Ramai yang menjadikan alasan anak-anak kecil penyebab utama mereka sukar untuk keluar bersenam. Namun bagi Erni Zuraini Jismi, 36, itu bukanlah halangan kerana yang paling penting aktiviti sihat itu dapat dilakukan bersama keluarga cuma sebagai ibu bapa perlu kreatif. Malah Erni dan suaminya juga berasa cukup seronok apatah lagi mereka berlari sambil membawa anak di dalam ‘stroller’. Hakikatnya mempunyai anak bukanlah penghalang untuk dirinya bersenam.

“Saya rasa amalan bersukan amat berbaloi pada kehidupan seharian kerana kita mengamalkan gaya hidup sihat, dapat beridah bersama anak-anak seperti saya berlari menolak ‘stroller’ serta dapat menghilangkan ‘stres’ kehidupan seharian dengan melakukan aktiviti bersama-sama rakan.

“Saya juga terlibat secara langsung dengan Malaysian Stroller Runners Community, yang mana komuniti ini menjadi platform untuk memberi ilmu dan pengetahuan untuk cara-cara berlari dengan ‘stroller’ dengan betul, menyampaikan info-info seperti bagaimana mendapatkan ‘stroller’ yang sesuai untuk berlari dan membuat larian kumpulan secara bulanan di samping menguatkan lagi ukhuwah dari kalangan pelari-pelari di Malaysia ini,” terang wanita yang akui menerusi sukan dapat menyatukan masyarakat ke arah kebaikan.

Berlari Sambil Tolak ‘Stroller’ Bukannya Satu Masalah – Erni Zuraini

Berlari Rutin Harian Kehidupan

Graduan Diploma Sains Sukan dan Kesihatan, UiTM Shah Alam ini sudah meminati bidang larian sejak bangku sekolah lagi.

“Saya mula berlari sejak dari zaman sekolah lagi sehingga menjejakkan kaki ke menara gading. Saya belajar dalam jurusan Diploma Sains Sukan dan Kesihatan di UiTM Shah Alam. Subjek pelajaran juga merangkumi aktiviti-aktiviti sukan dan ujian seperti 2.4km atau disebut Cooper Run Test atau bleep test menjadi markah bantuan dalam peperiksaan akhir semester. Oleh itu, untuk kekal cergas adalah satu kewajipan untuk saya.

“Aktiviti sihat kegemaran saya berlari, memanjat gunung, sekali-sekala bermain badminton. Berlari seperti sudah menjadi rutin harian kehidupan, saya akan berlari lima kali seminggu jika tiada acara larian. Jika ada program larian pula saya perlu berlatih enam kali seminggu dan cuma rehat sehari.

“Waktu latihan pula tidak menentu, biasanya saya akan lakukan latihan pada waktu malam setelah anak pulang mengaji dan selesai buat kerja sekolah. Latihan waktu pagi juga perlu untuk membiasakan diri dengan waktu acara larian kerana selalunya event larian berlangsung pada waktu pagi. Suami juga suka aktiviti berlari dan kebanyakan masa kami akan berlari menolak ‘stroller’ membawa anak-anak kerana tiada orang yang menjaga anak-anak. Dua orang anak saya lebih gembira untuk bersama-sama berlari dengan ‘stroller’ sehingga kadang-kadang mereka yang meminta saya untuk pergi berlari sambil menolak ‘stroller’,” ungkap Erni lagi.

IKLAN

Berlari Sambil Tolak ‘Stroller’ Bukannya Satu Masalah – Erni Zuraini

Kekalkan Stamina

Menyambung bicara, Erni menerangkan dia juga gemar mendaki gunung namun tidak sekerap seperti aktiviti larian yang dilakukan.

“Dalam setahun mungkin dua atau tiga gunung yang saya daki, mendaki gunung lebih sekadar untuk beriadah dan mengekalkan stamina. Biasanya saya akan memanjat gunung bersama kenalan yang juga meminati aktiviti lasak ini.

“Saya pernah mendaki Gunung Tahan, Gunung Kinabalu dan Gunung Tambuyukon di Sabah. Alhamdulillah, setelah berkahwin suami juga mengizinkan saya melakukan aktiviti yang saya minati ini. Sejak dari bangku sekolah saya memang meminati aktiviti bersukan tetapi setelah berkahwin saya berhenti seketika melakukan aktiviti ini kerana berusaha untuk mendapatkan zuriat. Pada ketika itu saya menunggu selama enam tahun untuk dikurniakan anak pertama.

IKLAN

“Selang tiga tahun dikurniakan pula anak yang kedua. Saya kembali aktif selepas bersalin anak yang pertama untuk kuatkan kembali otot badan yang sakit seperti sakit belakang ketika mengandung dan selepas bersalin dengan melakukan senaman di gimnasium serta melakukan larian untuk kembali cergas serta mendapatkan balik berat badan yang ideal.

“Saya juga telah berjaya menamatkan larian Full Marathon pertama saya di Twincity Marathon 2018 di Cyberjaya dengan catatan masa 6 jam 3 minit. Kemudian larian Full Marathon saya yang kedua di Standard Charted KL Marathon 2018 (SCKLM) dengan catatan masa 5 jam 57 minit. Antara pertandingan larian yang saya pernah sertai 12km Engineers For MAKNA Run 2017, 10KM MPKJ Half Marathon 2017, 12KM BSP Charity Run 2018, 10KM SRIKANDI Run 2018 dan 15KM SSP Golden Run 2019.

Berlari Sambil Tolak ‘Stroller’ Bukannya Satu Masalah – Erni Zuraini

Tak Pernah Alami Masalah Berat Badan

Erni juga berasa cukup gembira kerana tidak pernah mengalami berat badan yang berlebihan selain berat badan yang naik ketika menggandung.

IKLAN

“Berat badan selepas bersalin 63kg dan sekarang 53kg, berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 10kg. Jika selepas bersalin, pastikan badan atau luka bersalin sudah betul-betul sembuh  baru lakukan aktiviti seperti berlari dan mendaki.

“Nasihat saya, bagi ibu-ibu yang baru lepas melahirkan boleh mulakan dengan Brisk Walking dahulu kemudian barulah berlari 3KM hingga 5KM dan tak semestinya perlu berlari sepanjang KM itu, sebaliknya kita boleh menggunakan teknik berlari, berjalan (brisk walking) dan berlari kembali seperti mana ramai pelari maraton lakukan (bukan competitive runner).

“Senaman untuk menguatkan otot (strength training) juga penting untuk kita elakkan kecederaan selain menguatkan kembali badan kita setelah bersalin. Senaman seperti Pelvic Floor juga sangat bagus untuk wanita ketika mengandung mahupun selepas bersalin. Jika kita tidak pasti untuk melakukan aktiviti senaman di gimnasium, anda boleh dapatkan nasihat atau tunjuk ajar dari jurulatih sukan peribadi di gimnasium.

“Bagaikan menjadi trend, terdapat grup senaman di mana mereka melakukan aktiviti senaman di taman awam yang dilakukan seperti di gimnasium dengan mengenakan cas yang minima. Ini sangat bagus untuk wanita-wanita di luar sana mempelajari cara dan teknik yang betul untuk melakukan senaman serta regangan. Aktiviti yang popular serta kegemaran wanita waktu kini seperti berzumba juga bagus untuk mengeluarkan peluh serta menghilangkan tekanan,” akhiri Erni yang tidak lokek berkongsi ilmu kesihatan dengan pembaca MW.

Berlari Sambil Tolak ‘Stroller’ Bukannya Satu Masalah – Erni Zuraini

TIPS MENU SIHAT

“Saya tidak ada menu atau diet yang khusus cumanya saya tidak akan culas sarapan pagi. Waktu tengah hari pula saya makan nasi. Seperti biasa saya sangat suka amalkan memakan ulam ulaman bersama nasi. Makan petang tidak menjadi satu kewajipan pada saya, namun saya tetap ambil sebab untuk berlari kita perlukan tenaga kerana selalunya saya lakukan latihan atau aktiviti berlari saya pada waktu malam. Mengawal minum minuman manis juga perlu pada saya untuk menjaga kesihatan  serta mendapatkan berat badan yang ideal.” – ERNI ZURAINI

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI