Cabaran Besar Bila Dalam Hati Wujud Perasaan “Aku Orang Baik”!

Cabaran besar sebenarnya bila jauh di sudut hati kita ada rasa diri dah cukup baik. Sama ada nak mengaku atau tak, kadangkala akan wujud perasaan itu dalam diri.

Cabaran Besar

Bukan mudah mengurus perasaan “Aku Orang Baik!”. Besar cabaran yang perlu dilalui oleh individu yang telah beroleh nikmah ilmu, iman, amal dan takwa daripada Tuhan. Pelbagai dugaan dan hasutan perlu dihadapi demi menjaga anugerah Ilahi yang tiada ternilai itu.

Bila Tuhan ingin memberi cahaya ilmu, iman dan amal kepada seseorang maka tiada siapa mampu menghalang. Namun begitu, perubahan diri daripada seorang yang ‘kurang baik’ kepada seorang yang ‘lebih baik’ sering mengundang perasaan negatif jika tidak dikendali secara kefahaman Islam yang betul.

Cabaran Bila Suka Bandingkan Diri Dengan Orang Lain

Bila seseorang menjadi ‘lebih baik’, individu mula membanding kebaikan diri dengan orang lain. Individu merasa dirinya yang betul dan perlu diikuti. Keinginan berdakwah bagi membetulkan persekitaran kehidupan negatif dilakukan secara tanpa berhikmah hingga mengguris perasaan orang lain.

Maka lahir kesombongan dalam diri hingga boleh menimbulkan pergeseran dalam hubungan keluarga, organisasi dan masyarakat.

Cabaran Besar Bila Dalam Hati Wujud Perasaan “Aku Orang Baik”!

Baca artikel lain di sini:

Pasangan Itu MILIK Allah, Dia Manusia BIASA Yang Hatinya Boleh BERUBAH

IKLAN

Suami Yang Baik, Tak Jemu Tanam Agama Dalam Dada Isteri & Anak-anaknya

Ikuti kami di sini:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Buktikan Dengan Amal 

Nikmat ilmu, iman dan amal itu harus disertai dengan kesyukuran kepada Allah SWT. Antara bentuk kesyukuran yang boleh dilakukan adalah melalui amal-amal kehidupan yang dilaksanakan dengan cara yang terbaik

Maksudnya, jika seseorang itu buat bisnes, usahakan agar bisnes itu benar-benar menempah kejayaan yang boleh dibanggakan. Jika seseorang itu bekerja dalam organisasi, tampilkan kualiti kerja yang terbaik hingga mampu mengharumkan nama majikan atau organisasi.

IKLAN

Lakukan Yang Terbaik

Jika seorang menjadi suami maka jadilah suami yang terbaik dalam memimpin ahli keluarga ke arah kehidupan yang diredai Tuhan. Jika menjadi isteri, maka jadilah isteri yang sangat berbakti kepada suami dan anak-anak. Jika menjadi anak maka jadilah anak yang soleh yang berbakti kepada kedua ibu bapa dengan penuh kasih sayang.

Sememangnya itu lah tuntutan sebenar daripada individu muslim-mukmin yang baik. Segala kebaikan diri yang terbina dan terdidik melalui cahaya ilmu, iman dan amal akan menampilkan personaliti yang mulia secara zahir dan batin. Kebaikan itu lah yang boleh dirasai kemanisannya oleh orang-orang di sekeliling bahkan oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain.

Pancaran Makna Nama-Nama Tuhan

Kewujudan Tuhan terpancar pada kejadian makhluk-Nya. Kebesaran Tuhan terpancar pada kejadian langit dan bumi. Kebijaksanaan Tuhan terpancar pada perjalanan seluruh planet dan bintang-bintang di angkasa. Sifat ‘al-Rahman’ Tuhan terpancar kepada seluruh kehidupan yang melata di atas muka bumi dengan jaminan rezeki yang mencukupi.

Bila ditanya tentang akhlak Rasulullah s.a.w, Saidatina Aishah r.a. menjelaskan bahawa akhlak baginda adalah al-Quran. Maksudnya, seluruh pengajaran al-Quran terpancar pada peribadi Rasulullah s.a.w yang mulia itu.

IKLAN

Cabaran Indahkan Personaliti Diri

Sesuai dengan perbincangan ini, bolehkah individu muslim-mukmin memperindahkan personaliti diri hingga dirinya menjadi pancaran kepada keindahan nama-nama Allah SWT yang banyak itu?

Maksudnya, jika Allah SWT memiliki nama ‘al-Rahman’ (Yang Maha Pengasih) maka individu cuba mempamerkan sifat kasih-sayang yang terbaik dalam kehidupannya. Jika Allah SWT memiliki nama ‘al-Sabur’ (Yang Maha Penyabar) maka individu cuba menghayati sifat kesabaran yang terbaik dalam kehidupan ini. Jika Allah SWT memiliki nama ‘al-Afuw’ (Yang Maha Pemaaf) maka individu cuba mengamalkan sifat bermaaf-maafan yang terbaik dalam kehidupan ini.

Tempat Allah Pancarkan Kewujudan-Nya

Maka jadilah diri individu muslim-mukmin yang baik itu sebagai tempat untuk Allah SWT pancarkan kewujudan-Nya kepada seluruh manusia yang ada. Mudah-mudahan dengan cara itu orang-orang Islam yang tidak yakin dengan Allah SWT akan kembali meyakini Keesaan-Nya.

Hargai setiap nikmat Tuhan kepada diri, khususnya nikmat ilmu, iman dan amal. Mohon agar segala kurniaan Ilahi itu kekal hingga akhir hayat kita di atas muka bumi ini.

Sumber Artikel: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi, RMJ HOLISTIC SOLUTION

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI