Tanggapan orang, ‘untungnya bila suami isteri bekerja satu tempat. Jimat’. Satu buah kereta, satu tuju yang sama, makan sama. Semuanya nampak baik. Namun, itu pandangan orang. Bagaimana dengan tuan empunya diri? Mungkin ada buruknya, apatah lagi bila masalah suami isteri turut dibawa bersama dan lebih memalukan rakan sekerja tahu tentang permasalahan suami isteri ini.

Bagi suami isteri yang tidak kisah, mereka tanpa segan silu bergaduh di pejabat. Daripada orang tidak tahu terus memasang telinga mendengar permasalahan rumah tangga mereka. Apakah yang patut dilakukan oleh pasangan ini? Bagaimana cara untuk mengelakkan masalah suami isteri tidak dibawa ke pejabat? Kita dapatkan ulasan lanjut daripada Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat.

Untung Ke Tak Untung Bila Laki Bini Kerja Satu Pejabat?
Dr. Ben

Baik Buruk

Menurut Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, memang ada baiknya bekerja di tempat yang sama tetapi mestilah di bahagian yang berlainan. Suami atau isteri perlu menjaga etika bekerja dan mendisiplinkan diri apabila berurusan di pejabat.

“Suami isteri harus mengetahui dan bersikap profesional dalam menjalankan tugas dan menghindari kan diri dari membuka pekong di dada untuk tatapan rakan kerja. Perkara begini boleh memalukan kedua-dua pihak jika tidak dapat dikawal.

“Suami isteri tidak perlulah sering memantau pasangan mereka kerana perkara begini akan menghindarkan dan menyusahkan pekerjaan masing-masing dan mengehadkan pergerakan serta menambahkan stres bekerja,” katanya.

Pasangan yang baik di satu pejabat akan sering jadi bualan di pejabat. Ini termasuk juga dengan pasangan yang sering bergaduh di mana mereka akan dijadikan perbualan, tuduhan yang tidak benar dan gosip yang kurang enak didengar. Berhati hatilah dengan tingkah laku pasangan masing-masing.

Jangan Bawa Masalah Suami Isteri Ke Pejabat

Masalah suami isteri yang berlaku patut ditinggalkan di rumah dan tidak perlu dibawa keluar, apatah lagi ditonton di khalayak ramai terutama pejabat. Setiap pergaduhan dan perbalahan di rumah tidak perlu diketahui oleh orang lain.

Selesaikan masalah tanpa membawa keluar dari rumah. Sekiranya dibawa ke pejabat, ini akan mengurangkan kewibawaan seseorang seperti dikenali sebagai seseorang yang tidak boleh mentadbirkan masalah sendiri.

Gagal mengawal keadaan pasangan hanya menimbulkan ketidakmampuan pasangan itu mengendalikan masalah lazim yang berlaku dan ini akan menjejaskan kenaikan pangkat seseorang.

Timbul Cemburu Pula…

Perasaan cemburu adalah perasaan biasa berlaku dan pasti akan berlaku pada sesiapa sahaja yang bekerja di satu pejabat. Perasaan ketidakpercayaan dan naluri ingin tahu akan berlaku pada setiap pasangan.

Lebih lebih lagi, jika ianya telah dan pernah berlaku. Kesangsian dan syak wasangka akan selalu berlegar di minda setiap pasangan walaupun pasangan masing-masing mengatakan mereka faham tugasan pasangan.

Ini adalah kata-kata untuk menyedapkan diri mereka sahaja. Hakikatnya setiap pasangan akan dipantau oleh pasangan mereka sendiri supaya sesuatu perkara yang mencurigakan tidak berlaku. Dalam erti kata, perasaan cemburu tidak boleh dipisahkan dari sesiapa sahaja. Ia pasti ada walaupun sering mengatakan mereka faham.

Tip Suami Isteri

Setiap suami isteri hendaklah menjaga tata tertib apabila ia melibatkan kerja dan pejabat. Tiada satu tip yang bagus perlu kita tahu melainkan dengan komunikasi dan ketelusan.

  • Hal atau masalah suami isteri adalah kepunyaan suami isteri dan orang luar tidak boleh masuk campur dan tidak perlu mengetahuinya. Ini dinamakan etika suami isteri.
  • Segala pemasalahan keluarga tidak boleh dibawa ke pejabat atau jangan dibawa berbincang dengan rakan dan ketua pejabat.
  • Suami atau isteri perlu mengetahui setiap tugasan yang perlu dilakukan oleh pasangan masing-masing supaya tidak ada sifat cemburu. Walaupun ia ada kaitan orang luar dengan lain jantina.
  • Sekiranya ada sedetik persoalan atau perasaan cemburu perlulah dibawa berbincang bersama dan bersifat profesional. Suami isteri perlu bertolak ansur dan tidak membebankan pasangan di tempat kerja dengan syak wasangka.
  • Masalah bersama perlu diselesaikan serta merta dan tidak boleh dibiarkan berlarutan. Banyakan berbincang dan faham perkara yang diterangkan.
  • Suami isteri perlu mengingatkan batasan kerja pasangan masing-masing dan tidak perlu bergaduh di hadapan orang ramai, terutama pejabat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI