Kadang-kadang apabila berkumpul berkumpul bersama rakan sebaya, timbul rasa cemburu melihat rakan-rakan hidup dalam kesenangan dan dilimpahi kemewahan. Pakaian berjenama, beg tangan berjenama, jam tangan berjenama dan barang kemas usah cakaplah.

Sudahlah rumah besar dan miliki kereta import, hatinya yang selama ini tenang tiba-tiba tercuit melihat kemewahan orang lain. Lagi parah apabila terdapat bisikan syaitan yang menyuruh kita melakukan pinjaman semata-mata untuk bergaya dan tampil “kaya” di depan orang lain.

Realitinya, adakah kita ketahui bahawa apa yang sahabat kita lalui untuk mencapai kemewahan yang dia miliki hari ini. Adakah ia benar-benar miliknya atau segalanya sekadar pinjaman. Realiti masyarakat hari ini, rata-ratanya memilih untuk biar berhutan asal bergaya.

Golongan hari ini segelintirnya tidak mahu mengalah untuk bergaya. Namun hakikatnya mereka sebenarnya tidak berduit pun. Dalam era media sosial bermaharajalela membuatkan setiap inci kehidupan perlu dipertontonkan kepada semua orang. Perkara ini dalam diam menjadikan suikap materialistic menjadi sangat penting pada setiap individu.

Mingguan Wanita mengambil pendekatan untuk mengupas topik ini bersama pakar motivasi, Dr Azura Hashim yang juga merupakan Pengasas Handwriting (Tulisan Tangan) Analysis Academy Malaysia.

Menurutnya dia sendiri bimbang denfan fenomena ini, apatah lagi terdapat laporan media seusis 18 tahun sudah pun bergelar muflis. Ini adalah laporan yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia pada November 2018. Seramai 64,632 rakyat Malaysia direkodkan muflis dalam lima tahun lalu, membabitkan usia semuda 18 hingga 44 tahun.

Jelasnya, antara punca yang mendorong kepada fenomena biar berhutang asal bergaya ini adalah ekoran sikap materialistik ini secara tanpa sedar membunuh sifat bersederhana yang sepatutnya ada pada individu.

“Terlalu taksub untuk menjadi pemilik kepada benda yang trending, berjenama dan mahu nampak up to date. Berhutang demi memiliki benda yang tidak penting.

“Sebagai contoh, ada yang sanggup beratur panjang untuk membeli model iPhone terbaharu atau barangan edisi terhad yang mencecah harga ribuan ringgit itu dan mereka mungkin bukanlah golongan berada. Sebaliknya hanyalah individu yang masih lagi belajar dan mustahil memiliki kuasa membeli sama seperti orang yang sudah bekerja.

IKLAN

“Tambahan lagi bahana sosial media menyebabkan lebih tenat. Keinginan untuk menunjukkan status, ‘like’, komen. Yang paling bahaya adalah apabila, individu tersebut mengharapkan pandangan yang tinggi dari orang sekeliling,” ungkapnya satu persatu.

Demi Mencapai Kepuasan Sementara

Di samping itu, jelas Dr Azura, sebenarnya apa yang diperolehi setelah mendapat apa yang dihajati hanyalah kepuasan sementara. Ianya hanyalah kepuasan yang bersifat sebentar sahaja.

Apa yang dimiliki akan diakhiri dengan rasa bosan. Ada yang membeli hanya untuk memuaskan diri, ada yang untuk bermegah dengan apa yang dibeli.

Bersifat sementara itu yang kadang kala menyebabkan ketagihan untuk mendapatkan yang lebih mahal, lebih elegen atau lebih trending. Pastinya mengundang lebih besar modal dan hutang.

Jika ianya tidak dikawal dengan ‘baik, sudah tentu akan membawa implikasi negatif pada kehidupan seseorang individu dan juga masa depannya.

IKLAN

Tip Agar Bersederhana

Tambah Dr Azura, segalanya bergantung pada diri sendiri sama ada memilih untuk berhutang atau tidak. Baginya, setiap dari kita semua ada pilihan, sama ada untuk berbelanja atau menyimpan. Tepuk dada, tanya selera. Anda berhak memilih untuk bergaya atau bersederhana. Sebaiknya, bersabar dengan kesederhaan untuk kesenangan di masa hadapan.

Ali Sabit pernah berkata, “Penyakit akal itu bangga diri dan emosi, dan penyakit harta itu ialah pemborosan.”

Oleh itu, ukurlah baju di badan sendiri, bidalan terbaik bagi menggambarkan situasi individu supaya berbelanja mengikut kemampuan supaya tidak berlebihan dan berhutang. Fikirkan masa hadapan iaitu dengan menyimpan dan yang lebih utama pelaburan saham akhirat yang utamanya.

Menerusi firman Allah yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun, ayat 10)

IKLAN

Kesan Berhutang

Sememangnya hutang memberi kesan yang mendalam setiap individu. Sudah tentu anda akan dibenci pasangan, keluarga dan masyarakat kerana berhutang.

“Menurut Pengarah Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pengurusan kewangan yang teruk dan hutang juga menyumbang penceraian kepada pasangan muda terutamanya.

“Hutang juga menganggu emosi di penghutang. Antara kesan psikologi berhutang adalah kecelaruan fikiran, hilang tumpuan kerja, sukar tidur dan pelbagai lagi. Apabila berhutang, kita tetap perlu bertanggungjawab ke atas hutang yang kita ‘cipta’ itu.

“Oleh itu, berusahalah mendisiplinkan diri dengan membayar hutang secara konsisten, tidak membuat hutang baru selagi hutang lama tidak dilunaskan,” ungkap Dr Azura lagi.

Nasihat

Akhir kata, Dr Azura menasihati agar setiap dari kita hiduplah dengan kesederhanaan. Jangan berlebihan dalam berbelanja. Hidup yang sederhana bukan bermakna kita kolot dan tidak mampu. Sebaliknya ianya membuatkan kita lebih senang di masa hadapan.

Kita mempunyai kepentingan, tanggungjawab dan kehendak. Setiap satunya ada peluang dan cabarannya. Perancangan kewangan yang baik memberi kesan pada masa hadapan.

Hutang menyebabkan kita hidup dalam kegelisahan. Sebaliknya perancangan kewangan yang baik mendatangkan ‘peace of mind’ kepada kita.

****Bicarahati untuk orang yang suka berbelanja dan berhutang:

“Allahumma Ya Qohhar tundukkan nafsu berbelanja dan berhutang kami ya Maani’. Cegahkan kami daripada berboros dan membazir, Ya Hafiz Ya Muhaimin lindungi kami daripada tipudaya nafsu dan syaitan.”

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI