Berkahwin atas dasar suka sama suka dan benar-benar mengenali hati budi dan perangai masing-masing, ia boleh menghasilkan sifat kasih, setia, bertanggungjawab dan fokus untuk menjaga kebajikan pasangan, menghiburkan dan saling melengkapi. Tapi, kahwin atas dasar keluarga, semua ini boleh dipupuk. Paling penting, kita dapat menerima pasangan tanpa syarat untuk membina keluarga yang bahagia hingga ke jannah. Inilah antara perkongsian daripada Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga.
Kenal Luar Dalam
Namun, dalam menikmati kehidupan bahagia itu, tidak selalunya indah, ada cabaran dan dugaan yang dilalui untuk mencapak kebahagiaan itu.
Ads
Tidak bermakna, kita dah berkahwin selama 10 tahun, 20 tahun dah kenal sikap pasangan. Sebenarnya, masih banyak yang kita tak tahu tentang pasangan. Cuba tengok, adakah kita betul-betul kenal pasangan?
Sejauh mana kamu tahu hobinya
Kamu tahu warna kegemarannya
Kamu tahu penyakit yang dialaminya
Kamu tahu cara gaya dia bercakap
Kamu tahu cara gaya dia berfikir
Kamu tahu latar belakang keluarganya
Kamu tahu latar belakang akademiknya
Kamu tahu kecerdasan fizikalnya
Kamu tahu tahap ego kendirinya
Kamu tahu cita-citanya
Kamu tahu lagu kegemarannya
Kamu tahu minat sukannya
Kamu tahu minatnya dalam aspek berpakaian
Kamu tahu makanan kegemarannya
Kamu tahu tahap kecerdasan berbahasanya
Kamu tahu karakternya ketika bekerja
Kamu tahu minat membacanya
Kamu tahu tahap keilmuannya
Kamu tahu sejarah latar belakang hidupnya
Proses mengenali hati budi pasangan memerlukan cara, masa dan adabnya untuk memahami dan mencungkil karakter sebenar pasangan masing-masing.
Tanpa ilmu dan kemahiran, akan menerbitkan sikap tak selesa pasangan, rasa marah dan tidak selamat pula. Seterusnya, mengenali dan memahami karakter pasangan anda memerlukan anda berjiwa besar dan penyayang. Ia sangat penting bagi mengelak persepsi negatif atau buruk sangka pasangan anda. Niat yang baik kalau tak betul caranya juga akan mengundang konflik.
Ads
Jangan Berahsia
Tak mustahil, ada sesetengah pasangan suka berahsia. Bila keadaan ini berlaku, mulalah pasangan memandang serong kononnya pasangan menduakan dirinya.
Sebenarnya,bukan sebab ada orang ketiga tetapi mungkin ada masalah lain yang pasangan tidak mahu berkongsi, bimbang pasangan akan tertekan dan kecewa. Mungkin ini isu yang ada pasangan suka berahsia kerana:
Ads
Mengalami penyakit misalnya sakit dada atau jantung
Mengalami bebanan hutang personal
Perasaan dendam akibat dibuli semasa zaman kanak-kanak
Perasaan dendam akibat difitnah oleh orang tertentu
Mengalami kegagalan di dalam akademik semasa bersekolah rendah atau menengah
Mengalami rasa diri tidak berguna dan hina tanpa sebab (penyakit kecelaruan emosi)
Jadi, tidak mustahil ada pasangan yang mula kelihatan suka termenung, bercakap seorang diri dan kadang-kala mudah marah-marah, kita terus beranggapan pasangan ada skandal atau buat salah di belakang kita.
Sebagai manusia, kita tidak sempurna dan tidak bebas daripada melakukan salah dan silap, sejak sebelum kahwin hinggalah sudah kahwin. Jangan jadikan kita seorang ‘perfectionist’ atau ‘idealist’. Jauhi sikap berburuk sangka dalam hubungan suami isteri. Jika setiap pasangan suka berfikiran terbuka, pemaaf dan positif, akan menjadikan situasi;
Rumah tangga yang harmoni
Rumah tangga yang bertoleransi
Rumah tangga yang bersatu
Rumah tangga yang bahagia
Rumah tangga yang diberkati Ilahi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada ibu bapa yang kurang senang dan membuat tuduhan melulu bila anak menantu balik beraya tapi tidur di hotel/homestay. Setiap kali hari raya, tidak kiralah hari raya Aidilfitri mahupun hari raya Aidiladha, apa bila ada ahli keluarga yang menginap di hotel ataupun di homestay, pasti ada yang memandang serong.
Ustazah Asma’ Harun memberi nasihat kepada ibu bapa supaya memahami keadaan anak menantu. Dalam ketika bergembira menyambut hari raya yang mulia ini, mungkin ramai yang lupa dalam menjaga batas-batas yang disyariatkan dalam Islam.
Kita seolah lupa dan terlalu berseronok sehingga banyak larangan yang diabaikan. Hal ini kerana apabila sudah bercampur beramai-ramai, agak sukar untuk menjaga perihal aurat.
Berikut perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun yang mengupas tentang topik ini secara menyeluruh.
BALIK KAMPUNG TAPI TIDUR HOTEL/HOMESTAY
Apabila tiba musim raya, isu tidur di homestay atau hotel akan jadi ‘trending’. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara.
Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang. Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya.
Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur. Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar.
WAHAI IBU BAPA, SELIDIK DAHULU. WAHAI ANAK, JANGAN MELULU
Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung.
Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak. Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim 66: 6)
Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, maka fahami dahulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.
Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.
Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara’, bukan kerana tidak selesa dan lain-lain, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.
Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga.
PENTING SANGAT, janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah.
Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Luqman 31: 15)
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI AJNABI
Kita maklum bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Kitab Asna al-Matalib, 1/176)
Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah.
Kecuali jika di kampung memang tak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka.
Jika kita miliki anggota keluarga yang ramai, maka semakin ramailah orang yang perlu dijaga batas auratnya, terutama sekali wanita.
Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras, dll.
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” (Surah an-Nur 24: 31)
Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak semudahnya berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah.
Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Kitab Tafsir Ibnu Kathir: Tahzib wa Tartib, Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)
DOA MENJAGA MARUAH DIRI
Mari kita amalkan doa ini, mudah-mudahan maruah diri dan keluarga kita sentiasa dipelihara oleh Allah SWT:
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي
Maksudnya: “Ya Allah lindungilah auratku, amankanlah apa-apa yang menjadi pemeliharaanku.” (HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Semoga penerangan ini bermanfaat, Allah merahmati dan melindungi seluruh ahli keluarga kita daripada perkara mungkar serta salah faham di dalam rumah tangga. Ameen Ya Rabbal Alamin.
Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
PESAN 1: Ikat Hati Pada Allah SWT
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
PESAN 2 : Jangan Sekadar Berpelajaran Tapi Tak Berilmu
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
PESAN 3: Bersandar Pada Kebolehan Diri Bukan orang Lain
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
PESAN 4: Taat Pada Pasangan
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
PESAN 6: Belajar Memberi Dan Menerima
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
PESAN 7: Jangan Takut Buat Silap
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Doa anak istimewa Puan Ainizal Abdul Latif ini awalnya mengundang rasa geram di hati ibunya. Bila mana anak ini memohon pertolongan Allah agar diberi kemenangan untuk dia melepasi game level 7.
Boleh urut dada ibu yang mendengar. Namun, ibu yang baik takkan cepat melatah. Berfikir dengan tenang itu kunci kekuatannya. Pengarah Akademi Genius Wold Solution ini akhirnya tersedar dan bersyukur dengan peristiwa itu.
Kerana dia percaya, anak autismenya itu dilahirkan, dibesarkan dan dididik untuk syurga bukan untuk dunia. Hayati perkongsian Puan Ainizal.
Semoga April ini lebih ramai lagi sedar dengan pentingnya untuk mengasihi dan menyayangi anak-anak autisme yang ada di sekeliling kita.
Kau Untuk Syurga, Bukan Dunia
“Ya Allah, tolonglah abang. Abang nak main game xxx ni, level 7. Tolong bagi bantuan supaya abang menang ya Allah. Allah kan baik, tolonglah abang. Abang mesti menang game ni. Kalau tidak habis semua senjata dan duit yang abang dah beli dan kumpul..Amin..”
Mama curi dengar bait-bait doa mu dari belakang. Mula-mula dengar rasa geram. Geram kerana mama rasa, kau menggunakan doa mu untuk memohon sesuatu yang tidak datangkan manfaat untuk mu.
Tapi bila fikir semula, mama rasa insaf dan kurang bersyukur pula. Bukan kah untuk 7 tahun belakangan ini, inilah perjuangan yang selalu mama minta pada Allah supaya di perkenan dan dipermudahkan?
Ya, mama berjuang sungguh mengajarkan anak autisme mama ini, agar pandai berdoa kepada Allah. Agar kau pandai mengangkat tangan merayu dan mengadukan walau sekecil masalah mu pada Allah.
Agar kau tahu, tiada kuasa lain dapat membantu mu kecuali Allah. Kau sudah mampu buktikannya apabila kau sudah pandai mengangkat tangan sendirian memohon doa diperkenankan walaupun hanya untuk kemenangan mu bermain game.
Sepuluh Tahun Lagi, Kau Akan Tahu Sayang
Hari ini mungkin keterujaan untuk memenangi level game itu menjadi cabaran utama mu. 10 tahun lagi, kau akan tahu sayang, ada terlalu banyak cabaran, ujian dan kekejaman dalam dunia sebenar yang kau akan hadapi di luar sana.
Mama hanya mahu kau percaya, dengan manusia kau akan sering kecewa. Tetapi untuk setiap satu kesukaranmu, kau perlu yakin dan tahu, kau bakal mendapat pertolongan Allah melalui doa mu.
Seperti bait-bait lagu Arjuna Beta, berdoalah sayang, kerana mama tak kan ada sentiasa. Satu masa jodoh kita di dunia pastinya sampai ke garis terakhir jua. Hari itu, mama mahu kau sedar bahawa kau hidup bukan kerana adanya mama.
Sebaliknya kau hidup atas rahmat dan kasih sayang tuhan mu. Percayalah, selama kau merasa tuhan mu ada, selama itu kau tidak akan pernah merasa hidup mu terkesan dengan celaan manusia.
Kau, yang sering di lihat kurang oleh manusia, namun sudah tentu syurga buat mu sudah siap ada. Jika perlu di hisab atas sedikit kesedaran yang Allah kurniakan, mungkin tidak akan di hisab seteruk kami yang nampak sempurna, tetapi hakikatnya penuh dengan cela dan dosa.
Hadir Mu Untuk Menghilangkan Sifat Keakuan Dalam Diri
Kau dikurniakan untuk mengajar kami menghilangkan sifat ke ‘aku’ an dalam diri. Yang mengatakan anak-anak itu dari kami, ibu bapa mu sendiri. Nasib mu boleh dibeli dengan ego dan nafsu kami.
Sebaliknya kau menyuburkan sifat ke ‘hamba’ an kami. Supaya kami sedar kau adalah amanah yang Allah titipkan bagi menguji samada nikmat ini kami lalui dengan sabar dan syukur, atau ingkar dan kufur.
Bagi menguji kami cukupkah sandaran kami pada tuhan saat tiada satu makhluk pun dapat menjadi jaminan dalam menentukan nasib dan perubahan. Kerana tuhan bukan melihat pada keputusan, sebaliknya usaha dan ketakwaan kami ketika mendepani ujian.
Mungkin di dunia ini penuh pedih, kerana kau bukan di hadirkan untuk menikmati dunia, sebaliknya tempat mu adalah syurga. Dunia ini di lihat orang sebagai ujian bagi mu.
Amanah Untuk Kami Santuni
Namun hakikatnya ia adalah menjadi ujian bagi kami yang di amanahkan untuk menyantuni mu. Bagi semua masyarakat yang mampu atau tidak memahami perbezaan mu.
Untukmu dan semua kawan-kawan syurga mu yang dipilih Allah, samada kalian sudah mampu mengangkat doa, atau yang masih Allah simpan suara-suara kalian di syurga, bertahan lah untuk segala kesusahan dan ketidakfahaman yang kau terima sementara di dunia ini.
Kerana kau untuk syurga..bukan untuk dunia yang penuh prejudis dan segala macam ketidak adilan yang menyesakkan deria.
Selamat Hari Kesedaran Autisme untuk semua bunga-bunga syurga pilihan Allah.
“Saya Cuba, Bertahan, Usaha Tapi Gagal. Tiada Lagi Kita” itulah yang diluahkan oleh Aprena Manrose tentang rumah tangganya yang dikatakan sudah berantakan.Pelakon cantik, Aprena...