
Peringatan buat yang sedang alami selesema, hati-hatilah ketika sedang menghembus hidung dan hembuslah dengan cara yang betul. Ini kerana hembusan yang kuat boleh akibatkan soket mata retak dan hilang penglihatan sementara.
Seorang wanita dari Britain yang menghidap selesema menghembus hidungnya terlalu kuat hingga menyebabkan tulang pada soket matanya mengalami keretakan, lapor satu jurnal perubatan.Dalam satu kes yang dilaporkan Jurnal Perubatan Britain, wanita berusia 36 tahun itu mengalami kecederaan seperti dia ditumbuk dengan kuat di muka.Dalam laporan berkenaan, wanita itu berkata, sejurus dia menghembus hidungnya dan beberapa saat kemudian penglihatan di kedua-dua mata kabur.
Wanita itu mendapatkan rawatan di Hospital Universiti North Middlesex pada tahun lalu akibat kehilangan penglihatan sementara dan matanya mula bengkak serta sakit.2 jam kemudian, hidungnya juga berdarah dan mengadu mengalami sakit menyucuk di sebelah kiri kepala serta tangan kiri.
Selepas membuat imbasan CT, tulang soket mata wanita itu didapati retak dan doktor menganggap kecederaan itu sangat jarang berlaku.Kecederaan itu berlaku akibat tekanan tinggi di kawasan berkenaan ketika wanita itu menghembus hidungnya dengan kuat.Keretakan itu menyebabkan lemak mengalir ke saluran udara dan udara terperangkap di tisu di sekitar matanya.
Sebab Terjadi
Menurut Dr. Sam Myers, Pakar Bedah di Hospital North Middlesex University ,London, terdapat beberapa sebab yang mungkin mengakibatkan insiden ini terjadi.Pertama kerana wanita ini mengalami selesema dan menyebabkan dia menghembus hidung dengan lebih kerap.Kedua, cara wanita ini menghembus hidungnya juga memainkan peranan.Wanita ini cenderung menutup sebelah lubang hidung dan hembus dengan kuat yang mengakibatkan tekanan berganda pada lubang hidung yang terbuka. Tambah doktor ini lagi, wanita ini juga merupakan seorang perokok tegar, menghisap sekotak rokok sehari yang mengakibatkan ia mudah mengalami keretakan.
Pesakit itu diberikan antibiotik dan ubat tahan sakit serta pulih sepenuhnya selepas beberapa minggu, tanpa perlu menjalani pembedahan.
Pengajaran daripada kisah ini, berhati-hatilah ketika menghembus hidung iya. Hembuslah dengan cara yang betul dan jangan dipaksa-paksa.
Sumber: livescience
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
‘Petua Curi Senduk Rumah Ramai Anak Lelaki..’ Tetap Usaha Walau Dikurnia 7 Puteri

Pasangan suami isteri ini, Nor Shaeriani Awang Hamat dan Mohamad Farishal begitu bertuah memiliki 7 cahaya mata perempuan kesemuanya. Dua daripadanya pula sepasang kembar. Tetap yang paling bongsu, anak perempuan berusia, dua bulan.
Ketujuh-tujuh anak perempuannya berusia dalam lingkungan 13 tahun hingga 2 bulan. Tetap, kehadiran anak perempuan ini tak sekali pun mematahkan semangat suami isteri ini untuk menimang anak lelaki.
Rezeki dikurniakan 7 anak perempuan buat pasangan ini bersyukur. Dalam masa sama tak putus asa. “Saya dan suami okay saja. Berharap dikurniakan anak lelaki selepas ini. Mudah-mudahan sebelum 40 tahun. Bermakna ada tiga tahun lagi untuk kami mencuba. Mana tahu dapat rezeki kembar lelaki pula.”
Suatu ketika dulu, orang tua pernah beri Nor pesanan, kalau nak anak lelaki kena curi senduk di rumah keluarga yang ramai anak lelaki.
“Saya tak mahulah curi-curi ini.. tapi kalau beritahu tuan rumah, petua tu tak menjadi.”
Tak cukup dengan itu, suami isteri ini cuba juga petua pemakanan. Ambil banyak daging dan seafood dalam makanan harian.
Mencubalah suami isteri ini makan daging dan seafood banyak-banyak. Sudahnya kolesterol suami pula yang naik. Tetap, anak perempuan juga yang mereka peroleh.
Punyalah untung kalau ada anak perempuan ramai.
Tetap Alahan Teruk Waktu Hamil Anak Ketujuh
Bila mengandungkan anak ketujuh ini, ramai ahli keluarganya yang tertanya-tanya akan jantina anak bongsunya itu. Waktu mengandung Nor dah dapat agak yang anak terakhirnya ini juga perempuan.
Nor sedar melalui alahan yang sangat teruk dari trimester pertama sampai 4 bulan. Sama saja macam kehamilan sebelum-sebelum ini.
Tapi, Nor tidaklah kecoh-kecoh. Dia pendam saja nalurinya itu. Rupanya, suaminya pun merasakan hal yang sama. Sampailah Nor bersalin, mereka masih merahsiakan jantina bayi ketujuhnya itu dari pengetahuan anak-anak yang lain, ahli keluarga mahupun kenalan.
Sampaikan anak-anak yang lain telefon sebab tak sabar nak tahu jantina adik mereka. Ayah pula yang minta kakak-kakak bersabar dan tunggu saja adik pulang ke rumah.
Elok saja sampai rumah, kakak-kakak terus selak pampers adik. Terkejut masing-masing bila tahu mereka dapat adik perempuan lagi. Gelagat lucu anak-anaknya itu sempat dirakam buat kenangan.
Ragam 7 Puteri, Masing-masing Berbeza Perangai
Kata ibu ini, setiap anak-anaknya berbeza perangai. “Yang kembar lain perangainya. Kakak pula ragamnya lain. Adik pun lain caranya. Kalau bergaduh mulut, biasalah perempuan.. gaduh mulut saja.
“Kalau bab makan, lebih senang. Semua ikut selera mak dia. Bab beli baju pun mudah. Cuma beli tiga saiz saja; yang besar, tengah-tengah dan bayi. Sama juga dengan permainan. Semua sama harga dan patern.”
Dari kecil, Nor didik anak-anak perempuannya buat kerja rumah. Buat yang ringan-ringan dulu. Misalnya, sidai, angkat dan lipat baju, cuci pinggan mangkuk dan kemas rumah.
Kalau tak sekolah kena bangun awal. Solat Subuh dan Maghrib berjemaah.
Itulah usaha kecil yang ibu ini cuba terapkan dalam diri anak-anak. Lagipun, dia sedar tak selamanya ibu ayah diizinkan hidup. Dan usaha itu jadi lagi mudah bila kakak-kakak sudah boleh diharap.
Disebabkan tujuh anaknya perempuan, setiap kali ke luar rumah dan hadiri mana-mana majlis, keluarga ini sering jadi tumpuan. Ada yang bertanya ‘bila nak dapat anak lelaki.’
Bagi suami isteri ini, anak lelaki atau perempuan keduanya sama saja. Yang penting, cara didikan mak ayahnya. Doa anak soleh tetap sampai pada kedua ibu bapanya. InsyaAllah.
“Ini semua rezeki dari tuhan. Pasti ada hikmahnya. Dia nak bagi lelaki atau perempuan. Kita tak tahu. Kalau semua perempuan, tak apa. Nanti tunggu menantu lelaki pula.”
MW : Memang meriah bila rezeki dikurniakan 7 anak perempuan ini. Bila dah ramai-ramai macam tu, masing-masing nampak macam BFF saja.
Sumber/Foto : Mstar, Shaeriani A Hamat
Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hanya Serendah RM50, Memberi Keselesaan Rakyat Syria & Ganjaran Pahala Buat Kita Di Akhirat

Menjadi seorang sukarelawan bukan sesuatu yang mudah. Anda perlu berkorban daripada masa, tenaga dan juga wang jika berkemampuan. Status sebagai isteri dan ibu juga kadang kala menyekat seseorang untuk menjadi seorang sukarelawan.
Namun berbeza dengan Nur Dieana Mohd Mardzi, 40-an, atau mesra dengan panggilan dengan Dieana, dia membutikan seorang isteri dan ibu juga mampu terlibat dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan sebegini dengan penglibatannya dengan Syria Care Malaysia.
Syria Care merupakan sebuah badan bukan kerajaan dan beroperasi di Shah Alam. Sebenarnya Dieana telah lama berkecimpung dalam bidang sukarelawan atau NGO iaitu sejak 2010 lagi. Sebelum ini dirinya pernah bekerja di dalam industri perbankan dan juga pendidikan sebelum terlibat secara serius sebagai sukarelawan.
“Segalanya bermula pada tahun 2010 di mana saya meyertai satu pertubuhan NGO iaitu Raudatus Sakinah iaitu sebuah pertubuhan yang mengurus tadbir remaja puteri yang tersasar. Kebetulan CEOnya ibu saudara saya, jadi saya mula berjinak-jinak dengan NGO sejak itu untuk membantu remaja-remaja yang bermasalah termasuklah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pelbagai masalah remaja.
“Sejak itulah saya mula bergelar sukarelawan dan mulai terlibat dengan beberapa NGO lain yang mengangkat isu kemanusiaan seperti isu Palestin, pemerkasaan mualaf dan sebagainya. Hinggalah pada tahun 2016, saya berjumpa dengan CEO Syria Care sendiri iaitu Ustazah Sakinah. Dia berkongsi tentang penderitaan masyarakat dan keadaan mereka di Syria. Dari situ saya tertarik dan mengambil langkah untuk menjadi sukarelawan di Syria Care.
“Saya juga mula terfikir di usia sebegini, apa salahnya saya memberi sepenuh komitmen kepada kerja-kerja kemanusian. Jadi bermula pada tahun 2016 hingga saat ini saya bersama Syria Care,” ungkap Pengurus Besar Syria Care satu-persatu.
Pengalaman Pertama ke Syria
Dalam masa yang sama, Dieana turut berkongsi pengalaman pertama kali ke Syria iatu pada tahun 2018. Secara kebetulan, misi itu dijalankan ketika bulan Ramadan. Bukan mudah kerana ianya merupakan kali pertama menggalas tanggungjawab dalam misi kemanusiaan. Di samping dipertanggungjawabkan untuk meyampaikan bantuan kepada pelarian Syria yang berada di sempadan Turki dan juga di dalam Syria sendiri.
“Apa yang boleh saya ceritakan adalah apabila berada di zon perang iaitu bumi yang telah terkena bencana kemanusiaan memang sebagai wanita dan ibu khususnya apabila melihat keadaan kanak-kanak di sana sukar nak gambarkan dengan perkataan tapi sangat-sangat meruntun jiwa.
“Apalagi melihat kanak-kanak yang trauma serta takut apabila didekati kita. Dengan keadaan fizikil mereka yang tidak sempurna, ada yang tangan tiada dan ada juga kaki kudung terkena letupan bom dari pelbagai latar belakang cerita. Jadi ia cukup memberi kesan kepada saya dan ianya cukup mahal. Ianya adalah bentuk sumbangan peribadi saya kepada masyarakat di sana.
“Pengalaman yang tak dapat saya lupakan adalah apabila saya berjumpa dengan seorang kanak-kanak, namanya Zainab dan berusia 9 tahun dan duduk di atas kerusi roda. Dia melihat saya dalam keadaan yang cukup trauma, dia menangis tak terhingga, Menurut ibunya, Zainab terkena serpihan bom, jadi dia takut apabila melihat orang luar akibat trauma.
“Saya terus terbayangkan anak saya berada dalam keadaan begitu, jadi saya terfikir apalah lagi yang dapat saya bantu anak kecil tersebut. Kebiasaanya petugas kemanusiaan dinasihatkan kalau boleh jangan menangs di depan mereka tetapi saya pada hari tersebut bukan saya tewas. Malah seluruh team saya tewas dengan perasaan melihat Zainab,” jelas Dieana lagi yang terlibat dalam misi Syria Care yang ke-enam pada tahun lalu.
Keluarga Menyokong
Sudah tentu penglibatan Dieana dalam bidang sukarelawan mendapat restu keluarga. Ibu beranak satu ini bersyukur keluarga terutamanya suami memang menyokong kerja-kerja sukarelawan sebegini.
Suaminya sentiasa berada di belakang Dieana dan amat memahami tanggungjawabnya terhadap manusia lain kerana dia juga terlibat dalam bidang ini secara langsung. Malahan jika berkelapangan, suami Dieana juga turut turun padang bagi mendukung aktiviti-aktiviti yang Syria Care anjurkan dalam negara.
Begitu juga dengan anaknya yang berusia enam tahun juga sudah dapat menerima setiap kali sang ibu meninggalkannya. Sebelum ke sana, Dieana sedari awal akan terangkan pemergiaannya yang akan mengambil supaya dia peka dengan ketiadaannya kelak.

Kempen Musim Sejuk
Di samping itu, Dieana menggesa seluruh rakyat Malaysia menyumbang serta menyokong Kempen Musim Sejuk yang dianjurkan Syria Care. Kempen Musim Sejuk telah dilancarkan sejak bulan Ogos yang lalu.
Musim sejuk di Syria akan bermula penghujung Oktober dan pihak Syria Care akan menggerakkan bantuan kemanusian dari dalam negara kepada mereka yang berada di sana. Setakat ini bantuan telah dikhususkan seperti selimut, pakaian baju sejuk, pek makanan dan alat pemanas serta khemah. Kempen ini berlansung bermula Ogos sehingga 31 Disember, namun musim sejuk di Syria akan berterusan hingga Februari.
“Baru-baru ini kita ada lancarkan satu projek di mana kita mohon pada rakyat Malaysia menyumbang baju sejuk dan pakaian sejuk yang sesuai dan hantar kepada kami. Seterusnya Syria Care akan pekkan dan dihantar melalui kontena.
“Pada asalnya kita sasarkan satu kontena, luar biasanya masyarakat Malaysia kita berjaya menghantar iaitu telah berlepas awal September lalu sebanyak dua kontena 40 kaki yang besar dan kontena telah selamat sampai di sana,” ungkapnya.
“Selain itu, pihak Syria Care turut menjalankan projek Ikhlas 50, bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat dengan hanya sedekah RM 50, kita boleh menaja sekurang-kurangnya satu selimut untuk satu keluarga. Malah melalui RM 50 juga kita dapat taja pek makanan untuk keluarga di Syria atau pun alat pemanas dan pakaian untuk mereka,” serunya bahawa dengan serendah RM 50 kita dapat memberi keselesaan kepada rakyat Syria dan akhirnya balasan pahala di akhirat buat kita.

Nasihat & Harapan
Nasihatnya kepada rakyat Malaysia yang ingin turut serta membantu rakyat Syria, sebenarnya terdapat pelbagai cara dalam meringankan beban mereka di sana.
“Sesiapa sahaja yang ingin membantu kita boleh gerakkan bantuan kemanusiaan dari dalam negara. Selain itu terapkan kesedaran pada orang ramai tentang apa yang berlaku di Syria serta isu-isu kemanusiaan yang berlaku di sana atau boleh juga menghulurkan sumbangan kepada Syria Care dan kita akan hantar bantuan ke sana.
“Saya secara peribadi ingin mengajak anda semua iaitu rakyat Malaysia untuk sama-sama menggerakkan kempen musim sejuk melalui Syria Care kerana kesejukan di Syria bukan kesejukan yang biasa tetapi kesejukannya mampu meragut jiwa akibat tidak cukup pakaian dan makanan.
“Sebagai manusia marilah membantu dan menyokong misi kemanusian yang Syria Care anjurkan. Jika anda ingin mendapatkan maklumat tentang kempen ini anda boleh melayari facebook kami iaitu Syria Care Project,” katanya di akhir perbualan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Puas Hati Dipecat, Pekerja Bakar Majikan Di Tempat Kerja

Tak puas hati dipecat, pekerja bakar majikan di tempat kerja. Seorang lelaki ditahan polis selepas membakar majikannya di tempat kerja. Ini kerana dia tidak berpuas hati dengan tindakan pengusaha itu memecatnya.
Tak Puas Hati Dipecat, Pekerja Bakar Majikan Di Tempat Kerja
Ketua Polis Bahagian Medan Tembung, Kompol Jhonson Sitompul yang mengesahkan kejadian itu berkata, insiden itu berlaku pada Isnin dan mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
“Dia (pelaku) sakit hati selepas dipecat bosnya, kemudian dia mengambil bahan api terus dicurahkan kepada mangsa lalu dibakarnya menggunakan mancis.
“Anak mangsa yang mendengar keriuhan di kawasan itu segera datang dan melihat ayahnya telah terduduk serta mengalami lecur di badan akibat dibakar,” katanya.

Sementara itu, pelaku sempat melarikan diri meninggalkan tempat kejadian.
Tambah Kompol, polis berjaya menahan pelaku setelah beberapa saksi memberitahu pihaknya lokasi suspek.
“Polis mendapat maklumat bahawa pelaku berada di Jalan Sunggal, kawasan Sei Sikambing B, lantas kami melakukan penangkapan,” ujarnya.
TIP MENJADI MAJIKAN YANG BAIK DAN DISENANGI PEKERJA:
Menjadi majikan yang disenangi oleh pekerja bukanlah satu tugas yang mudah. Namun, ia adalah aspek yang sangat penting dalam memastikan persekitaran kerja yang positif dan produktif. Pekerja yang berasa dihargai dan dihormati cenderung untuk lebih setia, produktif, dan bersemangat dalam melaksanakan tugas mereka.
Berikut adalah beberapa tip untuk menjadi majikan yang disenangi pekerja.
1. Komunikasi Terbuka dan Jelas
Komunikasi adalah kunci utama dalam membina hubungan yang baik antara majikan dan pekerja. Sentiasa berkomunikasi secara terbuka dan jelas mengenai harapan, tugas, dan objektif syarikat. Dengar dan beri perhatian kepada pandangan dan idea pekerja. Dengan cara ini, pekerja akan berasa dihargai dan didengari.
2. Berikan Penghargaan dan Pengiktirafan
Penghargaan terhadap usaha dan pencapaian pekerja adalah sangat penting. Berikan pujian secara lisan, anugerah, atau bonus sebagai tanda pengiktirafan terhadap kerja keras mereka. Ini akan meningkatkan motivasi dan kepuasan kerja dalam kalangan pekerja.
3. Sediakan Peluang Pembangunan Diri
Majikan yang baik sentiasa menyediakan peluang untuk pekerja mengembangkan kemahiran dan kerjaya mereka. Ini boleh dilakukan melalui latihan, kursus, atau peluang naik pangkat. Pekerja yang melihat bahawa majikan mereka mengambil berat tentang perkembangan profesional mereka akan lebih bersemangat untuk bekerja.
4. Amalkan Keseimbangan Kerja dan Kehidupan
Pastikan pekerja mempunyai keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi mereka. Elakkan daripada menetapkan beban kerja yang terlalu berat dan memberi masa rehat yang mencukupi. Fleksibiliti dalam waktu kerja juga boleh membantu meningkatkan keseimbangan ini.
5. Sediakan Persekitaran Kerja yang Selesa
Persekitaran kerja yang selesa dan selamat adalah faktor penting dalam memastikan pekerja gembira dan produktif. Pastikan tempat kerja bersih, kemas, dan dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan. Selain itu, pastikan pekerja mempunyai peralatan yang sesuai untuk melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.
6. Beri Sokongan Emosi dan Moral
Majikan yang baik bukan sahaja memberi sokongan profesional tetapi juga emosi dan moral. Sentiasa peka terhadap perasaan dan keadaan pekerja, dan berikan sokongan apabila mereka menghadapi masalah peribadi atau profesional. Ini akan menunjukkan bahawa anda mengambil berat tentang kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
7. Jadilah Teladan yang Baik
Sebagai majikan, anda adalah contoh kepada pekerja anda. Tunjukkan etika kerja yang baik, dedikasi, dan sikap positif dalam setiap tindakan anda. Ini akan menginspirasikan pekerja untuk mencontohi anda dan meningkatkan moral serta budaya kerja yang positif dalam organisasi.
Menjadi majikan yang disenangi pekerja memerlukan usaha dan komitmen untuk memahami dan memenuhi keperluan serta harapan mereka. Dengan mengamalkan komunikasi yang baik, memberikan penghargaan, menyediakan peluang pembangunan, memastikan keseimbangan kerja dan kehidupan, menyediakan persekitaran kerja yang selesa, memberikan sokongan emosi, dan menjadi teladan yang baik, anda boleh membina hubungan yang kukuh dan positif dengan pekerja anda.
Ini bukan sahaja akan meningkatkan kepuasan pekerja tetapi juga produktiviti dan kejayaan syarikat secara keseluruhan.
Sumber: Sinar Harian (Agensi)
Baca juga artikel lain: Padah Gurauan Terlampau Pada Bayi Baru Lahir, 3 Jururawat Arab Saudi Dipecat!
Dipecat Selalu CUTI SAKIT Hari Isnin, Pendandan Rambut Dapat Pampasan RM18,406
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI