya dan kami kekal sebagai suami, isteri hingga hari ini,” ungkapnya sebak dan mengakui bahagia di samping suami dan empat anaknya iaitu pasangan kembar, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai, 23, Muhammad Naim Azraidan, 16 dan Muhammad Adam Azrai, 13.

Sebelum mengakhiri perbualan, jelas Zarina kehidupan bermadu ini mungkin pahit pada awal perkahwinan. Setelah kita sabar, redha dan menerima ketentuan ketentuan Allah, lama-lama kemanisan berpoligami itu muncul dengan sendirinya, insyallah.

Ikuti kupasan lanjut Maniskah Bermadu, di siaran ulangan Mingguan Wanita Talkshow pada jam 5 petang di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.