Memang setuju sangat bahagia suami isteri itu bukanlah setiap masa rasa gembira, ada harinya tak bercakap dan bergaduh juga. Lumrahnya sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula dalam perhubungan perkahwinan. Namun apa yang penting, tetap berbaik semula dan mengikat ‘rasa bahagia’.
Dalam bahagia kita suami isteri, ada hari tak bercakap jugak. Ada hari tak bertegur sapa, ada hari masam muka, ada hari tengok muka pun meluat tak kira. Tapi tetap bahagia sebab bahagia tu bukan hari-hari gembira, hari-hari ketawa, hari-hari riang ria.
Ada hari yang kita tak berlaga angin, orang utara kata. Ada hari yang ada konflik, ada hari yang tak sama pandangan, ada hari yang berbeza pendapat. Ada perkara yang buat kita suami isteri jadi macam tu.
Pastu bila dah baik balik, bercakap pun macam biasa dah. Takde masam muka, mulut muncung, dah bertegur sapa macam takde apa-apa. Suami masuk tandas pun dah rindu bila time tengah baik ni.
Lumrahnya kehidupan suami isteri ni begitulah.Itu bagi kita dan kita still tafsirkan situasi dan keadaan tu sebagai BAHAGIA.
Jangan Kecilkan Skop Bahagia
Jangan limitkan atau kecilkan skop bahagia tu mestilah tak boleh bergaduh langsung, tak boleh merajuk, kena bercakap, kena senyum, kena gembira sentiasa. Hidup ni bukannya drama yang skripnya dah ada. Kadang-kadang kita tak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari seterusnya. Perangai dan mood pasangan juga kita tak boleh nak jangka.
Ada orang kata dia tak bahagia, tapi dia sendiri tak tahu apa yang dia perlu buat untuk bahagia.
Bahagia perlu dimulai dengan rasa syukur, kemudian redha. Mungkin apa yang kita lalui dan hadapi tu perlu disyukuri terlebih dahulu dan perlu redha untuk kita rasa bahagia yang sebenar.
Ads
Orang lain mungkin melalui hari yang lebih teruk daripada hari kita.
Mingguan Wanita: Memang ada benarnya. Lumrah dalam perkahwinan ada pasang surutnya.. Ada hari-hari yang ok, dan ada yang sebaliknya. Bukan hari-hari gembira, dan tak boleh bergaduh langsung.Yang penting tetap bersama-sama hingga ke akhirnya.
Bila hak jagaan anak jatuh pada isteri, ada sesetengahnya tidak mahu anak berjumpa bapa kandung. Kononnya apa yang berlaku sebelum ini telah membuatkan bekas isteri serik dan sementelah anak pun tidak mahu berjumpa.
Selalunya hak jagaan anak diberikan pada ibu kandung dan mengikut perintah mahkamah, bapa kandung boleh saja berjumpa anaknya mengikut syarat yang dikenakan dan nafkah yang patut diberikan.
Tapi, kalau keadaan di mana bekas isteri tidak benarkan atau putar belit supaya anak tidak berjumpa bapa kandung, ini dah dikira langgar perintah mahkamah. Tindakan boleh di ambil dan mungkin ibu akan dipenjarakan.
Inilah yang diterangkan oleh peguam syarie, Khairul Fahmi Ramli dalam ulasannya tentang hak jagaan anak, bapa kandung pun berhak dan janganlah bekas isteri jangan diputar belitkan semata-mata tidak mahu anak berjumpa ayahnya.
Ramai orang kecoh dan menghentam keputusan Mahkamah Tinggi Syariah apabila memenjarakan seorang ibu yang telah melanggar perintah Mahkamah berkaitan dengan hak jagaan anak.
Ramai yang mencemuh katanya mahkamah zalim, bapa zalim dan sampai satu tahap ada yang mengkritik Islam itu zalim. Nauzubillah.
Percayalah, Islam tak pernah zalim.
Yang zalim apabila kita tidak mengikut apa yang telah ditentukan syarak dan undang-undang serta tidak meletakkan sesuatu perkara betul pada tempatnya.
Saya menyeru untuk semua follower yang membaca untuk bertenang, dan nilaikan sendiri dengan akal yang waras.
Apakah perintah asal berkaitan jagaan anak?
Bagi suami isteri yang bercerai, salah satu isu yang bakal timbul di Mahkamah adalah berkaitan dengan hak jagaan anak. Semua orang yang selalu saya terangkan akan faham, saya selalu cakap, bab jagaan anak adalah bab kebajikan anak.
Dan keutamaan biasanya diberikan kepada ibu kerana hak jagaan di sisi undang-undang dan syarak akan diutamakan kepada ibu mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.
Tapi, yang paling baik bila ada pertikaian berkaitan hak jagaan anak adalah diputuskan melalui Persetujuan. Kes pihak-pihak adalah Perintah Jagaan yang diputuskan bukan melalui paksaan Mahkamah, tetapi melalui Persetujuan pihak-pihak.
Maka, bekas suami dan isteri, sangat perlu menghormati perjanjian apatah lagi bila ia melibatkan Perintah Mahkamah.
Bolehkah mengubah atau melanggar perintah ikut suka?
Apabila sesuatu perkara itu telah menjadi Perintah Persetujuan ia tetap dikira perintah Mahkamah. Setiap pihak-pihak yang terlibat sangat perlu mematuhi perintah.
Jika salah satu pihak melanggar perintah, ia boleh dianggap sebagai satu kesalahan. Dan pihak yang dianiaya tersebut, berhak untuk memohon supaya perintah tersebut dikuatkuasakan.
Jikalau bekas isteri atau suami rasa terbeban dengan perintah tersebut, mereka sepatutnya boleh membuat tuntutan Ubah Perintah di Mahkamah yang sama keluarkan perintah tersebut.
Adakah Mahkamah akan terus perintah penjara?
Tidak. Mahkamah Syariahlah yang paling kurang bagi penjara meskipun melibatkan kes-kes jenayah syariah yang walaupun dah termaktub setiap kesalahan yang ada hukuman penjara.
Apatah lagi nak hukum penjara ke atas wanita yang bergelar ibu dan isu yang berkaitan dengan Perintah Hak Jagaan Anak.
Permulaan kepada kes Komital (Hukuman Penjara) perlu bermula dengan satu Permohonan di Mahkamah Syariah. Ia mesti dibuktikan sekeras-kerasnya apakah pelanggaran yang berlaku.
Apakah wujud pelanggaran dalam kes tersebut?
Mengikut fakta, si bapa ini diperintahkan untuk berjumpa di Kuala Lumpur, tapi si ibu dengan sengaja mengubah lokasi ke Kajang iaitu satu tempat yang bertentangan dengan perintah yang mereka persetujui.
Ini bukan kali pertama. Lebih daripada 80 kali perkara tersebut berlaku seorang bapa dinafikan haknya untuk berjumpa dengan anak-anak.
Mahkamah tidak zalim. Mahkamah beri peluang kepada si ibu untuk bela diri kenapa berbuat demikian apabila mengeluarkan satu Notis Tunjuk Sebab pada 17 Januari 2019. Lebih daripada 20 orang Peguam Syarie bertukar ganti untuk bela si ibu.
Melalui perbicaraan dan keputusan Yang Arif Hakim, pihak si ibu telah gagal membuktikan alasan yang munasabah dan ada pengakuan sendiri si ibu yang dia ingkar perintah tersebut dengan alasan yang tidak munasabah.
Pengalaman kes saya sendiri?
Dahulu, saya ada satu kes yang lebih teruk berlaku kepada si ibu. Mahkamah Tinggi Syariah telah putuskan hak jagaan kepada si ibu dan si bapa diberikan hak untuk melawat pada bila-bila masa yang munasabah.
Tapi, perintah ini jadi sia-sia apabila anak-anak dibawa lari dan disembunyikan tanpa jejak. Jenuh saya naik turun Mahkamah untuk dapatkan pula Perintah Penguatkuasaan untuk dapatkan kerjasama pihak berkuasa.
Tapi, masih lagi belum berjaya.
Hinggalah ke peringkat akhir, kita dapat menjejaki si bapa, saya segera dapatkan Notis Tunjuk Sebab namun banyak halangan yang masih dilalui hanya untuk dapatkan keadilan serta jagaan anak tersebut.
Kes ini makan masa lebih daripada 3 tahun. Si ibu dinafikan haknya di Mahkamah.
Namun, pada tahun keempat, akhirnya berjaya dibawa si bapa ke Mahkamah dan kuasa Allah pada ketika itu, anak-anak juga dibawa ke Mahkamah.
Adakah Mahkamah terus jatuhkan hukuman penjara? Tidak. Mahkamah tegaskan dan berikan amaran sekeras-kerasnya kepada si bapa supaya Jangan Hina Perintah Mahkamah.
Dan si ibu juga memaafkan peristiwa lalu. Si bapa akhirnya dilepaskan dari segala waran tangkap sebab keadilan telah diperoleh.
Kesimpulan
Masih kejamkah Mahkamah Syariah apabila memerintahkan penjara 7 hari kerana pelanggaran perintah melalui perbuatan sendiri?
Saya selalu berpesan, seorang bapa, jika jahat atau teruk macam mana sekalipun, selagi dia adalah bapa kandung, selagi itu, dia berhak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Begitu juga dengan si ibu, teruk macam mana sekalipun, bab jagaan anak, ibu tetap ada hak untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Islam tidak pernah zalim. Islam diturunkan untuk membela hak Lelaki dan Wanita. Penjara bukan untuk lelaki sahaja. Hukuman dalam Islam juga bukan untuk lelaki semata-mata.
Berlapang dada. Fahamkan dahulu asas kes sesuatu. Baru menilai. Hormatilah undang-undang, apatah lagi perjanjian yang kita lakukan sendiri.
Mingguan Wanita: Walaupun sudah berpisah tapi janganlah halang kasih sayang seorang anak pada ibu atau ayahnya.
Setiap kita pasti pernah lalui zaman kanak-kanak. Kalau dulu, bila mak ayah tegur memang buat kita takut dan akan ingat bila-bila supaya tak berulang lagi. Nak melawan mereka cakap, jauh sekali. Cubalah buat kalau nak rasa kena rotan atau cubitan paling sakit ya amat.
Tapi, dari masa ke semasa, zaman semakin moden dan cara mak ayah ajar dulu pun mungkin dah tak sama. Anak-anak sekarang, kalau mak ayah tegur ada yang akan ‘sentap’. Mulalah ambil hati dan rasa tak disayangi.
Sedangkan apa yang mak ayah tegur itu untuk kebaikan dan masa depan anak-anak supaya tidak hanyut dengan melakukan perkara yang tak berfaedah. Tiada mak ayah yang tak sayang anak pun, semua ini untuk masa depan mereka. Ketahuilah, mak ayah pun pernah lalui zaman muda seperti anak-anak sekarang.
Perkongsian daripada Khairul Anuar Basri ini betul sekali. Mak ayah tegur untuk kebaikan. Tak perlulah terasa hati atau melawan kerana semua yang mereka buat adalah demi sayang pada anak-anak.
Anak-anak ni dia tak tahu gamaknya kita ni sayang kat dia.
Tak da sorang pun mak dengan ayah di dunia ni nak tengok anak dia jadi tak baik. Bila mak dengan ayah tegur tu, dia nak anak dia jadi baik lah tu.
Bila mak dengan ayah marah tu, dia sayang kat anak dia la tu. Dia tak nak anak dia buat salah. Nak suruh anak-anak jadi elok.
Tapi anak-anak tak faham. Dia ingat mak ayah dia benci kat dia kot. Dia ingat mak ayah dia sengaja cari salah dia kot.
Anak-anak….
Mak dengan ayah dah pernah lalu umur kamu. Mak dengan ayah faham sangat perasan kamu masa ni. Mak dengan ayah tahu, kalau kamu tak ditegur tak dibimbing, kamu akan hanyut tak tentu hala.
Kalau mak dengan ayah tak nasihat kamu, kamu tak tahu mana yang betul mana yang salah.
Tolong la faham mak dengan ayah sama macamana kamu nak mak dengan ayah faham kamu.
Jangan ambil hati bila mak dengan ayah berleter. Jangan sampai hati kamu menjawab bila mak dengan ayah kamu bercakap.
Jangan kamu kejam sangat sampai sanggup keluarkan kata-kata yang menghiris hati dan perasaan mak dan ayah.
Jangan sekali-sekali kamu angkat suara kamu lebih dari suara mak ayah kamu…
Kamu tak tahu…
Mak dan ayah ni sanggup tukar nyawa mereka untuk kamu hidup, sanggup buat apa saja untuk pastikan kamu dapat apa yang kamu nak.
Mak ayah ni tak akan tidur malam bila kamu tak dapat tidur malam dan akan rasa sakit bila kamu sakit.
Mak dan ayah ni takkan buang kamu sekalipun seluruh dunia buang kamu atas salah dan dosa kamu.
Adik beradik kamu mungkin buang kamu. Tapi mak ayah tak akan buang kamu.
Jaga mak ayah betul-betul sementara mak ayah kamu masih hidup. Jaga hidup mereka, jaga hati dan perasaan mereka.
Nanti bila mak ayah kamu dah tak ada, kamu akan hilang nikmat dunia paling besar untuk seseorang yang pernah bergelar anak.
Tiada lagi sepasang manusia yang sentiasa berdoa untuk kamu walau kamu tak pernah minta untuk didoakan.
Santunilah ayah dan mak kamu sebagaimana ayah dan mak kamu menjaga kamu semasa kecil.
Jangan pernah rasa tertekan dan terkongkong dengan apa yang mak dan ayah kamu cakap dengan kamu.
Ingat satu perkara..
Mak dan ayah yang baik, tak akan berhenti mendidik kamu sehinggalah salah seorang daripada mereka atau kamu mati.
Mingguan Wanita : Mak ayah ini tiada galang gantinya. Hargai dan sayangi mereka selagi hayat dikandung badan.
Beruntungnya bila dapat suami yang ringan tulang dan sentiasa membantu isteri buat kerja rumah. Namun, ada juga suami ni nak kena minta tolong dulu barulah nak ‘gerak’. Kalau tak dia pun tak tahu nak tolong apa.
Begitulah, lain orng lain caranya. Minta tolong dengan mengarah suami pun dua perbuatan yang berbeza. Kena tahu adabnya terutamanya bila berada depan adik beradik mentua mahupun ipar duai.
Betul apa yang dikongsikan oleh Sha Ramson Abdullah ini. Memang kita tahu suami rajin membantu tapi kenalah tahu ada minta tolong dengan cara kita yang suka mengarah. Jaga air mukanya depan keluarga.
Antara adab seorang isteri kepada si suami, isteri perlu menjaga air muka dan maruah suami bila berada di luar rumah. Tak semua tempat kita boleh menyuruh suami. Nak-nak di depan ibunya.
Ini adab.
Adab isteri kepada suami di depan orang.
Bila berada dalam rumah orang, sama ada di rumah mentua, rumah ipar-duai, hatta di rumah mak ayah kita sendiri pun… isteri perlu jaga maruah dan air muka suami.
Walaupun di rumah kita, si suami yang selalu masak, kemas rumah dan sebagainya tapi ini tidak bermaksud suami perlu buat semua itu ketika kita berada di luar rumah atau di rumah orang.
Nak minta tolong suami itu BOLEH tapi ada ADABnya. Menyuruh-nyuruh suami dengan minta tolong suami adalah DUA PERBUATAN YANG BERBEZA. Menyuruh itu bermakna kita mengarah-arahkan si suami. Manakala meminta tolong dari suami itu ada adab dan caranya.
Ini bukan tentang seorang isteri yang hipokrit tunjuk baik di depan orang tapi ini tentang maruah suami yang kita perlu jaga. Ia berkenaan ADAB seorang isteri di depan orang terhadap suami.
Cara Isteri Melayan Suami
Tunjukkan akhlak yang baik dan bawa akhlak yang baik ini di mana-mana hatta dalam rumah kita sendiri. Ini cara kita melayan suami dengan baik. Melayan suami adalah tanggungjawab isteri.
Seorang isteri perlu menjaga maruah suaminya di mana pun dia berada. Isteri membawa nama suaminya ke mana-mana dia pergi.
Suami adalah acuan kepada isteri.
Baik akhlak suami, maka baiklah akhlak isterinya.
Baik didikan suami terhadap isterinya,
maka baiklah akhlak isteri dan anak-anaknya.
Maka para suami, didiklah isteri dan anak-anak dengan didikan agama. Baik agama dalam keluargamu, maka baiklah kehidupanmu.
Agama itu adalah kehidupan.
Mingguan Wanita : Isteri pun janganlah ambil kesempatan pula, mentang-mentanglah suami rajin dan ringan tulang kan.
Hari ini tular keputusan dari Mahkamah Tinggi tentang Datin Seri Rosmah Mansor dapat penangguhan pelaksanaan bersyarat bagi pembayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan.