Memang ada benarnya bukan mudah apabila diuji dengan pasangan yang bermasalah. Tahap kesabaran boleh mencapai ‘senipis’kulit bawang! Namun percayalah apabila ditakdirkan dalam keadaaan begini, berusahalah berlapang dada, lebih dekatkan diri pada Allah. Ini kerana apabila diri mula berserah dan pasrah, walau dihimpit dengan pelbagai ujian, hati akan tetap tenang.
Bagaimana nak terus berlapang dada dengan pasangan yang bermasalah.?
Ingat, lagi besar ujian, lagi banyak pahala.
Mana-mana orang yang Allah nak bagi syurga kat dia di akhirat nanti, maka Allah uji dia dulu didunia ni.Bila yang baik datang untuk jadi pasangan kita, maka itulah yang terbaik untuk kita.Bila yang buruk datang untuk jadi pasangan kita, maka itu jugalah yang terbaik untuk kita.
Terbaik itu bukan dia, bukan sikap dia, bukan perangai dia, bukan perbuatan dia, tapi diri kita yang mampu bersabar dengan dia sehinggalah Allah bagi jalan keluar.
IKLAN
Dekatkan Diri Pada Allah
Untuk berhadapan dengan pasangan bermasalah, mula-mula kita kena dekatkan diri dengan Allah. Bunyi klise, bunyi macam nasihat ni banyak dah orang bagi, tapi percayalah, hanya dengan mendekatkan diri dengan Allah sahajalah kita akan Redha…redha dengan ketentuan-Nya pada ketika ini.
Bukan bila kita dah redha, maka pasangan buat apa pun, kita tetap ok ja…tak kisah, tak terasa, tak sakit hati, tak makan hati.
Kita tetap rasa semua tu, tetap sedih, tetap tak boleh terima…bila dah redha sekalipun, kita tetap boleh menangis sebab pasangan kita…cumanya, diri kita tu dah pasrah, dah berserah dan bila kita dah dalam keadaaan macam ni, hati kita akan tetap tenang.
Berdamai Dengan Takdir
Takdir Allah ni, tiada siapa boleh jangka. Kita cuma boleh menerima dan berdamai dengan takdir tersebut..Allah takkan uji kita lebih dari kemampuan kita dan Allah takkan menganiaya kita dengan terus membiarkan pasangan kita jadi macam tu selamanya.
Lambat laun, antara hidup dia atau hidup kita yang akan Allah UBAH.
Mingguan Wanita:Semoga perkongsian ini bermanfaat. Buat yang sedang di uji dengan pasangan yang bermasalah, berlapang dada lah, dekatkan diri pada Allah dan redha dengan ketentuanNya, kerana bila dalam keadaan pasrah dan berserah, hati kita akan tetap tenang.
Uniform Sang Saka Biru terus menjadi sebahagian dari kehidupannya sejak menyertai pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sejak 21 tahun lalu. Satu ketika dahulu, sosok ini cukup aktif menjadi wakilan kontinjen negeri Perak untuk sukan bola jaring dan aktif dalam Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Perak Tengah selaku setiausaha PERKEP pada tahun 2006.
Usai selesai sesi taklimat di Balai Polis Parit, Perak Lans Koperal Siti Normaslinda Nordin memandu sendirian untuk pulang ke kediamannya yang terletak di Seri Iskandar salah satu bandar membangun di daerah Perak Tengah. Petang 13 Februari 2008, telah mencatat memori meruntun emosi dan menuntut kecekalan wanita kelahiran Kampung Pasir Hor, Kota Bharu, Kelantan untuk menerima perubahan dalam seluruh kehidupannya.
“Ketika itu saya bertugas di Balai Polis Parit, Perak. Jarak antara balai ke rumah sekitar 16 kilometer (km). Sehari sebelumnya saya baru pulang dari menyertai perlawanan bola jaring bawah seliaan PDRM di Univeristi Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Kepenatan dan mengantuk mungkin membuatkan saya kurang fokus kepada pemanduan.
“Selesai sesi taklimat sekitar jam 4.45 petang saya memandu sendirian untuk pulang ke rumah saya yang letaknya di bandar Seri Iskandar tak jauh dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar. Kenderaan yang saya pandu kemudian hilang kawalan, kereta saya kemudian menjunam ke dalam gaung. Impak dari kemalangan itu saya mengalami kecedaraan parah patah tulang belakang dan saraf tunjang hampir terputus. Akibatnya separuh dari badan saya bermula dari pusat ke bawah tiada deria rasa dan tidak berfungsi,”kongsinya mengimbau kenangan yang merubah kondisi kehidupannya.
Survival yang sukar
Kemurungan dan kesedihan menjadi sebahagian episod awal kehidupannya sebaik melalui proses permulihan pasca kemalangan. Pada mulanya, Normaslinda menyangka situasinya biasa-biasa sahaja dan dia boleh mengharunginya.
“Selaku seorang yang lincah dan aktif ke sana sini, pada mulanya saya cuba muhasabah diri dan yakin mampu melalui perubahan ini pada awalnya. Pada mulanya saya tidak ada rasa apa-apa pun, sebaliknya apabila suami membuat berita perkhabaran yang dimaklumkan dari doktor…saya rasakan dunia ini kosong dan murung.
“Menurut suami, doktor memaklumkan bahawa 99 peratus laporan menunjukkan saya tidak akan kembali berjalan. Hanya ada satu peratus sahaja peluang dan keajaiaban yang memungkinkan saya boleh berjalan semula. Semuanya masih normal bagi saya, hanya apabila saya kembali pulang ke rumah selepas cuti sakit selama lapan bulan, saya mula rasakan keterbatasan untuk bergerak. Saya perlukan bantuan orang untuk bergerak dan emosi saya berkecamuk apabila cuba menyesuaikan diri dengan fasa baru,”kongsinya menerusi e-mel.
Terima kasih suami
Rutin hidup Normaslinda dan suami awalnya membuatkan ahli keluarganya di Kelantan, mencadangkan supaya membuat pemohonan pindah bertugas ke Kelantan. Selaku anak yang peka dengan keprihatinan keluarga, Normaslinda menolak lembut permintaan keluarga. Alasan wanita ini lagi, susah senang biarlah dia dan suami harungi bersama. Sudah tiba masanya dia berdikari tanpa membebankan orang tua yang sudah lanjut usia.
“Saya kembali bekerja selepas cuti sakit selama lapan bulan. Sekitar awal tahun 2009, saya ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan belajar berdikari dan melakukan kerja sendiri tanpa bantuan orang lain. Alhamdulillah, kini saya mampu menguruskan perihal kerja dan urusan rumah tangga tanpa mengharapkan orang lain.
“Pada mulanya keluarag menggesa saya membuat pemohonan tukar balik bertugas di Kelantan, walau bagaimanapun setelah menetap di Seri Iskandar selama hmpir 20 tahun…kami sudah selesa dengan kehidupan di sini.
Pengasuh anak- anak pun cukup baik macam ahli keluarga kami sendiri. Saya juga enggan menyusahkan keluarga dan suami juga berpendapat yang sama.
“Susah senang biar sama-sama kita lalui. Saya juga bersyukur kerana majikan suami memahami dan memberi pelepasan kepadanya terutama apabila melibatkan urusan menghantar dan mengambil anak dari sekolah. Boleh dikatakan dialah ayah dan dialah ibu, saya cukup berterima kasih kerana suami tidak pernah lelah membantu saya dalam menguruskan anak-anak. Dia tidak pernah mengeluh malah selalu ada disisi saya dan keluarga. Selain itu rasa terima kasih juga saya ucapkan kepada Ketua Balai Polis Seri Iskandar, Perak ; Inspektor Nawawi Halias kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada staf seperti saya,”zahirnya sebak.
Anugerah tak diduga
Ibu kepada tiga cahaya mata; Muhammad Azrin Hafizi (19), Nurul Ain Shahira (14) dan Muhammad Aieman Muhaimi (8) tidak dapat melupakan khabar mengujakan sebaik disahkan hamil putera bongsu mereka lapan tahun lalu. Suri kepada Azmi Ahmad, terkejut kerana sejarah kehamilannya yang sukar dan jarak usia kehamilan yang jauh membuatkan dia tidak terfikir bakal hamil lagi.
“Suami terkejut bercampur sebak sebaik mengethaui berita kehamilan saya. Saya sukar ‘lekat’ jadi jarak umur anak sememangnya jauh-jauh. Bukan merancang sebaliknya berikhtiar untuk hamil. Apa yang membuatkan hati ini tersentuh apabila suami memaklumkan, mungkin Allah hantar si bongsu ini buat menemani kami kelak memandangkan nanti abang dan kakaknya sudah dewasa.
“Saya bersalin secara pembedahan memandangkan doktor tidak pasti dengan kemampuan badan saya untuk melalui proses kelahiran normal. Untuk keselamatan ibu dan bayi saya disyorkan melakukan proses pembedahan. Doktor juga menasihatkan saya supaya tidak hamil lagi kerana boleh mendatangkan risiko kepada saya,”kongsinya yang melahirkan anak bongsunya di Hospital USAINS Kubang Krian, Kelantan dan berterima kasih kepada doktor yang banyak melancarkan urusan kelahiran anaknya.
Tidak mahu membebankan orang tua dan suami ketika ketiadaannya ketika cuti berpantang, Normaslinda awal-awal lagi sudah bersedia dengan rencananya.
“Masa hendak bersalin saya awal-awal lagi mencari pembantu untuk mengurukan saya ketika berpantang di kampung. Saya bawa pembantu itu ke kampung supaya tidak membebankan orang tua saya. Anak-anak pula sepanjang saya di kampung, dijaga ayah mereka.
“Alhamdulillah, anak-anak kini membesar dan membahagiakan hati kami. Si sulung sedang mengikuti pengajian diploma untuk tahun keempat di sebuah kolej di Seri Iskandar, Perak. Anak kedua belajar di tingkatan dua manakala si bongsu sedang bersekolah di darjah dua.
“Jika tidak terikat dengan komitmen kerja saya akan melakukan kerjarumah sama seperti suri rumah lain. Memasak, mengemas dan membuat perniagaan tudung batuan kristal kecil-kecilan. Saya rasa tenang apabila nak keluar bekerja rumah yang ditinggalkan dalam keadaan sempurna dan bersih.
“Saya bersyukur berkerusi roda tidak membataskan saya menikmati kehidupan. Saya dikeliling teman-teman, keluarga dan keluarga mertua yang supportive dan memahami. Pada tahun 2009, ketika baru dinaikkan pangkat dari Lans Koperal ke Koperal saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Inilah yang dinamakan rezeki disebalik ujian. Allah beri anak dan anugerah dalam hati saya murung dan mencari kekuatan,”cerita wanita positif ini menutup bicara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sebaik selesai makan di kedai makan atau restoran, rajin-rajinkanlah untuk kemas pinggan mangkuk atas meja itu. Bukan suruh basuh sampai ke sinki kedai, cuma susun bagi kemas, mudah untuk pekerja membersihkan dan kemas meja makan kita itu kelak.
Dan amalan sebegini sudah menjadi rutin buat keluarga Rohayah Ropa. Katanya inilah yang selalu dilakukan apabila menikmati hidangan di mana-mana kedai makan atau restoran bersama keluarga.
Kongsinya,
“Ini bukan masak tak jadi. Sebaliknya, ini amalan yang selalu kami lakukan bila makan mana-mana kedai atau restoran. Kasihan pekerja penat bekerja,
Walaupun itu tanggungjawab mereka, tapi kita permudahkan kerja mereka.
Katanya lagi,
“Dalam rezeki kita, ada rezeki mereka. Dan dalam rezeki mereka, ada rezeki kita. Sebaik-baik SYUKUR adalah dari sekecil pemberian. Syukur Alhamdulillah.”
MW : Selain berkait soal rezeki, sebenarnya sikap kemas meja makan ini boleh dididik dari rumah lagi. Jika boleh dididik anak-anak agar berdisiplin dengan mengemas meja selepas makan, tentunya itu satu amalan yang bagus untuk diterapkan.
Jadi, terbiasa. Bila selesai saja makan di kedai, terus automatik tak suka nampak bersepah-sepah. Rasa nak susun dan kemas bagi teratur.
Mudah nanti pekerja nak ambil dan asingkan terus sisa makanan ke tong sampah.
Haa.. dekat IKEA pun diterapkan konsep sebegini. Asing siap-siap sisa makanan anda, kemas meja, letak pinggan mangkuk kotor di tempat yang disediakan.
Cara yang diperkenalkan ini tujuannya untuk meminimumkan harga makanan. Dengan itu, tak perlu dah nak bayar pekerja untuk kemas meja makan.
Kita sendiri dah buat semua itu. Mudahkan konsepnya.
Jadi, marilah terapkan amalan murni sebegini. Mudah saja, kemas, susun, asingkan siap sisa makanan kita sebaik selesai makan di kedai. Lagi-lagi kalau makan ramai-ramai tu.
Semoga selain amalan kita jaga kita, kita juga belajar untuk jaga kebersihan sama.
Setiap wanita diuji dengan cara yang berbeza. Ada yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan zuriat sendiri walaupun pelbagai usaha telah dilakukan dan usia perkahwinan menginjak bertahun-tahun lamanya. Peritnya yang perlu dilalui, kesedihan dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu.
Namun atas kuasa yang Maha Esa serta tidak pernah putus asa, tidak mustahil impian untuk memiliki cahaya mata daripada darah daging sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
6 Kali Keguguran, 16 Kali Rawatan
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,60 tidak dapat menahan sebak ketika mengimbau keperitan dilalui dalam usaha mendapatkan zuriat. Tunku Azizah bertitah walaupun enam kali keguguran dalam tempoh hampir sedekad, semua itu tidak menghalang baginda daripada berputus asa atau berhenti untuk berusaha memiliki waris sendiri.
“Bukan senang untuk seorang wanita menjalani rawatan kesuburan kerana mereka perlu kuat selain memerlukan banyak usaha dan pengorbanan wang ringgit.
“Saya memahami apa yang dilalui dan dirasai seorang ibu yang berusaha keras serta sanggup berkorban apa sahaja demi mendapatkan zuriat.
“Selama sembilan tahun setengah saya mencuba mendapatkan anak, menjalani 16 kali rawatan di Singapura, England dan Amerika Syarikat, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) sentiasa berada bersama saya memberi sokongan dan semangat.
“Tanyalah Tuanku berapa kali saya menangis dan macam-macam yang perlu dilalui untuk mendapatkan anak tetapi Tuanku tetap bersabar,” titah baginda pada sambutan Hari Keluarga 2019 Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), semalam.
Dengan nada sebak, Tunku Azizah berkata, rawatan mendapatkan anak bukanlah murah dan Baginda bersyukur kerana Sultan Abdullah sentiasa ada bersamanya selain menanggung segala perbelanjaan rawatan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF).
Idea Penubuhan TAFF
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menghadiri sambutan sempena ulang tahun ke-15 yayasan berkenaan.Turut mengiringi baginda berdua ialah puteri bongsu, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah.
Tunku Azizah yang juga Pengasas dan Presiden seumur hidup TAFF bertitah bukan mudah bagi wanita yang diduga untuk mendapatkan zuriat terutama ketika menjalani rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).
Titah baginda, pengalaman sukar yang dilalui itu memberi idea kepada baginda untuk menubuhkan TAFF terutama bagi membantu mereka yang memerlukan sokongan kewangan.
Taja 60 Pasangan Buat Rawatan IVF
Dalam majlis itu, Yang di-Pertuan Agong turut mengurniakan surat tawaran penajaan kepada 60 pasangan bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan IVF di sembilan pusat perubatan di seluruh negara. Pengurniaan itu juga adalah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-60 baru-baru ini.
Pada majlis yang sama Tunku Azizah turut mengurniakan loket kepada empat anak yang juga dua pasangan kembar dilahirkan hasil bantuan TAFF.Pengurniaan loket berkenaan adalah sebagai identiti kepada anak yang dilahirkan menerusi bantuan TAFF.
Sejak ditubuhkan pada Ogos 2004, TAFF membantu pembiayaan IVF kepada 94 pasangan yang melahirkan 116 anak melalui rawatan itu.
MW: Memang bukan mudah apabila wanita diuji kesukaran untuk mendapat anak. Dalam hati hanya tuhan sahaja yang tahu. Paling penting pesanan buat wanita yang diuji sebegini, jangan pernah berputus asa, berhenti berharap serta teruskan berdoa. Tuhan Maha Mendengan setiap permintaan hambanya.
"Nahas helikopter TLDM, individu komen biadap "askar lain semua mati masa perang..." Di sebalik nahas dua helikopter semasa raptai sempena hari Tentera Laut DiRaja...