Setiap insan mengharapkan hanya yang terbaik dalam kehidupan. Namun siapalah kita untuk menolak ujian dari Allah SWT. Di sinilah tahap keimanan diukur bagi menentukan sejauh mana ikhlasnya mulut mengatakan redha dengan dugaan.
Kunjungan penulis ke kediaman Azman Lokmat, 53 tahun di Klang tidak lama dahulu benar-benar menyentak hati.
Begitu dalamnya kasih Azman terhadap isteri, Raja Zarifah Raja Ramli. Langsung tidak berbelah bahagi meskipun si isteri sudah tidak seperti dahulu. Hampir sepanjang masa, Raja Zarifah menghabiskan harinya di kerusi roda yang menjadi ‘kaki keduanya’.
Dia kini bergelar Orang kelainan Upaya (OKU) setelah lumpuh separuh badan. Fizikalnya kian susut malah ubat–ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital sudah menjadi makanan rutin.
Walau bagaimanapun keadaan si isteri, Azman tidak pernah sekalipun merungut. Dia tegar melaksanakan tanggungjawab sebagai suami meskipun sedikit lelah untuk mengurus keluarga dan keluar mencari rezeki.
Sebelum Pergi Kerja, Suami Siapkan Isteri Dahulu
“Asalnya dahulu, isteri sihat walafiat dan boleh bekerja bagi membantu kami sekeluarga. Tetapi, ketika mengandungkan anak kedua (tahun 1999), berlaku satu keadaan di mana kaki isteri tiba-tiba lemah.
“Macam menggeletar seperti terkena penyakit Parkinson. Masalah itu berlarutan hinggalah anak kami dilahirkan. Sekarang, isteri disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah. Langsung tak boleh berjalan. Kata doktor, saraf isteri bermasalah.
“Suami manalah yang sanggup lihat isteri yang dinikahi sempurna, kini menderita kesakitan. Pada awalnya, emosi saya sedikit terganggu. Dia adalah tulang belakang keluarga.
“Bila dia macam ni, seluruh isi rumah merasa kesannya. Sejak itu, saya belajar untuk ambil alih semua tugas-tugasnya malah setiap hari, sebelum pergi kerja, saya akan siapkan isteri terlebih dahulu.
Ads
“Mandikan dia, siapkan makanannya dan beri ubat. Selepas itu, saya akan bawa isteri ke rumah mak. Maksudnya, sepanjang saya keluar bekerja maka mak lah yang diharapkan untuk tengok-tengokkan isteri. Risau juga lah hati ini jika hendak biarkan dia seorang diri di rumah.
“Selain mendapatkan rawatan di hospital, saya tak putus harap untuk mencuba rawatan tradisional. Ada masanya saya akan panggil tukang urut datang ke rumah. Minta urutkan isteri dan betulkan urat sarafnya.
“Alhamdulillah, sekarang dah nampak sedikit perubahan. Isteri dah boleh berdiri tetapi masih perlu berpaut kerana kakinya belum kuat seperti dahulu. Pastinya, saya rasa amat gembira dan bersyukur.
“Sekalipun tidak secara drastik perubahan yang berlaku ke atas dirinya namun semangat dan kesungguhan isteri untuk sembuh membuatkan saya betul-betul kagum.” cerita Azman dengan wajah yang gembira.
Ads
Rezeki Tak Disangka Dari Bantuan PERKESO
Ujar Azman, sebelum ini dia tidak tahu langsung tentang ‘bantuan’ yang boleh diminta dari PERKESO. Namun, kuasa Tuhan yang mempertemukan Azman dengan tukang urut isterinya.
Dialah yang bertanggungjawab memaklumkan masalah tersebut ke pihak PERKESO. Walaupun tidak semewah mana namun, bantuan kerusi roda serta wang pencen minima sedikit sebanyak telah meringankan beban keluarga ini.
“Bayangkan sahaja, lebih kurang 19 tahun isteri ‘diserang’ penyakit ini. Selama itulah kami kerap ulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan serta ubat-ubatan.
“Dahulu, kaki isteri kerap menggeletar dan lemah. Bagi mengatasi masalah tersebut, doktor mencadangkan agar isteri dimasukkan ke dalam wad dua minggu sekali bagi mendapatkan ubatan dan rawatan yang sepatutnya.
“Sekarang, isteri dah tak perlu masuk wad lagi sebab doktor sudah pun menjumpai ubat yang sesuai untuknya biarpun anggaran harga bagi ubat tersebut mencecah RM4,000 lebih. Mujurlah, kos tersebut ditanggung oleh kerajaan. Jika tidak, tak tahulah mana saya hendak cari wang sebanyak itu.
“Insya-Allah, jika tiada apa-apa masalah, isteri saya akan jalani ujian imbasan MRI di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 22 Januari ini. Harap-harap semuanya baik-baik sahaja.
Ads
“Jujur dikatakan, tiada yang lebih menggembirakan hati saya selain dari senyuman yang terukir di wajahnya. Saya tahu dia kuat dan tentunya dia seorang wanita yang hebat kerana mampu bertarung dengan penyakit yang dihidapi. Moga Allah beri rahmat kesihatan dan keimanan pada kami untuk terus jalani ujian yang mendatang ini,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata dengan suara yang penuh harapan.
Cinta Saya Tak Pernah Berbelah Bagi
Melihatkan ketabahan pasangan ini, hati penulis seakan dijentik untuk bermuhasabah. Sesungguhnya Allah mendatangkan ujian kepada hamba-hambaNya yang benar-benar bersedia.
Betapa polosnya wajah si suami, menjaga dan memanjakan si isteri biarpun sulit untuknya mengambil alih seluruh tugas-tugas di rumah. Memasak, membasuh, menjaga hal kebajikan isteri, anak-anak. Ah, bukan mudah! Namun, inilah keajaiban yang Allah berikan. Selama mana dia ikhlas dengan apa yang dilakukan maka selama itulah Allah memudahkan setiap urusan.
Usai perjumpaan kami pada petang itu, Azman mohon untuk keluar bekerja. Seperti biasa, isterinya akan diletakkan sementara di rumah emaknya. Kelebihan bekerja dalam bidang pemasaran seakan bonus baginya untuk memperuntukkan sedikit masa bersama isteri.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada syarikat kerana memberi sedikit kelonggaran pada saya untuk mengurus isteri. Tak tahulah macam mana hendak balas jasa baik mereka.
“Benarlah kata orang, di saat susahlah baru kita tahu siapakah yang layak digelar sahabat. Alhamdulillah, anak-anak pun dah besar panjang. Mereka pun dah pandai berdikari jadi fokus saya hanya pada isteri sahaja.
“Moga Allah perkenankan doa kami agar isteri kembali sihat biarpun tidak mampu berjalan sepenuhnya, memadailah jika dia betah mengurus diri sendiri. Namun yang pasti, cinta dan kasih saya padanya tidak pernah berbelah bahagi.” Akhiri Azman bersungguh-sungguh.
Penulis : Nazwa Selamat Foto : Nurul Akmar Azimi Terima Kasih kepada En Samson dari PERKESO Klang
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu muda ini pernah melalui kisah paling tragis dalam hidupnya. Dia kehilangan dua insan tersayang dalam masa yang begitu dekat. Tanggal 8 April lalu genap 221 arwah suami dan anak sulung meninggalkannya.
Dalam pada ibu bernama Ismee Umairah ini mengumpulkan kekuatan, beliau turut kongsikan 5 perkara yang dilakukan sepanjang kehilangan arwah. Tindakan inilah yang menjadikan dirinya kuat dan kembali cekal membesarkan seorang anaknya yang juga penghibur dirinya.
Kematian itu PASTI. Bersediakah kita dijemput Illahi?
Allahu Akhbar.. Kuatkanlah hamba mendepani cabaran masa depan. Hamba lemah tanpa limpahan kasih sayangMu ya Rahman, ya Rahim..
Hari ni 8/4/2018 (ketika catatatn ini ditulis), genaplah 221 hari (lebih kurang 8 bulan islam) Mai kehilangan arwah suami & anak sulung.. AL-FATIHAH buat kedua-duanya..
Segala yang terbaik Mai sediakan untuk arwah (ikut kemampuan Mai yang masih lemah). Semoga arwah tenang di sana, Amin.
Batu Nisan Sungai Untuk Kedua-dua Arwah
Sekadar berkongsi, Mai pilih BATU NISAN SUNGAI (Batu hidup) untuk kedua-dua arwah. Difahamkan, batu hidup akan sentiasa berzikir untuk si mati. Tanamlah pokok hidup di pusara si mati agar pokok hidup akan sama-sama berzikir untuk si mati.. Amin, mudah-mudahan arwah tenang di sana.
