Bertuah punya anak, inilah ayat yang paling sesuai untuk mak ayah bila marah anak. nakal, degil atau tak dengar kata sekalipun sebut dan sumpahlah dengan kata-kata ini.
Begitulah, anak-anak yang tengah nak membesar, ada masanya buat kita sebagai mak ayah marah, sakit hati dan sebagainya. Waktu itu, mulalah keluar perkataan yang tak sepatutnya.
Jangan cepat sumpah anak dengan perkataan yang tidak elok. Apa yang keluar dari mulut mak itu doa. Jadi, sebutlah bertuah punya anak. Mudah-mudahan dengan perkataan ini termakbullah, jadi anak yang bertuah.
Antara perkongsian daripada Ustaz Irwan Zahuri supaya mak-mak menjaga percakapan bila marah anak dan sebutlah perkataan yang baik-baik.
Bila marah anak, jangan sampai terkeluar perkataan yang anda tak mahu ia terjadi pada anak.
Sebut perkataan yang elok walau nadanya mungkin ‘high pitch’. Mak-mak pun kadang-kadang emosional juga kan. Cuma, tolonglah jaga perkataan yang terkeluar dari mulut kita.
Sebaik-baiknya, kalau marah anak, terus sumpah mereka dengan doa. Secara psikologi pun apabila anak tu dengar doa untuknya jadi motivasi untuk dia berubah jadi baik Insya ALLAH.
Ads
Contohnya, kalau anak masih sekolah lagi dan aktif menyepahkan rumah, bila nampak rumah sepah aje doa kuat-kuat.
Ya ALLAH Ya Tuhanku, jadikanlah anak-anakku orang yang mendengar kata ibunya, suka mengemas rumah dan jadikanlah anak-anakku orang yang menyimpan mainan selepas menggunakannya.
Bunyi macam sambil doa sambil menyindir. Tapi daripada kita tersebut perkataan negatif, lebih baik kita mengajar, meluah perasaan dalam doa yang baik di hadapan mereka.
Yang paling kerap mak-mak sebut, bertuah punya anak!!!
Ok la tu. Mudah-mudahan bertuah betul la anak tu. Insya ALLAH.
Mak Jaga Perkataan
Kenapa perlu jaga perkataan mak-mak? Sebab doa ibubapa kepada anaknya merupakan salah satu bentuk doa yang mustajab.
Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa NABI SAW bersabda:
Maksudnya: “Tiga doa yang mustajab dengan tidak syak lagi padanya: Doa seorang yang dizalimi, doa seorang yang bemusafir dan doa ibubapa kepada anaknya. [Riwayat Ibn Majah (3862)]
Doa di bawah ni kalau belum kahwin dah boleh baca, mudah-mudahan dikurniakan pasangan yang baik dan anak yang menyejukkan hati.
Bagi yang dah kahwin sedang menanti cahaya mata pun boleh baca dan untuk yang ada anak kecil sampai dah besar pun perlu baca.
Kalau dah jadi atuk nenek pun perlu baca. Mudah-mudahan anak cucu dan keturunannya termasuk dalam golongan orang yang soleh solehah.
Rabbana hablana min azwaajina wa dzurriyyatina qurrata a’yuniw waj’alna lil muttaqiena imaamaa.
“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (QS Al Furqan ayat 74).
Kita cuba amalkan selepas solat fardhu ya Insya ALLAH.
Mingguan Wanita : Marah sekalipun pada anak, doakan yang baik-baik untuk dia.
Pernah tak mak ayah di luar sana ambil tahu tentang anak autisme? Ya, mungkin masih ramai lagi mak ayah tertanya-tanya macam mana nak detect anak-anak ada ciri-ciri autisme atau tidak.
Ini bukan satu masalah sebab kehadiran mereka di dunia juga satu amanah, sejauh mana kita mampu telan ujian dan macam mana kita menghargai apa yang Allah bagi.
Jadi sempena bulan kesedaran Autisme pada April ini, mak ayah boleh luaskan ilmu tentang ciri-ciri anak autisme dengan membaca perkongsian hati daripada ibu muda yang membesarkan anak syurga, Puan Naim Ain Aina.
Naluri Seorang Ibu Yangg Punya Anak Autisme
Kalau ada yang kata, beruntungnya kau Norlia dapat anak yang kuat daya ingatan. Baru 4 tahun tapi anak kau dah pandai baca, dah hafal banyak hadis dan surah.
31 Mei depan, umur Naim 5 tahun. Jadi pada waktu tu saya baru je 5 tahun menjadi ibu. Saya tahu pengalaman saya tak sehebat dan sebanyak ibu ayah yang anaknya dah besar, yang dah remaja atau pun yang dah dewasa.
Izinkan saya kongsi pengalaman saya bersama suami ketika menjaga Naim semasa kecil..
Sehari Lepas Lahir…
Saya boleh dikatakan ibu muda masa lahirkan Naim dulu, yang pada ketika itu umur saya baru 23 tahun. Saya perasan ada 3 orang je rakan sebaya saya (yang saya kenal) yang kahwin pada umur 22-23. Jika dicampurkan dengan saya, ada 4 orang. 3 perempuan, yang sorang lagi kawan lelaki.
Jadi masa Naim ada tunjukkan ciri-ciri Autism dulu, saya sendiri tak tahu pun yang itu adalah ciri-ciri Autism. Sebab kawan-kawan saya ramai yang tak kahwin lagi, dan yang dah kahwin tu pun anak mereka tak Autism. Tak nampak pun kat FB kawan-kawan share pasal Autism jadi dulu saya memang tak tahu apa-apa pasal Autism, Speech Delay mahupun Sensory Processing Disorder sekalipun. Zero.
Anak Takut Potong Rambut
Lepas saya lahirkan Naim dan masa Naim dah sedikit besar, saya perasan Naim sangat takut bila nak potong rambut, potong kuku dan korek telinga. Dia bukan takat tak nak, tapi dia takut dan macam trauma.
Saya ingat masa dia kecil dulu, saya pernah potongkan rambut dia kat bilik mandi. Gaya potongan ala-ala tempurung. Punyalah dia meraung. Tapi saya paksa jugak dan amazing betul sebab secara tiba-tiba je kekuatan Naim lagi kuat dari saya. Memang saya geram sangat masa tu dengan Naim. Dengan saya-saya sekali stress dibuatnya.
So lepas adegan tu, saya suruh suami pulak potongkan rambut Naim bila-bila nanti. Tapi sama jugak tindakbalas Naim.
At the end, kami terpaksa tunggu Naim tidur. Saya tolak kepala Naim ke kiri atau kanan, dan suami potong rambut Naim. Ya, atas tilam. Kalau dia tersedar sebelum siap suami saya potong, so biorkanlah. Haha. Kami tunggu dia tidur balik baru kami sambung mission impossible tu.
Takut Nak Potong Kuku
Sama jugak bila nak potong kuku Naim. Kuatnya lah si Naim ni meronta sampai merah-merah muka dia menangis. Rambut panjang takpe lagi, ni tak kan nak biarkan je kuku dia panjang. Bila nak potong kuku masa Naim tidur pun payah sebab Naim cepat tersedar bila kami gunting rambut ke, potong kuku ke atau korek telinga dia walaupun masa tu dia tengah tidur dengan lelehan air liur.
Lambat Bercakap
Sama jugak masa Naim tak boleh bercakap dulu dan yang keluar dari mulut dia cuma Mba ba ba je (walaupun umur dia dah 2 tahun lebih). Malam-malam bila Naim nangis dan dah minum susu tapi dia still nangis lagi, haa time ni memang boleh buat saya dan suami gaduh besar. Yela, dahlah tengah ngantuk. Lepas tu kena main teka-teki dengan Naim pulak. Kena cari punca kenapa dia nangis walaupun dah pujuk pun tak layan. Tapi selalunya kami fikir Naim mungkin sakit perut, jadi kami akan sapu ubat kat perut Naim. Sama jugak ada satu malam tu Naim menangis lama tak berhenti. Rasanya umur dia 2 tahun lebih masa kejadian. Kami suami isteri tak tahu nak pujuk macam mana sebab segalanya tak menjadi. Jadi akhirnya saya usulkan suami supaya bawa Naim ke Emergency.
Kat Hospital doktor tanya kenapa anak awak? Saya jawab tak tahu. Tak demam pun tapi dia asyik nangis je tak berhenti-henti. Sakit perut kot saya kata. Macam bersalah pulak rasanya jawab macam tu. Lepas tu dia suruh bawa Naim pergi X-Ray perut.
Tak Takut Bahaya
Lagi satu, Naim tak takut bahaya. Saya ingat dulu ayah dan mak saya pernah bawa Naim pergi Family Day tempat kerja. Saya tak pergi. Esoknya masa saya masuk kerja (saya kerja part time), kawan saya yang turut sama pergi Family Day tu cakap kat saya.
“Aah, semalam Naim ada. Tapi dia asyik pergi kat tasik je. Nasib baik ada kakak tu perasan.”
Naim pun dulu kalau kita pergi shopping mall, dia lari melulu ikut suka dia je. Dia pernah “hilang”. Rupanya dia menyorok dan mendiamkan diri dalam seluar-seluar yang bergantung. Saya panggil dia tapi dia tak nak keluar pun. Nak menyahut apatah lagi sebab masa ni Naim tak pandai cakap lagi.
Jadi sampai sekarang saya takut nak bagi Naim ikut siapa-siapa pergi jalan tanpa saya atau suami. Sebab Naim ni kena betul-betul dipantau.
Dan bila saya ceritakan kisah Naim masa kecil ni dulu, tiba-tiba saya teringat satu kisah.
Dulu saya selalu jugak bawa Naim turun taman setiap petang. Ada sorang makcik ni, dia pun kadang-kadang bawa turun taman anak angkat dia yang lagi muda dari Naim masa tu.
Dia cerita kat saya, anak angkat dia si YZ ni dah tak pakai pampers. Mulut keletah. Banyak cakap. Masa umur setahun lebih dah tak pakai pampers. Dia sendiri tak nak pakai pampers. Banyak lagi dia cerita pasal YZ ni.
Bila dia tanya saya pasal Naim, saya cakaplah Naim pakai pampers lagi. Tak boleh bercakap lagi cuma cakap Mba ba ba je. Masa ni memang ada banyak soal-siasat dari makcik ni. Rimas aku. Haha.
Hari kemudiannya bila makcik ni nampak saya dengan Naim kat taman, pelik betul lah aku kenapa perbualan yang sama berulang kembali. Ciss tension betul nak turun taman lagi lepas ni. Tapi nasib baiklah Naim kecil lagi masa tu dan tak faham yang makcik ni tengah nak buat perbandingan antara Naim dengan anak angkat dia.
Sedikit Berkecil Hati…
Jauh di sudut hati, saya sebenarnya sedih dan agak berkecil hati. Dan sikap makcik ni jugak hampir berjaya membantutkan niat saya nak bawa Naim turun taman lagi lepas tu. Tapi bila kita pandang negatif dengan apa yang orang cakap, negatif jugaklah kita dapat. So saya bawa jugak Naim pergi taman cuma kalau nampak makcik tu je saya lari dan main cak cak.
Dulu saya rasa tahap stress saya agak teruk. Cepat nak marah, cepat sentap, cepat nak naik tangan. Anak-anak selalu jadi mangsa tengking saya.
Pernah satu hari saya menjerit kat Naim dan adik dia sebab keduanya tak nak makan nasi walaupun saya dah pujuk. Lepas tu dua-dua menangis tak berhenti. Saya jadi stress. Stress sangat. Saya pun menangis sekali dalam bilik, bertiga dengan anak-anak saya. Sampai satu tahap saya tak boleh tahan dan akhirnya saya call suami suruh suami balik rumah sekarang jugak.
Suami balik rumah dan take over handle anak-anak pulak. Mujurlah. Thank you suami.
Sempena Bulan Autisme
Bersempena dengan April iaitu Bulan Kesedaran Autisme Sedunia ini, nasihat saya marilah kita sama-sama fahami dan sayangi anak-anak Autism ini dan tolonglah fahami jugak hati kami mak ayah yang ada anak istimewa ini sekali.
Jangan lupa jugak 6 April ni hari lahir saya.
Last but not least, “Acceptance is the first step in recovery.”
-Mama Naim- ❤️
Nota Hakak:
Sila tengok buku biru/pink yg diberi semasa kelahiran dan carik page 18 bulan. Ada jadual MCHAT, baca soalan-soalan kat mchat tu then jawab ya/tidak.
Kalau banyak “tidak” please refer kepada doc di KKIA secepat yang mungkin, saringan autisme 2x. Sekali umur 18 bulan, sekali lagi umur 3 tahun.
Please sebarkan benda ni supaya ramai orang tahu macam mana nak detect anak ada ciri-ciri autisme atau tidak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Membuka tirai 2018 dengan khabar gembira, tahniah buat pasangan pelakon Azad Jazmin dan Eira Syazira yang menyambut kelahiran anak ketiga mereka semalam. Ia sekali gus melengkapkan tiga orang anak perempuan yang dimiliki oleh pasangan selebriti ini.
Azad yang terkenal dalam melakonkan watak-watak komedi didalam filem mahupun dramamenerusi satu video pendek yang dimuat naik di Instagram (IG)nya melahirkan rasa syukur kerana kedua isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat. Pengumuman yang disampaikan secara bersahaja dan berseloroh berjaya mencuit hati follower beliau.
“Isteri saya selamat melahirkan anak perempuan yang ketiga. Azad ada tiga anak perempuan, YA anak perempuan. Alhamdulillah, terima kasih, syukur pada pada Allah,” ujarnya.
Dalam pada itu, disebabkan ketiga-tiga anaknya adalah perempuan Azad sambil berseloroh memberitahu masih ada peluang untuk dirinya memiliki anak lelaki.
“Ini bermakna saya masih ada harapan lagi untun anak lelaki, terima kasih kepada peminat yang mendoakan. Nanti saya akan ‘update’ tentang anak dan juga isteri saya,” katanya ketawa.
Terdahulu, dua orang cahaya mata pasangan ini adalah Amarra Sofea Rose, 4, Ameisya Leanne Rose berusia setahun.
Team Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat pasangan ini, semoga kehadiran baby baru, memberi sejuta rahmat, rezeki dan kebahagiaan buat pasangan selebriti ini. Kepada Iera Syazira, selamat berpantang!
Mak ayah mana yang tak sedih andai anak-anak tidak ada matlamat dalam hidup. Suruh belajar malas. Bila tanya cita-cita, katanya lepas belajar nak kerja sebagai penghantar makanan saja. Bukan merendahkan sebarang kerja, asalkan halal tak mengapa. Tapi, sebagai mak ayah pasti ingin yang terbaik untuk anak. Lebih-lebih lagi mereka sedar anak itu berpotensi besar untuk berjaya dalam pelajaran. Ikuti luahan hati seorang ibu ini.
Assalamualaikum Puan. Saya ibu kepada tiga orang cahaya mata. Dua perempuan dan seorang lelaki. Saya seorang guru dan begitu juga suami.
Saya mengalami dilema yang mungkin ada ibu bapa yang bergelar pendidik turut mengalaminya. Orang kata, didik anak orang jauh lebih mudah daripada didik anak sendiri.
Dua Anak Perempuan Cemerlang
Dua anak perempuan saya iaitu yang sulung dan nombor dua sangat mendengar kata dan cemerlang dalam akademik. Keduanya kini sedang mengikuti pengajian di dua buah universiti tempatan. Saya tak ada masalah dengan mereka. Tapi, berbeza dengan anal lelaki.
Ketika UPSR, dia mendapat keputusan yang cemerlang, semua mata pelajaran A. Tentu saya dan suami sangat gembira. Tapi semakin meningkat remaja, dia menunjukkan penurunan prestasi yang teruk dalam bidang akademik. Keputusan PT3 dulu sangat mengecewakan walau pun semua kredit.
Ada Lebih Masa
Kini dia bakal menduduki SPM dan bila dianjakkan ke tahun hadapan, saya dan suami menarik nafas lega kerana ada ruang untuk anak kami itu membuat persediaan. Tapi yang merungsingkan kami bila anak itu tak menunjukkan langsung minat belajar. Puas disuruh baru belajar. Hantar tuisyen tapi keputusan tetap tak memberangsangkan.
Saya dan suami tak tahu lagi apa yang patut dilakukan. Rasa gagal dan kecewa bila anak sendiri tak mampu dididik. Risau dengan masa depannya kelak. Pernah kami tanya apa dia nak jadi kalau tak minat belajar. Katanya, ulat dalam batu pun boleh hidup asal usaha. Katanya dia tak kisah nak kerja sebagai penghantar makanan asal tak perlu masuk kolej.
Puan, sedih saya dibuatnya. Bukan pandang rendah pada orang yang cari rezeki sebagai penghantar makanan. Tapi, harapan saya tinggi, nak juga lihat dia macam kakak-kakaknya. Saya tak kisah, kalau dah ada ijazah, kerjalah apa saja. Nak jadi petani sekali pun saya okay. Asalkan jadi petani yang berilmu. Baru boleh maju dan bukan di takuk yang sama saja.
Bagaimana saya nak sedarkan dia betapa pentingkan pendidikan…Saya dah habis cara. Dia umpama tak fikir panjang soal masa depannya.
Ibu risau. Melaka.
Jawapan Kaunselor
Foto: Pexels
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah..
Setiap ibu bapa mahukan kejayaan untuk anak-anaknya. Kejayaan dunia dan kejayaan di akhirat. Lazimnya, kejayaan dalam akademik adalah kayu pengukur yang menjadi kebanggaan ibu bapa.
Ibu bapa yang mementingkan pendidikan lazimnya sanggup bersusah payah menyediakan segala keperluan anak demi mencapai kejayaan pencapaian akademik hingga mendapat ijazah. Majoriti Ibu bapa memang meletakkan harapan yang tinggi terhadap anak. Harapan agar anak berjaya dalam akademik, hingga mampu mengharumkan nama sama ada di sekolah, di peringkat daerah , malah negeri akan menjadi kebanggaan ibu bapa yang tiada nilainya. Seboleh mungkin jika ada anak tujuh orang contohnya, mereka mahu ke tujuh-tujuh mencapai kecemerlangan yang lebih kurang sama.
Ikut Penilaian Umum
Perpektif kita sebagai ibu bapa tentang kejayaan adalah dalam penilaian yang diterima umum. Namun kini ramai ibu bapa agak kecewa kerana anak tidak mengikut cara dan perspektif yang ibu bapa tentukan. Bagi anak, kejayaan bukan dengan mencapai kecemerlangan dalam akademik hingga dapat melengkapkan pengajian ke peringkat ijazah.
Bagi mereka, tugas atau kerja yang menyeronokkan itulah kejayaan dan kebahagiaan. Perkara yang membebankan bagi mereka seperti berhempas pulas belajar adalah seperti menyiksa diri. Walhal kefahaman kita, kehidupan sememangnya begitu, perlu kekuatan minda, kekentalan jiwa dan ketahanan fizikal.
Mak Ayah Terlebih Beri Tumpuan
Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada anak yang tidak mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Pertama, ini banyak berlaku kepada anak bongsu. Kadang-kadang kita (termasuk saya) terlupa, kita beri terlebih tumpuan dari segi material, masa, dan kasih sayang dan layanan kepada anak bongsu.
Bagi kita, layanan terhadap semua anak adalah sama, namun kita tidak perasan bahawa secara tidak langsung layanan kita terlebih kepada anak bongsu. Ketegasan dalam mendisiplinkan anak bongsu lazimnya kurang berbanding dengan adik beradiknya yang lebih tua daripadanya.
Perkara ini hanya disedari oleh anak-anak yang lain, bukan dari pandangan kita. Mungkin benar, mungkin sebaliknya. Namun itulah hakikat yang dapat dilihat pada kebanyakan ibu bapa cara layanan dan tumpuan kita terhadap anak bongsu ada perbezaan jika dibandingkan terhadap anak-anak lain.
Justeru, kelebihan layanan dan tumpuan ini boleh diambil kesempatan oleh anak. Kedua, faktor jantina juga boleh mempengaruhi. Anak lelaki memang kurang tumpuan dan kurang ketaatan kepada pelajaran berbanding anak perempuan. Mereka cepat bosan, tidak suka kerja-kerja rutin yang tertumpu kepada satu tugas (seperti belajar) dan sukakan sesuatu yang “adventure”, suka melakukan tugas yang menggunakan kemahiran dan kekuatan fizikal serta pengalaman luar yang mencabar.
Puan seorang guru, puan tahukan perbezaan pelajar lelaki dan pelajar perempuan.
Ketiga, pengaruh sosial media, penggunaan gajet, kemudahan internet menjadikan mereka terbuai dan lalai dengan tugas hakiki mereka iaitu belajar. Keseronokan yang dirasai dengan kehadiran “dunia fantasi” boleh mempengaruhi minda mereka ke arah yang leka dan tidak berjejak di bumi nyata.
Faktor lain pula ialah mempunyai anak sebegini adalah ujian untuk kita. Anak adalah ujian. Jika apa yang kita mahu dan kita rancang itu menjadi realiti, maka tidak adalah ujian dalam hidup. Selalu ingat, Allah beri kita anak yang sihat dan baik, itu juga adalah kejayaan kepada ibu bapa.
Mak Ayah Letak Jangkaan Tinggi
Sebagai ibu bapa kita sering meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap anak. Seolah-olah kita mahu memenuhi impian kita, bukan impian mereka. Mungkin kita tidak dapat semasa kecil atau dalam hidup kita, tetapi kita mahu ianya dilaksanakan oleh anak agar impian tercapai.
Logiknya apa yang kita mahu daripada anak itu betul, sebab kita tahu bagaimana mencorakkan kehidupan yang lebih untuknya, kita tahu bahawa ilmu perlu dalam hidup, kita tahu cabaran dalam kehidupan. Namun sebaliknya ia tidak dapat ditafsir dan dinilai oleh anak kerana faktor luaran yang lebih menarik. Kita hanya mampu berdoa agar anak kita menjadi anak yang soleh.
Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Mungkin anak yang sebeginilah yang akan bersama kita hingga ke hari tua. Kita mungkin kata dia dan kita akan bahagia jika dia punya ilmu yang tinggi dan pekerjaan yang baik. Itu belum tentu menjadikan dia anak yang baik yang boleh mendoakan untuk kita. Mana tahu jika dia tidak menjawat jawatan yang tinggi, tidak punya ilmu yang tinggi, tetapi mampu membahagiakan kita di hari tua.
Mak Ayah Berdoalah Untuk Anak
Justeru, sebagai ibu bapa, seringlah berdoa untuk anak. Berdoalah agar anak jadi anak yang soleh, jika hajat kita tidak ditunaikannya ketika ini. Pada masa yang sama cuba dekatinya tanya apa perancangan yang ingin dibuat.
Tanya dia soalan adakah dengan perancangannya itu boleh memberi jaminan hidupnya. Juga bawa cerita tentang bagaimana berjaya dan sukanya Allah jika seorang anak mampu membahagiakan ibu bapanya. Beritahu juga apa yang puan mahu itu sebenarnya untuk kebaikan dia juga.
Sebaliknya, jika puan mahukan dia ikut perancangan daripada puan dan suami, puan masih boleh mencuba. Sebagai guru, puan tahukan sistem ganjaran dan dendaan? Berilah ganjaran jika dia buat apa yang puan suruh. Dendalah atau tarik balik keistimewaan yang puan berikan kepadanya jika dia tidak lakukan.Puan lebih tahu membentuk disiplinnya.
Lihat Hikmah Di Sebaliknya
Akhir kata jika apa yang puan lakukan itu tidak berjaya, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Dalam hidup kita, Allah selalu beri apa yang kita perlu, cuma Allah tidak beri apa yang kita nak.
Allah beri anak buat teman di kala kita tua nanti. Kejayaan di dunia yang kita harapkan dari anak mungkin tidak dapat, namun berkat doa dan kesabaran kita mungkin anak inilah yang mampu membahagiakan kita di hari tua dan mendoakan kesekahteraan kita di alam kubur.
Justeru, teruskan berdoa setiap kali sujud agar dia menjadi anak yang soleh. Seringlah berdoa khusus di waktu tahajud yang baik-baik untuk anak, kerana doa ibu khususnya amat mustajab. Moga anak puan menjadi anak yang soleh. Aamiin. Wallahualam.
Soalan Dijawab oleh: Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor
Bekas suami Kim Seri sah ke penjara, "terima kasih Kim Seri, kau kejam, Allahuakbar... Kes penipuan jenayah melibatkan Kim Seri yang menipu pelancongan ke...