Anak menangis buat perangai, mak-mak pukul. Ada yang cuma mencubit dan ada juga pilih guna rotan. Tetapi aku sendiri suka kurung anak dalam toilet.
Bukan tak sayang tetapi kadang rasa geram dengan perangai yang semakin menjadi-jadi asyik bergaduh. Nak pukul pun, kita juga yang sakit. Sakit hati!
Hah, inilah dunia mak-mak yang hadap anak 24 jam di rumah. Aku kadang terbabas juga, pernah cubit sikit sebab nak ingatkan dia yang aku sedang marah. Apa yang aku dapat, ada kesan cubit yang buat aku pulak yang rasa bersalah.
Jadi, patut ke aku terus hukum anak kalau dia buat salah? Itulah yang jadi dilema aku tiap kali anak buat perangai. Nak marah manja-manja atau terus menyinga.
Kurung Anak Dalam Toilet
Atas pengalaman sendiri, aku biasanya suka kurung anak kejap. Bagi anak berfikir kenapa dia dikurung. Hasilnya, bila dia ulang silapnya lagi aku aku sebut perkataan TOILET.
Terus stop daripada bergaduh dan perang mulut sesama mereka. Kalau kat luar dari rumah, aku jegil. Masing-masing akan tunding jari dan automatik mata aku makin membulat. Atau paling mudah, aku ugut ajak balik. Nah, itu caranya. Anak akan akui silap dan si kakak akan pergi pada abinya. Tahu lah dia yang aku bakal menjelma jadi seekor singa.
Esok-esok, bila salah seorang daripada mereka buat salah… dia akan tanya,
“Nak duduk dalam toilet?”
Nampak tak, sebenarnya memori anak waktu kecil sangat kuat. Masa inilah dia belajar dengan apa yang dilihat dan ingat apa yang dia lalui. Dan tika inilah juga anak-anak membentuk jati dirinya. Jadi rasanya aku kena tujuk nilai-nilai murni yang akan bentukkan sikap positif dalam diri anak.
Maka setiap kali aku marah dan denda anak letak dalam toilet, lebih kurang dalam beberapa minit aku akan suruh anak minta maaf dengan aku dan aku hadiahkan mereka sebuah pelukan.
Kata orang, kuasa pelukan ini sangat luar biasa. Sekali peluk, anak akan terasa mengalir kasih sayang daripada ibu ke anak. Ini aku yakin! Malah dengan pelukan, cara ini dapat memulihkan kembali rasa negatif, secara tak langsung mengembalikan keyakinan diri anak.
Pelukan Boleh Hilangkan Tekanan
Apa yang aku pernah baca, secara saintifik pelukan meningkatkan aras hormon oksitosin yang dapat menyembuhkan rasa stres atau marah.
Jadi kalau stres janganlah pula dimarah anak-anak, sebaliknya, peluklah anak. Aku percaya, kadang anak buat perangai itu sebenarnya dia nak tarik perhatian. Dia rasa kita dah lebihkan anak yang lain.
Ini pemerhatian aku sendiri lah, sebab setiap kali aku bermanja dengan si adik, mesti si kakak akan datang join sama. Tetapi caranya salah. Dia datang tarik-tarik rambut. Hah, mulalah bergaduh. Yang aku ini pula terus rasa nak marah.
Isyh, tak mudah nak bagi kasih sayang sama rata. Nak tak nak, aku yang kena terangkan pada anak-anak apa yang buat itu salah. Jadi, aku peluk dua-dua dan nyatakan aku sayang mereka tak lebih dan tak kurang.
Hasilnya aku tengok anak yang sering dipeluk biasanya tenang, tidak mudah melenting dan tak panas baran.
Malah, mereka kelihatan matang dan lebih bijak membuat pilihan serta bertindak rasional.
Rupanya ini saja ubatnya, jadi mak-mak… jangan lupa peluk anak bila dia buat perangai. Kalau boleh, amallah setiap hari! In shaa Allah, anak-anak akan membesar jadi anak yang baik dan bukan jenis pemarah.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI