Pujuklah hatimu andai ujian yang mendatang itu seakan menghimpitmu. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksamu. Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doamu, bukan Dia tidak kisah air matamu. Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu.
Begitulah apa yang diterangkan oleh seorang ibu, Puan Ainizal Abdul Latif saat anaknya bertanya tentang ujian. Cuba renungkan bersama.
Istilah Ujian Hidup
Hari ini apabila anak semakin besar, dia sudah mula faham akan erti UJIAN hidup.
Satu hari dia melahirkan rasa hatinya,
“Mama, ‘best’ nya orang yang tiada ujian besar dalam hidupnya. Allah tak uji hidupnya susah. Lagi ‘best’ jika dari lahir hingga dewasa, tidak pernah ada masalah dalam hidup.”
Saya dengan muka berkerut menjawab,
“Sebenarnya orang yang tiada ujian dalam hidup itu lebih besar ujiannya.”
Dia, yang dua kali lebih berkerut mukanya daripada saya terus bertanya,
Ads
“Ye ke mama, kenapa mama cakap macam tu pula?”
Baik, cuba dengar apa yang mama mahu ceritakan ini…
Jalan Lopak vs Jalan ‘Highway’
Seorang pemuda yang tinggal jauh di pedalaman mendapat tugasan ke luar kota. Kerana kesempitan wang dia tidak mampu menggunakan jalan ‘highway’ untuk sampai ke destinasinya.
Sebaliknya, dia hanya mampu menggunakan jalan yang tiada tol. Jalan tersebut merupakan jalan kampung yang sempit dan dipenuhi lopak di kanan kiri dan sangat membahayakan!
Kawannya juga mendapat tugasan yang sama ke luar kota, namun, kawannya tidak mahu menggunakan jalan kampung, sebaliknya dia punya rezeki untuk melalui jalan yang lebih selamat, selesa dan lebih mudah untuk sampai ke destinasi mereka.
Ads
Dalam perjalanan, pemuda ini tidak habis-habis merungut kerana keadaan jalan yang berlopak-lopak ini tidak membenarkannya untuk leka apatah lagi terlelap barang seketika.
Sesekali dia tersasar sehingga terlanggar lopak dan kepalanya mencium stereng kereta. Perhatiannya ditajamkan 150%. Memastikan perjalanannya sentiasa berada di ‘track’ yang betul.
Dalam hatinya pula tidak berhenti dia berdoa kepada Allah agar dia selamat sampai ke destinasinya dengan selamat. Jauh disudut hatinya membayangkan bagaimanalah nasib anak-anaknya jika sesuatu berlaku padanya.
Akhirnya, pemuda ini sampai ke destinasi dengan selamat, walaupun dia terlewat beberapa jam. Namun ada sesuatu yang mengejutkan dia,
Ads
“Encik, kawan encik meninggal dunia dalam perjalanan kesini. Dia terlibat dengan kemalangan jalan raya. Dia di syaki memandu dalam keadaan mengantuk kerana pemandu lain melihat keretanya terbabas sebelum di rempuh kereta lain…”
Andai Tiada Ujian…
Saya terus menerangkan,
“Baik, mari kita lihat analogi daripada cerita ini. Pemuda itu ialah orang yang sedang mendapat ujian yang hebat. Dia mahu sampai ke destinasinya tetapi terpaksa melalui jalan sukar. Beberapa kali terhantuk, tersedar lalu membetulkan semula jalannya. Berdoa mengharap bantuan Allah sehingga akhirnya sampai ke destinasi.
Kawannya tadi dapat kita lihat sebagai orang yang tidak mengalami ujian yang hebat. Dia tidak melalui jalan yang sukar untuk ke destinasinya. Jalan yang di laluinya lurus dan besar sehingga membuatkan dia dengan mudahnya terlena dan tidak sedar dia terbabas sehingga menyebabkan kemalangan berlaku dan akhirnya dia tidak sampai ke destinasi. ”
Mulutnya sudah mula terlopong. Masa terbaik untuk masukkan input dalam pemikirannya.
“Jadi, apa destinasi kita?”
“Akhirat.”
“Apa cabaran kita?”
“Dunia dan kesenangannya.”
“Apa yang menjadi peringatan kepada kita untuk tidak leka?”
“Ujian hidup yang berliku, membuatkan kita sentiasa berhati-hati. Terhantuk, tersedar dan mengharapkan pertolongan Allah supaya diberikan jalan yang lurus.”
“Baik, sekarang nampak tak, kenapa orang yang tiada ujian ini sebenarnya lebih besar ujiannya?”
“Kerana dia tidak sedar sebenarnya kesenangan dunia melekakannya sehingga dia tersasar dari tujuan asal hidup dan akhirnya destinasinya tidak sampai.”
Mulut yang sedari tadi senyap mula bersuara,
“Beruntunglah orang yang sering diperingatkan oleh Allah ye mama..”
“Kannn???”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dalam rumah tangga ada fasa yang kita rasa suami macam dah berubah, tak seperti zaman bercinta dulu-dulu. Apa silapnya, masing-masing terlalu sibuk atau suami dah bosan dengan isteri?Allah… ini yang isteri kena gali balik, mesti wujudkan projek pikat hati suami dalam diam.
Sebenarnya suami bukan tak faham kesibukan mak-mak tetapi suami ni kadang dia ego, dia tahu dia salah tetapi tak reti nak pujuk isteri. Maka penyelesaian yang ada, isteri terpaksa pujuk diri sendiri dan ambil hati suami balik. Kemudian barulah boleh buat sesi meluah dan jelaskan apa yang tak patut berlaku dalam hubungan.
Atau nak lagi padu, ikut resepi pikat suami daripada Puan Felinna Nadea Ed Fattah ini perlahan-lahan…
Kakfel selalu yakin untuk mendapat suami yang baik kakfel perlu menjadi sangat baik.
Lelaki ni luarnya ego, dalamnya lemah bila kena dengan wanita yang bijak kawal emosi mereka, bertolak ansur dan mudah bekerjasama.
Sebagai wanita kita dilahirkan sangat sensitif dan mudah emosi, tetapi itu bukan alasan untuk kita terus jadi macam tu.
Boleh merajuk tapi jangan berlebihan, boleh marah tapi dalam keadaan terkawal, jaga suami, jaga mulut, jaga aib, jaga hati dan jaga makan minum mereka.
Untuk mencari rumahtangga yg tenang tak mudah, kakfel sendiri mengorbankan sikap baran, sikap keras hati dan banyak lagi untuk pastikan kakfel blend dengan suami.
Di awal perkahwinan kakfel redha ikut suami tinggal dgn ibu dan bapa mertua, redha suami tinggal dalam keadaan mengandung untuk cari rezeki, dan redha suami tak banyak duit.
Kakfel tak berleter, tak maki suami malah tak bagi dia tekanan. Semakin matang kita, semakin kita rasa, kita dah tak perlu jadi wanita biasa. Kita kena jadi luarbiasa.
Kakfel tahu sebab suami kakfel pun banyak berubah, bukan dia cenggitu terus terus, banyak dia berubah bila kakfel pon berubah.
Lelaki bila bahagia mereka akan berhenti berfikir mencari kehidupan lain, kerana lelaki ini bukan multitasking macam wanita. Mereka tak boleh banyak-banyak kerja. Hhee
So kalau suami jahat, takmau solat, takmau taubat…cubalah.. buat projek pikat hati lelaki, kaji silap kita sebagai isteri, mungkin suami rimas kita banyak berleter, tak sangkut towel pon bising, tak basuh pinggan pun bergaduh.
Then kalau lelaki suka marah, bertabah dan bertahan biar sampai wujud rasa kasihan kepada kita. Lelaki ni marah mereka sekejap, kalau tak dibalas dengan Api mereka akan berhenti.
Kalau lelaki suka curang? Ehemmm siapa boleh jawab dia bawah?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jodoh setiap orang tak sama. Apabila Allah sudah menetapkan jodoh dengan wanita berusia, itulah ketentuanNya yang perlu anda terima. Semua itu adalah rahsia Allah. Cuma Dia yang tahu alasan, sebab dan musababnya, mengapa isteri lebih berusia jadi jodoh anda.
Jangan menolak ketentuanNya. Sekali anda sudah memiliki jagalah pasangan dengan sebaik-baiknya. Ada yang kata rezeki akan jadi lebih murah. Anda juga akan jadi lebih tenang dan sabar. Wanita berusia ini matangnya lain macam. Haa. sebab itu kena selalu positifkan diri.
Wahai suami, jika wanita berusia sudah menjadi jodoh anda nak pastikan agar hubungan jadi lebih mesra dan lebih bahagia cuba ikuti 7 tip yang dikongsikan ini.
Sebagai suami, anda bertanggungjawab kepada kerukunan rumah tangga yang dibina. Fahami isteri anda dan jadikan diri lebih matang. Itu tidak bermaksud anda harus tinggalkan perangai ‘gila-gila’. Anda masih boleh menjadi diri anda, cuma perlu ‘mendewasakan’ sedikit pemikiran dalam beberapa perkara.
Mungkin semasa bercinta anda tidak memahami sepenuhnya sifat isteri anda. Untuk membantu anda menilai dirinya disarankan mendekati rakan-rakannya.
Dari situ anda dapat melihat bagaimana perwatakan isteri anda. Selain itu, elakkan sikap cemburu buta apabila isteri anda meluangkan waktu bersama rakan-rakannya.
Berkahwin dengan isteri lebih tua miliki tuahnya yang tersendiri. Mana tidaknya, isteri lebih ‘makan garam’ berbanding anda yang lebih berusia muda.
Namun jangan harap isteri anda tahu semuanya dan mengambil semua tanggungjawab yang sepatutnya dipikul oleh anda. Jadi apa salahnya untuk menyaingi ilmu dan pengalaman yang ada pada isteri.
Sebagai suami, anda mesti menghadapi masalah untuk memasuki zon atau era zaman isteri. Untuk membantu anda memahami isteri apa kata anda buat perubahan sedikit pada diri.
Bergaul dengan golongan yang jauh lebih berusia, secara tidak langsung anda akan mula terikut-ikut cara ‘orang dewasa’ bergaul. Jadi, lebih mudah anda mengenalinya.
Ini apa yang harus anda harungi, perlu lebih sensitif apabila berkata-kata. Jangan mudah terikut-ikut darah muda, ada kalanya mudah melatah dan suka cakap lepas.
Mungkin bagi kawan-kawan sebaya ia tidak menjadi masalah kerana mereka faham trend ketika itu dan hanya dianggap gurauan. Tetapi harus diingat tidak semua orang boleh terima cara itu, lagi-lagi bagi orang yang berjiwa sensitif. Fahami jiwa isteri anda.
Bertolak ansur dalam perhubungan membuatkan rumah tangga anda aman. Ia bukti yang boleh ditunjukkan betapa besarnya kasih sayang anda padanya. Jika anda berdua mengamalkan perkara ini, percayalah, hubungan anda akan sampai ke akhir hayat.
Memang rumit ada sahaja yang tidak kena, lagi-lagi bila isteri anda cuba mengubah anda menjadi seseorang matang. Tidak salah jika anda banyakkan bersabar dan cuba ikuti caranya.
Tetapi, jika isteri anda cuba mengubah diri anda sepenuhnya, rasanya lebih elok anda berhenti. Mungkin untuk masa terdekat isteri anda suka dengan perubahan itu, namun lama-kelamaan ia akan bosan apabila anda tidak ada jati diri dan pegangan hidup.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Isu doula hangat diperkatakan kebelakangan ini. Terbaru, melibatkan kes kematian bayi yang dilahirkan dirumah disebabkan komplikasi.Perkara ini, mendapat perhatian meluas di media sosial termasuklah Mufti Wilayah Persekutuan sendiri. Mohon para mak-mak yang pernah berhasrat untuk mendapatkan khidmat doula dan bersalin ikut ‘pandai’ sendiri dirumah fikirlah sedalam-dalamnya. Proses bersalin bukan perkara main-main, ia melibatkan dua nyawa ibu dan anak.
Isu doula mula timbul beberapa tahun kebelakangan ini dan menjadi semakin hangat apabila dikejutkan dengan kematian seorang bayi yang dilahirkan di rumah, tanpa kehadiran bidan atau pakar perubatan bertauliah. Bayi berkenaan dikatakan meninggal dunia akibat komplikasi kerana bayi dan ibunya hanya berada di bawah pengawasan doula.
Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, kami merasa terpanggil untuk mengulas isu ini secara menyeluruh berdasarkan laporan-laporan yang diperoleh daripada sumber-sumber kedua-dua belah pihak. Kami namakan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk Hukum Menggunakan Khidmat Doula.
Sebelum kami memberi jawapan dengan lebih terperinci, kami mulakan dahulu dengan definisi khidmat doula. Perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”.
Kamus English Oxford menghuraikan doula sebagai “woman, typically without formal obstetric training, who is employed to provide guidance and support to a pregnant woman during labour.” (wanita, tipikalnya tanpa latihan perbidanan yang formal, yang mana diambil bekerja untuk menyediakan panduan dan sokongan kepada wanita mengandung semasa proses kelahiran)
Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan)[1].
Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin. Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.
Menurut WebMD, secara asasnya, terdapat 3 jenis doula:
Doula Antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.
Doula Labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin.
Manakala, Doula Postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan termasuk penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.[2]
Kes kematian bayi yang melibatkan doula baru-baru ini di Malaysia membuka mata banyak pihak akan betapa seriusnya isu ini dalam kalangan masyarakat kita. Begitu juga ada kes kematian wanita yang bersalin akibat daripada khidmat doula yang tidak profesional.
Doula sebagaimana pengamalan di luar negara, menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan caesarean, janin stres di dalam kandungan, tersangkut dan bayi songsang, ia memerlukan kemahiran yang tinggi oleh pakar. Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya.
Setelah meneliti dan menekuni isu ini, disamping mendapatkan maklumat dari pakar perubatan[3], kami berpandangan penggunaan khidmat doula adalah TIDAK BOLEH dilakukan TANPA pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.
Alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat tidak timbul kini dengan adanya seluar bersalin mesra aurat, hospital-hospital tertentu yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, disamping perlu difahami bahawa nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut.
Selain itu, meyakini bahawa melahirkan anak di rumah adalah mencontohi Maryam alahissalam adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman tersebut adalah kehendak Allah SWT untuk membuktikan kekuasaan-Nya. Adapun bagi manusia selainnya, tidak terlepas daripada aspek sabab-musabab-musabbib al-asbab (causality).
Apa yang diusahakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin dari tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Bagi tahun 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berbanding 12.9 pada tahun 2016 dan 13.69 pada tahun 2014. Dalam masa yang sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat-tempat yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata.
Suka untuk kami ingatkan kepada pengamal perubatan dan juga doula, sebuah hadis daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”(Riwayat Abu Daud, no. 2633)
Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)
Al-Muzhiri menjelaskan,
مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن
Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)
Ini juga satu bentuk peringatan daripada Rasulullah SAW untuk tidak bermudah-mudahan dalam ilmu perubatan sekiranya tidak ada pengetahuan yang cukup mendalam tentangnya kerana ia akan membawa risiko kepada pesakit sendiri.
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan al-Daruqutni (4/228) serta selainnya dengan sanad yang bersambung, juga diriwayatkan oleh Imam Malik (2/746) dalam Muwattho’ secara mursal dari Amr bin Yahya dari bapanya dari Rasulullah SAW, beliau tidak menyebutkan Abu Sa’id. Namun ia memiliki jalan-jalan yang sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.) Hadis hasan.
Perkataan dharar (ضرر) dan dhirar (ضرار) sebahagian ulama berpendapat kedua lafaz ini dengan satu makna dan disebut dengan kedua-duanya sebagai ta’kid (penguat).
Ibn Habib berpendapat dharar (ضرر) di sisi ahli bahasa arab adalah isim (kata nama). Sebaliknya dhirar (ضرار) pula memberi maksud fi’il (kata kerja)
Al-Khusyani berpendapat: “Dharar (ضرر) ialah yang mendapat manfaat bagi kamu sedangkan jiran kamu pula mendapat mudarat. Sebaliknya perkataan dhirar (ضرار) di mana ia tidak memberi sebarang manfaat dan ke atas jiran kamu sedangkan kamu mendapat mudarat. Inilah wajah yang baik dari sudut maknanya.”
Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Bahawa yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudharat”.
Ini adalah pendapat yang benar. Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan ‘kamu membahayakan’ iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan “saling merugikan” iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.”
Berdasarkan hadis di atas, menyelamatkan nyawa dari sebarang mudharat dan yang membawa kepada mudharat adalah wajib. Ini bertepatan dengan prinsip penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dalam maqasid syari’ah yang diletakkan oleh Imam al-Ghazali dalam bahagian dharuriyyat. Kita amat berharap agar setiap nyawa dapat diselamatkan dari tindakan yang boleh membawa kepada kematian disebabkan oleh doula yang tidak bertanggungjawab.
Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW melarang segala perlakuan yang boleh membahayakan sesama Muslim. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: Sesungguhnya darah kalian dan harta kalian haram atas kalian
(Riwayat Muslim, no. 1218)
Melakukan sesuatu yang membahayakan atau mencalarkan kehormatan dan juga melibatkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan oleh Allah SWT.
Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi seperti dalam isu ini dengan merujuk kepada pakar-pakar perubatan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia agar sebarang tindakan rawatan kesihatan sentiasa dalam keadaan yang selamat.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 11 Februari 2018
Selepas 21 hari dihantar ke penjara selepas Mahkamah Tinggi memutuskan dirinya bersalah atas kesalahan rogol, hari ini Mahkamah Rayuan membebaskan sementara Da'i Syed.