Bukan nak riak, sekadar berkongsi, mungkin bermanfaat untuk rakan-rakan yang kehilangan insan yang disayangi, antara perkara lain yang Mai buat sepanjang 8 bulan ketiadaan arwah :
1) Sedekah 2 naskah Al-Quran besar di masjid & surau untuk bacaan imam ketika solat jemaah. Biasanya Al-Quran ini akan digunakan oleh imam pada bulan Ramadhan. 1 malam solat terawih, imam baca 1 juzuk. Moga-moga mengalir pahala untuk arwah.
2) Wakaf tanah atas nama arwah.
3) Sedekah keperluan surau / masjid atas nama arwah (telekung, peti ais untuk surau taman)
4) Duit. Biasanya kalau pergi surau / masjid dengan Syafi, Mai akan bawa Syafi ke tabung masjid, bagi duit pada Syafi, ajar Syafi masukkan duit ke dalam tabung. Mai niat nama arwah.
5) Sumbangan di sekolah-sekolah agama (baikpulih sekolah) atas nama arwah.
Ada Lagi Sebenarnya..
Nanti Mai share lagi.
Untuk rakan-rakan semua yang berkesempatan, kedua-dua arwah dikebumikan di TANAH PERKUBURAN ISLAM MASJID IHSAN, KUBANG ROTAN, ALOR SETAR, KEDAH..
Doakan mai juga. Mai masih dalam rawatan pakar otak. Next check up 16/4/2018 (Isnin)
Mai cuba untuk positif. Demi anakanda Syafi & insan-insan sekeliling Mai yang Mai sayang & sentiasa support Mai. Tq so much keluarga Mai, umi, abah, kakak, abang, adik-adik, keluarga mertua, kawan-kawan, jiran, kenalan mai, semualah.
Allah pasti membalas jasa kalian kelak. Amin ya Allah.
Bila cikgu ada rasa kasih dengan anak-anak murid sama macam anak-anak sendiri, maka anak-anak murid akan cepat membina kepercayaan kepada pendidiknya. Biarpun anak murid itu cumalah seorang anak kecil yang baru nak kenal alam persekolahan.
Itulah pendekatan yang digunakan oleh Guru Bimbingan & Kaunseling, SK Putrajaya Presint 8 (2), Hussin Bin Ismail atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Hussayn.
Mendekati dua orang anak murid ini dengan penuh kasih. Bagaikan bapa yang bimbangkan anak-anaknya di sekolah. Tentu sebagai ibu mahupun bapa, kita tak berasa gusar andai dekatnya jiwa pendidik dengan anak-anak kita ini.
Kisah Cikgu Hussayn ini cukup dekat, menyentuh hati kita dengan pekerti beliau menyantuni anak-anak muridnya pada hari orientasi darjah 1 di sekolah tempatnya mengajar.
Orientasi Tahun 1 Dan Ragam Anak-anak
Semalam di sekolah berlangsung program orientasi murid tahun 1/2018. Saya ditugaskan sebagai pengacara majlis.
Untuk mengalu-alukan kehadiran ibu bapa di dataran dan mengendalikan sesi bersama anak-anak. Dalam banyak-banyak gambar saya suka gambar ini sebab penuh makna pada saya.
Alkisahnya 2 orang murid ini sepatutnya ikut serta rakan-rakan melawat sekitar sekolah tetapi tidak mahu, mungkin kerana tidak biasa dan mahu menunggu ibu ayahnya di situ.
Memandangkan semua ibu bapa ke dewan untuk mendengar taklimat dan guru-guru sudah bergerak ke kelas masing-masing maka saya temankan mereka di situ buat sementara.
Sebagai Guru Bimbingan & Kaunseling saya memahami tindakan ini juga adalah sebagai ‘rappo’ yang akan membantu memudahkan saya. Bagi menjalankan sesi kaunseling dengan lebih lancar nanti sekiranya perlu.
Untuk makluman, dua anak ini pada mulanya menangis kemudian apabila ditenangkan, akhirnya mula diam dan salah seorang kelihatan agak keletihan.
Saya katakan padanya “Mari sini.. awak tidur sahaja di riba cikgu! Nanti kalau ayah awak datang cikgu kejutkan.” Unsangkareable.. memang dia mahu dan terus tidur seperti gambar.
Alhamdulillah.. berkat kesabaran melayan, kepercayaan pada seorang guru telah berbuah.
Seperti Kita-kita Dulu
Saya perasan juga ramai parent yang lalu lalang tersenyum dan ada yang duduk di sebelah saya ketika itu menyangka itu adalah anak saya.
Maaf pada yang belum tahu, anak saya ada 4 orang dan perempuan kesemuanya. Betullah tu.. ini anak orang yang saya anggap sama seperti anak saya sendiri.
Pada ibu ayah murid ini maaf ye kalau kurang selesa saya upload gambar ini. Tujuan lebih kepada nak berkongsi ragam anak-anak masuk tahun 1 dan perkara ini adalah normal sama seperti kita-kita dahulu.
Bahkan percayalah yang anak-anak sekarang lebih baik daripada zaman kita dari segi reaksinya terhadap sekolah dan guru baru.
Ibu ayah yang lain juga mesti ada ragam anak-anak masing-masing kan. Jom kongsi di ruangan komen boleh saya tengok bagaimana reaksi dan gelagat mereka. Nyatakan nama sekolah sekali pun ok juga. Tqvm & UiLove!
Lalat hitam? Siapa hendak tengok lalat hitam? Apa kegunaan lalat hitam ini? Itulah persoalan yang keluar daripada mulut Dr. Zubaidah Ya’cob apabila ditawarkan menjadi pembantu penyelidik di Universiti Malaya.
Tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan mengenai lalat hitam, Dr Zubaidah pun melibatkan diri dalam bidang kajian yang pernah dianggap ‘kerja gila’ oleh mereka yang mengenalinya. Kini telah lapan tahun Dr Zubaidah ‘hidup, makan dan tidur’ dengan lalat hitam.
Pakar
Masih ada lagi yang tidak memahami ketaksubannya pada lalat hitam. Namun di sebalik semua itu, Dr. Zubaidah berasa puas kerana penglibatan secara tidak langsung pada peringkat awal itu telah melayakkan dirinya kini menjadi pakar lalat hitam di Malaysia.
Kisah Dr. Zubaidah dan lalat hitam bermula pada tahun 2010. Pada tahun 2006, dia menjalankan penyelidikan terhadap ekologi burung hutan demi mahu bagi mendapatkan Ijazah Sarjana. Selepas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana pada tahun 2010, dia mula mencari kerja.
“ Kebetulan ketika itu seorang pensyarah di Universiti Malaya memberitahu bahawa mereka memerlukan seorang penyelidik untuk membuat kajian mengenai lalat hitam di Malaysia. Penyelidik ini akan membantu Penyelidik dari Jepun Profesor Hiroyuki Takaoka yang melakukan penyelidikan tersebut di Malaysia.
“ Saya tanya kepada Prof Hiroyuki kenapa lalat hitam dan apa keistimewaannya serangga ini? Terus Prof. Hiroyuki menunjukkan lalat hitam kepada saya. Betapa terkejutnya apabila melihat lalat hitam lebih kecil daripada lalat biasa yang kita lihat selama ini. Saiz lalat hitam dewasa itu adalah 3 hingga 6 milimeter. Ia hanya dua kali ganda daripada agas,” ujar Dr. Zubaidah berkongsi titik penglibatannya dengan lalat hitam.
Daripada penjelasan yang diberikan oleh Profesor Hiroyuki barulah Dr. Zubaidah mengetahui sedikit sebanyak mengenai lalat hitam.
“ Lalat ini di Afrika, apabila ia menggigit manusia, ia akan melepaskan cacing pada kita Apabila cacing itu menggigit, ia akan melepaskan anak cacing di bawah kulit manusia. Apabila cacing jantan dan betina bertemu, ia akan mengawan dan menghasilkan jutaan anak cacing. Anak-anak cacing ini berpotensi untuk bergerak ke seluruh badan sehingga ke mata dan menyebabkan kebutaan,” jelasnya.
Profesor Hiroyuki yang kini berusia 73 tahun dengan penuh sabar mengajar Dr. Zubaidah. Wanita berusia 36 tahun ini yang pada mulanya bermula sebagai pembantu penyelidik pada tahun 2010 telah mendaftar untuk melakukan PhD pada tahun 2014. Pada tahun 2017 dia telah berjaya memperolehiPhD dan sekali gus telah dilantik menjadi Pensyarah Kanan Penyakit Berjangkit Tropika dan Pusat Pendidikan Universiti Malaya.
Paksa Suami Teman Cari Lalat Hitam
Kesabaran adalah perkara penting yang dipelajari oleh Dr. Zubaidah dalam mengkaji lalat hitam di Malaysia. Tidak hairanlah jika tiga buah peti sejuk di makmalnya dipenuhi dengan sampel-sampel lalat hitam.
“ Saya belajar menjadi sabar dan pupuk minat untuk mencarinya di seluruh Malaysia sebab tidak ada orang yang buat kajian mengenainya di Malaysia. Pencarian itu membuatkan saya perlu pergi ke banyak tempat seperti ke Gunung Tahan, Gunung Kinabalu, Gunung Murut dan seluruh negeri di Malaysia.
“ Semasa mencari pensampelan dalam penyelidikan PhD, saya perlu menjelajah 18 sungai di Cameron Highlands selama dua tahun. Bila rasa penat, ada juga rasa hendak ‘give up’. Tetapi bila ingat lagi ini PhD, saya teruskan juga sehingga habis.
“ Paling menarik dalam pencarian lalat hitam ini apabila saya berpeluang menjelajah di seluruh Malaysia dan beberapa buah negara di Asia Tenggara termasuklah Vietnam, Indonesia, dan Thailand.
“ Di 180 sungai di Malaysia di mana saya mencari lalat hitam ini, semua sungai itu adalah habitat semula jadi pupa dan larva lalat hitam. Lalat hitam ini terdapat di dalam air sungai dan air terjun yang bersih. Dalam masa yang sama kita boleh tahu bahawa semua sungai yang ada di Malaysia ini dalam prestasi yang bagus. Kehadiran lalat hitam itu sebagai petunjuk bahawa sungai itu bersih tanpa sebarang serangga perosak lain,” terang Dr. Zubaidah.
Sehingga kini Dr. Zubaidah masih tidak dapat lagi menemui spesies lalat hitam yang menghisap darah manusia. Tetapi Dr. Zubaidah telah menjumpai lalat hitam menghisap darah haiwan iaitu babi hutan.
Dalam mencari lalat, suaminya Nor Azhar Jamil adalah peneman setia Dr. Zubaidah dalam mencari lalat. Suaminya merupakan kakitangan sokongan di UM, namun setiap kali Dr Zubaidah melakukan pencarian, suaminya akan mengambil cuti untuk menemani.
“ Suami terpaksa bertolak-ansur dengan saya. Kami banyak habiskan masa di lapangan pencarian. Kalau di Cameron Highlands hari itu seminggu kami di dalam hutan. Pencarian kami tidak mengira masa termasuklah selepas hari raya puasa. Kami redah semua. Nasib baik kami tidak memiliki anak lagi. Allah itu Maha Besar. Dia tahu apa yang terbaik buat kami. Disebabkan saya juga suami terpaksa mendaki Gunung Kinabalu hingga ke puncak.
“ Proses mencari lalat itu agak lama. Kami akan berjalan di sepanjang sungai mencari sampel. Setelah jumpa saya akan berhenti pada satu tempat untuk membuat sedikit kajian. Hanya apabila hari telah gelap dan kami tidak mampu berjalan barulah kami akan berehat dan tidur.
“ Sepanjang menjelajah Malaysia, saya bersama suami telah berjaya menjumpai 20 spesies baru lalat hitam. Kebanyakan spesies baru ini dinamakan dengan nama mereka yang paling saya hormati,” luahnya lagi.
Kepuasan sebenar Dr. Zubaidah dalam pengkajiannya ini adalah apabila ada orang cakap bahawa dia adalah pakar lalat hitam di Malaysia. Malah katanya jika ada yang mahu melihat hasil kajiannya bolehlah membaca jurnal-jurnal bertaraf antarabangsa yang telah diterbitkan.
“ Saya tidak menafikan apa yang saya buat ini memang membosankan di kaca mata orang biasa. Tetapi dalam bidang penyelidikan kita dianggap hero sebenarnya. Hero maknanya orang awam tidak akan tahu dan kepentingan kajian ini selagi tidak terkena pada batang hidung mereka.
“ Sebagai contoh, hanya setelah disahkan mengalami demam denggi baru orang awam ambil tahu kepentingan mengelakkan diri daripada nyamuk aedes. Sebab itu saya fokus pada lalat hitam. Saya rasa saya berjaya buat benda orang lain tidak mampu buat,” akhirinya menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.