
Hari ini media sosial dipenuhi dengan himpunan cerita dan gambar. Ada berpendapat, ia ruang privasi mereka untuk berkarya, mencurahkan apa yang terlintas di idea serta mahu berkongsi kenangan dengan rakan-rakan.
Tak hairanlah ramai yang mula bangga saat dipuji cantik (tak pasti ucapan itu memang benar ikhlas dari hati atau sekadar membeli jiwa). Ada yang turut berkongsi gambar lama kenangan zaman persekolahan yang pastinya ada di kalangan kawan-kawan yang tidak menutup aurat.
Tidak kurang juga yang follow artis-artis tanahair dan sering memberikan tanda suka pada setiap gambar yang dipostkan oleh selebriti ini.
Di saat kita mengetik like, tahukah kita akan hukumnya memberi tanda suka pada gambar yang tidak menutup aurat.
BACA ARTIKEL MENARIK DI SINI :- Jangan Terbiasa Pakai Seluar Ketat, Nipis, Dedah Aurat, Simpanlah Rasa Malu Dalam Diri
Menurut perkongsian dari Ustaz Azhar Idrus, hukum memberi tanda suka ini awalnya adalah dosa kecil tapi lama-kelamaan akan jadi dosa yang bertambah-tambah. Ditanya akan hukum like pada gambar tidak menutup aurat, ini jawapannya.
"Ustaz, apa hukum like gambar orang tak tutup aurat?
"Dosa like gambar orang yang tak tutup aurat. Kita dah macam satu tapak ke arah neraka. Di akhirat nanti, orang yang tak tutup aurat tu kata!
"Dia suka gambar saya yang tak tutup aurat. Dia sokong akan gambar tu.. "
Maka ditariklah kita ke neraka. Nauzubillahiminzalik..”
Masa yang sama, katanya setiap yang haram dilihat maka haram pula diperlihatkan kepada orang lain sama ada dimuatkan pada majalah, akhbar, internet dan lain-lain. Maka adalah haram kita memuat naik gambar sendiri jika tidak menutup aurat dengan sempurna ketika itu kerana gambar itu akan dilihat oleh bukan mahram kita.
Pada masa yang sama, Allah SWT juga memerintahkan kita agar sentiasa memelihara dan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang haram. Firman Allah SWT:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. (Surah An-Nur: 30-31)
Diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda kepada Saidina Ali r.a:
يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ
Maksudnya: Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua. (Sunan Abi Dawud: 2149)
Menurut Imam Nawawi pula, hukum melihat aurat ajnabi samada bagi lelaki dan wanita adalah haram dengan ijma’ ulama. (Imam Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/30)
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Watak Aminah Dalam Drama ‘Aku Bukan Ustazah,’ Timbul Persoalan Mengapa Tidak Perlu Lalui Tempoh Iddah Selepas Bercerai

Watak Aminah dalam drama ‘Aku Bukan Ustazah,’ timbul persoalan mengapa tidak perlu lalui tempoh iddah selepas bercerai. Ini menimbulkan beberapa persoalan lanjut mengenai konsep iddah dan situasi di mana tempoh iddah tidak diperlukan.
Watak Aminah Dalam Drama ‘Aku Bukan Ustazah’
Apa itu Iddah?
Iddah adalah satu tempoh masa yang perlu dilalui oleh seorang wanita selepas perceraian atau kematian suami. Dalam tempoh ini, wanita tersebut tidak boleh menikah semula. Tujuan utama iddah adalah untuk memastikan rahim bersih daripada sisa sperma atau DNA bekas suami, sekaligus mengelakkan sebarang ketidakpastian mengenai nasab anak jika wanita tersebut berkahwin semula.
Tempoh iddah bagi wanita yang bercerai adalah tiga kali suci (haid), manakala bagi wanita yang kematian suami, tempohnya adalah selama empat bulan sepuluh hari (mengikut tahun Hijrah).
Timbul Persoalan Mengapa Tidak Perlu Lalui Tempoh Iddah Selepas Bercerai
Bagaimanapun untuk talak Sunni, tidak ada iddah ke atas wanita yang diceraikan tersebut.
Talak sunni adalah talak yang jatuh ke atas isteri yang diceraikan dalam keadaan dia tak pernah disentuh oleh suaminya (bak kata orang dulu-dulu janda berhias)
Tidak ada tempoh iddah ke atas wanita yang diceraikan tersebut yang menjadi sebab tidak boleh rujuk semula bersama suami lama melainkan dengan mengadakan akad nikah semula.
Tapi dalam potongan drama ini, timbul satu komen yang mengatakan “bukan tak boleh ke kawin semula sampai bila-bila, sebab suami dia tuduh dia berzina (yang kita kenali sebagai talak li’an)?”
Okey, tadi kita bahaskan tentang sebab tidak adanya tempoh iddah untuk sesetengah kes perceraian dan kenapa tidak ada istilah rujuk selain dengan akad nikah semula untuk talak sunni.
Bagaimanapun berbeza hukumnya bila talak Sunni tadi, jatuhnya pulak TALAK LI’AN ke atas isteri tadi, di mana tidak halal (HARAM SELAMANYA) bagi suami yg meli’an isterinya berkahwin semula dengan isteri yang di li’annya sekalipun isteri tersebut telah berkahwin dengan beberapa suami yang lain.
Apa yang dimaksudkan dengan talak li’an?
Talak li’an merupakan cara penyelesaian lain dalam perkara cerai talak dengan tuduhan si isteri berbuat zina yang tidak dapat diselesaikan dengan prosedur ikrar talak biasa.
Talak li’an menurut hukum syarak adalah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina. Di mana sumpah itu diucapkan sebanyak 4 kali, bahawa tuduhan itu benar dan pada sumpah yang kelima dia meminta kutukan daripada Allah SWT sekiranya dia berdusta.
Nampak remeh bukan “tuduh menuduh” ke atas isteri ini? Nampak seolah hal kecil sahaja kadang mudah saja kita kata “itu semua salah faham saja”, “manalah saya tau hal yang sebenar”, “tak ada niat nak ceraikan pu n” dan macam-macam lagi la alasan yang keluar daripada lisan kita bila terlalu ikutkan nafsu amarah.
Dan ada yang bertanya bagaimana sekiranya jatuhnya talak sunni tadi terjadi saat wanita tersebut dalam keadaan haid atau nifas, Bukan ke hukumnya haram? (yang kita kenali sebagai talak bid’i)
Ye betul, hukumnya haram dan berdosa kerana bertentangan dengan bentuk talak yang disyariatkan, tetapi tetap jatuh talak dan talak adalah sah.
Jom kita kenali dan faham terlebih dahulu jenis-jenis talak yang termaktub dalam Islam.
Jenis-Jenis Talak dalam Islam
Terdapat lima jenis talak yang termaktub dalam syariat Islam:
Talak Raj’i
Talak yang boleh di rujuk dalam tempoh iddah (talak 1 & talak 2) dan “bersekedudukan semula” (hidup semula sebagai suami isteri) dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tak boleh rujuk.
Talak Bain
Talak yang tidak boleh suami rujuk semula isterinya walaupun dalam tempoh iddah.
Talak Bain ini terbahagi kepada 2:
Bain Bainunah Sugha
☑ Khuluk
☑ Talak sebelum hubungan kelamin
☑ Isteri yg diceraikan tidak dirujuk sehingga tamat iddah
Bain Bainunah Kubra
☑ Li’an
☑ Talak tiga
Talak Sunni
Wanita yang diceraikan oleh suami dlm keadaan bersih daripada haid dan nifas dan tidak disetubuhi oleh suaminya dalam tempoh tersebut. Hukumnya adalah harus dan jatuh talak
Talak Bid’i
Wanita yang diceraikan oleh suami dalam keadaan haid atau nifas, ataupun dia dalam keadaan suci tetapi telah di setubuhi oleh suaminya.
Hukumnya haram dan berdosa kerana bertentangan dengan bentuk talak yang di syariatkan. Talak tetap jatuh dan suami sunat ruju’ semula isterinya.
Sebab pengharaman kerana memudharatkan isteri disebabkan panjangnya tempoh iddah kerana waktu haid tidak termasuk dalam iddah.
Haram menceraikan isteri yang disetubuhi ketika sucinya kerana kemungkinan isterinya akan mengandung.
Talak Ta’liq
Ta’liq, menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan. Lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlaku sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut.
Perceraian tidak akan berlaku semasa suami melafazkan ta’liq tapi hanya berlaku sekiranya syarat yang disebut dalam lafaz ta’liq tersebut dilanggar.
Contoh: suami kata kepada isterinya: “Sekiranya kau pergi ke tempat tertentu maka kau tertalaq.”
Kefahaman dan pengetahuan mengenai peraturan dan hukum dalam perkahwinan dan perceraian adalah sangat penting untuk memastikan keadilan dan keharmonian dalam kehidupan rumahtangga. Suami dan isteri perlu berusaha untuk memahami hukum-hukum ini sebagai panduan dan rujukan dalam menjalani kehidupan bersama.
Sumber: Ummu Aish dan Aku bukan ustazah
Baca artikel lain juga: Jodoh Masih Panjang, Linda Beego Bercerai 2 Minggu, Rujuk Semula Dalam Tempoh Iddah
Selama Iddah, Dia Masih Isteri, WAJIB Beri Nafkah Tinggal Bersama Bukannya Halau Keluar!
‘Tak Sanggup Tunggu Bekas Isteri Habis Iddah’, Punca Lelaki ‘Nikah Sempadan’
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
“SEJAK KECIL DAH BIASA DIDIDIK MENYANTUNI ASNAF” Ustazah Asma’ Dedah 39 Kisah Sempena Hari Lahir

“Sejak kecil dah biasa dididik menyantuni asnaf”. Pendakwah terkenal ini berjaya menyampaikan ilmunya dengan begitu hebat sekali sehingga diminati ramai.
Sempena ulang tahun kelahiran yang ke-39, Ustazah Asma’ Harun mendedahkan kisah hidupnya sepanjang 39 tahun.
Komen Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
“Sejak Kecil Dah Biasa Dididik Menyantuni Asnaf”
Sememangnya bila tibanya hari lahir merupakan hari yang paling bermakna bagi sesiapa sahaja.
Bagi pendakwah, Ustazah Asma’ Harun, sempena hari lahirnya ke 39 tahun, dirinya mengambil kesempatan mendedahkan 39 kisah tentang diri sendiri.
Ternyata apa yang dikongsikan menerusi akaun Facebook miliknya mendapat perhatian ramai.
Berikut perkongsian beliau.
39 KISAH SEMPENA HARI LAHIR KE-39
- Alhamdulillah, tepat jam 10.50 malam, 22 September 1983, 39 tahun yang lepas, saya dilahirkan di rumah ibu ayah di Kampung Batu Enam, Kuala Terengganu.
Anak kepada pasangan cinta iaitu Harun Ismail dan Fikriah Awang. Ketika saya dalam kandungan, ibu berumur 20 tahun dan seorang siswazah dalam bidang fizik di Universiti Teknologi Malaysia, saya berada dalam kandungan seorang ibu yang sedang berjuang dalam menuntut ilmu.
- Saya seorang kanak-kanak yang aktif, berdikari dan suka berkawan/geng di sekolah dan juga di kampung. Ada kalanya, sikap berani buat keputusan dan tindakan sendiri membuatkan ibu dan ayah rasa membelakangi mereka. Ia perlu dikawal.
- Ketika alam kanak-kanak antara umur tujuh hingga 12 tahun, saya terkenal di kampung sebagai seorang jaguh kepada beberapa permainan. Pertama, permainan lompat getah. Biasanya saya akan menjadi ketua ataupun ibu kepada geng. Permainan lompat getah ini menguji ketahanan dan keseimbangan fizikal. Saya boleh lompat ketinggian melebihi kepala.
- Permainan yang kedua ialah permainan galah panjang juga antara jaguh kampung dan selalu menang dalam permainan ini. Satu lagi permainan ialah rounders, di kampung dipanggil permaiman bola katok. Permainan rounders ni biasanya akan berlawan antara dua geng, geng perempuan dan geng lelaki, kelebihan lebih kepada lelaki kerana setiap kali bola dilantun, ia akan pergi sangat jauh. Kadang-kadang memecahkan tingkap rumah orang, teruk kena marah tapi main tetap main.
- Saya mendapat pendidikan awal di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kampung Batu 6, Kuala Terengganu ketika umur lima dan enam tahun. Setelah itu, belajar di Sekolah Rendah Agama Arab Darul Taqwa. Sekolah ini diasaskan oleh datuk saya, Ustaz Haji Awang Nasaruddin bin Haji Abu Bakar, atau juga dikenali sebagai Tuan Guru Haji Awang Jidin atau Ustaz Awang Tukul Besi. Sekolah Darul Taqwa masih kekal sehingga kini, berusia lebih 41 tahun, moga ia menjadi pahala jariah buat arwah datuk.
- Pengajian di sekolah ini adalah berasaskan bahasa Arab, sehingga semua subjek dinamakan dalam bahasa Arab. Sebagai contoh, subjek Matematik dipanggil Al-Hisab, subjek Sains disebut sebagai Al-Ulum, dan subjek Sejarah diberi nama Sirah dan sebagainya.
- Satu hari ketika di sekolah rendah, ada seorang guru yang bertanya kepada saya, apakah cita-cita saya? Dan secara spontan saya menjawab, saya ingin jadi Penceramah Bebas. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apakah maksud ‘Penceramah Bebas’. Saya mendapat inspirasi dari datuk saya, Tuan Guru Haji Awang Jidin atau Ustaz Awang Tukul Besi.
- Saya selalu melihat datuk menyampaikan ceramah dan dihadiri oleh ratusan malahan ribuan orang dari pelbagai lapisan masyarakat. Bayangkan pada ketika itu hebahan bukan boleh dibuat seperti sekarang.
Dahulu, tiada teknologi canggih dan tiada media sosial namun arwah datuk seorang yang terkenal dengan kemampuannya menyampaikan ceramah seperti pidato, dengan penyampaiannya yang bersemangat, penuh ilmu dan teratur. Sejak dari itu, saya menyelit rasa ingin menjadi seperti datuk.
- Ayah saya pula seorang ahli perniagaan yang mengusahakan kedai makan. Salah sebuah restoran kepunyaan ayah adalah Restoran As-Syakirin yang terletak di pintu belakang Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UNISZA) atau dahulunya dikenali sebagai KUSZA.
Ayah pernah membukan restoran sehingga 6 buah, Restoran Nasi Ayam Batu 6 adalah satu-satunya yang masih bertahan selama 41 tahun sehingga ke hari ini, juga terkenal dengan gelaran ‘Nasi Ayam Legend’ dan ‘Nasi Ayam Kayu Api’ kerana masih mengekalkan kaedah masakan tradisional menggunakan kayu api.
- Walaupun pada ketika itu, 40 tahun yang lepas, jarang orang melayu yang berani menceburkan diri dalam dunia perniagaan, tetapi ia tidak mematahkan semangat Ayah.
Dengan nekad agar anak-anaknya tidak berhutang apabila ingin melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, dan ALLAH permudahkan segalanya.
- Ayah merupakan seorang pencinta ilmu juga pelajar yang bijak dan cemerlang di sekolah rendah. Namun, atas faktor kesusahan hidup, ayah tidak berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke sekolah menengah tetapi minat yang mendalam dalam bidang agama tidak terhenti di situ.
Ayah kerap menghadiri kursus secara formal dan tidak formal di merata tempat sehingga diberi kepercayaan oleh masyarakat untuk menyampaikan kuliah Maghrib dan subuh di masjid dan surau sekitar negeri Terengganu.
- Pada ketika itu, beliau adalah seorang peniaga dan pada masa yang sama juga sibuk menyampaikan ilmu. Apabila perniagaan semakin baik dan stabil, ayah melepaskan urusan perniagaan kepada pengurus dan pekerjanya sehingga boleh ditinggalkan perniagaan berminggu-minggu, kerana ayah lebih mengutamakan kerja dakwahnya.
- Ibu ayah sangat menitikberatkan masa berkualiti dengan anak-anak. Contohnya, apabila cuti sekolah, ibu ayah akan bawa kami berjalan hampir seluruh Semenanjung dari Johor, singgah di Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah, Perlis hingga Pulau Pinang.
Bergerak dengan kenderaan yang boleh memuatkan semua anak-anak. Ada orang bila dah besar baru kenal negeri orang, alhamdulillah kami sejak kecil dah kenal semua negeri di seluruh Semenanjung. Saat itu, kawan-kawan pun pelik, kerana zaman tersebut ia bukan menjadi kebiasaan, Ini situasi 30 tahun yang lepas.
- Saya sebenarnya banyak ikut sikap ayah yang mudah mesra dengan orang. Baru jumpa kali pertama dah boleh bergurau dan bercerita, tengok orang susah di tepi jalan, ayah akan berhenti, tanya dan tolong mereka. Pemurahnya ayah, ALLAH beri rezeki berganda.
- Rumah kami sekeluarga boleh dikatakan hampir setiap hari akan ada asnaf fakir miskin yang datang. Sejak kecil dah biasa dididik menyantuni asnaf yang dengan dihidangkan makanan dan minuman.
Selepas ayah meninggal dunia, ramai yang beritahu bentuk bantuan yang ayah berikan sewaktu hayatnya yang mana kami sendiri tidak ketahui. AllahuAkbar.. semoga arwah Ayah tenang disana.
- Ayah juga tidak terlepas daripada pelbagai ujian perniagaan termasuk ujian pekerja, tetapi ia tidak menghentikan usaha ayah untuk terus bantu pekerjanya.
Ayah kata; “Ia tidak sedikitpun mengurangkan rezeki.”
Ayah juga seorang yang tidak akan memberhentikan pekerja kecuali jika benar-benar terpaksa. Kadang ada yang berkata; “Pekerja lebih ramai dari pelanggan.” Tapi ayah tetap dengan pendiriannya, kerana bagi ayah, pekerja datang untuk dididik dan dibantu.
- Ayah sangat menjaga kebajikan dan keperluan rohani dan pembentukan akhlak pekerja, di mana pada setiap minggu, ayah mewajibkan adanya usrah di kalangan pekerja.
Jika pekerja yang asalnya tidak solat, ayah akan bersikap tegas dan memantau solat pekerjanya. Untuk semua restoran semua pekerja adalah lelaki, tidak pernah ada pekerja wanita. Kerana ayah nak elakkan daripada pergaulan yang tidak terkawal.
- Jelaslah bahawa sedikit kemahiran yang saya ada dalam perniagaan pada hari ini diwarisi dari ayah, manakala dakwah pula lebih kepada sebelah emak yang lahir dari keturunan Alim Ulama’, namun cara saya menyampaikan, banyak juga dipengaruhi oleh arwah ayah.
- Datuk sebelah emak, ialah Tuan Guru Haji Awang Nasaruddin Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Awang Jidin. Beliau terkenal sebagai seorang pemidato yang hebat dan lantang sehingga mendapat gelaran “tukul besi”.
- Moyang pula adalah seorang alim yang terkenal dalam bidah feqah iaitu Tok Guru Haji Abas bin Muhammad. Bermula dengan buka pondok dan madrasah di Besut, kemudian telah berhijrah ke Kuala Terengganu dan membuka Pondok Tok Jiring (Sekolah Menengah Agama Tok Jiring) pada tahun 1953. Beliau seorang yang terkenal dengan gelaran “kemuncup” kerana kekuatan daya ingatan yang dimilikinya. Saya merupakan cicit kepada beliau.
- Baiklah, peringkat sekolah menengah, bermula tingkatan satu di Sekolah Menengah Ugama Darul Anuar, Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Sekolah ini diasaskan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di situlah saya dekat dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana asrama betul-betul sebelah rumah Tok Guru. Kami pelajar asrama perempuan, ternanti-nanti waktu yang kami boleh jangka Tok Guru akan keluar rumah untuk menyapu atau siram pokok di bahagian belakang kawasan rumahnya.
Jika salah seorang nampak, kami akan mengintai daripada tingkap asrama tingkat satu atau dua untuk melihat Tok Guru. Kami dididik untuk menghormati Tok Guru agar tidak menganggu privasi beliau walaupun bersebelahan sahaja asrama dengan rumah Tok Guru. Di Masjid Darul Anwar, kami selalu dapat solat berimamkan Tok guru, kenangan saya yang sangat indah.
- Isteri Tok Guru ada membuka kedai runcit di belakang rumahnya dan di situ kami dapat berinteraksi dengan isteri Tok Guru, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak. Kedai runcit ini sangatlah sederhana kecil, begitulah juga rumah Tok Guru, tak seperti rumah seorang MB.
Selesai solat berjemaah, kami juga akan cuba intai Tok Guru di sebalik tabir, dan untungnya pelajar lelaki kerana dapat bersalaman langsung dengan Tok Guru.
- Alhamdulillah, selepas peperiksaan pertengahan tahun, saya diterima masuk ke Sekolah Ma’ahad Muhammadi Lil Banat Kota Bharu, Kelantan. Maka bermulalah perjuangan menuntut ilmu di sebuah sekolah yang mempunyai suasana dan sistem sekolah yang ketat. Sekolah ini terkenal bukan hanya di Kelantan, tapi di seluruh Malaysia.
- Ketika di MMP saya bukan pengawas sekolah, tetapi biasanya akan menjadi ketua kelas atau penolong ketua kelas. Selain itu, saya juga pengerusi badan bimbingan dan kaunseling, mungkin kerana minat dan kecenderungan mendengar masalah orang, bahkan guru-guru pun ada yang berkongsi cerita dengan saya.
- Saya juga merupakan ketua Kelab Radio merangkap DJ rasmi sekolah. Saya bersiaran lebih kurang 20 minit sebelum waktu kelas bermula dimana suara saya berkumandang di seluruh sekolah dengan membacakan doa serta menitipkan kata-kata motivasi, zikir dan sebagainya.
- Saya sebenarnya lebih aktif di asrama. Pembentukan peribadi, perkembangan bakat kepimpinan dan dakwah banyak dibentuk ketika berada di asrama. Memegang jawatan exco biro dakwah dan kebajikan, saya manfaatkan dengan melakukan sehabis baik amanah yang digalas.
Sebenarnya ada banyak kisah yang menarik untuk dikongsikan. Insya-ALLAH saya akan dinukilkan dalam penulisan khas. Ada tak sahabat satu asrama sudi kongsikan kenangan kita. boleh tuliskan di bawah, tapi yang elok la ya.
- Alhamdulillah setelah selesai SPM tahun 2000, kami adalah calon SPM sijil terbuka pertama, mendapat keputusan yang agak baik ketika itu, saya mendapat dua tawaran universiti, iaitu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dalam bidang Syariah.
- Ketika itu, sebenarnya saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam syariah. Boleh jadi ia dipengaruhi daripada saranan kawan-kawan, kerana melihat saya aktif dalam pertandingan yang melibatkan perdebatan dan perbahasan. Pernah juga mewakili sekolah dalam forum mahupun debat.
- Saya hampir lupa cita-cita ketika kecil, iaitu ingin menjadi seperti datuk. Dan syukurlah ibu saya bertegas untuk tidak membenarkan saya menyambung ataupun menerima tawaran tersebut. Ketika itu, UM adalah antara universiti teratas di Malaysia serta paling susah untuk mendapat tawaran.
Kawan-kawan mengatakan bahawa saya telah melepaskan satu peluang yang diimpikan oleh ramai pelajar untuk masuk ke Universiti, dengan memilih masuk ke kolej.
- Alhamdulillah, dengan memahami perlunya mentaati ibu ayah yang meminta saya ke KUSZA dan mengharapkan saya menyambung ke Al-Azhar Mesir. Supaya saya dapat mengikuti jejak langkah arwah datuk, bapa saudara dan ramai lagi ahli keluarga yang belajar di Mesir. Akhirnya saya menyambung ke Mesir dalam Ijazah Pengajian Syariah.
- Sudah tentu ada perasaan yang berbolak-balik dalam diri, antara impian sendiri dan hasrat ibu ayah supaya mengikuti jejak langkah arwah datuk, bapa saudara dan ramai lagi ahli keluarga yang belajar di Mesir.
Akhirnya saya menyambung ke Mesir dalam bidang syariah selepas selesai di KUSZA atau UNISZA. Sesungguhnya perjalanan ini rupanya lebih indah dan bermakna.
- Di KUSZA, semasa semester pertama, saya dah mula aktif dengan program dan aktiviti bersama persatuan. Dan pada semester ke tiga, saya masuk bertanding pilihan raya peringkat kampus, melihat gambar diri sendiri yang tergantung merata, dan melakukan kempen adalah satu pengalaman berharga.
Alhamdulillah, saya mendapat undian tertinggi ketika itu lalu dilantik sebagai Timbalan Presiden Dewan Tertinggi Pelajar (DTP) ataupun dikenali juga sebagai MPP – Majlis Perwakilan Pelajar.
- KUSZA adalah satu tempat pengajian yang paling banyak membentuk jatidiri, disiplin dan hala tuju. Dengan memegang pelbagai jawatan dan aktif berpersatuan serta terlibat dengan program-program dakwah dan kebajikan, tidak mengurangkan fokus dalam pelajaran.
Alhamdulillah, pernah mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Wanita Pengajian Islam Syariah dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester kecuali satu sem beroleh cgpa 3.49.
Sesungguhnya para guru dan para pensyarah telah banyak membina kemampuan berfikir dan bertindak dalam diri. Terima kasih tidak terhingga, sentiasa didoakan kebaikan dunia dan Akhirat, moga mengalir pahala jaariah buat para guru yang mulia.
- Kisah perjuangan menuntut ilmu di Mesir, tersusun kenangan indah dan pahit manis di bumi Sahara, Mesir, di tempat sebaik baik manusia dapat dijumpai dan begitulah sebaliknya.
Kerana di bumi Mesir itulah lahirnya Nabi Musa AS dan di bumi Mesir juga adanya Firaun. Akan diceritakan di lain coretan.
- Sebelum ke Mesir, kami mengikat tali pertunangan. Ada beberapa syarat yang dipersetujui, salah satunya adalah kawalan yang ketat dalam perhubungan, saya ambil tindakan meninggalkan handphone di Malaysia, supaya dapat mengelak daripada berhubung dengan tunang, dan boleh memberi fokus kepada pelajaran yang banyak memerlukan hafalan.
Kami menggunakan email dan surat menyurat sebagai medium jika perlu. Alhamdulillah selesai pengajian di Mesir, saya pulang pada September tahun 2005. Tiga bulan selepas itu kami mendirikan rumah tangga pada 6 November 2005.
- Alhamdulillah pada tarikh keramat, ALLAH SWT izinkan bersatunya dua hati dan dua rasa pada satu ikatan pernikahan yang suci pada tanggal 6 November 2005. Permulaan kehidupan menjadi seorang isteri, masya-ALLAH.
- Setelah itu saya mengikuti suami ke Johor Bahru, kerana beliau masih dalam pengajian master dalam bidang Kimia. Kami berkongsi dengan serba sederhana.
Selama dua tahun lebih, saya tidak memohon mana-mana kerja, bila ditanya, saya menjawab ingin menjadi suri rumah yang terbaik dan berjaya.
- Pada tahun 2015, saya mula menyambung pengajian master pada masa yang sama menjalankan tugas sebagai penjawat awam. Ketika itu juga sedang mengandung anak yang keenam.
Ada waktu yang sama saya mengandung yang mana akhirnya kandungan itu gugur sebelum mengandung lagi anak yang keenam iaitu Raihana alhamdulillah selesai pengajian Islam di OUM.
- Bermula tahun 2017 – 2018, dua tahun lebih bergerak sendiri, memandu dan menguruskan semuanya sendirian walaupun ke tempat-tempat jauh di luar daripada Negeri Sembilan. Isu perjalanan jauh dengan sumbangan diberikan tidak mampu untuk menampung kos perjalanan dan pihak yang tidak memberi apa-apa sumbangan adalah perkara yang biasa dilalui.
Setelah beberapa kali kemalangan berlaku ketika saya memandu kerana terlelap dek keletihan. Puratanya tiga ceramah di tiga lokasi yang berbeza. Kadang-kadang, lima kuliah dalam satu hari.
Setelah itu, saya mula berfikir akan keperluan pembantu atau staf yang boleh memandu dan menguruskan jadual, jemputan dan lain-lain. Bermula daripada itulah kami mula buka peluang pekerjaan.
Pada tahun 2019 ada tiga staf, pada tahun 2020 30 orang staf, manakala 2021 lebih kurang 80 orang staf, dan pada tahun 2022 hinggalah sekarang lebih kurang 120 orang semuanya. Doakan semoga semua gerak kerja ini diterima sebagai amal soleh yang diterima ALLAH.
Baca Disini : “Tidak Salah Ingin Menjadi Kaya, Namun Jadilah Orang Kaya Yang Beriman Dan Bertaqwa” Ustazah Asma’ Harun
“Pergi Bukan Guna Duit Ustazah Pun, Kenapa Nak Sibuk.” Ustazah Asma Tak Sedih DiKecam
Mingguan Wanita : Selamat Ulang Tahun buat Ustazah Asma’. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki.
Sumber / Sumber Foto : Facebook Ustazah Asma’ Harun
Fazura Pesan Wahai Wanita Sayangi & Hargailah Diri Anda!
Tip Cantik Isteri, Ibu & Selebriti Datin Elvina
JEANS BURUK JANGAN BUANG, SERTAI KELAS JAHITAN MW & EPAL
Jom daftar sekarang!!! KELAS JAHITAN KREATIF
Klik link untuk daftar: https://toko.ideaktiv.com/product/kelas-jahitan-kreatif/
Tak pernah pegang mesin, tak bermakna mak-mak tak pandai menjahit. Pelajari kaedah dan teknik jahitan mudah dalam kelas satu hari sahaja.
Dalam masa beberapa jam, walaupun beginner anda mampu menyiapkan satu tote bag daripada jeans terpakai dan nasi lemak recyclable bag.
Projek 1: Denim Tote Bag
Jom tukar jeans yang tak muat dipakai menjadi tote bag. Teknik yang dipelajari bermula daripada cara memotong kain, membuat ukuran kain, menjahit lurus, jahit tangkai beg, cara cantuman sehinggalah siap sebiji beg.
Projek 2: Shopping Bag
Beg beli belah berbentuk nasi lemak! Beg kitar semula ini bukan saja menjimatkan ruang, malah dapat melindungi alam sekitar kerana kurangnya penggunaan beg plastik. Teknik yang bakal dipelajari adalah cara jahitan melengkung, jahitan lurus, cara mengukur saiz beg dan cara membuat lipatan.
Jangan ketinggalan sertai Kelas Jahitan Kreatif Denim Tote Bag & Shoping Bag di SewingWorld, One City Subang Jaya pada 15 Oktober 2022 bermula 930 pagi hingga 5.30 petang. Yuran RM60 sahaja.
#kelasjahitankreatif
#sewingworldgallery
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tak Boleh Guna Duit Raya Anak KECUALI Dalam Keadaan Ini

Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
- Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
- Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
يَأْخُذُ الْأَبُ وَالْأُمُّ مِنْ مَالِ وَلَدِهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِ ، وَلَا يَأْخُذُ الِابْنُ وَالِابْنَةُ مِنْ مَالِ أَبَوَيْهِمَا بِغَيْرِ إذْنِهِمَا
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!