Ternyata bukan mudah untuk mencari pengganti yang serupa dengan isteri pertama. Jika takdir Allah menentukan bahawa sang isteri pergi buat selamanya terlebih dahulu, jadi siapa kita untuk melawannya. Hakikatnya, bukan mudah untuk mencuba nasib dalam perkahwinan kali kedua kerana isteri pertama tiada gantinya sampai bila-bila.
Syafiq dan Musliha merupakan pasangan merpati dua sejoli. Sejak bercinta hinggalah mendirikan rumah tangga, pasangan ini dikenali oleh keluarga dan teman-teman sebagai pasangan yang romantis. Syafiq merupakan suami yang cukup penyayang dan sangat kasihkan isterinya Musliha.
Biar pun sibuk di pejabat, setibanya di rumah, Syafiq akan membantu Musliha menguruskan anak-anak, sementara Musliha memasak di dapur. Begitu juga dengan kerja rumah, Syafiq cukup ringan tulang membantu isterinya. Setiap kali tibanya ulangtahun perkahwinan dan ulang tahun kelahiran, pasti ada kejutan Syafiq buat isterinya.
Hubungan yang indah dan bahagia ini berlangsung sehingga usia perkahwinan mereka mencecah usia 50 tahun. Kemanisan rumah tangga yang dibina akhirnya tercuit apabila Musliha disahkan menghidap kanser payudara tahap empat. Bagaikan batu besar menimpa kepala Syafiq apabila isteri yang dicintai dikhabarkan bakal pergi tidak lama lagi.
Ads
Disahkan Kanser
Walaupun Musliha seakan menyerah kerana tidak mahu melakukan apa-apa rawatan tetapi demi suaminya, dia ikutkan saja. Selain rawatan di hospital, dirinya turut mendapatkan rawatan alternatif. Suami dan anak-anak menjadi penguat semangat untuk Musliha teruskan hidup.
Jauh di sudut hati Musliha, dai bersyukur dirinya menghidap kanser dalam usia begini. Anak-anak sudah besar dan sudah tentu dapat menjaga ayah mereka. Tetapi tidak bagi Syafiq, dirinya seakan tidak mahu melepaskan isterinya pergi. Sudah takdir Allah SWT, selepas enam bulan bertarung kanser, akhirnya Musliha pergi buat selamanya.
Dari hospital hinggalah selesai urusan pengebumian, Syafiq langsung tidak menitiskan air mata. Anak-anaknya mula bimbang dengan bebanan emosi yang tidak tertanggung oleh ayah mereka. Puas dipujuk, Syafiq sukar untuk menjamah makanan. Setiap kali usai solat, dia akan terus menjengah pusara isterinya.
Ads
Tidak kira siang atau malam. Panas atau hujan, jika hilang di pandangan mata sudah tentu dia akan ke kubur. Melihat keadaanya yang sebegitu anak-anak merasakan ayah mereka perlukan teman untuk berbicara.
Kahwin Kerana Terpaksa
Setelah menetapkan beberapa syarat, akhirnya terpaksa jua berkahwin lain demi menjaga hati anak-anaknya. Namun kehadiran isteri baru, Hawa, membuatkan Syafiq rimas. Dirinya sentiasa membezakan isteri barunya dengan Musliha. Maklumlah hampir separuh usianya dihabiskan bersama Musliha.
Lama-kelamaan, Syafiq merasakan lebih baik dia dan Hawa berpisah sahaja. Tidak adil jika dia terus-terusan mendera perasaan isterinya itu. Setelah bercakap baik-baik akhirnya Hawa memahami keadaan dirinya.
Sesungguhnya cinta Syafiq kepada Musliha terlalu agung dan tiada siapa pun mampu menjadi pengganti tempat isterinya. Semoga Hawa dikurniakan lelaki yang lebih baik dan mampu menjaga dirinya. Ternyata tiada pengganti terbaik untuk isteri pertama sampai bila-bila.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Memang tak mudah nak uruskan anak-anak seorang diri, bila suami tak selalu ada. Ada pasangan yang rezeki tinggal sebumbung dan ada yang terpaksa berjauhan demi tuntutan kerja. Dalam keadaan ini, ada masa tertentu memang membuatkan diri rasa letih dan amat penat, baik fizikal mahupun emosi. Segalanya perlu dilakukan secara bersendirian, menguruskan karenah dan ragam anak tanpa suami disisi.
Harini masa sedang memandu hantar anak-anak pergi sekolah, teringat balik zaman lana luqman kecil dulu. Rutin sama saja setiap hari. Setiap pagi berperang nak siapkan anak ke sekolah. Sudahlah Lana tu istimewa, memang menangis setiap hari sebab penat handle seorang diri. Waktu tu daddy mereka di luar negara (Alhamdulillah semalam akhirnyaaaa balik Malaysia for good dah) balik setiap 3 bulan dan hanya 2 minggu.Hidup aku memang pada mulanya kelam kabut sebab menguruskan anak seorang diri.
Kisah hidup kita tak sama. Ada yang memang direzekikan suami untuk hidup bersama. Ada yang berpisah hidup.Ada yang kematian suami atau isteri.Ada yang berkongsi suami. Ada yang bersuami tetapi kaki PUBG.
Kadang-kadang baca di KRT ke page yang kisah rumahtangga tu memang la kalau korang duduk situ membawang tak jadi kerja. Tapi kalau korang tengok betul-betul, ramai sangat orang kat Malaysia ni berpotensi sakit mental kerana pelbagai tekanan.
Ada yang isteri di latih untuk menjadi ibu tunggal sejak mengandung lagi sampai kesudah penat menguruskan keluarga. Suami? Ada la siapkan diri sendiri. Lepak-lepak main PUBG. Macam nak gila si isteri setiap hari.
Apa yang Allah takdirkan kat kita ni ada yang kita tak mampu ubah pun.Kadang pergilah ceramah Dr Fazilah Kamsah bersama suami ke, Ustaz Ebit lew ke kalau tak berubah..tak berubah jugak lah. Communication perbaiki la macamana pun sama saja. Doa sajalah yang kita masih mampu buat sebab hanya Allah saja yang pegang hati manusia kan?
Tapi kita mampu ubah diri kita untuk sesuaikan diri dengan situasi. Macam aku, sampai sekarang tak selalu pun suami ada sekali atas komitmen kerja dan lain-lain. Jadi selama mereka kecil sampai ke harini aku perlu jadi independent.
Teringat cerita kakak yang hampir langgar kami sefamily waktu pagi tu. Dia penat mental fizikal 4 bulan menguruskan 3 orang anak seorang diri sebab suami tak selalu ada. Tengok dia tu teringat diri sendiri sebenarnya. Sebab tu aku faham sangat apa dia rasa. Aku tahu bukan senang pun nak buat semua tu.
Tapi aku nak kongsikan dengan semua yang sekasut dengan aku ni, tak kira la perempuan atau lelaki. Kalau bab ni kita struggle, memang tak mustahil rumahtangga kita akan kucar kacir kalau emosi kita tak stabil. Silap-silap kita tempik dan belasah anak hari-hari.
Satu yang kita kena faham, anak-anak pun ada emosi mereka. Rindukan ayah atau ibu, kurang kasih sayang, rasa insecure tak disayangi. Sebab tu emosi mereka pun tak ketahuan setiap pagi sebab mereka pun manusia kan?
Orang kata aku sejenis overthinking.Sejenis detaillllll semua benda. Sejenis yang kena PLAN betul-betul. Rilek rilek sudah la? Cuba ikut flow?
Aku memang dilatih untuk menjadi seorang yang detail sejak Lana umur 3 tahun. Sekarang dia 11 tahun. Aku MESTI plan hidup aku dengan baik walaupun memang Allah is the best planner tapi aku perlu atur masa aku supaya everything smooth InsyaAllah.
Kalau tak, aku menanggung kesedihan dan kepenatan seorang diri. Tak semua orang direzekikan ada support system yang baik. Kau mungkin ada mak ayah duduk dekat.kau mungkin ada pembantu rumah. Kau mungkin ada jiran baik hati bantu hantar anak sekolah. Betul?
So, untuk kekalkan hidup kau sentiasa positif dari pagi sampai ke malam hari, pertama sekali kau kena
Aku tak suka benda last minute. Semua ada dalam kalendar hp aku ni. Apa nak buat untuk seminggu aku dah rancang. Rancang bila kau nak kemas rumah, kemas rumah pun kau bahagikan mana yang harian mana mingguan. Kemudian bila kau nak buat laundry, bila kau nak siapkan baju sekolah anak-anak.
Contohnya baju sekolah iron seminggu siap. Setiap malam make sure anak check beg sekolah diaorang. Siapkan bekal anak botol air biskut semua siap-siap. Yang baby pulak baju diaper pun semua siap-siap.
*Sebab tu aku tak suka kalau orang datang mengejut. Nak datang cakap awal-awal sebab banyak benda nanti berubah tak seperti yang dirancang.
Bab makan contohnya. Kalau kau larat dan ada rezeki lebih nak makan luar, makan la jika lalu. Macam aku, bila aku terlalu penat aku memang makan kedai. Tapi ada masa aku memang masak je kat rumah. Siapkan pes frozen hujung minggu untuk mudahkan kau. Blend siap bawang cili kering. Ikan sayur pun kau dah asingkan ikut portion sekali masak. Selalunya weekend la kau kena buat semua ni.
Kalau nak keluar sabtu, malam jumaat tu kau dah siap buat laundry baju sekolah anak. Sabtu merambu, ahad iron baju.
Ajar dieorang ni dari kecil buat kerja rumah.dari baby besar cinonet mayraa pun kau dah ajar kemas mainan. Lepas makan kutip nasi tumpah. Lepas tu ajar angkat buang sisa dalam tong sampah, ajar basuh pinggan. Baju kotor letak mana, sidai towel lepas mandi.Tempat tidur kemas. Nak ajar ni memang berbuih mulut tapi ajar je setiap hari.Remind je setiap hari. Macam budak-budak ni kalau bilik semak aku memang tanya je “Nak kawan dan tidur dengan tikus ke?” Terus kelam kabut kemas bilik.
Jadikan mereka seorang manusia bertanggungjawabbbb. Apa yang aku buat selalunya,dieorang ni ada kumpul point. Kalau berjaya follow semua rules aku, aku akan bagi reward time weekend. Bawak pegi kedai eco RM2.10 ambil 1 mainan pun dieorang dah happyyyyy terukkk.
Kalau dieorang tak follow rules aku takyah ngamuk. Aku tanya je “Mama rasa macam kena deduct je point lana luqman ni sebab tak sidai towel”.
Didik anak supaya dia belajar dari kesusahan. Jangan manjakan anak sentiasa. Biar mereka tahu yang hidup ni Allah akan sentiasa beri ujian. Kalau nak apa-apa minta dari Allah. Kalau sedih nangis istighfar kat Allah. Jangan semua benda anak nak kau bagi. Semua benda kau buatkan untuk dia. Biar dia nangis biar dia rasa dia tak boleh bergantung kat manusia kalau dia nak apa-apa. Actually kalau aku menangis dieoranglah ingatkan aku suruh istighfar sambil tenangkan aku, kau bukan kuat sentiasa kan?
Emosi kita ni kena cantik. Aku ada share sebelum ni macamana nak kekal positif kan. Emosi kita cantik emosi anak akan cantik. Bila kau stress emosi anak kau huru hara sangat tau? Meragam melekat merengek.
Setiap malam kau peluk anak-anak, cium mereka. Beritahu kau sayang sangat mereka. Beritahu esok semua kena happy dan behave. Baca doa bersama. Kemudian make sure mereka tidur awal jam 9.30 malam supaya tidur mereka cukup. Beritahu mereka esok mereka kena bangun awal solat subuh dan bersiap ke sekolah.
Beritahu mereka siapa siap awal boleh tengok tv kejap 10 minutes tapi sebelum tengok beyblade ke apa ke kau kena dengar surah hafazan berulang kali dulu. Kemudian beritahu tepat jam sekian-sekian kita semua akan turun untuk pergi sekolah. Kau tanam siap-siap dalam kepala mereka.
Kemudian kau tanam pulak dalam kepala kau.
Lepas kau dah maafkan semua orang, kau dah buat list buang semua masalah kau( rujuk post aku yang sebelum ni) kemudian kau imagine diri kau bangun pukul berapa kau nak. Imagine siap-siap kau mood happy, ceria, kau bersiap..anak-anak semua happy. Sekarang ni kau tengah cuba beritahu otak kau begitu sebab InsyaAllah otak kau akan menggerakkan badan kau untuk buat seperti apa yang kau fikir. Sebab tu kena fikir bebaik je. Jangan kau fikir ” yaAllahhh esok pagiii confirmm anak aku ngamukkk”. Ngamuk la jadinya
And imagine jugaklah kau sabar kalau anak kau meragam. Macam aku..Mayraa tu ada hari berangin taknak pakai kasut lah, taknak stroller lah. Contohnya harini, aku kena dukung dia turun bawah sambil bawa banyak barang tapi takpelah sebab mood aku stabil aku berjaya control kemarahan tu. Alhamdulillah.
Aku tak tahulah maybe ramai yang tak setuju. tapi gadget ni memang buat jiwa anak aku kacau bilau. Serius cakap, bebudak ni tak main wey hp. Mayraa tu ada kalanya masa driving aku bagi kejap 10 minutes sb dia dah nangis nak menyusu. Sementara aku nak stop ketepi aku bagi.tapi lagi 2 ketul aku memang tak bagi.
Sebab? Dieorang tak fokus masa belajar. Dieorang mula bebai bebai bila aku suruh buat kerja. Kepala tu asyik ingat hp je kan? Asyik fikir game jer. So aku memang jaga bab ni sebab kalau dieorang mood tak baik memang habislah kehidupan aku seharian tu sebab marah-marah anak.
Orang kata bagilah sebagai reward, aku rasa banyak lagi benda yang boleh dijadikan reward. Dan untuk diri sendiriii..kalau tengah stress penat kau jangan la asyik mengadap hp. Tu lagi mengundang emosi tak stabilllll.
Kalau ada bapak diaorang memang kami ke masjid bersama-sama.Kalau takde aku akan bawa je mereka ke surau rumah ni. Tak hari-hari pun tak apa. Kemudian, aku solat bergilir dengan Lana. Bila aku solat dia jaga Mayraa.
Kat rumah luqman akan jadi imam untuk lana dan mayraa. Aku monitor je mereka solat bersama. Kemudian buat hafazan bersama mereka. Cari satu waktu yang paling sesuai. Kadang-kadang sambil aku iron baju kami buat hafazan bersama.
Sesekali kau buat kejutan kat mereka. Beli la apa yang murah-murah tu. Masuk kereta je bagi kejutan kat mereka.Kau akan ingat selalu muka happy mereka tu tau. Kadang-kadang bagilah masa nak tidur. Tak payah mahal -mahal pun tak apa. Mereka sudahlah kurang kasih sayang, buat la mereka selalu rasa disayangi. Alaa..kadang-kadang petik je bunga lalang tu.anak aku punya seronok tak kira dapat bunga.
Dari pagi lagi kau bagi salam masa kejut mereka. Pagi pastikan mereka solat subuh dulu sebelum ke sekolah. Pagi pastikan mereka baca doa naik kenderaan bersama. Pagi pastikan kau cakap kat mereka..kalau mereka behave dan follow semua cakap cikgu dan mama, Allah, Rasulallah, mama sayang sangat mereka. Buat baik masuk syurga. Kau kena banyak bercakap dengan mereka 2 kali ganda banyakkk sebab mereka hanya bercakap dengan kau saja di rumah.
Mereka ni bila ada masa aku videocall la supaya mereka cakap dengan daddy mereka.zaman lana luqman kecik dulu kena pakai webcam lagi. Kalau bapak dieorang busy, time zone dah tak sama sepasal, anak tidur bapaknya baru petang.. kau pujuk la mereka untuk sembang dengan daddy esok pulak. Beritahu harini ada hal tak dapat elakkan. Mintalah bapak dieorang hantar gambar ke voice msg ke.
Tapi untuk pasangan yang dah meninggal..Allah.. kau peluklah mereka selalu. Aku selalu kuat bila aku fikir yang satu ni. Bila aku nak rebah aku fikir apa la anak-anak aku rasa kalau tak jumpa bapak mereka sampai bila-bila. Yang lalui situasi begini aku nak cakap korang memang sangat hebat.Allah sayang sangat korang. Allah uji sebab korang memang hebat dan sangat kuat.
Kau makan la supplement untuk antibodi. Madu ke habatussauda ke terpulang. Ada masa kau pergilah lepak masjid dengar kuliah. Kemudian kau carilah masa untuk kau minum sorang, makan sorang. Kau belilah apa-apa untuk reward diri kau. Kau beli la scrub and lotion. Cari masa untuk diri kau sendiri. Serius la wey nak sapu lotion pun tak sempat tau kalau dah semua sendiri. Ada masa kau nak tonyoh daki pun tak sempat, mandilah lama-lama sikit sejukkan diri.
Kau bukak la ceramah kat youtube tu.cuba kau dengar apa-apa yang boleh menaikkan motivasi diri. Carilah ilmu bagaimana nak kawal emosi. Kau kena rajin membaca.
Sesekali kalau boleh kau berjalan la keluarkan peluh.aku tak tahulah bila masa kau nak bersenam.tapi kalau dengan berjalan tu buatkan kau mengeluarkan peluh, kau jalan lah.
Aku harap membantulah apa yang aku share ni. Semua orang buat benda yang sama pun rasanya. Tapi kalau kau rasa kau dah cukup susah, fikirlah insan yang jauh lebihhh susah.
Kalau kau rasa penat diuji ada anak special sorang..kau fikirlah orang lain yang diuji ramai anak istimewa dan ibu tunggal pulak tu?
Kalau kau rasa suami kau sibuk, fikirlah kau masih ada suami banding orang lain.
Apa-apa pun kita saja boleh ubah diri kita.Cara kita berfikir. Sesekali confirmmmm kau terjatuh dan penat terduduk. Sebab kau bukan robot. Tapi bangkitlah demi anak-anak. Seiring dengan motto kehidupan kita, “Kat dunia ni lah tempat kau berpenat lelah. Kat Syurga nanti kau rehatlah sepuasnya.”
MW: Perkongsian tips yang sangat bermanfaat untuk diamalkan. Semoga menjadi panduan buat isteri dan mak-mak yang ketika ini perlu menjaga anak-anak seorang diri, kerana berjauhan dengan suami.
Sawan demam atau fibrile seizure yang terjadi di kalangan anak-anak kecil akan mengundang panik pada mak ayah. Bila mana anak alami anak mata naik ke atas, tiba-tiba tubuh menggigil mengetap gigi, mak ayah kena cepat-cepat bantu anak dan bawa ke hospital berdekatan.
Inilah yang ibu ini, Cik Puan Ammy alami bila pertama kali anak kecilnya, Mahsuri diserang sawan demam. Beliau kongsikan panduan bagaimana hadapi situasi cemas yang pertama kali berlaku dalam hidup anak bongsunya itu.
Sejak semalam ramai rakan dan ahli keluarga mesej bertanyakan tentang keadaan Mahsuri. Bila, bagaimana dan kenapa Mahsuri boleh terkena sawan demam… Bukan niat nak menyepi tapi masih dalam keadaan terkejut.
1-2 Ogos adalah satu malam yang amat panjang untuk saya sekeluarga.. Malam yang tidak sanggup kami lalui lagi kerana setiap saat hanya berhujan dengan deraian air mata.. Mengharap doa dimakbulkan kerana sedar diri ini tidak terlalu sempurna disisiNya.. Allahu Akbar.
Ia bermula pada petang Rabu. Mahsuri tiba-tiba demam tetapi tidak terlalu panas. Dia aktif seperti biasa. Saya hanya memberi ubat demam kepadanya dan seperti selalu membawa dia berniaga. Di tempat niaga, dia juga aktif. Makan apa yang ingin dia makan dan main apa yang dia ingin main. Saya tidak terlalu risau memandangkan setiap kali Mahsuri demam ianya tidak akan lama, sehari dua ia akan ‘kebah’.
Habis niaga, jam 11 malam kami sampai di rumah. Mahsuri masih demam. Rutin harian saya, setelah sampai di rumah saya pasti akan mandikan Mahsuri apatah lagi jika dia tidak sihat. Saya pasti akan mandikannya berkali-kali dalam satu malam. Tetapi tidak pada hari ini, mungkin kerana pada waktu itu saya terlalu penat tambahan pula dia nyenyak tidur, maka saya tangguhkan untuk esok pagi.
Entah kenapa, malam tu saya rasa tidak sedap hati untuk tidur di dalam bilik. Saya bawa Mahsuri tidur di ruang tamu. Dia sedar dan minta makan. Kebetulan abangnya juga sedang makan. Setelah beberapa suap Mahsuri makan, dia minta untuk menonton ABC Song (youtube). Dia juga aktif seperti biasa.
Jam 2 pagi.. Semuanya bermula di sini.
Saya terbangun dari tidur kerana rasa seperti digigit (Mahsuri breast feeding). Selalunya dia tidak pernah menggigit. Saya alihkan mukanya dan betapa terkejutnya saya bila dapati matanya telah ke atas dan seluruh badannya kejang.
Saya menjerit sekuat hati memanggil suami yang tidur di bilik. Nasib baik menyebelahi saya kerana memilih tidur di ruang tamu kerana terang. Jika saya tidur di bilik pasti tidak nampak keadaan Mahsuri kerana gelap. Suami bergegas bangun dan mendakap Mahsuri.
Alhamdulillah badannya kembali lembut dan matanya kembali normal. Tetapi ianya bertahan selama beberapa minit sahaja, badannya yang lemah tadi tiba-tiba menggigil dan dia mengetap giginya. Tanpa berlengah lagi, kami terus membawanya ke hospital.
Sewaktu di dalam kereta, saya lihat bibirnya biru dan matanya sudah tertutup, badannya juga sudah terkulai. Ya Allah.. Pada waktu itu hanya tuhan sahaja tahu perasaan kami. Tanpa berlengah lagi, saya mencengkam mulutnya yang terkatup rapat dengan kuat dan memasukkan jari terlunjuk saya bagi membantu Mahsuri bernafas.
Terbukanya mulut Mahsuri, banyak air liur yang berbuih keluar mengalir. Mahsuri kembali kejang. Walaupun begitu kami lega kerana Mahsuri masih bersama kami. Dalam perjalanan kami tempuhi satu sekatan jalan anggota PDRM. Suami sedaya upaya bunyikan ‘hon’ banyak kali sambil kami menjerit.
“Tolong tuan… Anak saya sawan…”
Berkali-kali supaya kereta di hadapan ke tepi untuk memberi laluan kepada kami. Alhamdulillah PDRM telah memberi kerjasama yang baik dan amat kami hargainya. Sepanjang jalan, pada tiap kali Mahsuri berhenti menggigit dan terkulai, saya akan menggoncang tubuhnya sekuat hati sambil memanggil namanya berharap dia ‘respon’.
“Sayang.. gigit mama sayang.. Jangan berhenti.. Gigit kuat-kuat.”
Setiap kali Mahsuri sedar dia akan kembali kejang dan bergetar. Surah Al Fatihah tidak berhenti berkumandang dari mulut suami. Kalimah syahadah juga tidak berhenti saya bisikkan ke telinganya. Pagi itu terasa perjalanan kami ke hospital sangatlah jauh walaupun jalan raya lengang. Saya tidak tahu berapa lajunya suami saya memandu namun saya masih berasa kereta itu bergerak amat perlahan sehingga saya memaksa suami memandu dengan lebih laju.
Setibanya di hospital (HTJ Seremban), Mahsuri disambut oleh beberapa orang pegawai perubatan dan terus ke zon merah. Letak sahaja Mahsuri di katil, jari saya segera dilepaskan oleh doktor dari mulut Mahsuri. Luluhnya hati seorang ibu melihat anaknya dalam keadaan begitu.
Saya tidak pernah melihat suami saya menggigil seteruk itu. Kasihnya seorang bapa. Melihat keadaan kami yang tidak tenang. Doktor meminta kami bertenang dan menunggu di luar sementara mereka memberi rawatan kepada Mahsuri. Kami akur.
Sepanjang masa kami berdoa mohon kepada Allah SWT agar diberi kesempatan kepada kami menjaga Mahsuri lagi. Berapa minit kemudian, kami dipanggil untuk menceritakan pada awal Mahsuri demam sehinggalah Mahsuri mendapat sawan demam atau dikenali sebagai Febrile Seizure.
Saya merenung Mahsuri yang tidak sedarkan diri. Tubuh kecil itu bergetar dan matanya pejam kemas. Saya mengusap lembut kepalanya.
“Auciii.. Auciii sakit ya.. Mama baba ada Sayang..”
Saya bisikkan ke telinganya dengan lembut.
1 jam lebih di ’emergency room’, Mahsuri kembali tenang. Tubuhnya tidak lagi bergetar. Doktor mengatakan dia sedang berehat. Mahsuri ditolak ke bilik wad untuk rawatan selanjutnya.
Semasa menunggu Mahsuri sedar saya didedahkan oleh pegawai perubatan mengenai sawan demam. Apa itu sawan demam. Apabila suami ‘up status’ di FB mohon kawan-kawan bantu mendoakan Mahsuri, rupanya ramai para kenalan mengalami nasib yang sama dengan kami.
Ada juga yang tidak berpengalaman bertanya bagaimana ia menyerang, tanda-tanda sebelum ia menyerang dan bagaimana cara untuk merawatnya sementara ke hospital. Di sini saya kongsikan sedikit sebanyak keterangan doktor kepada saya.
Sawan demam atai febrile seizure ni disebabkan oleh demam panas di kalangan bayi atau kanak-kanak kecil yang normal. Berbeza dengan sawan babi (Epilepsi) ianya adalah sawan yang berulang-ulang tanpa disebabkan oleh demam.
2.5% daripada kanak-kanak normal boleh menghidap sawan demam. Tanda-tandanya,
1. Ibu dan ayah perlu bertenang. 2. Iringkan anak ke sisi badan (mengiring ke kiri). 3. Rendahkan kepalanya agar cecair yang ada dalam mulut mengalir keluar. 4. Jika anak mengetap gigi, jangan masukkan sesuatu objek atau jari ke dalam mulut anak bimbang akan tercekik atau tercucuk. 5. Lap seluruh badan menggunakan air paip bukan air sejuk bagi mengawal panas badan. 6. Jika sawan melebihi 5 minit, ubat diazepam (Valium) melalui dubur perlu diberi dan segeralah bawa ke hospital. 7. Jika demam berpanjangan. Berikan ubat-ubatan seperti paracetamol atau ibuprofen untuk menurunkan demam. Mandi atau lap badan dengan air paip bukan air sejuk sekerap yang boleh. Bagi anak minum air sejuk, ini dapat membantu menurunkan suhu badan dan mengekalkan hidrasi.
Alhamdulillah.. 2 Ogos, jam 9 pagi Mahsuri sedar dari tidur, ayat pertama keluar dari mulutnya adalah, “Hai… Hello mama…”
Sambil melambai tangannya. “Ya Allah.. Leganya hati saya. Terima kasih Allah kerana meminjamkan Mahsuri kepada kami dan memberi kesempatan kami menjaganya lagi.”
Rindu tu jangan ceritalah. Atas tuntutan kerjaya, suami isteri terpaksa berpisah dan teruskan perhubungan jarak jauh. Bukan setahun dua, ada tu sampai dah tiga anak pun tuhan tak izinkan duduk satu rumah macam pasangan lain.
Tapi ada pasangan yang survive, cinta jarak jauh mereka bertahan malah makin mendalam. Alah bisa tegal biasa. Ujian susah payah besarkan anak sorang-sorang dilalui dengan tabah. Tapi macam mana pasangan ini boleh kekalkan mesra walau percintaan jarak jauh.
Dipisahkan beribu kilometer jauhnya. Tip yang dikongsikan Firdaus Mokhtar ini dari saranan pasangan yang lalui ujian rumah tangga jarak jauh ini. Dan berjaya kekalkan ’sweet’ kemanisan cinta.
PJJ ni istilah pendek untuk Percintaan Jarak Jauh. Haa! Nama pun sweet. Tapi berjarak fizikal. Seorang dekat Perlis sana, seorang dekat KL.
Mulanya baik-baik aja. Tapi lama-lama mesti ada hal yang buatkan mereka kerap bergaduh. Iyalah bila dah berjarak ni, ada sahaja hal yang jadikan mereka salah faham.
Iya, kita faham. Hidup rumahtangga yang macam ni tak mudah. Saya pun ada ramai kawan-kawan yang begini. Mereka ada kongsikan dengan saya beberapa tips.
Sekarang dah banyak medium nak berhubung. Berhubung yang ini kita fokus pada mesej. WhatsApp ada, Telegram ada atau FB messenger pun ok. Tak kesah lah kalau terpaksa mesej pagi, petang, siang, malam.
Supaya pasangan kita tahu, kita selalu ambil berat tentang dia.
Maksudnya hantar lah gambar selalu. Macam orang bercinta, kan selalu hantar gambar selfie. Dah kalian tinggal seorang, memang selfie lah kerjanya.
Tengah masak pun hantar gambar, tengah jem hantar gambar, dekat pasar hantar gambar. Kadang tengah kena marah dengan bos pun sempat hantar gambar.
Ini antara tips yang paling utama dia kata. Dengar suara pasangan kita. Kalau duduk serumah, boleh bersembang bila masing-masing dah balik rumah.
Kalau duduk berjauhan ni, kena juga dengar suara pasangan hari-hari. Ini terapi dalam rumahtangga. Suara dan kata-kata pasangan kita tu, kadang jadi ubat ketenangan.
Alah nak bercakap telefon sekarang dah murah. Kalau pakai WhatsApp call tu, kalian boleh bercakap tanpa henti berjam-jam. Sebab pakai data internet.
Kalau ambil pakej famili dengan telco, boleh dapat pakej telefon tanpa limit. Telefonlah 24 jam pun tak apa.
Ini rare. Tapi yang biasa buat akan rasa istimewa. Kalian yang PJJ kan duduk rumah asing-asing. Haa! Kirimlah surat.
Tak payah tulis panjang-panjang, tulis sikit sikit pun tak apa. Sembur pewangi sikit, lepas tu pos.
Pasangan PJJ je mengerti perasaan bila surat ni sampai. Kan?
Ini biasanya buat kejutan (baca surprise). Sekarang pun dah banyak servis hantar bunga, belon, teddy bear, kek dan macam-macam lagi.
Kalian order, nanti sampai lah ke rumah atau tempat kerja pasangan.
Ada lagi best, tempah Grab Food hantar terus ke rumah pasangan kalian. Ini pun sedap. Hari tu isteri saya buat ke saya masa dia dalam wad. Kahkah.
Dia dalam wad, saya dengan anak-anak dekat rumah. Punyalah dia fikirkan kami ni, tahu-tahu Grab Food sampai hantar makan. Terharu weh!
Hal kalau dah sampai level kena bercakap serius dan key tinggi, kalian telefon lah terus. Hubungi dan bercakap guna suara terus.
Elakkan berbincang hal penting guna mesej. Mesej dekat WhatsApp ni tak ada suara. Kadang intonasi kita bagi lain, pasangan kita faham lain.
Sudahlah tengah bercakap hal salah faham, bertambah keruh lagi lepas tu bila dia salah tafsir maksud mesej kita.
Begitulah. Ada banyak lagi. Tapi ini yang saya rasa utama. Soal nak kena jujur, percayakan pasangan itu dah jadi soal nombor 1 lah. Kita tak bercakaplah tentang itu.
Kalau itu pun kalian tak buat, barailah cerita dia.
Baik, rumahtangga PJJ ini ujian dia besar. Maka, tak ada lain kekuatan yang kita harap dalam menghadapi hari-hari kita cuma pada Allah.
Setelah usaha yang kalian buat atas rumahtangga kalian, serahlah kepercayaan dan keyakinan kalian pada Tuhan. Berbaik sangka tanpa ada ragu sedikit pun.
Jaga hubungan kalian dengan Allah. Sembahyang jaga. Ini paling utama. Maksiat jauhkan. Mudah-mudahan Allah pelihara rumahtangga kalian selamanya.
Amin.
Sumber/Foto :Firdaus Mokhtar
Pesanan ini untuk suami isteri PJJ sahaja tahu. Bukan pakwe makwe PJJ. Aku sebat kau karang kalau pakwe makwe PJJ nak amal tips ni.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!