
Cik Ell Roti Cik Gebu dari asnaf ke usahawan berjaya, “dulu anak teringin KFC pun tak mampu beli…”
Hati ibu mana yang tidak luluh apabila anak teringin menikmati ayam goreng KFC namun tidak mampu menunaikan permintaan kecil itu kerana kesempitan hidup.
Kenangan tersebut menjadi antara detik yang sukar dilupakan Norlelawati Bahari atau mesra disapa Cik Ell, wanita cekal yang pernah bergelar ibu tunggal dan penerima bantuan asnaf sebelum berjaya mengubah nasib keluarga melalui perniagaan roti.
Pernah memperoleh pendapatan sekitar RM700 sebulan sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Cik Ell terpaksa berjimat demi membesarkan anak angkat kesayangannya, Nurien Syafiqah Norazlan. Ketika itu, beliau menumpang tinggal bersama ibu tercinta di Klang, Selangor.
Bukan sedikit ujian yang dilalui. Selain kesempitan kewangan, beliau turut berdepan pandangan sinis orang sekeliling. Namun, sokongan dan doa ibu menjadi kekuatan untuknya terus mencari jalan mengubah kehidupan.
Cik Ell Roti Cik Gebu Dari Asnaf Ke Usahawan Berjaya

Bermula Dengan Modal RM500
Pernah berasa malu untuk memohon bantuan zakat, Cik Ell akhirnya mengetepikan perasaan tersebut demi kelangsungan hidup keluarga. Pada tahun 2020, beliau diluluskan sebagai penerima bantuan asnaf.
Berbekalkan modal RM500 dan dorongan ibu, beliau memberanikan diri menghasilkan roti dari rumah untuk dijual kepada jiran tetangga, masjid dan kantin sekolah.
Pada peringkat awal, perniagaannya hanya memberikan pendapatan sekitar RM500 sebulan. Namun, kesungguhan memperluaskan jualan membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperoleh RM3,800 dalam tempoh sebulan.
Daripada sebuah dapur kecil, lahirlah jenama Roti Cik Gebu di bawah Sunshine Bakery Enterprise yang menjadi titik perubahan besar dalam kehidupannya.
Dalam tempoh kira-kira dua tahun setengah, Cik Ell berjaya keluar daripada kelompok penerima bantuan asnaf. Kejayaannya turut mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Tan Sri Syed Anwar Jamalullail Asnaf Bestari 2022. Beliau juga pernah menerima Anugerah Usahawan Asnaf Terbaik Daerah Klang.
Dulu Dibimbing, Kini Membimbing Usahawan
Lebih membanggakan, Cik Ell kini bukan sahaja mengusahakan Roti Cik Gebu malah aktif sebagai tenaga pengajar lantikan TERAS Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.
Beliau turut mengendalikan kelas pembuatan roti secara persendirian serta menyampaikan ceramah motivasi kepada usahawan asnaf dan golongan B40.
Bagi Cik Ell Roti Cik Gebu, pengalaman hidup dalam kesusahan menjadi bekalan paling berharga ketika berkongsi ilmu dengan usahawan lain. Beliau memahami bahawa untuk memulakan perniagaan, seseorang bukan sahaja memerlukan modal, tetapi juga keberanian, kesungguhan dan bimbingan yang betul. Pengalaman itulah yang kini dikongsikannya menerusi kelas pembuatan roti dan sesi motivasi bersama golongan asnaf serta B40.

Terbaharu, pada 7 dan 8 November 2026, Cik Ell menyempurnakan kelas pembuatan roti di GIATMARA Klang menerusi amanah yang diberikan TERAS. Beliau juga masih aktif menerima tempahan Roti Cik Gebu, termasuk penghantaran ke Wisma PKPS, Shah Alam.
Menariknya, lokasi tersebut menyimpan kenangan manis kerana di situlah beliau pernah menerima pengiktirafan sebagai Usahawan Asnaf Terbaik Daerah Klang.
Daripada seorang wanita yang dahulunya memerlukan bantuan, kini Cik Ell pula diberi kepercayaan berkongsi ilmu dan membuka peluang kepada orang lain untuk menjana pendapatan.
“Tanpa didikan semua, siapa la Cikell,” tulisnya dalam satu perkongsian Facebook sebagai tanda penghargaan kepada pihak TERAS.

Kisah Cik Ell cukup dekat dengan semangat #WanitaMulaSemula. Pernah diuji dengan kesempitan hidup dirinya membuktikan bahawa keberanian untuk bermula dari bawah mampu mengubah masa depan.
Daripada tidak mampu memenuhi permintaan kecil anak, kini Cik Ell bukan sahaja berjaya berdikari malah membantu insan lain membina kehidupan yang lebih baik.
WANITA MULA SEMULA 2026! ❤️
Sudahkah anda mendaftar untuk bengkel percuma kami?
Anda mungkin berminat dengan
Dua bengkel khas menanti anda, merangkumi pengurusan kewangan serta kesejahteraan mental dan emosi bersama barisan pakar yang berpengalaman.
Turut berlangsung, Sembang Wanita Xtra LIVE: Wanita Milenial, Mula Semula bersama Wani Ardy dan Syafa Nisa!
📅 5 Disember 2026 (Sabtu)
📍 A.POP @ A.P. Art Gallery & Jalan Negara Kita, Taman Melawati
✨ Penyertaan bengkel adalah PERCUMA, namun tempat adalah TERHAD!
Daftar sekarang di bit.ly/bengkelwms2026 (link di bio)
Setiap wanita berhak untuk mula semula. ❤️
#WanitaMulaSemula #MingguanWanita #SembangWanitaXtra


download sekarang!
