cover april vol 1

Jumaat itu, kedatangan kami ke teratak indah milik chef selebriti Datuk (Dr) Chef Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, disambut mesra oleh beliau serta bondanya, Noraini Abdullah. Apa yang manisnya, menurut Chef Wan lagi, sebaik dikhabarkan kepada Cik Ani beliau bakal disunting menyeri sampul hadapan majalah Mingguan Wanita…terujanya dia bukan kepalang.

Awal-awal pagi lagi, Cik Ani sudah bersiap dan menunggu ketibaan kami. Dengan senyum tak lekang di bibir, sesekali Cik Ani mengayun tubuhnya mengikut rentak lagu klasik Almarhum Tan Sri P Ramlee yang berkumandang di ruangan tamu sambil diusik oleh Chef Wan.

Sebaik sesi tatarias wajah oleh jurusolek Ajam hampir selesai, Cik Ani tersenyum malu apabila anak sulungnya memuji perubahan wajahnya yang tampak 10 tahun lebih muda. Chef Wan pantas merakam momen tatarias Cik Ani dan berkongsi video eksklusif ke dalam laman instagram miliknya. Dalam sekelip mata video tersebut telah mencatat 93,233 tontonan. Selain Chef Wan dan Serina, Cik Ani juga adalah selebriti di kalangan peminat setia instagram chef kebanggaan Malaysia ini. Kerana sayang, di instagram miliknya, beliau mengkhususkan tanda pagar (hashtag) khas untuk bondanya; #cikanisayang.

Gurindam Kasih Chef Wan, Serina & Cik Ani Sayang

Kongsi Rezeki Dengan Keluarga

Melihat keluarga ini yang sentiasa diulit kasih sayang dan senda tawa, pasti ramai yang teruja ingin mengetahui rahsia ukhuwah keluarga ini. Meski sudah mencapai pencapaian peringkat tertinggi di dunia, tidak ada yang membahagiakan bagi seorang anak…apabila diberi rezeki untuk berkongsi dengan orang tersayang. Berikut adalah perkongsian sarat kasih sayang dan sebuah rasa tulus dari tiga insan istimewa ini bersama Mingguan Wanita.

“Selaku anak sulung daripada tujuh bersaudara, sedari kecil saya sudah terbiasa melihat perih jerih ibu membesarkan kami. Bilangan adik beradik yang rapat membuatkan saya dengan rela hati membantu ibu menguruskan adik-adik dan melakukan kerja-kerja rumah. Bahkan ketika ibu dalam proses berpantang, saya juga yang membantu menyediakan makan berpantang dan membakar batu sungai untuk kegunaan ibu bertungku. Ketika itu bapa saya yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan, jarang berada di rumah atas tuntutan tugas.

“Gaji bapa yang tidak terlalu besar, diatur sebaiknya bagi memastikan keperluan kami sekeluarga seadanya dari bulan ke bulan. Dari kecil lagi saya sudah dilatih untuk prihatin dan murah dengan kasih sayang. Saya juga diajar untuk tidak berkira dan jangan lokek dengan orang. Alhamdulillah hasil didikan sebegitu sejak kecil terbawa-bawa dalam kehidupan saya hari ini.

“Saya juga bersyukur, kerana perkongsian rezeki yang ada pada saya bersama orang sekeliling menjadikan rezeki yang diterima tidak pernah putus, tidaklah terlampau mewah… tapi ada sahaja yang datang dari sudut yang tak diduga. Sejujurnya hidup ini tidaklah lancar sentiasa tanpa adanya dugaan. Islam juga mengajar kita untuk berbuat baik dalam apa jua cara, insya-Allah balasannya yang baik-baik juga akan diterima,” ulasnya ceria.

Dimentia Dan Cik Ani Sayang

Tautan kasih antara anak dan ibu tidak akan terpisah selagi nyawa dikandung badan. Cik Ani sosok istimewa di jiwa Chef Wan. Adalah sukar bagi seorang anak itu membalas semua jasa dan bakti si ibu.

Berstatus selebriti tidak membuatkan Chef Wan malu dengan kondisi kesihatan ibu kesayangannya. Malah tanpa berselindung, lelaki berusia 61 tahun ini dengan bangganya membawa ke mana sahaja ibunya bersama termasuk menghadiri majlis melibatkan orang kenamaan negara.

“Sejak mengalami dimentia, ada masanya ibu saya lupa dan melakukan perkara seperti anak kecil. Kadang-kadang secara berseloroh saya bergurau sambil membuat ‘ulang kaji’ bertanya perkara berkaitan dirinya. Walaupun begitu, saya tidak pernah malu malah terbuka dan berkongsi kondisi ibu bersama followers saya di instagram.

IKLAN

“Bagi saya, ibu adalah kawan rapat yang terbaik. Setelah berpenat lelah membesarkan anak-anak yang ramai, sudah tiba masanya dia berehat. Saya tak malu nak bawa ibu ke majlis yang ada selebriti dan orang ternama. Seronok apabila melihat kehadiran ibu dilayan dengan baik. Jangan tak tahu, ibu saya lagi ramai peminat daripada saya. Ke mana saya pergi, kalau Cik Ani tak ikut, ada sahaja yang mintak sampaikan salam kepadanya.

“Apabila ada netizen yang berkata saya mengambil kesempatan ke atas ibu, sejujurnya bukan itu niat saya berkongsi cerita tentang Cik Ani Sayang di media sosial. Sejujurnya dengan perkongsian berkenaan ibu saya, ramai yang maklumkan momen ibu anak kami mengingatkan mereka tentang arwah ibu dan kasih sayang ibu mereka.

“Saya tidak pernah berniat mengeksploitasi ibu dan mengambil kesempatan ke atasnya. Selagi hayat ibu tercinta masih ada, apalah salah saya berbakti sepuasnya ke atas dia. Melalui doa beliau juga, saya berjaya seperti apa yang anda lihat hari ini. Selagi anda masih punya ibu, kasihi, hormati dan sayangilah wanita ini seadanya,” luah Chef Wan tulus.

Gurindam Kasih Chef Wan, Serina & Cik Ani Sayang

‘Check In’ Ke Rumah Orang Tua

Bila diajukan, apa lagi rencana Chef Wan di masa depan, beliau menyatakan hasratnya untuk menghabiskan sisa tuanya di sebuah rumah orang tua eksklusif di Langkawi.

“Apa yang saya tahu, ada sebuah rumah orang tua eksklusif sedang dibina di Langkawi. Di situ segala kemudahan disediakan baik lengkap dengan adanya pakar dari bidang pemakanan, kesihatan dan lain-lain. Jika orang lain tidak mahu ke rumah orang tua, sebaliknya saya memang bercita-cita untuk menghabiskan sisa usia bersama kawan-kawan seusia di situ.

IKLAN

“Setelah pelbagai pengiktirafan dan peluang yang telah saya kecapi, saya rasa untuk diri sendiri saya perlukan satu bentuk penghargaan yang berbeza. Saya tidak mahu bergantung harap kepada anak-anak kerana mereka sendiri sudah punya keluarga dan urusan peribadi masing-masing.

“Selain bidang kulinari saya minat dengan dunia hiasan dalaman dan mencantikkan landskap sekitar kediaman saya. Di usia sekarang, pakaian serta perkara-perkara mewah dan berjenama bukan lagi keterujaan saya,”ujar datuk kepada tiga orang cucu ini.

“Wan Anak Yang Baik,” – CIK ANI

Ketika sesi luahan rasa bersama Chef Wan di gazebo redup bersebelahan ruang dapur kediamannya, Cik Ani atau nama sebenarnya Noraini Abdullah ada bersama. Sesekali bila perlu dia akan mencelah sambil ketawa kecil, apabila Chef Wan mengusiknya. Sebaik diajukan bagaimana hubungan beliau dengan anak sulungnya…berikut adalah komentar jujurnya.

“Wan anak yang baik. Dia jaga saya dengan baik. Saya suka duduk sini (menetap dengan Chef Wan) Kalau tak jaga baik-baik, dah lama saya lari tinggalkan dia,” kongsinya spontan mengundang tawa kami yang mendengarnya.

Gurindam Kasih Chef Wan, Serina & Cik Ani Sayang

Serina Sedia Berumah Tangga Semula

Air mata Chef Wan pernah tumpah saat hari pernikahan satu-satunya puteri tunggalnya setelah rasmi bergelar isteri pada 1 Januari 2010. Walau bagaimanapun jodoh Serina dan bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, terlerai pada 1 Ogos 2018. Mereka berdua dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Tristan Tareef O’luanaigh, 6, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5.

IKLAN

“Sekarang saya perlu bekerja keras demi anak-anak. Selaku seorang ibu tunggal semestinya saya mahukan yang terbaik untuk mereka. Sebagai ibu saya berusaha memberikan pendidikan dan ilmu agama sebaiknya. Di hari biasa mereka ke sekolah, apabila hari minggu saya panggil seorang ustaz dan seorang ustazah bagi mengajar anak-anak cara solat dan mengaji al-Quran.

“Terkini saya sibuk mengusahakan pelbagai perniagaan. Antaranya kolaborasi bersama Adryssa Atelier X Serina RTW yang mengkhususkan busana untuk mereka bersaiz ‘comel’. Memahami rungutan mereka yang berbadan begini, saya sediakan busana istimewa bermula dari saiz S hingga 4XL. Jahitan sulaman dan butiran manik yang kemas menjadi signature koleksi ini. Harga yang ditawarkan mampu milik.

Gurindam Kasih Chef Wan, Serina & Cik Ani Sayang

*******

Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan anak beranak ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi April, Volume 1 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!

Gurindam Kasih Chef Wan, Serina & Cik Ani Sayang

Penyelaras & Teks : Mastura Burhanuddin
Foto : Sharinizam Othman & Nurul Akmar Azimi
Solekan : Muhammad Azam Abdul Hamid @Ajamaros
Busana : Terima Kasih @Piecesbyraeesa , Butik Jedan, Sacc Mall Dan Koleksi Eksklusif Dari Adryssa Atelier X Serina Rtw

Baca Disini:

Mak Ayah Sila Contohi Kesabaran Chef Wan Jaga Ibunya, Cik Ani Yang Dah Lanjut Usia

Mak Suka Mee Rebus Udang, Chef Wan ‘Belanja’ Resipi Ini, Siap Kongsi Tip Buat Kuah Jadi Lebih Sedap!

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI