Ada lagi ke mak-mak yang gigih sental periuk dan kuali berkerak dengan berus tertentu? Tambah pula kalau masak dan tetiba terlupa, akhirnya masakan hangit sampai periuk dan kuali hitam.
Alahaaiii… kenapa nak buang masa kalau cara yang lebih mudah macam Puan Rusmida Rusdi ini cukup membantu untuk buat kerja dapur lebih laju!
Oh Periuk Berkerak
Senang aishhh nak hilang. Tak payah sental sakit tangan. Takyah biar semalaman.
Bahan Yang Perlu:
❤️Cuka Letak agak kena
❤️Soda bikarbonat 2 sudu
1. Biarkan dia berbuih macam panadol soluble.
2. Goncang-goncang sikit.
3. Cuci macam biasa.
Tip ni kasi kilat kan juga kuali berkerak di rumah, jadi kenapa tak nak cuba? Ada yang terus buang tapi kalau tahu caranya periuk dan kuali itu boleh jadi macam baru balik tau. Moga kerja mak-mak jadi lebih mudah dan jimat masa!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Demi Lalat Hitam, Dr. Zubaidah Sanggup Naik Gunung dan Jelajah Sungai
Lalat hitam? Siapa hendak tengok lalat hitam? Apa kegunaan lalat hitam ini? Itulah persoalan yang keluar daripada mulut Dr. Zubaidah Ya’cob apabila ditawarkan menjadi pembantu penyelidik di Universiti Malaya.
Tanpa sebarang ilmu dan pengetahuan mengenai lalat hitam, Dr Zubaidah pun melibatkan diri dalam bidang kajian yang pernah dianggap ‘kerja gila’ oleh mereka yang mengenalinya. Kini telah lapan tahun Dr Zubaidah ‘hidup, makan dan tidur’ dengan lalat hitam.
Pakar
Masih ada lagi yang tidak memahami ketaksubannya pada lalat hitam. Namun di sebalik semua itu, Dr. Zubaidah berasa puas kerana penglibatan secara tidak langsung pada peringkat awal itu telah melayakkan dirinya kini menjadi pakar lalat hitam di Malaysia.
Kisah Dr. Zubaidah dan lalat hitam bermula pada tahun 2010. Pada tahun 2006, dia menjalankan penyelidikan terhadap ekologi burung hutan demi mahu bagi mendapatkan Ijazah Sarjana. Selepas berjaya memperoleh Ijazah Sarjana pada tahun 2010, dia mula mencari kerja.
“ Kebetulan ketika itu seorang pensyarah di Universiti Malaya memberitahu bahawa mereka memerlukan seorang penyelidik untuk membuat kajian mengenai lalat hitam di Malaysia. Penyelidik ini akan membantu Penyelidik dari Jepun Profesor Hiroyuki Takaoka yang melakukan penyelidikan tersebut di Malaysia.
“ Saya tanya kepada Prof Hiroyuki kenapa lalat hitam dan apa keistimewaannya serangga ini? Terus Prof. Hiroyuki menunjukkan lalat hitam kepada saya. Betapa terkejutnya apabila melihat lalat hitam lebih kecil daripada lalat biasa yang kita lihat selama ini. Saiz lalat hitam dewasa itu adalah 3 hingga 6 milimeter. Ia hanya dua kali ganda daripada agas,” ujar Dr. Zubaidah berkongsi titik penglibatannya dengan lalat hitam.
Daripada penjelasan yang diberikan oleh Profesor Hiroyuki barulah Dr. Zubaidah mengetahui sedikit sebanyak mengenai lalat hitam.
“ Lalat ini di Afrika, apabila ia menggigit manusia, ia akan melepaskan cacing pada kita Apabila cacing itu menggigit, ia akan melepaskan anak cacing di bawah kulit manusia. Apabila cacing jantan dan betina bertemu, ia akan mengawan dan menghasilkan jutaan anak cacing. Anak-anak cacing ini berpotensi untuk bergerak ke seluruh badan sehingga ke mata dan menyebabkan kebutaan,” jelasnya.
Profesor Hiroyuki yang kini berusia 73 tahun dengan penuh sabar mengajar Dr. Zubaidah. Wanita berusia 36 tahun ini yang pada mulanya bermula sebagai pembantu penyelidik pada tahun 2010 telah mendaftar untuk melakukan PhD pada tahun 2014. Pada tahun 2017 dia telah berjaya memperolehiPhD dan sekali gus telah dilantik menjadi Pensyarah Kanan Penyakit Berjangkit Tropika dan Pusat Pendidikan Universiti Malaya.
Paksa Suami Teman Cari Lalat Hitam
Kesabaran adalah perkara penting yang dipelajari oleh Dr. Zubaidah dalam mengkaji lalat hitam di Malaysia. Tidak hairanlah jika tiga buah peti sejuk di makmalnya dipenuhi dengan sampel-sampel lalat hitam.
“ Saya belajar menjadi sabar dan pupuk minat untuk mencarinya di seluruh Malaysia sebab tidak ada orang yang buat kajian mengenainya di Malaysia. Pencarian itu membuatkan saya perlu pergi ke banyak tempat seperti ke Gunung Tahan, Gunung Kinabalu, Gunung Murut dan seluruh negeri di Malaysia.
“ Semasa mencari pensampelan dalam penyelidikan PhD, saya perlu menjelajah 18 sungai di Cameron Highlands selama dua tahun. Bila rasa penat, ada juga rasa hendak ‘give up’. Tetapi bila ingat lagi ini PhD, saya teruskan juga sehingga habis.
“ Paling menarik dalam pencarian lalat hitam ini apabila saya berpeluang menjelajah di seluruh Malaysia dan beberapa buah negara di Asia Tenggara termasuklah Vietnam, Indonesia, dan Thailand.
“ Di 180 sungai di Malaysia di mana saya mencari lalat hitam ini, semua sungai itu adalah habitat semula jadi pupa dan larva lalat hitam. Lalat hitam ini terdapat di dalam air sungai dan air terjun yang bersih. Dalam masa yang sama kita boleh tahu bahawa semua sungai yang ada di Malaysia ini dalam prestasi yang bagus. Kehadiran lalat hitam itu sebagai petunjuk bahawa sungai itu bersih tanpa sebarang serangga perosak lain,” terang Dr. Zubaidah.
Sehingga kini Dr. Zubaidah masih tidak dapat lagi menemui spesies lalat hitam yang menghisap darah manusia. Tetapi Dr. Zubaidah telah menjumpai lalat hitam menghisap darah haiwan iaitu babi hutan.
Dalam mencari lalat, suaminya Nor Azhar Jamil adalah peneman setia Dr. Zubaidah dalam mencari lalat. Suaminya merupakan kakitangan sokongan di UM, namun setiap kali Dr Zubaidah melakukan pencarian, suaminya akan mengambil cuti untuk menemani.
“ Suami terpaksa bertolak-ansur dengan saya. Kami banyak habiskan masa di lapangan pencarian. Kalau di Cameron Highlands hari itu seminggu kami di dalam hutan. Pencarian kami tidak mengira masa termasuklah selepas hari raya puasa. Kami redah semua. Nasib baik kami tidak memiliki anak lagi. Allah itu Maha Besar. Dia tahu apa yang terbaik buat kami. Disebabkan saya juga suami terpaksa mendaki Gunung Kinabalu hingga ke puncak.
“ Proses mencari lalat itu agak lama. Kami akan berjalan di sepanjang sungai mencari sampel. Setelah jumpa saya akan berhenti pada satu tempat untuk membuat sedikit kajian. Hanya apabila hari telah gelap dan kami tidak mampu berjalan barulah kami akan berehat dan tidur.
“ Sepanjang menjelajah Malaysia, saya bersama suami telah berjaya menjumpai 20 spesies baru lalat hitam. Kebanyakan spesies baru ini dinamakan dengan nama mereka yang paling saya hormati,” luahnya lagi.
Kepuasan sebenar Dr. Zubaidah dalam pengkajiannya ini adalah apabila ada orang cakap bahawa dia adalah pakar lalat hitam di Malaysia. Malah katanya jika ada yang mahu melihat hasil kajiannya bolehlah membaca jurnal-jurnal bertaraf antarabangsa yang telah diterbitkan.
“ Saya tidak menafikan apa yang saya buat ini memang membosankan di kaca mata orang biasa. Tetapi dalam bidang penyelidikan kita dianggap hero sebenarnya. Hero maknanya orang awam tidak akan tahu dan kepentingan kajian ini selagi tidak terkena pada batang hidung mereka.
“ Sebagai contoh, hanya setelah disahkan mengalami demam denggi baru orang awam ambil tahu kepentingan mengelakkan diri daripada nyamuk aedes. Sebab itu saya fokus pada lalat hitam. Saya rasa saya berjaya buat benda orang lain tidak mampu buat,” akhirinya menutup bicara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
4 Langkah Mudah Kupas Kerang, Guna Ais Agar Kekal Gebu
Selama ini macam mana kita kupas kerang. Rebus dulu, bila dah terbuka sikit baru kupas satu persatukan? Tapi salah rebus, kerang boleh hilang gebu. Dengan langkah mudah kupas kerang yang diajarkan ini, membuatkan kerja mengupas kulit kerang jadi tersangat mudah. Paling penting isi kerang gebu gebas dan ‘juicy’ walaupun telah direbus seketika.
Sebelum kerja-kerja mengupas dijalankan, perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah membersihkan kerang. Boleh bersihkan dengan dua cara. Pertama, masukkan kerang dalam bekas besar, laga-lagakan kerang sesama sendiri. Cara kedua, bersihkan dengan berus.
Sebaiknya gunakan sarung tangan getah. Kalau tak, boleh terluka jari jemari yang mulus tu. Kulit kerang ini keras, lagi-lagi kalau guna teknik melaga-lagakan kerang tu. Salah laga, jari anda yang terluka. Selepas dibersihkan bolehlah rujuk cara-cara di bawah:
4 Langkah Mudah Kopek Kerang
1. Didihkan air dalam periuk. Biarkan sampai menggelegak.
2. Masukkan kerang yang dah dibersihkan. Selepas 30 saat, cepat-cepat angkat.
3. Tutup api dan toskan kerang.
4. Terus tuang ke dalam bekas berisi AIS dan AIR. Kerang boleh terus dikupas.
Kenapa Teknik Kupas Kerang Ini Perlu Diikut
√ Masa ini kerja mengupas jadi lebih mudah.
√ Kerang pun nampak lagi bersih dan gebu.
√ Teknik sebegini cukup sesuai digunakan buat mak-mak yang nak mencuba resipi kerang masak serai.
Nak Kerang Masak Serai Lebih Cantik
Jangan kupas seluruh kulit kerang, tapi kupaslah sebelah kulit saja. Agar masakan anda lebih menarik dan lebih terasa keenakannya.
Klik Sini Untuk Resepi Kerang Masak Serai
Selamat mencuba!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rumah Ngaji Percuma, Bantu OKU Membaca & Hafal Al-Quran
Selepas menghubungi Penyelaras & Penggerak Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Puan Gharizah Hashim, bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai Rumah Ngaji OKU pertama di negeri tersebut, wanita ini menyambut panggilan daripada penulis dengan nada cukup ceria.
Malah dirinya juga menerangkan, Rumah Ngaji Negeri Sembilan dengan kerjasama Yayasan Faqeh telah memperkenalkan Rumah Ngaji istimewa untuk OKU masalah pembelajaran. Rumah Ngaji Sheikh ini beroperasi di Rasah Kemayan dan telah memulakan kelas bulan Ogos lalu.
Malah Gharizah Hashim juga memaklumkan, idea menubuhkan Rumah Ngaji untuk OKU ini terlintas apabila dia mempunyai sebuah tempat yang strategik dan bercadang mahu membina sebuah lagi rumah ngaji.
“Rumah Ngaji Sheikh mempunyai 15 pelajar terdiri daripada OKU berusia antara 7 sehingga 21 tahun. Antara peserta yang menyertai Rumah Ngaji ini adalah mereka yang menghidap autisme, sindrom down, buta dan masalah pembelajaran.
“Kelas pengajian diadakan setiap Isnin sehingga Khamis bagi Huffaz Asyraf, bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah hari manakala bagi kelas QurAnis akan diadakan pada setiap Isnin sehingga Khamis bermula jam 2.30 sehingga 4.30 petang,” ulas Gharizah membuka bicara.
Asatizah Khas Membantu
Gharizah juga turut memaklumkan Rumah Ngaji ini, terdapat dua asatizah yang disediakan khas untuk membantu dan mengajar mengaji secara percuma.
“Asatizah kita terdiri daripada mereka yang mahir dan pakar dalam bacaan serta mengajar al-Quran, malah mereka merupakan salah seorang pelajar daripada Akademi Faqeh. Kita sedia maklum, Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh) memang ditubuhkan untuk membantu komuniti anak-anak kelainan upaya untuk mempelajari al-Quran dan ibadah. Asatizah ini mahir mengajar golongan kurang upaya dan mereka dari USIM di bawah Fakulti Al-Quran & Sunnah,” sambungnya lagi.
Hulurkan Sumbangan Ikhlas
Gharizah juga menjelaskan, bagi membantu melancarkan perjalanan Rumah Ngaji ini juga bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan bolehlah membantu.
“Guru yang kami lantik perlu dibayar gaji ini kerana bukan semua guru boleh mengajar anak-anak istimewa ini. Kami perlu mencari sumbangan untuk mendapatkan dana untuk membayar gaji guru. Sememangnya kami perlukan sokongan dari orang ramai dan masyarakat setempat,” cerita Gharizah.
Hajah AsmatBibi, Insan Berhati Mulia
Gharizah juga cukup gembira memandangkan dia ada menerima sebuah rumah banglo yang diwakafkan seorang pemilik tempatan, beliau berhasrat untuk menggunakan rumah tersebut sebagai Rumah Ngaji terutamanya bagi anak-anak istimewa sekitar negeri ini.
“Jadi, pemilihan mereka sangat bertepatan dengan konsep dibawa Rumah Ngaji ini yang mana lokasi rumahnya ini telah pun diwakafkan oleh insan yang berhati mulia,” katanya. RumahNgaji@Sheikh Rasah Kemayan (khas untuk anak-anak istimewa) ditubuhkan atas ihsan seorang insan yang telah lama berniat untuk mewakafkan sebuah rumah banglonya.
“Insan tersebut adalah Hajah AsmatBibi Binti Sheikh Abdullah dan keluarganya yang berasal dari Pulau Pinang dan kini telah menetap di London selama 50 tahun.
“Rumah banglo percutian keluarga Sheikh Abdullah ini diwakafkan atas niat Hajah AsmatBibi untuk dimanfaatkan sepenuhnya untuk pengajian al-Quran dan yang berkaitan. Baginya yang telah berhijrah ke London dalam usia belasan tahun dan kini telah mempunyai cucu-cucu di sana, merasai tiada yang lebih membahagiakan, melainkan dapat memberi sesuatu yang terbaik untuk dimanfaatkan oleh ummah.
“Lantas, dengan niat murni Hajah AsmatBibi, Allah telah memudahkan segalanya hingga tertubuhnya sebuah Rumah Ngaji atas nama ayahanda tercinta iaitu RumahNgaji Sheikh. Insya-Allah, satu hari nanti, Hajah AsmatBibi berhasrat untuk pulang ke Malaysia, menetap kembali di negara tumpah darahnya. Semoga Allah mencurahkan rahmat dan ganjaran yang terbaik buat beliau serta keluarga Sheikh Abdullah,” ungkap Gharizah dalam nada yang cukup terharu.
Harap Anak-anak OKU Dapat Membaca & Hafal Al-Quran
Gharizah juga mengharapkan matlamat penubuhan Rumah Ngaji Sheikh ini bukan saja khusus pada mengaji malah dapat menarik minat anak-anak istimewa mempelajari dan mendalami Al-Quran.
“Bukan sekadar mahu golongan ini celik Al-Quran malah boleh menghafal dan didedahkan pada pengajian ibadah. Bukan saja anak-anak malah kita juga galakkan ibu dan bapa mereka mempelajari Al-Quran juga. Ini kerana kami juga turut memberi ‘homework’ pada anak-anak istimewa ini agar mereka dapat berinteraksi dengan ibu bapa untuk membantu mereka dalam menyiapkan ‘homework’ yang diberi,” akhiri Gharizah.
JIKA ANDA INGIN MENGHULURKAN SUMBANGAN BOLEHLAH MENYALURKAN KE AKAUN MAYBANK 555108319734 ATAU BOLEH TERUS KE ALAMAT RUMAH NGAJI @ RASAH KEMAYAN, NO. 82 JALAN 4/1, RASAH KEMAYAN, SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN.
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
PUAN GHARIZAH – 0173512144
PUAN SOPHIA – 0123051307
USTAZ NASRI – 0173529436
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI