Ada ibu bapa yang kurang senang dan membuat tuduhan melulu bila anak menantu balik beraya tapi tidur di hotel/homestay. Setiap kali hari raya, tidak kiralah hari raya Aidilfitri mahupun hari raya Aidiladha, apa bila ada ahli keluarga yang menginap di hotel ataupun di homestay, pasti ada yang memandang serong.
Ustazah Asma’ Harun memberi nasihat kepada ibu bapa supaya memahami keadaan anak menantu. Dalam ketika bergembira menyambut hari raya yang mulia ini, mungkin ramai yang lupa dalam menjaga batas-batas yang disyariatkan dalam Islam.
Kita seolah lupa dan terlalu berseronok sehingga banyak larangan yang diabaikan. Hal ini kerana apabila sudah bercampur beramai-ramai, agak sukar untuk menjaga perihal aurat.
Berikut perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun yang mengupas tentang topik ini secara menyeluruh.
BALIK KAMPUNG TAPI TIDUR HOTEL/HOMESTAY
Apabila tiba musim raya, isu tidur di homestay atau hotel akan jadi ‘trending’. Penuh berita mengenai isu ini dan kebanyakannya menjurus kepada tanggapan negatif, sama ada daripada ibu ayah, adik-beradik atau saudara-mara.
Maka ada yang mencemuh, pandang atas bawah atau cakap belakang. Cerita di sebalik beraya di kampung memang seronok tapi sebenarnya mudah terpalit dosa jika tidak diteliti sebaiknya.
Jika banyak keluarga berhimpun dalam satu rumah, tidur berjemaah di ruang tamu sebab tak cukup bilik, maka akan berlaku pendedahan aurat ipar, sepupu atau biras semasa tidur. Bukan itu sahaja, bagi yang menyusu badan lagi sukar kerana mungkin tak sedar auratnya terdedah ketika sedang tidur selepas menyusukan anak. Allahu Akbar.
WAHAI IBU BAPA, SELIDIK DAHULU. WAHAI ANAK, JANGAN MELULU
Semasa menjadi perunding cara rumah tangga dulu, memang ramai ibu bapa mengadu bahawa anak mereka terjebak dengan pornografi atau ketagih melihat benda lucah bermula dengan situasi begini di kampung.
Ads
Pada awalnya hanya ternampak sikit, kemudian datang keinginan untuk melihat dengan lebih banyak. Keadaan ini harus difahami oleh semua pihak dengan berlapang dada. Sudah menjadi tanggungjawab buat seorang suami untuk memelihara maruah anak isteri.
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (Surah at-Tahrim 66: 6)
Sebelum ibu ayah berkata sesuatu yang mungkin akan timbulkan salah faham, maka fahami dahulu situasinya kenapa. Bukanlah sebab rumah itu tidak selesa, tiada aircond, suasana kampung, dan lain-lain tetapi bagi menjaga maruah, aurat dan pergaulan anak dan isteri.
Seorang anak pula harus jujur jika bermalam di hotel/homestay. Terangkan kepada ibu ayah dengan baik dan jelas, kadang mungkin mereka terlalu rindukan anak yang sudah lama tak pulang, jadi tugas kita ialah cuba jelaskan dengan baik. Mudah-mudahan ibu ayah memahami dengan lapang dada.
Anak-anak yang memilih untuk tidak bermalam dirumah ibu bapa, perlulah sebab yang berkaitan syara’, bukan kerana tidak selesa dan lain-lain, dibimbangi akan membuatkan orang tua dan keluarga berjauh hati.
Dan pada waktu selain rehat malam maka sepatutnya perlu berada di rumah supaya boleh berbakti dan menggembirakan hati orang tua dan keluarga.
PENTING SANGAT, janganlah jadi seperti tetamu pula, datang pada waktu makan atau waktu tertentu sahaja, sikap ini memanglah akan menyakitkan hati banyak pihak. Tidur hotel atau homestay asalnya tiada masalah, tapi sikap kita yang bermasalah.
Maksudnya: “Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau menaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Luqman 31: 15)
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI AJNABI
Kita maklum bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Maksudnya: “Apa yang zahir daripadanya (perempuan) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Kitab Asna al-Matalib, 1/176)
Walaupun batasan auratnya masih boleh dijaga, namun sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya bagi saudara-mara yang ramai dan tiada privasi, sebaiknya bermalam di tempat berasingan kerana waktu tidur kita tak sedar apa yang terdedah.
Kecuali jika di kampung memang tak ramai atau setiap keluarga mendapat privasi yang diperlukan. Maka ketika itu tidur di rumah ibu bapa lebih baik bagi meraikan dan menggembirakan mereka.
Jika kita miliki anggota keluarga yang ramai, maka semakin ramailah orang yang perlu dijaga batas auratnya, terutama sekali wanita.
Mereka perlu menjaga aurat daripada sepupu, ipar, bapa tiri, adik-beradik angkat, biras, dll.
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutupkan kain yang dipakai untuk menutup kepala (tudung) ke dadanya. Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) lelaki mereka, atau anak-anak lelaki kepada saudara-saudara (adik-beradik) perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak suruhan (hamba) yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.” (Surah an-Nur 24: 31)
Semoga para suami, ibu ayah, abang, adik lelaki, ibu ayah mertua memahami akan kepentingan dalam penjagaan aurat ini dan tidak semudahnya berkecil hati dan bersangka buruk terhadap anak-anak yang memilih untuk bermalam selain di rumah.
Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Kitab Tafsir Ibnu Kathir: Tahzib wa Tartib, Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)
DOA MENJAGA MARUAH DIRI
Mari kita amalkan doa ini, mudah-mudahan maruah diri dan keluarga kita sentiasa dipelihara oleh Allah SWT:
اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي
Maksudnya: “Ya Allah lindungilah auratku, amankanlah apa-apa yang menjadi pemeliharaanku.” (HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Semoga penerangan ini bermanfaat, Allah merahmati dan melindungi seluruh ahli keluarga kita daripada perkara mungkar serta salah faham di dalam rumah tangga. Ameen Ya Rabbal Alamin.
Rumah mak ayah jadikan tempat berkumpul adik beradik, bukan harta pusaka yang nak direbut. Rumah mak ayah bukan sekadar sebuah bangunan dengan dinding dan bumbung. Ia adalah tempat penuh nostalgia, tempat di mana kita membesar, ketawa, menangis, dan berkongsi kenangan bersama.
Rumah Mak Ayah Jadikan Tempat Berkumpul Adik Beradik, Bukan Harta Pusaka Yang Nak Direbut
Apabila masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk dengan kehidupan sendiri, rumah mak ayah semakin sepi. Sebab itulah, kita sebagai anak-anak perlu berusaha menjadikan rumah mak ayah sebagai tempat adik-beradik berkumpul. Bukan sahaja untuk menggembirakan hati mereka, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Rumah mak ayah bukan sekadar bangunan dengan empat dinding dan bumbung. Ia adalah lambang kasih sayang, tempat penuh kenangan, dan saksi perjalanan hidup kita sejak kecil hingga dewasa. Namun, yang menyedihkan, setelah mak ayah tiada, rumah ini sering menjadi punca perbalahan antara adik-beradik.
Berbalah kerana harta yang tidak seberapa, bertelagah kerana tanah sekangkang kera, dan akhirnya hubungan keluarga yang dulunya erat menjadi retak, bermasam muka, malah ada yang sampai putus saudara. Apakah itu yang mak ayah kita mahu? Sudah tentu tidak.
1. Rumah Mak Ayah Adalah Warisan Kenangan, Bukan Harta Untuk Direbut
Bila mak ayah sudah tiada, rumah mereka sepatutnya menjadi tempat adik-beradik berkumpul, bukan medan perebutan. Rumah itulah yang akan mengingatkan kita kepada mereka, kepada kasih sayang yang pernah mereka curahkan.
Jangan sesekali biarkan rumah ini dijual, digadai, atau dipertikaikan hak miliknya. Biarkan ia kekal sebagai tempat untuk kita semua pulang, tempat untuk berkumpul dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Kalau kita sudah bekerja, sudah berpendapatan, sudah mampu, carilah harta sendiri. Beli rumah sendiri, beli tanah sendiri, kumpul aset sendiri. Itu semua tiada siapa yang akan marah, tiada siapa yang akan cemburu. Tetapi rumah mak ayah biarkan di situ. Jangan diusik. Jangan digadai. Itu bukan sekadar rumah biasa. Itu rumah kita semua.
2. Jangan Biarkan Harta Yang Tidak Seberapa Memusnahkan Hubungan Darah Daging
Betapa ramai adik-beradik yang akhirnya bermusuhan hanya kerana tanah sekangkang kera di kampung? Berapa banyak keluarga yang berpecah kerana perebutan pusaka? Harta yang kita pertahankan dengan penuh kerakusan itu tidak akan kita bawa ke kubur pun.
Orang luar akan bertepuk tangan melihat kita berbalah. Orang dekat akan bersorak di belakang, menyokong pergaduhan kita. Malah, ada yang akan menghasut dan menambah api dalam persengketaan.
Hasilnya? Kita adik-beradik yang dulu rapat akhirnya pecah tiga, pecah empat, malah ada yang terus putus hubungan. Apa gunanya semua itu? Tiada. Langsung tiada.
3. Jangan Tamak, Jangan Dengki, Jangan Terlalu Berkira
Tidak kira kita anak sulung, anak lelaki, atau merasa berhak atas bahagian yang lebih, jangan sesekali bersikap tamak. Mak ayah tidak pernah mengajar kita untuk berebut harta. Mereka mengajar kita untuk saling menyayangi, bertolak ansur, dan menjaga hubungan kekeluargaan.
Jangan hanya kerana kita melihat ada adik-beradik lain yang masih tinggal di rumah mak ayah, hati kita membuak dengan perasaan dengki. Jangan sakit hati hanya kerana kita lihat orang lain menjaga rumah itu, sedangkan dulu semasa mak ayah masih hidup, kita jarang sekali pulang menjenguk mereka.
Masa mereka sakit, siapa yang menjaga? Masa mereka perlukan perhatian, siapa yang selalu ada? Kalau kita bukan salah seorang yang berada di sisi mereka saat mereka memerlukan, mengapa sekarang kita menjadi orang pertama yang menuntut hak? Hak apa yang kita perjuangkan kalau selama ini kita tidak peduli?
4. Kalau Berebut Menjaga Mak Ayah Seperti Berebut Harta, Pasti Mereka Rasa Bertuah
Cuba bayangkan, kalau semua anak berlumba-lumba menjaga mak ayah ketika mereka masih hidup seperti mana kita berebutkan harta pusaka, betapa bertuahnya mereka. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Ketika mereka masih ada, ramai yang tidak peduli. Bila mereka tiada, tiba-tiba semua muncul menuntut hak.
Masa mak ayah sakit, tidak mahu menjaga. Masa mereka sudah pergi, sibuk berebut rumah, tanah, dan kebun. Di mana kewarasan kita? Di mana nilai kemanusiaan kita?
Jangan jadi manusia yang hilang akal hanya kerana harta. Jangan jadi anak yang lupa asal-usul hanya kerana sebidang tanah atau sebuah rumah pusaka.
Rumah mak ayah adalah lambang kasih sayang mereka. Jangan biarkan ia menjadi punca perpecahan antara kita adik-beradik. Jangan biarkan sifat tamak dan dengki merosakkan hubungan yang sudah terjalin sejak kecil.
Kalau kita sudah ada pendapatan, carilah harta sendiri. Tetapi rumah mak ayah biarlah kekal sebagai rumah keluarga, tempat kita berkumpul, tempat kita mengenang kasih sayang mereka.
Harta boleh dicari, tetapi keluarga yang telah retak sukar untuk dipulihkan. Jangan sampai kita menyesal di kemudian hari.
Hati akan rasa tenang dan lapang bila rumah kemas, bersih dan teratur.Kalau boleh serba serbi nak nampak sempurna, kerja rumah siap dan rumah kemas sentiasa. Namun agak payah dan kekalkan kekemasan lebih-lebih lagi bila ada anak kecil. Bila rumah mula bersepah, kerja rumah tak siap-siap, mulalah stress, rasa nak menyinga, hilang sabar dan anggap diri tak cukup sempurna dalam menguruskan rumahtangga.
Sebenarnya mak-mak jangan difikirkan sangat sesekali rumah nampak bersepah. Biarkanlah. Buat ikut kemampuan diri, belajarlah tenangkan diri bila dalam keadaan ini.
Jemput fahamkan perkongsian daripada Wawa Shauqi ini sebagai panduan;
Ramai sangat yang pm saya tanya pasal, ‘Macam mana nak jadi ibu yang baik.’ ‘Macam mana nak hilangkan baran?’
Dan seumpamanya.
Dear parents Dear mommies.
You don’t need to be perfect. Just be patient.
Untuk jadi penyabar, kalian perlu tahu kapasiti kesabaran yang kalian ada sebelum mula terbakar dan meletus.
You know yourself. Stop before you start to forget things, marah dengan perkara kecil dan lupa nak tengok diri sendiri kat cermin.
Isi Tangki Emosi Isteri
Husband-husband kena tengok. Kalau para isteri dah hilang manja dan makin menyinga, cepat-cepat isi tangki emosinya yang dah makin kering.
Peluk isteri, sikatkan rambutnya, urut badannya atau belanja makan aiskrim kegemaran. Tak pun cincin sebentuk atau kalau teruk sangat, belanja dia ‘me time’ 2 hari 3 malam di Damai Laut.
Tapi sebenarnya kesudian untuk tadahkan telinga dengar membebel, atau sesi bersembang tenang antara laki-bini sepanjang malam pun, lebih mahal dan mendamaikan dari Damai Laut.
Yup, just simply being a therapist to her.
Jangan biar isteri terlalu nak jadi perfect. Sempurna itu bukan sifat manusia. Jangan cuba melawan fitrah. Nanti kita juga yang parah.
Isteri, kalau rasa haritu boleh melayan anak, tak larat memasak, senyum dan gantung kuali. Foodpanda kan ada!
Kita tak ada bos yang tukang cek kerja di rumah dah selesai ke belum. Tak ada timeline pun. Kalau tak larat, tinggallah dulu. Buang rasa runsing dengan ‘gunung Kinabalu’ yang makin tinggi setiap hari.
Tenangkan Diri
Belajar bertenang dengan diri bila nampak rumah sepah.
Saya faham perasaan tu. Kadang-kadang, lantai yang melekit, tapi kenapa sampai ke otak rasa berdenyut. Your floor doesn’t define your happiness… so relax.
Jangan setiap masa nak rumah perfect, sampai anak nak main pon kita tak bagi. Rasa runsing je, cepat-cepat pejam mata dan bayangkan otak-otak anak sedang pesat berkembang waktu mereka sedang bermain.
Agak-agak lagi 30 minit suami balik, barulah pulun kemas dengan anak-anak. Kalau tak, nampak anak nak menyepah sikit, dada dah rasa kena cengkam.
Tapi kalau ada hari yang ada extra motivasi, & doing house chores make you happy, teruskan usaha buat rumah berkilat.
Perkara Yang Boleh Dilakukan
Bila bangun tidur, pastikan kita bangun dengan senyum. Kajian dah membuktikan, senyum selama satu minit selepas tidur, boleh meningkatkan paras hormon gembira dalam badan. Dan bantu mood kita kekal ceria sepanjang hari.
Hari ni, malam sebelum tidur, cuba tulis beberapa perkara yang buat kita syukur. Kemudian, tulis perkara yang kita nak buat esok, dan bayangkan sejelas-jelasnya.
Dan cubalah tips-tips dari Ebook Mudahnya Kawal Emosi tulisan Dr Taufiq Razif. Ia sangat membantu saya.
Sebelum tanya macam mana nak sayang anak-anak, sayangi diri sendiri dulu. Penuhi gelas emosi sendiri, sayangi badan sendiri dan rasai kehebatan nyawa yang Allah dah beri.
Itulah langkah pertama nak jadi yang terbaik untuk orang lain.
You are beautifully made by Allah.
Dilahirkan dengan manfaat untuk membahagiakan dirimu, bukan untuk membebanimu.
Salam Sayang,
Wawa Shauqi
t.me/wawashauqi
p/s Gambar arkib tahun lepas. Nasib baik lepas main pandai kemas balik.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua. Memang ada benarnya. Tak perlu rasa tertekan dalam menguruskan rumahtangga dan anak-anak.Tak perlu jadikan diri kita terlalu sempurna, buatlah ikut kemampuan diri dan seadaanya.
Macam-macam kisah PKP ini kan. Cerita anak main buka tutup peti ais itu dah jadi satu kemestian. Lagi-lagi bila semua anak-anak kena duduk rumah.
Syera Akarton berkongsi gambar kakaknya memakai sheet mask berupa harimau. Dan nak dijadikan cerita gambar itu, dicetak dan ditampal pada peti ais bahagian sejuk dan beku di rumahnya. Tujuannya bagi mengelakkan anak-anak main buka tutup peti ais berkali-kali.
Dan cara itu ternyata menjadi.
“Alhamdulillah, berkat gambar Maklong dia. Dah 2 hari budak-budak ini tak main buka tutup peti ais. Biar Maklong kau jadi rimau. Mak dah pencen. Tak larat merimau. Biar gambar buat kerja gituh.”
Dalam perkongsian Syera yang viral itu juga Syera maklumkan tentang sheet mask yang dipakai Maklong Rimau.
“Maklong kasi permission guna gambar dia untuk tatapan anak-anak. Maklong kata beli mask kat shopee.”
Anak Buah Tak Buka Tutup Peti Ais
Dan ini pula respons pemilik topeng muka, Maklong Rimau kepada MW, “Biasalah, anak-anak buat saya tengah banyak akal. Diorang ni makin bijak. Kita tegur pun kejap je dengar. So, kena lah cari inisiatif lain.
Macam-macam cara juga sebenarnya. Tapi ini paling berkesan buat masa ini. Tiap budak tak sama kan. Anak buah saya ni memang takut orang pakai topeng. Itu yang cuba cara ini. Ini pun tak tahu lah berapa lama boleh tahan.”
Kongsi Maklong lagi, anak-anak buahnya ada dua orang. Dia dan adiknya duduk berjauhan. “Suami adik kerja jadi tenaga pengajar dekat IKM, JB.. so kami buat video call. Saya tak ada anak, tumpang kasih dengan diaorang je. Itu yang kami rapat.”
Mask yang dipakai itu memang dibeli untuk rawatan muka. “Sekali buat video call, diaorang takut tengok.”
Dan disebabkan posting itu jugalah gelaran Maklong Rimau melekat padanya. Malah, yang lebih lucu ada di kalangan netizen minta izin gunakan gambar Maklong Rimau, nak tampal pada peti ais rumah mereka. Dan permintaan itu dapat kelulusan daripada Maklong sendiri.
Mana tahu cara itu pun berkesan untuk elak anak-anak buka tutup peti sejuk.
Nahas SUV di Bukit Kawah meragut nyawa sepasang bakal pengantin apabila Toyota Fortuner yang dinaiki terjunam ke dalam gaung. Baca kronologi penuh, siasatan polis dan peringatan keselamatan jalan raya.