bayi meninggal

Kes bayi meninggal dunia di rumah pengasuh antara isu yang seringkali menjadi kebimbangan buat mak-mak yang bekerja.Benar ajal dan maut ditangan tuhan, tetapi jika berpunca daripada kecuaian, pasti terbit rasa kekesalan dihati.

Terbaru, kejadian yang dilaporkan berlaku di Kuantan, seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika dalam jagaan di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, dekat sini, hari ini.

“Sabtu lalu saya bermain dengan dia. Cucu sihat dan aktif seperti biasa. Hari ini, tiba-tiba sahaja saya dapat tahu dia sudah tiada.”

Itu luahan Hadijah Gan Abdullah, 63, nenek kepada Ahnaf Hanafi Mohd Hanif, berusia setahun, yang disahkan meninggal dunia di sebuah klinik di Indera Mahkota 8 di sini hari ini, selepas ditinggalkan di rumah pengasuh.

Tidak Sedarkan Diri

Hadijah berkata anaknya, Mohd Hanif Sulaiman, 28, dan isterinya Roshidah Abdullah, 30, menerima panggilan telefon daripada pengasuh cucunya sekitar pukul 2.45 petang, memaklumkan anak tunggal mereka tidak sedarkan diri.

Katanya, anaknya juga difahamkan bahawa pengasuh itu meminta jirannya untuk membawa Ahnaf Hanafi ke klinik kerana tidak mempunyai kenderaan.

IKLAN

“Saya juga sudah biasa di klinik itu kerana menjalani rawatan di situ. Saya diberitahu cucu sebenarnya sudah tiada apabila sampai di klinik itu dan kami diminta membuat laporan polis.

“Pengasuh mengatakan cucu merengek dan dia masukkan ke dalam buaian. Saya tanya jika cucu diberi susu, tapi pengasuh kata tidak. Sukar untuk kami terima Ahnaf sudah tiada kerana dia sihat dan dia juga sebenarnya tidak biasa dibuai kerana kami tidak menggunakan buaian.

“Ayahnya beritahu Ahnaf seperti biasa pagi ini… hanya sedikit sakit pada kulit, tapi tidak mungkin itu menyebabkan kematiannya,” katanya semasa ditemui Bernama di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Pengasuh Baru

Hadijah yang merupakan pesara guru menambah cucunya baharu sebulan lebih ditinggalkan di situ, selepas pengasuh lama di Kampung Tiram di sini, mengambil dua bayi, menjadikan mereka khuatir bagaimana beliau mahu menjaga begitu ramai kanak-kanak dalam masa yang sama.

Justeru itu, Mohd Hanif, seorang akauntan dan isteri yang merupakan kerani sebuah syarikat swasta di Indera Mahkota mencari pengasuh baharu dan difahamkan pengasuh itu turut menjaga empat kanak-kanak lain, katanya.

“Ahnaf baharu menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada 9 Disember lalu. Saya tak sangka perkara ini boleh berlaku kepada kami kerana sering membaca kejadian seumpamanya di surat khabar.

“Bila saya baca tentang kanak-kanak terjatuh, tersedak susu atau kejadian lain melibatkan bayi, saya akan mengingatkan anak-anak supaya sentiasa berhati-hati dengan anak mereka,” katanya.

Tindakan Undang-Undang

Hadijah yang menetap di Bukit Setongkol di sini menambah Ahnaf adalah cucu kedua bongsu daripada lima cucunya dan sedang aktif merangkak dan cuba bertatih.

IKLAN

Beliau menambah mereka telah membuat laporan polis di Balai Polis Indera Mahkota sekitar pukul 4 petang tadi dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu, jika wujud unsur kecuaian. Jenazah Ahnaf Hanafi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi di sini esok, kerana mereka menunggu keluarga Roshidah dari Marang, Terengganu.

Ibu bapa kanak-kanak itu enggan ditemuramah dan Roshidah difahamkan enggan menjamah makanan sejak kejadian berlaku dan perlu ditenangkan beberapa anggota keluarga dan rakan sekerja.

IKLAN

Klasifikasi Mati Mengejut

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis Mohamad Noor Yusof Ali semasa dihubungi berkata,punca kematian belum dapat dipastikan dan ibu bapa bayi itu dimaklumkan pengasuh bahawa anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam buaian dengan mata terbuka.

“Bapa bayi itu sudah membuat laporan di Balai Polis Kuantan berhubung kejadian itu,” katanya.

Mohamad Noor berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan pihaknya akan melakukan siasatan lanjut.

“Kita akan mendapatkan bantuan dan laporan Jabatan Kimia untuk mengetahui punca kematian,” katanya lagi.

Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga ini, semoga bersabar diatas segala ujian dan dugaan yang menimpa. Alfatihah.

Sumber:Sinar Harian, Berita Harian
Foto:BERNAMA

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI