Lebih kurang tiga bulan lalu, Ummi Nazeera baru sahaja melahirkan cahaya mata pertama hasil perkahwinannya dengan Dr. Mohd Izzar Anwari Mohd Khani. Comel sungguh bayi yang kini berusia hampir tiga bulan yang diberi nama Ayra Aneesah ini. Kelahiran zuriat penyambung keturunan ini sesungguhnya memberi perubahan besar dalam hidup pelakon dan pengacara jelita berusia 28 tahun ini.

Penggambaran bersama keluarga kecil ini berlangsung di kediaman mereka yang terletak di Puchong, Selangor. Ternyata wajah selebriti yang memiliki nama sebenar Ummi Nazeera Nur Hidayah bt Zainal Abidin ini kelihatan cukup gembira saat bercerita mengenai bayi comel mereka.

“ Kehidupan saya sudah semestinya sudah berubah. Kadang-kadang saya tidak cukup tidur pun saya tidak perasan. Pada peringkat awal dulu memang terasa bebannya apabila tidak cukup tidur. Tetapi lama-kelamaan sudah menjadi satu kebiasaan tidur tidak lama.

“ Sebelum ini saya tertekan apabila tidak cukup tidur. Tetapi sekarang ini saya sudah membiasakan diri. Walau rasa letih, saya tidak sedar akan keletihan tersebut.

“ Suami banyak membantu pada peringkat awal. Tetapi apabila Ayra sudah semakin besar, saya tidak mahu menyusahkan suami kerana dia perlu bekerja pada keesokan harinya. Setiap kali Ayra menangis, saya akan bangun menyusukannya dan suami pula tidak perlu bangun untuk membantu.

“ Saya lupakan rasa letih. Dalam fikiran saya sekarang ini apa yang saya buat ini adalah untuk mendapatkan pahala. Pada masa yang sama juga saya mahu kuruskan badan,” ujar Ummi Nazeera membuka bicara.

Lahir Tak Cukup Bulan

Setiap ibu yang pertama kali melahirkan bayi, sudah pasti teruja untuk melihat bayi yang dikandung itu akhirnya berada di hadapan mata selepas dilahirkan. Begitu juga dengan Ummi Nazeera. Namun disebabkan anaknya dilahirkan melalui pembedahan, pertemuan pertama ibu dan anak itu hanya berlaku sekelip mata sahaja.

“ Pertama kali saya berjumpa Ayra adalah di bilik bersalin. Saya menjalani pembedahan untuk melahirkan Ayra. Semasa Ayra keluar, saya tidak mendengar bayi menangis. Selepas itu, salah seorang daripada doktor bius berbisik pada saya. Dia tanya adakah saya mendengar bayi menangis. Itu anak saya.

“Ketika saya melihat Ayra, saya masih dalam keadaan bius. Saya rasa syukur melihat anak selamat walaupun dilahirkan pramatang sewaktu 34 minggu. Hanya keesokan harinya barulah saya berjumpa dengan Ayra di wad NICU. Selama seminggu Ayra di NICU. Ayra tidak ada apa-apa masalah. Dia boleh bernafas dengan sendiri dan tidak menggunakan tabung oksigen. Beratnya pun okay, lebih kurang 2.3 kilogram.

“ Kami mengambil masa lama di hospital kerana saya perlu berlatih untuk menyusu badan. Selepas berjaya dan mampu melakukan penyusuan yang betul, barulah Ayra dibenarkan balik ke rumah.

“ Sekarang ini saya suka melihat perkembangan Ayra. Saya juga banyak membaca berkaitan perkembangan bayi mengikut usia mereka. Ditambah pula suami yang juga seorang doktor rajin mencari maklumat berkaitan apa yang dilakukan oleh bayi setiap bulan.

“ Daripada pemerhatian saya, Ayra ketika berusia dua bulan sudah boleh membuat ‘eye contact’. Kadang-kadang apabila ayahnya main suara, dia juga boleh ikut bunyi suara itu,” kongsi Ummi Nazeera berkenaan perkembangan anak kesayangannya.

Ummi Nazeera juga amat bersyukur kerana mempunyai suami yang bekerja sebagai seorang doktor kerana sebarang keraguan yang tidak difahami, dia dapat bertanya sendiri pada suaminya.

“ Saya dan suami baru dapat anak pertama. Ini bermakna kami berdua sama-sama belajar dalam membesarkan Ayra,” ujarnya pendek.

Berpantang Ikut Cara Emak Dan Emak Mentua

Wanita mengandung dan berat badan memang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga dengan Ummi Nazeera. Ketika dia mengandungkan Ayra, berat badannya telah naik lebih kurang 12 kilogram. Apakah yang dilakukan oleh Ummi Nazeera bagi memastikan berat badannya semakin berkurangan.

“ Sedikit demi sedikit berat badan saya telah turun. Sekarang ini berat badan saya telah susut lebih kurang 8 kilogram. Saya tidak ada cara tertentu bagi mengurangkan berat badan kerana saya sibuk menjaga anak. Tapi saya tidak lupa untuk menjaga makan.

“ Saya jaga makan dan ada banyak pantang berbeza yang diikuti. Kalau hari ini mama datang rumah dan masak, saya makan sahaja apa yang dimasaknya. Kalau emak mentua datang pula dan masak, saya makan juga apa yang dimasaknya.

“ Berpantang itu penting. Pada pandangan saya sendiri kalau salah makan memang sakit. Saya sehingga sekarang kalau salah makan memang sakit pada tempat luka pembedahan itu.

“ Pada masa yang sama juga, saya mendaftar di gim. Pada peringkat awal, saya hanya berjalan sahaja di atas threadmill selama sejam hingga sejam setengah untuk mengeluarkan peluh dan menghilangkan lemak.

“ Saya tidak melakukan senaman yang melampau batas dan tidak terlalu berat kerana saya bersalin secara pembedahan. Cara mudah untuk menghilangkan lemak bagi wanita yang bersalin cara ini adalah melalui berjalan. Berjalan ini boleh mengelakkan darah beku. Doktor menasihatkan saya untuk berjalan bukannya berlari,” jelas Ummi Nazeera lagi.

Selain berpantang, menyusukan anak juga turut menyumbang kepada pengurangan berat badan. Bercerita mengenai penyusuan anak, Ummi Nazeera menjelaskan selagi mampu dia akan melakukannya.

“ Tetapi sekarang ini saya ada campur juga dengan pemberian susu formula sebab Ayra kuat minum. Pada awal dulu saya beri sepenuhnya susu ibu. Apabila Ayra sudah masuk umur dua bulan, saya beri susu formula,” terang ibu muda yang kekal cantik selepas bersalin ini.

Tidak Akan Berhenti Berlakon

Filem Gol & Gincu 2 telah selesai ditayangkan di pawagam. Sambutan yang diberikan terhadap filem ini amat memuaskan hati Ummi Nazeera. Dia amat komitmen dalam membantu mempromosikan filem tersebut.

Ketika ibu lain duduk di rumah menjaga anak yang baru dilahirkan, Ummi Nazeera pula menjalankan amanah yang diberikan kepadanya dalam mempromosikan filem tersebut.

“ Disebabkan saya melahirkan anak secara pembedahan, itu satu kelebihan saya untuk bergerak dengan mudah. Selepas bersalin lebih kurang dua bulan lebih saya sudah sibuk mempromosikan filem. Suami tidak melarang kerana dia tahu ini amanah saya.

“ Saya telah menandatangani kontrak dengan penerbit dan mereka sudah bayar saya. Bagi saya ini satu amanah yang perlu dilaksanakan. Saya perlu buat kerja dengan ikhlas. Anak dikurniakan Allah ini amanah. Begitu juga dengan wang yang telah dibelanjakan oleh penerbit untuk menghasilkan filem. Jadi saya perlu jalankan tugas yang diberikan. Cuma saya berikan syarat apabila buat promosi saya tidak perlu buat sehari suntuk.

“ Setelah selesai mempromosi filem Gol&Gincu 2, saya menghabiskan masa dengan Ayra. Ketika dia berusia dua bulan, saya tidak sempat menghabiskan masa dengannya. Selama dua minggu lebih saya mempromosikan filem tersebut.

“ Saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan. Daripada respons peminat, ramai yang tidak mahu saya berhenti berlakon walaupun saya telah ada anak. Insya-Allah saya tidak akan berhenti berlakon. Saya akan teruskan kerjaya seperti biasa.

Selain berlakon, saya juga akan meneruskan bidang pengacaraan dan dalam masa yang sama, saya juga akan terus memajukan bisnes saya. Kalau ada rezeki, saya ingin belajar lebih mendalam tentang bidang pengacaraan yang sudah lama saya ingin ceburi.

“ Kecenderungan saya kepada bidang pengacaraan kini mungkin disebabkan faktor masa. Apabila menjadi pengacara, kita tahu berapa lama masa yang perlu digunakan. Kalau boleh, setelah menjadi seorang ibu ini, saya tidak mahu satu hari itu saya tidak ada di rumah. Saya juga tidak mahu ‘outstation’ lama.

“Hendak berlakon sekarang ini pun saya akan pilih skrip. Kalau saya rasa skrip itu sesuai, saya akan berbincang dengan suami terlebih dahulu. Jika sesuai dan suami beri persetujuan, saya dan suami ada pelan berkaitan penjagaan anak terlebih awal. Saya mungkin akan minta bantuan emak mentua atau emak saya. Sekarang ini segala-galanya saya perlu merancang lebih awal,” tambahnya lagi.

Keselamatan anak amat dipentingkan oleh Ummi Nazeera. Dia sanggup mengeluarkan bajet lebih dalam memastikan ada penjaga dan pembantu yang mampu menjaga anaknya ketika ketiadaannya di rumah.

Simpan Akaun IG Untuk Anak Guna Masa Hadapan

Seperti sudah satu perkara yang perlu dilakukan oleh ibu bapa terutamanya ibu bapa selebriti apabila mempunyai anak adalah untuk membuka akaun laman sosial seperti Instagram untuk anak mereka. Bagi Ummi Nazeera sendiri, ada sebab mengapa dia juga turut membuka akaun Instagram untuk anaknya.

“ Saya ada buka tetapi tidak berapa update. Kenapa saya buka? Saya buka kerana ada orang sudah ambil nama Ayra. Saya sengaja buka, mana tahu pada masa hadapan Ayra mahu gunakan akaun itu. Saya simpan untuk dia.

“ Kadang-kadang kita sebagai ibu dan ayah suka berkongsi perkembangan anak kita. Tetapi takut pula perkongsian itu berlebihan. Jadi itulah guna Instagram dia. Kalau hendak tengok, dipersilakan. Sekarang ini banyak perkongsian mengenai Ayra saya banyak letak dalam Instagram saya sendiri,” jelas Ummi Nazeera lagi.

Apabila ditanya berkaitan dengan mendidik anak yang semakin lama semakin membesar ini, Ummi Nazeera dan suami mahu mengajar anak untuk berusaha untuk mendapatkan apa sahaja yang dia mahu.

“ Kalau dia hendakkan sesuatu dia kena berusaha. Bukan setakat jika dia hendak, kami akan bagi. Kami mahu supaya apabila dia sudah besar dan apabila mak dan ayahnya sudah tidak ada, dia mampu hidup berdikari. Malah kami mahu dia tidak bergantung pada mak dan ayah walaupun kami masih hidup. Itulah yang kami persetujui setakat ini,” ujar Ummi Nazeera.

******

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pelakon cantik Ummi Nazeera ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita terbaru isu Disember, Volume 1 ini. Jadi jangan lupa dapatkan dipasaran!

Penulis & Penyelaras: Julie Roshana Akma Shafee
Foto: Ahmad Shahir Othman
Penata Konsep: Norzalina Alias
Penata Gaya: Adli
Solekan: Saidatulnisa Aminudin
Stylist Tudung: Nurul Fazreen
Busana: Rico Rinaldi, Plaza Damas, Taman Sri Hartamas, KL / www.ricorinaldi.com dan koleksi peribadi Ummi Nazeera.
Busana Dr. Mohd Izzar dan Ayra Aneesah : Koleksi peribadi.
Tudung: @nazeera_hq

Jangan Lupa Komen